Friday, September 10, 2010

Salam Kemaafan dan Selamat Berhari Raya Aidilfitri 1431

1. Nak luah perasaan sikit.

2. Setiap kali muncul Aidilfitri, ramai yang akan menyampaikan ucapan salam dan selamat hari raya.

3. Pada aku, apa yang lebih penting ialah ucapan dan permohonan maaf.

4. Inilah masa dan waktunya bila kita minta maaf orang tak akan kata kita ni 'buang tebiat'!

5. Waktu hari biasa kalau bersalam dan minta maaf bukan tak boleh. Aku sentiasa ingat kepada kakak mak aku di Pulau Duyung, Terengganu namanya Che We. Kalau dia bersalam sure akan minta maaf seolah ada salah besar sangat.

6. Tapi itu amalan dia sejak dulu dan orang tak hairan.

7. Kalau aku yang jahat mulut ni, salam minta maaf musim biasa-biasa ni sure ramai yang kata aku 'buang tebiat nak mampus'.

8. Apa pon, aku minta maaf lah pada semua yang mengenali aku dulu kini dan selamanya. Hidup-mati kan kerja ALLAH, aku yang tak maksum ni sudah pasti tak nak mati berdosa. SELAMAT BERHARI RAYA AIDILFITRI BUAT SEMUA.

Friday, May 21, 2010

Kecil Hati

1. Sesetengah orang dia tak peduli hati dan perasaan orang lain.

2. Bagi sesetengah orang, dia rasa dia hanya bergurau walau pun setelah melukakan hati dan perasaan orang lain.

3. Bagi orang-orang tertentu pula, dia tak percaya bahawa semua orang ada hati dan perasaan.

4. Lebih dari itu, ada yang tak rasa dan perasan, akan ada orang yang terasa dan kecil hati dengan apa yang dilakukan.

5. Itulah manusia yang bernama manusia. Selagi manusia namanya manusia, begitulah. Ada juga yang tak sedar dirinya manusia. Soalnya, kita kena tahu bahawa setiap manusia ada hati dan perasaan.

6. Andaian kita belum tentu betul tentang hati dan perasaan orang.

7. Ada orang akan terasa bila dikata.

8. Ada orang akan terasa bila dikutuk.

9. Ada orang akan terasa bila dimaki.

10. Ada orang akan terasa bila disindir.

11. Tapi semua orang suka dipuji. Maka lahirlah ramai manusia pengampu, pelakon, hipokrit, yang hanya tahu menggunakan orang lain untuk kepentingan tertentu. Depan cakap lain belakang sudah pastinya lain.

12. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas apa yang kalian katakan tentang aku. Walau pun aku begini, aku ikhlas, tapi biarlah hanya Allah yang tahu. Aku minta maaf kalau ada tutur kata dan perbuatan aku yang menyinggung hati dan perasaan kalian. Kerana aku juga manusia yang ada hati dan perasaan serta akan juga membuat salah dan berdosa. AKU BUKAN MAKSUM.

Tuesday, May 4, 2010

Integriti Amalan Kita

Apa la ente cakap itu macam, ente polisi mesti jaga keamanan bukan bagi rusuhan. Ente musti baik2 cakap. Sekali ana rejam sama ini batu, pecah ente punya kepala!

1. Itulah antara dialog dalam salah satu babak cerita Ahmad Albab. Dialog itu diucapkan oleh Syawal (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) sewaktu memarahi polis yang bertindak kasar memanggil ‘birasnya’ dengan gelaran ‘unta’!

2. Waktu itu lagi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dah pesan, kuasa, amanah, tugas dan tanggungjawab yang dikurniakan tak boleh disalah guna.

3. Polis sepatutnya menjalankan tugas mengikut saluran undang-undang dan tak boleh bertindak di luar batasan.

4. Saya setuju, kekerasan perlu digunakan ke atas penjenayah, kerana walau pun penjenayah juga manusia, tapi inilah manusia yang memilih untuk jadi manusia luar biasa, iaitu luar biasa jahat dengan merompak, menyamun, mencuri, membunuh dan lain-lain bentuk keganasan.

