Tuesday, March 31, 2009

Keteguran dan Teguran

1. Keteguran adalah istilah yang sangat popular di kalangan orang Melayu.

2. Boleh kata, siapa yang tak faham maksud istilah keteguran maknanya bukan Melayu tulen gamaknya?

3. Kata orang tua-tua dulu kalau main kat luar masa nak Maghrib boleh kena keteguran. Perkataan lain yang sinonim ialah kena sampok!

4. Di katakan, bila keteguran tu badan rasa macam tak sihat, letih-letih, lengoh-lengoh atau kekedang rasa sakit kepala. Ada jugak yang tak sedarkan diri, dan satu kategori lagi membawa kepada meracau dan meraung, tu dah masuk kategori kena rasuk!

5. Hebat orang Melayu ni, kaya dengan istilah.

6. Orang tua-tua dulu ada cara nak ubat keteguran ni. Salah satu caranya dipanggil Balik Kunyit atau Balik Bawang. Caranya guna bawang atau kunyit yang dibelah dua, dengan bacaan tertentu (mungkin jampi, serapah............nak kena belajo la ni?) maka boleh disahkan keteguran di mana, siapa yang punya angkara dan diubati selepas pada tu. Ada juga yang guna air tawar, iaitu air yang di jampi atau dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran.

7. Soalnya keteguran ada kolerasi dengan makluk halus. Berapa darjah signifikan antara korelasi tu, kena la buat ujian SPSS dulu!

8. Teguran?

9. Makluk yang berbadan kecil pun boleh tegur, makluk yang badan semangat (bukan gemuk!) pon boleh tegur!

10. Tegur apa? Kenapa pulak perlu tegur?

11. Teguran biasanya berlaku apabila terjadinya sesuatu perkara atau kejadian yang tidak kena pada tempatnya yang dengan sebab dan perbuatan dari kejadian itu boleh mendatangkan implikasi tidak baik lagi merugikan pihak-pihak terlibat.

12. Apa saja perkara atau kejadian yang boleh menjejaskan kepentingan lain secara langsung atau tidak langsung perlu diberi teguran sebagai satu kaedah semak dan seimbang (check and balance) supaya keadaan kena pada tempatnya.

13. Orang Melayu kaya dengan budi bahasa, sopan santun, adat susila.

14. Malangnya, tak semua oarang boleh menerima teguran. Teguran sering disalah tafsir. Tidak dilihat dari aspek penambahbaikan berterusan tapi dilihat dari aspek kena marah!

15. Bila kena marah, kecewa! Bila kecewa, bengang! Bila bengang, merajuk! Bila merajuk, patah hati! Bila patah hati, apa juga yang berlaku selepas tu antara yang menegur dan ditegur akan patah harapan!

16. Bila patah harapan, rosaklah hubungan dan inilah yang merosakkan sistem masyarakat kita. Wujud tidak puas hati dan rasa kurang senang yang akhirnya hanya mewujudkan persepsi songsang dan negatif.

17. Penting untuk yang ditegur menerima teguran dengan positif dan fikiran terbuka. Kepada yang menegur pula, tegurlah dengan berhemah. Ini prinsip asas kehidupan manusia yang tak memerlukan huraian panjang. Cuma kita bila kena tegur, barangkali memang suka nak memanjang-manjangkan perkara ?

18. Kalau teguran yang terlalu pahit untuk kita terima, barangkali kita perlukan kunyit, bawang atau air tawar untuk mengadaptasinya? Saya terjemahkan pepatah Inggeris yang bermaksud, orang yang pandai akan belajar dari kesilapannya tetapi orang yang bijak akan belajar dari kesilapan orang lain.

Thursday, March 12, 2009

RUPA FIZIKAL - Satu Penilaian Semula

Watak dalam filem Hellboy yang telah memasuki siri ke-2


Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki

Kalau hati itu bersih
Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia


Demikianlah antara bait-bait dari lirik lagu Mata Hati dendangan kumpulan Hijjaz. Lirik lagu yang ringkas ini mendukung seribu satu makna di sebalik realiti kehidupan manusia. Ini menjelaskan hakikat di sebalik setiap tingkah laku manusia tentang pandangan seorang manusia terhadap manusia lain atau keadaan di hadapannya. Pandangan mata dirujuk sebagai pandangan yang selalu menipu kerana mata menilai rupa fizikal apa yang dipandang. Sedangkan rupa fizikal sebenar sesuatu perkara itu bukanlah tetap dan tepat pada sesuatu keadaan. Pandangan akal dirujuk sebagai selalu tersalah jika akal tidak mempunyai cukup ilmu untuk dijadikan rujukan. Hanya akal yang cukup dengan ilmu yang sepatutnya boleh memberikan pandangan yang betul. Pandangan nafsu dirujuk sebagai melulu kerana sifat manusia dan kepentingan nafsu yang sering kali berada pada keadaan luar kawalan apabila pertimbangan keadaan melibatkan nafsu. Pandangan hati adalah pandangan yang hakiki kerana hati bersifat dalaman. Akan tetapi ia masih merujuk kepada isi hati seseorang manusia yang memandang. Jika hatinya bersih maka benarlah pandangannya.

