Saturday, January 24, 2009

LITTLE NAPOLEON DALAM PERKHIDMATAN AWAM

PENDAHULUAN

Napoleon Bonaparte dilahirkan pada 15 Ogos 1769 di Ajaccio (Ajacciu) di Pulau Corsica yang terletak di tenggara Perancis. Michael H. Hart meletakkan Napoleon Bonaparte pada senarai ke 34 dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History kerana kehebatan pengaruhnya. Kariernya sebagai anggota tentera yang paling digeruni bermula apabila menyertai Tentera Revolusi Perancis pada lewat 1790an.

Napoleon Bonaparte menjadi Jeneral Revolusi Perancis yang merupakan Konsul Pertama atau Konsul Perdana Republik Perancis pada 11 November 1799 sehingga 18 Mei 1804. Setelah menjadi Konsul pertama beberapa tahun, beliau kemudianya telah menjadi Maharaja Perancis (Empereur des Français) dan Raja Itali di bawah nama Napoleon I dari 18 Mei 1804 hingga 6 April 1814.
Namanya begitu masyhur kerana selama lebih kurang satu dekad, angkatan-angkatan tentera Perancis di bawah pimpinannya bertempur dengan hampir setiap kuasa Eropah dan menguasai kebanyakan tanah besar barat dan tengah Eropah melalui penaklukan atau perikatan. Napoleoan Bonaparte merupakan seorang tentera yang hebat, ketua taktikal serangan yang licik dan pentadbir yang dikagumi kerana kebolehan merancang taktik yang terbaik daripada pelbagai sumber, dan memodenkan angkatan tentera Perancis untuk mencapai banyak kemenangan yang utama. Kempen-kempennya telah dikaji di akademi-akademi seluruh dunia dan beliau secara amnya dianggap sebagai salah seorang daripada komander terutama yang pernah hidup dan disifatkan sebagai "pemerintah kuku besi berihsan". Selain daripada pencapaian tenteranya, Napoleon juga dikenang sebagai antara watak penting disebalik Kod Napoleon yang menjadi asas kepada sistem perundangan sivil Perancis (G. Stolyarov II , 2007).

Apa pula perkaitan dengan istilah Little Napoleon? Istilah ini merujuk kepada penjawat awam yang berada di sesuatu kedudukkan (bukannya peringkat tertinggi) tetapi berlagak seolah dia begitu berkuasa seakan pegawai yang berada di peringkat tertinggi. Kadangkala lagak itu didokong oleh persekitaran dan mereka yang berurusan dengannya lantaran kuatnya hubungan si “Little Napoleon” tadi dengan mereka yang berkuasa di peringkat tertinggi. Ianya diberi gelaran Little Napoleon kerana sifat mereka ini seperti Napoleon Bonaparte. Istilah ini dipopularkan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau memberi amaran tidak mahu melihat wujudnya Little Napoleon di kalangan penjawat awam. Beliau memberi amaran kepada segelintir penjawat awam yang ingin menunjukkan kuasa dengan cara melambatkan kerja dan keputusan. Perdana Menteri menyifatkan Little Napoleon sebagai golongan yang kecil tetapi memberikan kesan dan mencemarkan nama baik perkhidmatan awam ibarat kata pepatah “sebab nila setitik rosak susu sebelangga’ (Utusan Malaysia , 15 April 2006).

Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) Tan Sri Ramon Navaratnam yang pernah menghuraikan Little Napoleon dengan nada tegas menjelaskan bahawa golongan in adalah boneka yang menjadi begitu berkuasa lantaran sokongan dan dokongan yang diperolehi dari pihak-pihak tertentu. Beliau memuji langkah Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mahu memantau dengan dekat prestasi kakitangan awam dan menghukum siapa sahaja yang menyeleweng, rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Akan tetapi Tan Sri Ramon juga menyarankan agar perhatian diberikan kepada golongan atau kumpulan yang memberi sokongan dan dokongan tersebut (The Sun , 17 Disember 2007 ).

Perkhidmatan awam dalam mana-mana negara adalah tulang belakang kepada kerajaanya (Abdullah Sanusi , 1997). Sebuah perkhidmatan awam yang mantap dan cekap akan membawa kepada kelancaran tadbir urus dan kecekapan pengurusan yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penjawat awam di Malaysia yang berjumlah kira-kira 2 juta pada hari ini melalui evolusi dalam perkhidmatan. Penambahbaikan yang berlaku menjadikan kerjaya di sektor awam sebagai pilihan yang popular. Ini menjanjikan cabaran yang lebih besar kepada ketua jabatan dalam menguruskan kepelbagaian penjawat awam itu sendiri. Penulisan ini akan membincangkan peranan yang boleh diambil oleh seorang ketua jabatan dalam berhadapan dengan golongan Little Napoleon.