5. Menurut Prof. Madya Dr Posiah Mohd Isa, dalam etika kepolisian. Kekerasan adalah jalan terakhir yang boleh digunakan oleh polis setelah semua usaha atau kaedah lain sebagai alternatif telah digunakan dalam menjalankan tugasan.

6. Ini tepat sekali. Sewaktu negara dikejutkan dengan era reformasi pada penghujung tahun 1990an, polis juga sering disalahkan apabila dilihat menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan dan reformis jalanan. Sewaktu itu, teguran dari pelbagai pihak termasuk Suhakam ke atas polis telah sedikit sebanyak memberikan informasi kepada rakyat tentang kekerasan.

7. Kekerasan atau police brutality bukan perkara baru dan bukan isu nasional yang hanya berlaku di Malaysia. Di luar negara isu ini juga tidak sunyi dari diperkatakan. Pada saya, ia juga berkait rapat dengan persepsi. Jika persepsi melihat polis melakukan tugas dengan kekerasan, maka kekerasanlah yang berlaku. Tapi jika dilihat polis seharusnya bertindak dengan apa cara sekali pun untuk menjalankan tugas, maka ia hanya sebagai salah satu dari kaedah dalam polis menjalankan tugas.

8. Saya yakin, seperti juga lain-lain profesion, polis juga ada kod etika mereka yang perlu dipatuhi dalam menjalankan tugas. Polis yang baik pasti akan patuh pada ketetapan ini.

9. Bagi yang tak patuh, itu adalah sebahagian dari penjawat awam yang ingkar. Bukan sahaja polis tapi lain-lain kumpulan penjawat awam pun ada yang tidak patuh. Maka mereka ini perlu diambil tindakan. Bak kata pepatah, marahkan nyamuk janganlah kelambu dibakar. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Beri peluang kepada polis yang baik untuk menjalankan tugas dan kita ambil tindakan pada mereka yang tidak melaksanakan tugas dengan betul.

10. Cuma, kita khuatir ada amalan tidak baik cuba dibawa dalam menjalankan tugas. Contohnya mereka-reka pernyataan atau cerita untuk menutup kejadian yang dilihat boleh menjejaskan kepentingan pihak tertentu. Ini bukan satu tindakan yang bijak!

11. Bukankah kita perlu berkata benar walau pun pahit? Dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam, kepentingan perkhidmatan perlu diutamakan. Apabila kepentingan perkhidmatan melebihi kepentingan peribadi atau lain-lain kepentingan, maka kepentingan perkhidmatan perlu diberikan keutamaan.

12. Percayalah, polis sedia berkhidmat dan mereka berkhidmat dengan penuh integriti seperti motto pada lencana mereka, “INTEGRITI AMALAN KITA”.

Monday, May 3, 2010

Mengubati Hati Sesetengah Doktor di Malaysia

# Gambar Hiasan

1. Saya amat bersetuju apabila Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengatakan “walaupun ganjaran agak rendah berbanding Singapura, mereka perlu bangga berkhidmat di negara sendiri,” bilamana beliau merujuk kepada ramai lulusan perubatan UKM ‘lari’ bekerja di Singapura (Utusan Malaysia, 4 Mei 2010).

2. Ini merujuk kepada tarikan dari segi kewangan apabila sebagai doktor pelatih di Singapura, mereka ditawarkan gaji pokok $2,690 dolar Singapura (RM6,187) manakala doktor pelatih di negara ini dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dengan RM1,000 sebulan.

3. Saya mempunyai beberapa rakan dan kenalan yang bertugas sebagai doktor di negara ini. Majoriti yang saya kenal adalah rakan-rakan dari keturunan Melayu dan juga beberapa kenalan baik saya dari bangsa lain.

4. Tugas sebagai doktor sangat mulia. Tidak cukup dengan itu, doktor dilihat sebagai ikon manusia pintar. Sememangnya mereka yang jadi doktor ini orang yang cemerlang dari segi akademik sejak di bangku sekolah lagi.