Bahaya kecelaruan pandangan ini ialah ia boleh membawa kepada salah analogi dalam masyarakat. Masyarakat akan prejudis dan menjejaskan silaturahim antara sesama manusia. Lebih dari itu, ia akan menganiaya pihak yang benar tetapi dilihat salah dalam kumpulan masyarakat. Ironinya, pandangan manusia lebih melihat kepada rupa fizikal.

Izinkan saya berkongsi pengalaman atas pemerhatian dalam kehidupan yang saya lalui. Tak lama dulu saya ke pawagam untuk menonton wayang. Waktu itu filem Batman – Dark Knight dan Hell Boy - The Golden Army (poster filem seperti pada gambar di atas) sedang ditayangkan dan ada beberapa filem lain yang tak perlu saya sebut satu per satu. Saya sebutkan dua ini kerana ia signifikan dengan apa yang hendak saya huraikan.

Dari rupa paras watak di atas, pasti ramai yang membuat andaian bahawa inilah rupa fizikal kejahatan! Jahat, seringkali dikaitkan dengan rupa yang buruk, ganas, menakutkan dan mengerikan serta pelbagai status dan stigma bagi membayangkan rupa fizikal jahat. Inilah yang ditanam dalam pemikiran kita sejak sekian lama tentang rupa fizikal jahat sehingga kita begitu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan rupa fizikal yang kita lihat. Kita percaya apa yang kita lihat dan mengabaikan apa yang sepatutnya kita tahu kerana apa yang kita lihat lebih meyakinkan. Saya mengikuti siri pertama filem Hellboy sebelum ini dan saya memilih untuk menonton filem siri kedua ini. Sayangnya tak ramai yang menonton filem ini kerana perhatian lebih terarah kepada filem Batman. Watak superhero yang kita kenal sejak kecil. Saya pasti kutipan hasil tayangan filem Hellboy lebih rendah jika dibandingkan dengan filem Batman.

Dalam filem Hellboy, rupa fizikal Red (nama watak Hellboy dalam filem ini) dibayangkan sebagai syaitan yang hidup dalam kelompok manusia. Inilah gambaran fizikal rupa syaitan. Analogi dalam filem ini sama sekali berbeza, kerana watak protoganis mempunyai rupa fizikal "jahat" dalam erti kata yang kita fahami. Lebih dari itu, analogi tersebut disampaikan secara maksimum dengan memberi gambaran rupa fizikal syaitan yakni bapa kepada segala kejahatan! Inilah Red- The Hellboy. Tetapi memainkan watak sebaliknya berbanding rupa fizikal tersebut.

Cuma hakikatnya, dalam filem ini Red menjadi pelindung manusia di muka bumi dari sebarang ancaman dan kejahatan. Red menentang musuh manusia dan menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan manusia. Red memotong tanduknya dan berkawan dengan manusia dan mengamalkan cara hidup sebagai mana manusia normal yang lain seperti menghisap cerut Cuba dan lain-lain lagi. Lebih menyentuh, Red mempunyai personaliti yang sensitif, mudah tersinggung dengan kata-kata pedih atau sindiran padanya dan mahukan perhatian. Red sukakan kucing dan sangat sayang pada kucing. Makanan kegemarannya ialah coklat, tidak seperti rupanya yang menakutkan! Suka kepada kanak-kanak. Lebih dari itu Red juga mempunyai hati dan perasaan serta bersifat romantik kepada wanita apabila jatuh cinta dan mengahwini Liz - seorang wanita yang mempunyai keupayaan luar biasa terhadap api. Red sanggup bermatian demi cintanya pada Liz! Red menyanyikan lagu Can't Smile Without You bersama rakannya Abe Sapien bagi melayan perasaan mereka yang jatuh cinta. Manusia normal sendiri barangkali tidak kenal penyanyi asal lagu itu, Barry Manilow?

