Wednesday, December 9, 2009

Penilaian Persepsi : Pandangan Rakan Kita - Dulu, Kini, Selamanya

1. Hari ni saya keluar minum teh tarik dengan rakan lama di Syed Bistro, Taman Permata. Bukan sekadar kawan lama, dia ni bekas rakan sebilik saya waktu semester satu di UUM penghujung tahun 90an dulu. Kawan yang saya kenali sejak sekian lama, hari ini telah berkeluarga. Saya kenal ibu bapa dan ahli keluarga serta isterinya. Kami memang rapat sejak di UUM.

2. Hari ini dia dah berjaya. Perniagaan keluarga yang diusahakan bersama ayah dan adik-adiknya hari ini sudah menjadi satu perniagaan yang nilai urus niaganya mencecah jutaan ringgit. Sudah ada cawangan dalam negara dan di luar negara. Tapi hubungan kami sebagai kawan tetap baik. Tidak sedikit pun rakan saya ini berubah dari segi pembawakan, perwatakan, atau cara hidup. Tetap kekal bersederhana dalam semua perkara.

3. Lama tak jumpa dan bersembang tentang kenangan masa lalu. Sebelum ni kalau berjumpa pun sekadar seketika sewaktu kunjungan di hari raya. Mula sampai di Syed Bistro hampir jam 9.00 malam, sedar tak sedar jam sudah 12.45 tengah malam. Pelbagai cerita keluar. Macam-macam topik dibincangkan. Pelbagai kisah dikongsi. Aneka tips dalam pengurusan organisasi dan manusia dihuraikan.

4. Dalam melangkah pulang, terjumpa seorang lagi kenalan UUM sedang minum selang beberapa meja dalam Syed Bistro. Bukanlah teman rapat, sekadar kenalan sejak dari zaman kolej matrikulasi. Susuk tubuhnya tak berubah. Mudah menjangka dari mana dia dan sekumpulan teman-temannya yang sedang minum datang. Kerana sejak di kolej matrikulasi, dia memang aktif bersilat. Terpinga-pinga dia. Seolah tak percaya akan berjumpa kami berdua secara serentak. Kenalan saya tu orang Perak.

5. Dia tak tahu saya ni orang Kuala Lumpur. Ibu bapa dan adik-adik saya menetap di KL, dan saya memang bersekolah dan membesar di KL. Cuma rezeki saya bekerja di luar KL. Sekarang KL menjadi kampung saya. Hanya balik bila cuti, atau pada musim perayaan.

6. Dia tanya apa saya buat sekarang? Bila saya katakan, “aku buat master sekarang, dapat biasiswa dan cuti belajar”. Ketawa besar dia, sambil menghamburkan pelbagai kata-kata penghinaan yang memperlekehkan kredibiliti saya. Semuanya merujuk kepada siapa saya dan keadaan kami di kolej matrikulasi dulu. Memang la waktu matrikulasi, saya ni hebat dan dikenali dengan pelbagai konotasi kurang baik. Tapi bukan sampai ke tahap penjenayah atau buat dosa besar. Kasihan, memori kenalan saya tu masih menilai saya pada ketika kami di matrikulasi lebih 10 tahun lalu.

7. Saya pernah menulis dalam blog ini pada satu post bertajuk, Rupa Fizikal- satu penilaian semula. Inilah penilaian yang merujuk kepada rupa fizikal. Langsung tidak objektif. Sekap jarang dan cepat membuat kesimpulan bersifat ‘ceteris paribus’. Itulah busuknya hati orang yang cepat sangat buruk sangka.

8. Bekas rakan sebilik saya meyakinkan beliau, yang saya kini menjadi orang penting di sebuah institusi pengajian tinggi kerajaan di Perak. Tiba-tiba berubah nada perbualan dan ketawa besarnya!

9. “Betul ke ko keje di situ? Eh, cantik la. Boleh bantu aku dapatkan projek. Aku buat IT projek. Supply itu, ini, begitu, begini………… Sekarang ni aku dah dapat supply di Institut Darul Ridzuan, ko tolong aku yer? Bagus la kalau dah ko ada”.

10. Betul-betul la muka tak tahu malu!

11. Sekejap ko kutuk aku macam-macam, sekelip mata ko nak minta tolong aku recommend projek pulak? Itulah kata hati saya. Tapi saya ni bukan jenis orang yang meluahkan semua isi hati yang terbuku. Saya pendamkan saja. Tapi jauh di sudut hati, memang saya tak hingin nak bantu manusia yang begitu sifatnya. Jumpa tak berapa saat, kita dikutuk sakan. Alih-alih nak minta recommend project?

12. Barulah nak tanya, ko anak berapa? Bila saya katakan anak sudah empat, penuh kagum reaksinya. Masakan tidak, dia belum pun berumah tangga. Katanya sibuk uruskan perniagaan sekarang ni. Elok beno le tu yop!

13. Inilah lumrah kehidupan. Hari ini saya belajar dan mengenali lagi erti kehidupan di muka bumi ALLAH ini. Bandingkan perbezaan nilai antara bekas rakan sebilik saya yang begitu merendah diri dan menghormati kawan-kawan dengan kenalan saya yang bersilat sampai tak kahwin tadi tu? Belajar silat sampai ke tua, tapi falsafah silat tak dihayati. Padan lah tak tamat atau katam lagi jurus silatnya. Mungkin dia akan jadi pendekar tua yang tak laku. Kah kah kah!

14. Subhanallah, kau ampunilah dosa-dosaku ya ALLAH. Amin.