5. Pengajian perubatan memang mencabar dan menuntut pengorbanan seorang manusia untuk menjadi seorang siswazah perubatan yang tidak sama cara hidupnya dengan lain-lain bidang pengajian. Sewajarnya mereka diberikan gaji yang lumayan kerana hasil penat lelah belajar dan risiko yang diambil dalam tugas sebagai seorang doktor. Perkhidmatan yang diberi adalah juga satu tanggungjawab sosial dan khidmat kemasyarakatan yang sangat dipandang tinggi.

6. Namun begitu, terdapat sesetengah doktor dan ingin saya tegaskan sekali lagi, terdapat sesetengah doktor yang menjadi doktor hanya kerana aspek kewangan semata-mata. Ini hasil pemerhatian saya kepada sesetengah doktor dalam perkhidmatan kerajaan. Mereka menyertai perkhidmatan kerajaan kerana hanya dengan cara itu mereka dapat mengambil pinjaman perumahan pada amaun yang tinggi tapi pada kadar faedah yang paling minimum. Dengan banyak masa lapang dalam kehidupan harian, peluang untuk membuat locum di klinik swasta selepas waktu kerja biasa memberikan nilai pendapatan tambahan. Mereka menjadi doktor kerana itulah caranya yang paling cepat untuk mereka boleh membeli kereta mewah. Ini hanya pandangan saya, sesiapa sahaja boleh untuk tidak bersetuju atas apa juga sebab.

7. Sesetengah doktor ni, saya tegaskan lagi sesetengah mereka bukan kisah sangat tentang khidmat sosial, sumbangan kemasyarakatan dan lain-lain tapi hanya mementingkan aspek kewangan semata-mata. Pada mereka, dulu mereka ni dah belajar susah, dah berkorban waktu belajar dengan meninggalkan pelbagai perkara dalam kehidupan maka sekarang masa untuk mereka menikmati hidup!

8. Tidak keterlaluan untuk saya katakan ada di kalangan doktor yang saya kenal mengatakan mereka hanya berpura-pura mesra dan senyum di hadapan pesakit, tapi sebenarnya bukanlah nak sangat memberikan perkhidmatan yang mesra. Malah, ada yang mengaku telah dilatih untuk menjadi begitu.

9. Sewaktu saya belajar ilmu etika dulu, Prof Madya Dr Posiah Mat Isa pernah mengatakan bahawa seorang doktor lebih berbahaya dari seorang peguam. Peguam hanya berkemungkinan untuk menipu, tetapi doktor bukan sahaja boleh menipu tetapi juga boleh membunuh! Memang ada kebenarannya.

10. Tak salah jika seorang doktor tu mahu mencari pendapatan lebih. Akan tetapi, berpada-padalah. Bukankah kedudukan tinggi dalam masyarakat yang diberikan kepada seorang doktor itu sudah merupakan satu status yang cukup membanggakan?

11. Segala-galanya terletak di hati budi doktor itu juga. Kalau menjadi doktor untuk mengumpul duit menjadi jutawan, menikmati kereta mewah, kehidupan di rumah mewah, memberi tanah atau kebun berpuluh-puluh ekar, maka mereka akan dapat itu semua jika usaha dan keringat semata-mata untuk itu.

12. Tapi saya percaya, masih ada doktor yang menjadi doktor untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat. Kerana menghargai ilmu perubatan yang berasal dari kemasyhuran ilmuan Islam, Ibnu Sinar. Bukan semua doktor itu hipokrit dan mata duitan, sama juga dengan profesion lain. Pokok pangkalnya niat. Niat yang ikhlas datang dari hati nurani yang ikhlas. Kalau hati ikhlas, perbuatan, hubungan baik dengan kawan, pekerjaan, ibadah, atau apa sahaja pun akan dipermudahkan oleh Allah SWT, dan lebih penting ia akan diberkati.