Pada 5 November 2003 dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama selaku Perdana Menteri Malaysia yang kelima, YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, telah mengumumkan keputusan kerajaan untuk membentuk Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) (Mustafar Ali , 2006). Pelan Integriti Nasional memfokuskan kepada dua perkara iaitu:
1. Membasmi rasuah dalam perkhidmatan
2. Meningkatkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan

Dalam fokus kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan, YAB Perdana Menteri telah mendedahkan wujudkan kalangan penjawat awam yang menyalah guna kuasa dan kedudukan serta melengah-lengah kerja bagi kepentingan peribadi. Golongan ini dirujuk oleh YAB Perdana Menteri sebagai Little Napoleon yang merupakan individu atau sekumpulan individu yang tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan mengikut tatacara sebenar sebagai penjawat awam.

Hakikatnya golongan Little Napoleon sememangnya telah lama wujud. Penjawat awam yang tidak mesra pelanggan, anti-pembangunan dan melawan ketua tanpa sebab juga boleh dirujuk sebagai Little Napoleon. Sedar akan masalah yang disebabkan oleh golongan inilah maka YAB Perdana Menteri telah memberikan teguran supaya perkara ini ditangani dan penumpuan terhadap penambahbaikan perkhidmatan dapat dilakukan.


RASIONALNYA GOLONGAN LITTLE NAPOLEON?

Little Napoleon adalah penjawat awam yang tidak menghayati prinsip integriti dalam perkhidmatan. Golongan ini akan merugikan organisasi kerana potensi modal insan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kesedaran terhadap wujudnya golongan yang bermasalah ini turut diakui oleh YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah, yang menegaskan bahawa budaya Little Napoleon lambat laun akan menjadi barah yang akan memusnahkan modal insan seterusnya melumpuhkan keseluruhan organisasi tersebut (Warta Darul Aman, 8 September 2008). Ini menjelaskan betapa golongan ini sebenarnya tiada tempat dalam mana-mana perkhidmatan awam di negara ini.

Menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk mencari rezeki. Rezeki adalah nafkah untuk menyara diri, dan ahli keluarga. Sewajarnya nafkah yang diberikan datang dari sumber yang halal dan sah. Sekiranya diperincikan, pendapatan yang diperolehi oleh seorang penjawat awam yang tidak amanah adalah satu bentuk pendapatan yang diragui dan dikhuatiri hilang keberkatannya apabila pendapatan tersebut diperolehi dari kerja yang tidak dilaksanakan dengan sempurna dan beramanah. Sebagai seorang Muslim ini akan menjejaskan matlamat untuk menjadi umat yang terbaik. Konsep kerja sebagai ibadah menguatkan lagi hujah bahawa pekerjaan yang dilakukan perlu dilakukan dengan sempurna dan memudahkan semua pihak. Secara nyata, golongan Little Napoleon adalah kumpulan penjawat awam yang tidak kompeten dan tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan mengikut tatacara sebenar.

MENANGANI LITTLE NAPOLEON DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Golongan Little Napoleon tidak seharusnya dibiarkan dalam perkhidmatan awam. Negara memerlukan modal insan yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk membawa cabaran negara di masa hadapan. Beberapa cadangan berikut boleh dipertimbangkan dalam menangani golongan tersebut:

1. Dalam menangani golongan ini, pelbagai peraturan dan garis panduan telah sedia ada. Hanya tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan perkara ini tidak berterusan. Antaranya Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1998 Garis Panduan Menguruskan Pegawai Berprestasi Rendah dan Pegawai Yang Bermasalah telah menjelaskan tindakan yang boleh diambil bagi mengatasi perkara ini. Garis panduan ini memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh seorang ketua jabatan terhadap kakitangan yang berprestasi rendah dan bermasalah. Golongan Little Napoleon adalah mereka yang dikategorikan sebagai kakitangan yang bermasalah. Perlaksanaan garis panduan ini merangkumi tindakan paling asas iaitu teguran sehingga membawa kepada tindakan lebih tegas iaitu tindakan tatatertib. Seorang ketua jabatan perlu menilai tindakan yang sesuai berdasarkan kepada keadaan mengikut peringkat yang ditetapkan. Perlu ada persefahaman antara ketua-ketua dalam sesebuah jabatan kerajaan untuk melaksanakan tindakan dalam surat pekeliling ini bagi memastikan keberkesanannya. Ini memerlukan keberanian dan ketelitian seorang ketua jabatan dalam melaksanakan tugasnya.