Moralnya, kita perlu menilai semula apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat tidak semestinya sama dengan apa yang kita sangka. Dengan kata mudah, yang nampak baik belum tentu baik dan yang nampak jahat belum tentu jahat! Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa asas-asas yang kukuh. Pada hari ini, rupa fizikal kejahatan boleh datang dalam pelbagai bentuk dan pakej. Kejahatan itu sendiri sudah sukar untuk didefinisikan apabila kejahatan sudah mampu berevolusi dalam tamadun manusia. Revolusi kejahatan menjadikan manusia-manusia jujur sebagai mangsa. Mangsa kepada kejahatan yang kadangkala dimulakan dengan kebaikan! Kita sukar menerima kejahatan yang dilakukan oleh pihak yang mempunyai rupa fizikal "baik" walaupun sebenarnya ia tidak mustahil untuk berlaku.

Pandangan hati yang hakiki memerlukan kesatuan antara semua deria yang terlibat dan bukan hanya mata yang memandang, akal yang menilai dan hati yang mentafsir. Ia memerlukan keredaan tuhan (Allah SWT) dan manusia yang memerlukan keredaan Allah SWT perlulah sentiasa berdoa dan memohon petunjuk semoga pandangan hati dan keredaan Allah sentiasa dalam kehidupan kita sehari-harian. Indrawan Muhammad Yatim (2008) mengatakan:

“Mudah-mudahan dengan berdoa kepada-Nya, Allah SWT akan memberi pandangan dan petunjuk rohani untuk jelas bagi mengetahui sesuatu kebenaran. Selama umat Melayu melihat untuk mencari kebenaran dengan hanya menggunakan mata biasa sahaja, selama itulah juga mereka akan ditipu dan tertipu. Bersihkanlah hati dan pemikiran agar mata rohani dapat berfungsi untuk melihat dan menilai sesuatu kebenaran. Mata rohani adalah anugerah khas Allah SWT kepada hamba yang benar-benar memohon bimbingan dan petunjuk-Nya” (Indrawan Muhammad Yatim, 2008, pp 102 dalam bukunya Mengangkasa Revolusi Melayu & Orde Dunia Baru).

Persepsi tidak semestinya memberikan gambaran sebenar sesuatu realiti. Dalam banyak keadaan persepsi lebih menyumbang kepada sesuatu yang negatif dan berat sebelah. Apabila apa yang kita lihat sudah tak sama dengan apa yang kita tengok, dan apa yang kita dengar sudah tak sama dengan apa yang dicakap, pasti akan ada pihak yang teraniaya. Ingatlah, sebagai seorang Muslim kita yakin dan percaya sesungguhnya doa orang yang teraniaya itu tiada hijjab dengan Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui.

Berdoalah kita kepada Allah SWT semoga dikurniakan pandangan mata yang menjurus kepada pandangan hati yang benar dan jauh dari pengaruh negatif. Inilah elemen penting sebagai permulaan untuk kita menilai semula sesuatu rupa fizikal.

Tuesday, March 3, 2009

Sidang DUN Bawah Pokok Ala Kerajaan Negara Pasir Dua Butir!


1. Ingatkan malas dah nak ulas hal ehwal politik, tapi ada sesuatu yang menggeletek hati saya malam tadi. Mendatangkan idea untuk saya nukilkan sesuatu.


2. Dalam rancangan Hujah di TV9 malam tadi (3 Mac 2009), salah seorang panel iaitu Tan Sri Isa Samad telah menyatakan pandangan beliau bahawa apa yang berlaku di Perak pada 3 Mac 2009 tidak ubah seperti adegan dalam filem Laxmana Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ini merujuk kepada sidang DUN Perak yang diadakan di bawah pokok apabila sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk ke bangunan dewan undangan negeri.


3. Secara prinsipnya memang ia berlaku, tapi saya berharap ia sekadar serupa tapi tak sama.


4. Ini kerana, dalam filem tersebut kerajaan terpaksa bersidang di bawah pokok kerana Menteri Fasola telah mengopakkan dinding-dinding istana! Sampai menteri kabinet terpaksa pakai topi “fire brigade” sebab membantu memadamkan kebakaran di kampung-kampung yang hangus di bakar oleh Menteri Fasola dan konco-konconya.


5. Analogi Tan Sri Isa Samad tu dikhuatiri boleh menempelak kerajaan BN. Ibarat menepuk air di dulang, tepercik ke muka sendiri!


6. Dalam filem tersebut, kerajaan yang bersidang di bawah pokok tu adalah kerajaan yang sah! Jangan lupa bahawa mereka terpaksa bersidang di bawah pokok kerana huru-hara yang dicetuskan Menteri Fasola yang patah hati kerana lamarannya ditolak oleh Puteri Si Bujur Sireh.


7. Dalam pergolakan politik di Perak, siapakah yang memegang watak “Menteri Fasola”? Kalau benar wujud Menteri Fasola, pastinya “Laxmana Do RE Mi” akan datang membantu atas titah baginda Sultan. Siapa pula nak jadi Laxmana Do Re Mi dengan tiga barang ajaibnya?


8. Sama-sama kita nantikan!