RUJUKAN UTAMA:
Ramai lulusan perubatan UKM ‘lari’ bekerja di Singapura

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
saiful.sahak@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati semakin ramai siswazah perubatannya ditawarkan kerajaan Singapura untuk berkhidmat di hospital negara itu dengan tahun ini sahaja seramai 20 orang telah berbuat demikian.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, dijangkakan seramai 80 lagi akan mengikuti jejak kumpulan itu dan jika ini berlaku ia pasti merugikan negara yang mengeluarkan peruntukan besar membiayai universiti awam.
Sehubungan itu, beliau meminta siswazah perubatan UKM mengutamakan semangat nasionalis dengan berbakti kepada rakyat negara ini dan bukannya mengejar tawaran gaji lumayan di negara asing.
“Setakat ini 20 daripada 209 siswazah perubatan UKM yang tamat pengajian pada 26 Mac lalu telah menerima tawaran dari kerajaan Singapura dan menjangkakan seramai 80 lagi akan turut berkhidmat di negara itu.
“Sebagai doktor pelatih di Singapura, mereka ditawarkan gaji pokok $2,690 dolar Singapura (RM6,187) manakala doktor pelatih di negara ini dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dengan RM1,000 sebulan.
“Walaupun ganjaran agak rendah berbanding Singapura, mereka perlu bangga berkhidmat di negara sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Asia Pasifik Sains Pertuturan, Bahasa dan Pendengaran anjuran Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan UKM di sini hari ini.

Monday, April 26, 2010

Kenapa Orang Buat Kelakar?



1. Apa jawapan mungkin jika saya tanya, kenapa orang buat kelakar?

2. Buat kelakar atau lebih senang disebut buat lawak adalah ungkapan yang semakin popular di Malaysia hari ini. Semakin popular apabila martabat lawak diangkat menerusi rancangan realiti tv popular Raja Lawak.

3. Sejak dulu sebelum adanya Raja Lawak kita memang tak pernah sunyi dari pelawak yang menghiasi dunia seni negara. Malah seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh juga adalah salah seorang warga seni dalam aliran lawak sungguh pun Allahyarham boleh dikatakan seorang seniman versatile, tetapi lakonannya lebih terkesan dalam genre komedi. Selepas itu sampai kepada era AR Badul, kemudian Mr. Os. Mereka ini juga membawa genre lawak dalam karya seni. Lebih dari itu dunia lawak berevolusi ke era kegemilangan Senario yang dicungkil bakat mereka dan beberapa pelawak tanah air melalui Sinaran Pasport Kegemilangan. Timbul pula Saiful Apek yang menyerlah hingga tenggelam seketika rakan-rakan Senario mereka. Sampai satu ketika filem Melayu tak boleh jual kalau Saiful Apek tak berlakon dan fenomena Apek memberi kekayaan berterusan kepada produser filem seperti David Teo, KRU dengan Cicakman dan banyak lagi. Sekarang ni zaman beralih kepada Nabil, tunggulah saat kebangkitan Sepah dan Kecik selaku pendatang baru.

4. Wah, saya boleh mengulas dengan baik berkaitan dunia seni lawak negara!

5. Kita tinggalkan ulasan itu. ia menarik untuk saya ulas lebih lanjut tapi mungkin di lain siri. Berbalik kepada soalan asal saya di atas, kenapa?

6. Kita boleh katakan sebabnya yang utama ialah untuk menghiburkan orang ramai. Untuk memberikan hiburan santai yang mencuit hati kepada orang ramai. Lawak sebagai terapi nak memberi ketenangan. Buat lawak sebab ada bakat berlawak, nak ketengahkan bakat baru lawak yang orang tak pernah tengok dan macam-macam lagi.

7. Satu perkara yang jarang kita fikir dan telusuri ialah persoalan “kenapa” dari kaca mata si pembuat lawak.

8. Saya tak hairan kalau majoriti menganggap orang yang buat kelakar ni sebagai oarang yang tak tahu malu, orang tak hati kering dan tak de perasaan. Sebab dunia dia hanya tahu buat kelakar sahaja. Lawak sahaja!