2. Kepimpinan Beretika adalah satu keperluan dalam organisasi. Ini adalah satu bentuk tindakan pencegahan yang dapat membimbing organisasi ke arah kecemerlangan. Seorang pegawai kerajaan adalah bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang berintegriti dalam organisasinya. Kepimpinan melalui tauladan adalah satu contoh penting yang diperlukan. Menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk memastikan misi dan visi yang jelas bagi organisasi dan penting misi dan visi tersebut difahami bersama. Komunikasi yang sihat dalam organisasi akan meningkatkan kefahaman kepada matlamat dan hala tuju organisasi. Ini dapat membimbing semua penjawat awam untuk bekerja dengan matlamat yang lebih jelas dan bertanggungjawab. Kepimpinan menjadi faktor penting dalam menangani Little Napoleon dan seorang ketua jabatan tidak seharusnya berkompromi dengan golongan ini dan membiarkan keadaan tersebut kerana ia boleh membawa kepada implikasi lebih buruk. Paling penting ialah seseorang ketua jabatan itu sendiri perlu memahami maksud tersirat disebalik Little Napoleon dan tidak menjadi sebahagian dari golongan tersebut.

3. Penghayatan kepada pendekatan Islam Hadhari adalah satu langkah yang mengajak penjawat awam kembali kepada Islam. Terdapat sepuluh prinsip yang menjadi sasaran dalam pendekatan ini iaitu:

i. Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Allah
ii. Kerajaan Adil dan Beramanah
iii. Rakyat Berjiwa Merdeka
iv. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
v. Pembangunan Ekonomi Seimbang & Komprehensif
vi. Kehidupan Berkualiti
vii. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
viii. Keutuhan Budaya dan Moral
ix. Pemuliharaan Alam Semulajadi
x. Kekuatan Pertahanan

Dalam melahirkan penjawat awam yang berintegriti, fokus diberikan kepada prinsip pertama dan ke lapan. Keimanan dan ketaqwaan kepada Allah adalah asas yang perlu ada pada setiap insan. Setiap agama di negara ini juga menekankan konsep keimanan dan ketaqwaan kepada tuhan mengikut kepercayaan dan amalan agama masing-masing. Melalui prinsip ini seorang penjawat awam akan lebih menghayati konsep kerja sebagai ibadah. Prinsip keutuhan budaya dan moral merujuk kepada amanah dan integriti sebagai seorang penjawat awam. Sasaran ke-2, TEKAD 2008 iaitu meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi dalam Pelan Integriti Nasional adalah selari dengan keperluan ini (Pelan Integriti Nasional , 2005). Justeru itu, setiap penjawat awam seharusnya mengambil langkah proaktif untuk menghayati perancangan dan matlamat ini untuk peningkatan kendiri. Ini penting bagi menajamkan minda dan kemahiran sebagai seorang penjawat awam dan bukan sebagai persediaan untuk menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sahaja.

4. Pembangunan sumber manusia melibatkan program latihan dan pembangunan adalah salah satu cara yang dapat mengubah keadaan. Dalam era globalisasi hari ini, Negara memerlukan penjawat awam yang mempunyai ciri-ciri knowledge worker (k-worker). Ini penting bagi menghadapi era knowledge economy (k-economy) yang memerlukan persaingan dari aspek pengetahuan disamping aspek lain yang sedia ada. Dasar Latihan Sektor Awam yang meletakkan sasaran latihan 56 jam setahun bagi setiap penjawat awam adalah langkah yang amat signifikan. Program latihan dan pembangunan seperti kursus, bengkel, seminar dan lain-lain lagi mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seorang penjawat awam. Latihan dan pembangunan adalah sebahagian dari pelaburan yang mampu meningkatkan nilai modal insan. Golongan Little Napoleon memerlukan latihan yang boleh menguatkan aspek kerohanian (Spiritual Strength) bagi membentuk kepada perubahan sikap terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

