Monday, August 31, 2009

Persepsi Politik


1. Sudah lama saya tak tampil dengan bahan perkongsian minda. Terlalu sibuk dengan urusan pengajian dan tugasan yang perlu disiapkan di samping mengejar tarikh menyiapkan proposal dan lain-lain keperluan yang masih banyak kekurangan.

2. Bukanlah ketiadaan bahan untuk menulis. Cuma idea menarik tak sempat diolah dari isu yang pelbagai berlaku di depan mata.

3. Hujung minggu baru ni ada kesempatan untuk berbuka bersama keluarga seorang saudara di kampungnya. Hajat asal cuma nak melawat, tapi dipelawa bersungguh-sungguh supaya tunggu sampai waktu berbuka. Tak sampai hati menolak pelawaan ibu bapanya. Keduanya sangat peramah dan baik.

4. Sementara menunggu waktu berbuka yang dah tak lama, saya dihulurkan dengan pelbagai akhbar. Banyak! Ada Metro Ahad, Mingguan Malaysia, Siasah dan Harakah juga. Saya kenal saudara saya ini yang prinsip politiknya sederhana. Suka menganalisa dari semua sudut tapi tak mengulas dengan terang-terang atau memihak kepada mana-mana parti politik. Sebab itu semua akhbar utama dibelinya.

5. Saya memang membaca pelbagai akhbar sejak dulu. Tiada pantang dalam saya memilih akhbar. Semua boleh.

6. Ibu kepada saudara saya tadi merupakan seorang warga emas yang sangat peramah. Selamba di bertanya kepada saya yang sedang membaca Mingguan Malaysia, “hang ni PAS ka UMNO?”.

7. Dengan rasa geli hati kerana tak sangka soalan sedemikian akan ditanya saya menjawab dengan sopan, “tak boleh makcik, saya ni penjawat awam. Saya tak boleh berpolitik sebab saya taat setia kepada kerajaan yang memerintah. Marah orang kalau saya berpolitik sebab saya penjawat awam”. Memang itulah prinsip politik saya sejak dulu. Bukan berlakon atau mengampu, tapi saya sedar di mana bumi dipijak.

8. “Haa, tau tak pa! Tapi tengok pada janggut ni macam orang PAS? Eh, hang ni PAS ni. Semua hak ada janggut ni mesti PAS ni. Betul ka?”. Balasnya lagi sambil gelak besar.

9. Saya hanya mampu gelak dan berkata, “tak tentu makcik, mana tau saya ni ulama UMNO ka, atau ulama Barisan Nasional? Bukan semua yang ada janggut orang PAS”. Seronok berseloroh dengan warga emas sepertinya yang peramah dan selamba dengan anak-cucu.

10. “eh, mana nak ada ulama dalam UMNO! Tak dak. Hang ni kalau bukan PAS mesti jenis hak sapu dua-dua kot ni? Haaa, jaga!”. Seraya ketawa besar kami semua dalam rumah.

11. Saya anggap itu pengalaman berharga dan hanya ketawa besar menamatkan teka teki atau tajuk perbualan itu. Kami bersembang tajuk lain pula sampai waktu berbuka.

12. Apa yang nyata sekarang inilah yang disebut sebagai ‘battle of perception’. Begitu kuatnya pengaruh persepsi dalam masyarakat. Saya pernah menulis tentang Rupa Fizikal dalam post pada 12 Mac 2009. Ada yang setuju dan ada yang tidak dengan analisa saya.

13. Soalnya masyarakat moden hari ini harus lebih bijak menilai perilaku politik dalam masyarakat. Ini bukan semudah untuk merealisasikan lirik lagu Putihnya Lukisan nyanyian Meet Uncle Hussein (MUH). Kerana dinamiknya politik dalam masyarakat bukan sekadar hitam atau putih sebaliknya terlalu kompleks.

14. Salah kalau kita masih berfikiran semua yang tak berjanggut itu penyokong kuat BN atau sebaliknya kerana rupa fizikal manusia yang hipokrit boleh dimanipulasi dalam pelbagai saiz dan bentuk mengikut kepentingan yang diharapkan.

15. Dinamik politik mewujudkan pelbagai kumpulan selain penyokong dan penentang. Kumpulan pemikir politik dan pengkritik politik juga sebahagian dari komponen itu. jangan kita nafikan mereka wujud dan ada peranan dan kepentingan tersendiri dan berbeza-beza.

16. Satu sahaja persamaan yang wujud ialah mereka semua adalah pengundi jika berumur 21 tahun ke atas dan mendaftar dengan SPR. Bagaimana menarik sokongan pengundi adalah agenda parti politik. Tetapi ideologi dan pegangan adalah hak milik kekal individu.

17. Beruntunglah parti politik yang bijak membaca isyarat serta mampu mencari dengan tepat siapa penyokong asli mereka dalam persepsi masyarakat terhadap parti politik yang pelbagai dan ada kala ‘tidak kena pada tempatnya’.

18. Sedih untuk membayangkan kalau apa yang baik hari ini akan menjadi sejarah dan hanya tinggal kenangan esok. Seperti indahnya bait-bait lagu Putihnya Lukisan yang sudah menjadi sejarah kerana MUH sudah berpecah walau pun ‘sejarah’ mencatatkan mereka pernah bergelar JUARA LAGU.

Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan Al Mubarak




1. Sangat lama saya tidak tampil dengan penulisan baru.

2. Banyak idea tapi tak sempat menyusun ayat. Terlalu sibuk dengan urusan pengajian. Banyak yang perlu disiapkan tak sempat nak disudahkan.

3. Dikesempatan ini saya ucapkan Salam Ramadhan Al Mubarak. Selamat menunaikan ibadat puasa dengan sempurna.

4. Semoga kita mampu melipat gandakan ibadah kepada Allah SWT pada tahun ini.

5. Amin.