9. Kita sangka orang kelakar ni hidupnya siang malam hanya melawak dan tak kering gusilah orang di sekelilingnya bergelak tawa.

10. Betul ke?

11. Cuba kita perhalusi kehidupan orang-orang kelakar ni. Cuba kita perhatikan kehidupan peribadi mereka. Betul ke bagai disangka?

12. Sebenarnya, saya berani gerenti yang kehidupan mereka yang kita sifatkan sebagai orang kelakar ni jauh berbeza dari lawak mereka. Jangan tak percaya, si pelawak ni sebenarnya adalah orang-orang yang ada “split personality”.

13. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, lebih kelakar lawaknya, lebih hebat cabaran kehidupan yang dilalui oleh orang tu. Cubalah anda perhalusi hari ni kalau tak percaya?

14. Saya nak beri jawapan kepada persoalan saya di awal tadi. Orang melawak sebab nak sembunyikan keresahan dan masalah yang melanda. Lebih hebat masalah atau cabaran yang dihadapi maka lebih kelakar lawaknya.

15. Kuasa Allah maka besar, ada sekumpulan manusia yang diberikan kelebihan untuk menyalurkan kerunsingan dan rasa bermuram durja mereka untuk disembunyikan dalam lawak dan perbuatan kelakar yang menjadi perhatian ramai.

16. Ya, perhatian. Itulah yang sebenarnya dimahukan. Masalah dan cabaran hidup yang terlalu mendesak akan membuatkan dia gila kalau memikirkannya siang dan malam. Tapi bila buat kelakar nanti, orang akan beri perhatian. Siapa yang tak suka lawak kan? Itu lah yang akan membantu dia melupakan masalah hidupnya.

17. Saya tahu jawapan ini hasil pemerhatian kepada hidup yang saya lalui dan pengalaman bersama rakan-rakan. Saya begitu dan rakan-rakan saya juga begitu.

18. Kita tak tahu di sebalik sifat lawak seolah-olah tak de masalah tu, seseorang tu mempunyai sisi kehidupan yang sangat mencabar dan tak terjangkau dek pemikiran biasa kita.

19. Sekadar mengimbau satu contoh, lihatlah Arwah Mior Ahmad Fuad atau Din Beramboi. Siapa boleh lupa aksinya dalam rancangan Spontan, yang paling giler dan hiperaktif. Sawancara di ERA? Aksi di Wuhai Beramboi dan lain-lain rancangan di mana Arwah muncul. Tapi kita tak tahu di rumah, Arwah seorang yang serius, seorang bapa yang tegas dengan anak-anaknya. Ini yang saya sebut “split personality”. Semua ini hanya didedahkan kepada umum bila Arwah sudah pergi meninggalkan kita.

20. Ada di kalangan mereka ni datangnya dari keluarga yang bermasalah; ibu bapa bergaduh atau bercerai-berai, konflik adik-beradik, dihimpit kehidupan yang tidak kondusif di rumah, masalah peribadi; konflik diri, dipandang hina kelompok masyarakat, mempunyai masalah kesihatan; menahan sakit dan tak mahu memikirkan tentang penyakitnya dan banyak lagi masalah yang tak dapat kita bayangkan.

21. Ketahuilah, pilihan untuk menjadi seorang yang kelakar kadangkala bukan datang secara pilihan seperti kita membuat keputusan sama ada nak menyertai Raja Lawak atau tidak? Berilah sedikit penghormatan selain dari perhatian kepada golongan ini.

22. Jika ada kesempatan, cubalah dalam isi hati mereka. Mungkin mereka juga perlukan kawan, kawan sejati dan bukan sekadar perhatian. Sifat kelakar itu akan terus kekal pada diri seseorang selepas masalahnya selesai, itu pasti.

23. Jangan sampai kita terlambat untuk memahami seseorang yang kita sangka tiada perasaan, tapi hatinya meruntun dengan pelbagai masalah yang menyentuh perasaan kita.