RUMUSAN

Dari penulisan ini dapat dirumuskan bahawa golongan Little Napoleon perlu dibantu supaya sedar akan tugas dan peranan sebenar yang perlu dijalankan sebagai seorang penjawat awam. Kerja harus dilihat sebagai satu ibadah. Justeru itu, penting untuk kita melaksanakan tugas dengan amanah dan berkesan. Penjawat awam harus menjadikan dirinya aset kepada jabatan dan harus bijak merancang kerja dan menyara diri dan keluarga dengan pendapatan yang halal dan sah. Ini menuntut kemahiran untuk merancang dan memimpin diri sendiri dengan cekap kerana setiap individu adalah juga seorang pemimpin setidaknya kepada diri sendiri. Dari aspek kepimpinan jabatan, seorang ketua perlu mencabar status-quo yang wujud dalam jabatannya, dari segi sistem atau prosedur, cara kerja dan lain-lain aspek supaya sistem penyampaian dapat di pertingkatkan. Penambahbaikan dan inovasi yang perlu dilaksanakan secara bersama. Hanya dengan gaya kepimpinan yang mantap, perubahan mampu dicapai. Perubahan yang paling asas ialah perubahan sikap yang memerlukan kesungguhan setiap individu untuk sama-sama melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang penjawat awam dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.





Monday, January 19, 2009

Lif dan Kehidupan di Rumah Flat

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Itulah peribahasa Melayu yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi rumit sekumpulan penduduk rumah flat di ibunegara yang menghadapi dilema akibat ketiadaan lif. Isu ini timbul ekoran masalah kerosakan lif di blok perumahan flat tersebut yang gagal diperbaiki oleh pihak pengurusan rumah flat atau dirujuk sebagai pemaju. Masalah ini berlarutan sejak tahun 2008 dan masuk tahun 2009 hanya satu lif sahaja yang mampu beroperasi seperti mana dilaporkan Buletin Utama TV3 pada 18 Januari 2009.
Sememangnya TV3 menjadi saluran dalam memperjuangkan isu ini sejak dari awal. Rintihan penduduk, masalah harian penduduk dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan masalah ini telah dipaparkan sehingga membawa kepada tindakan pihak yang berkaitan walaupun pada tempoh dan jangka masa yang agak panjang. Isu ini juga telah mendapat perhatian ahli politik sama ada di pihak kerajaan mahupun ahli parlimen mereka dari Pakatan Rakyat. Namun untuk keadaan lif kembali kepada asal masih lagi belum menjadi realiti sepenuhnya. Sebagai seorang yang pernah tinggal di rumah flat, saya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan tanpa lif diteruskan saban hari. Apatah lagi jika tinggal di puncak tertinggi rumah flat iaitu di tingkat 17! Bayangkan jika pulang dari penat bekerja, dengan membawa barang yang banyak dan anak-anak yang masih kecil tatkala sampai di hadapan rumah di tingkat 17, baru tersedar bahawa kunci rumah ada dalam kereta? Tuhan sahajalah yang tahu perasaan jika situasi itu berlaku.

Saya simpati kepada anak-anak kecil yang terpaksa turun naik tangga ke sekolah, warga tua dan golongan kurang upaya yang meneruskan kehidupan harian dan mereka-mereka dengan masalah kesihatan dan pelbagai cerita tersendiri. Untuk seorang yang sihat tubuh badan pun akan merasa jerih peritnya jika terpaksa turun naik anak tangga satu persatu setiap hari. Itulah signifikannya lif kepada penduduk rumah flat. Akan tetapi saya yakin bahawa penghuni rumah flat tersebut tiada pilihan lain. Jika ada pilihan dan kemampuan untuk tinggal di tempat lain saya pasti ramai yang sudah mengambil tindakan tersebut. Akan tetapi inilah satu lagi dilema tinggal di ibu kota kerana kos sara hidup yang sangat tinggi.

