Wednesday, June 17, 2009

Reformasi Minda Dalam Sistem Pendidikan Negara


1. Kementerian Pelajaran telah meletakkan syarat bahawa jumlah maksimum subjek bagi peperiksaan SPM yang dibenarkan ialah 10 subjek bagi sekolah biasa dan 11 subjek bagi sekolah aliran agama.

2. Keputusan ini diambil antara lain kerana bimbang kepada persepsi bahawa Malaysia akan dilihat sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan.

3. Supaya pelajar dan guru lebih fokus.

4. Baguslah, walau pun saya secara peribadi melihat ada juga kebaikan dalam trend sebelumnya yang lebih kepada memenuhi kepuasan individu untuk melihat sejauh mana kehebatan mereka dalam menyaingi rekod cemerlang SPM negara.

5. Tidak dapat dinafikan lagi, sistem sekolah negara amat sinonim dengan sistem peperiksaan. Sesuai dengan peringkat usia pelajar sekolah itu sendiri yang sudah dimomokkan supaya lebih bersedia menjelang musim peperiksaan.

6. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

7. Zaman sekolah ni kalau nasib baik, belajar di saat akhir pun masih boleh cemerlang dalam peperiksaan. Tambah pula kalau pelajar yang sudah dibiasakan dengan soalan-soalan peperiksaan lepas. Mereka sudah boleh menjangka bentuk soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan.

8. Akan tetapi, jika hasrat untuk tidak melihat sistem pendidikan negara lebih cenderung berorientasikan peperiksaan, satu reformasi minda adalah diperlukan secara besar-besaran.

9. Lebih tepat saya merujuk kepada sistem pendidikan tinggi negara.

10. Saya tidak setuju jika IPT juga fanatik akan sistem yang berorientasikan peperiksaan. Kerana IPT sepatutnya juga bertindak sebagai ejen perubahan kepada pelajar yang telah melalui sistem persekolahan sejak bertahun lamanya. IPT adalah ibarat sebuah gelanggang untuk mencorak langkah tari indah ilmu dan praktikal supaya dapat menari mengikut irama lagu pasaran kerja yang dahagakan modal insan unggul bertaraf dunia.

11. Jika IPT juga fanatik dengan peperiksaan, apa bezanya sekolah dan IPT?

12. Maka seharusnya penilaian pelajar haruslah lebih berat kepada aspek penilaian sebelum peperiksaan (ongoing assessment) dan bukan lagi kepada faktor bagaimana untuk pelajar boleh menjawab dengan tepat dalam peperiksaan, bagaimana pelajar perlu memahami kehendak soalan untuk mendapat markah yang baik, bagaimana untuk menghafal segala macam fakta dan konsep serta nota pensyarah untuk dicurahkan kembali dalam peperiksaan tiga jam dan menjawab seberapa banyak halaman yang termampu sehingga urat tangan tak mampu lagi menulis.

13. Saya optimis bahawa seorang pensyarah cukup profesional untuk menilai hasil tugasan pelajar secara adil. Seorang pensyarah yang benar-benar profesional dan menguasai bidang kepakaran mereka sewajarnya dapat membezakan usaha seorang pelajar yang turun padang mendapatkan data dan maklumat untuk tugasannya dengan segala macam usaha dan seorang pelajar yang hanya memuat turun bahan dari internet. Lebih dari itu, seorang pelajar yang hanya menumpang dan mengharapkan rakan-rakan sekumpulan untuk membuat tugasan untuknya.

14. Jika penilaian sebegitu pun masih sukar untuk dilakukan nyata sekali masih banyak yang perlu diperbetulkan.

15. Maka di mana harus reformasi itu bermula?