Akan tetapi saya berpendapat bahawa masalah ini tidak boleh diletakkan atas bahu pihak pemaju dan kerajaan semata-mata. Ada isu yang lebih besar yang memerlukan perhatian masyarakat. Bercakap atas pengalaman sebagai seorang yang pernah membesar di kawasan rumah flat tersebut, saya meletakkan punca kepada masalah ini ialah sikap kurang bertanggungjawab “segelintir penduduk” rumah flat tersebut. Inilah punca rosaknya lif tersebut. Apabila ada yang kurang menghargai kemudahan yang disediakan, bahananya perlu ditanggung oleh keseluruhan penduduk kawasan rumah flat tersebut. Inilah yang disebut sebagai vandalisme. Mungkin ada yang akan marah jika saya catatkan bahawa lif di kawasan perumahan itu sangat sinonim dengan bau hancing. Tidak ubah seperti tandas awam yang tidak dicuci secara berjadual. Seakan satu trademark, bau hancing sering dikaitkan dengan lif-lif di kebanyakan rumah flat terutama rumah-rumah flat kos rendah. Secara sinis kita boleh kaitkan sikap “segelintir” penduduk yang tidak bertanggungjawab sehingga menjadikan kediaman mereka tempat yang tidak selesa untuk didiami. Kalau pun ada syarikat pembersihan yang dilantik menjaga kebersihan lif, mereka juga merasa hampa dengan keadaan sama yang berulang saban hari. Selain bau hancing, satu pemandangan biasa apabila panel nombor di dalam lif yang sepatutnya boleh digunakan dengan hanya menekan nombor tingkat untuk membawa pengguna lif ke tingkat rumah mereka cair dibakar oleh api dari pemetik api. Inilah vandalisme yang dilakukan oleh mereka yang kurang bertanggungjawab sementara berada dalam lif sebelum sampai ke tingkat yang mereka hajati. Sesetengah anak penghuni rumah flat menjadikan lif sebagai permainan mereka. Ini mendedahkan anak-anak kepada bahaya dan sememangnya ada kes kecederaan berlaku melibatkan anak-anak penghuni seperti tersepit pada pintu lif. Malah ada juga kes kematian melibatkan kemalangan lif di rumah flat di negara ini yang berpunca kerana menjadikan lif sebagai permainan atau menyalahgunakan lif tersebut. Sikap kasar dan kurang cermat sesetengah pengguna yang menendang lif yang lambat juga membawa kepada punca masalah ini. Keadaan kotor dalam lif dan dinding lif yang diconteng dengan pelbagai perkataan kesat dan lukisan adalah satu pemandangan biasa. Inilah antara punca yang menyesakkan dan mengakibatkan lif rosak.
Secara peribadi saya melihat pentingnya institusi keluarga dalam masalah ini. Ibubapa atau penjaga haruslah memainkan peranan mendidik anak-anak untuk menghargai kemudahan awam terutamanya lif dan menggunakannya dengan berhemah. Contoh dan tauladan yang baik juga harus ditunjukkan oleh penghuni dewasa supaya kehidupan yang harmoni dapat dipelihara dalam persekitaran dan kawasan perumahan yang bersih dan selamat. Jika semua pihak hidup dalam suasana dan sikap yang baik, masalah kerosakan lif tidak akan berlaku di mana-mana kawasan rumah flat samada kos rendah atau pun di kondominium mewah. Marilah kita sama berdoa semoga masalah lif di rumah flat tidak kira di mana juga lokasinya dapat diatasi dan diuruskan dengan baik. Dalam masa yang sama penduduk rumah flat perlu mengubah sikap dan berperanan menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab. Ini penting supaya semua pihak mendapat manfaat kebaikan (win-win situation) dalam perkara ini dan ia tidak menjadi masalah yang tidak dapat diselesaikan dan menjadi paparan berita dari hari ke hari.

Monday, January 12, 2009

Camry vs Perdana

Prestij. Itulah perkataan yg paling tepat apabila membicarakan persoalan berkaitan kereta buatan Jepun yang digelar Toyota Camry. Apa juga nada, apa juga haluan apa juga pendirian, hati siapa yg tidak terdetik keinginan memiliki sebuah Toyota Camry tatkala memandang hatta buat kali pertama sekali pun. Mungkin ia tidak standing BMW 325i, Audi A4, Volvo S40 atau lain-lain model kereta Eropah dalam kelas sedan 2.0 (dan sewaktu dgnnya) tapi ia adalah lawan yang setanding apabila dibandingkan dari segi prestasi. lebih dari itu, ia jauh lebih murah jika dibandingkan dgn pesaing dari Eropah. Ibarat alah membeli menang memakai, dgn himpunan segala mcm teknologi terkini yg patut ada pada sebuah kereta dalam kelasnya, Camry adalahsesuatu yang disifatkan sebagai Value for Money oleh penggemar kereta. Falsafah ini sudah mula dipersetujui oleh beberapa kepimpinan negeri Pakatan Rakyat hari ini. ironinya, kerajaan negeri Selangor yang mula-mula menyuarakan hasrat memiliki Camry untuk exco mereka, tetapi kerajaan Perak pula nampaknya yang mendahului. Tinjauan saya sebagai seorang pemastautin di negeri Darul-Ridzuan, Toyota memang popular di negeri ini terutama di Ipoh. Ada yang mengatakan Toyota adalah "kereta cina" hingga ada yang mengaitkan bagaimana UMW Toyota yang memasarkan Toyota di negara ini sentiasa mencapai sasaran jualan bagi bilik pameran mereka di Ipoh dan suasana yang agak berbeza bagi lokasi lain terutama di luar negeri Perak.

Apa kurangnya model Perdana V6 Enhance? Model asal keluaran Mitsubishi Eterna inilah yang menjadi kereta rasmi negara termasuk yang membawa YAB Perdana Menteri Malaysia. Inilah buah fikiran hasil dari kejayaan Dasar Pandang ke Timur (1982) yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir. Tanpa DPT, jangan katakan Perdana V6, malah Malaysia belum tentu mampu memiliki sebuah kereta nasional. Maka itu, langkah kerajaan sewaktu era Tun Dr, Mahathir yang menukar kereta rasmi negara dari penggunaan asal model Volvo dan Mercedes (pada ketika itu) untuk pegawai dalam kategori JUSA, Menteri dan Timbalan Menteri adalah suatu tindakan tepat yang melambangkan jatidiri rakyat Malaysia atas semangat Malaysia Boleh! Kita membuktikan bahawa kita ada kemampuan menghasilkan kereta "mewah" sejak model pertama Perdana dalam era tahun 1990an.


Perbandingan

Soalnya, apakah hilang "prestij" jika menggunakan Perdana hari ini sehingga ada kerajaan negeri yang bertukar ke model lain atas nama penjimatan?

Penjimatan adalah sesuatu yang subjektif. Dalam soal berkaitan penyelenggaraan kereta, kos penyelenggaraan Perdana di Pusat Servis Proton dibandingkan dengan kos di pusat servis "bawah pokok" pastinya jauh berbeza. Terpulang kepada definisi "penyelenggaraan" itu sendiri. jika kos servis diambil kira semata-mata kos alat gantian, minyak peincir dan kos buruh pastinya ia mampu dibayar oleh sesiapa juga. Maka bukanlah rahsia lagi pada hari ini bahawa Perdana adalah sebuah kereta mampu milik. Kakitangan kerajaan pada kumpulan sokongan juga mampu memilikinya. Akan tetapi jika kos servis diambil kira bersekali kos alat gantian, minyak peincir, kos buruh dan "imbuhan sampingan" maka ia akan terus menjadi sesuatu yang subjektif. Apakah imbuhan sampingan itu? Ia juga suatu yang subjektif, kerana ia boleh ditafsirkan sebagai kos tersembunyi bagi menunggu masa bayaran yang lama, menjangkau hingga tiga bulan, kos untuk pihak yang terlibat dalam proses "untuk kenderaan tersebut dihantar servis" samada dari peringkat perancangannya, perlaksanaannya atau peringkat pembayarannya! Berat andaian ini, malah jika disalah tafsir boleh menjadi satu tuduhan yang serius yang boleh menjatuhkan integriti pentadbiran awam di negara ini. Namun, pepatah Melayu ada menyebut, jika tiada angin masakan pokok bergoyang? Justeru itu, menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk menyiasat siapakah yang menjadi "angin" yang menyebabkan kos penyelenggaraan ini menjadi subjektif? Ini penting supaya pihak yang menjadi "angin" tidak terus "makan angin", sedangkan ada pihak lain yang "naik angin" dengan keputusan pihak yang "bertukar angin" kepada model lain dan menjadikan Perdana sebagai kambing hitam. Jangan sampai lain pihak yang "buang angin", lain pihak pula yang perlu menanggung sengsara perit dan hangitnya "angin buangan" itu!

Lebih penting lagi, jangan hanya kerana pembelian Camry dan isu Perdana V6 ini dilakukan oleh sebuah kerajaan negeri di pihak pembangkang maka kita ibarat memukul gendang perang atau mencanang serata kampung ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Jangan kita buat-buat lupa, kontraversi di sebuah negeri di pantai timur yang mengambil tindakan sama dengan menggantikan model Perdana ke model Mercedes E-class (lebih mewah dari Camry) belum lagi selesai sepenuhnya. Kalau mahu memperjuangkan kereta nasional sebagai satu bentuk aset negara, biarlah kita bersuara dan berjuang atas nama nasionalisme dan patriotisme. Bukan hanya kerana perbezaan ideologi politik. Kita tidak mampu menjadi seorang rakyat Malaysia yang lagaknya seperti ayam jantan si Jalak Lenteng, yang heboh berkokok sekampung dan bangga akan kelebihan dirinya tetapi ekor berselaput tahi!