24. Sebab itu penting untuk menilai kehidupan dari mata hati. Adakah kita tahu menggunakan mata hati?

Friday, April 23, 2010

Nilai Sekeping Questionnaire

1. Apakah “questionnaire”?

2. Questionnaire atau disebut juga sebagai borang soal selidik adalah instrumen dalam penyelidikan. Ia digunakan untuk mengutip data bagi menjalankan sesuatu kajian. Ada pelbagai bentuk questionnaire, pelbagai format, pelbagai warna, pelbagai cara yang dipelbagaikan supaya instrumen penyelidikan ini menarik untuk dijawab.

3. Apa pun, questionnaire mengandungi set soalan yang terdiri dari kayu ukur setiap angkubah yang ingin dikaji. Soalan yang ditanya boleh jadi dalam bentuk positif atau negatif.

4. Ada ketikanya, kita tak terfikir apakah angkubah yang boleh diukur oleh sesuatu questionnaire. Hanya pengkajinya sahaja yang tahu. Itulah hebatnya ilmu manusia kalau dimanfaatkan

5. Saya mengenali questionnaire sejak di bangku sekolah lagi.

6. Sejak di sekolah, saya diminta mengisi questionnaire. Pastinya pada ketika itu saya menjadi sebahagian dari sampel penyelidikan yang menjadi minat pengkaji.

7. Seingat saya sejak di bangku sekolah jugalah saya pening kepala setiap kali menjawab soalan questionnaire. Terutama jika diminta menentukan jawapan berdasarkan skala Likert bilamana ia berkaitan dengan pandangan saya untuk mengukur sesuatu isu, peristiwa, pengalaman atau ap sahaja.

8. Akan tetapi, sejak dulu hingga kini jarang sekali saya menghampakan pihak yang meminta saya mengisi questionnaire tersebut. Walau pening menjawab akan saya sudahinya jua. Dalam zaman ICT ni, dah ada pula questionnaire yang dihantar melalui email.

9. Kadang kala ada questionnaire yang terlalu panjang hingga mengambil masa yang lama untuk diisi. Tapi saya akan sudahi juga. Ada pengkaji yang bermurah hati akan beri hadiah atau sagu hati (pen, pensel, gula-gula dan macam-macam lagi).

10. Kerana saya faham usaha, penat dan lelah pengkaji dalam menyediakan questionnaire tersebut. Ada yang berhajat membuat penyelidikan, ada yang sekadar menjalankan tinjauan, lebih kasihan kalau ia bagi tujuan tesis pengajian sarjana atau PhD.

11. Saya menghargai mereka, susah payah membuat questionnaire. Isi sajalah.

12. Akan tetapi rupa-rupanya saya dimaklumkan oleh beberapa rakan yang bekerja sebagai pensyarah, di Malaysia ini memang sukar kalau nak mengharapkan questionnaire diisi dan dikembalikan. Kadar pemulangan questionnaire sangat rendah

13. Malahan, kalau penyelidikan itu dibuat dalam universiti sekali pun belum tentu kita akan dapat pemulangan yang tinggi. Kenapa yer?

14. Saya pernah melalui pengalaman ini dan nyata sekali ia benar. Ada pensyarah yang bercerita kepada saya, dari 3000 questionnaire yang diedar, hanya 500 kembali. Ada pula dari 2000 yang diedar dan disertakan sampul surat berserta setem untuk dikembalikan, hanya 21 kembali. Pengalaman saya, questionnaire saya disertakan dengan gula-gula mentos sebagai sagu hati berserta sampul surat kosong bergam, mentos hilang sampul pun hilang, tapi questionnaire kosong sahaja yang dikembalikan! Hehehe…

15. Kenapa kita tak melihat sumbangan kita sebagai sampel dalam penyelidikan bakal memberikan kesan kepada dunia, atau setidaknya kepada kehidupan ?

16. Susah sangat ke nak memberi sokongan? Sampai bila kita nak berada di tahap ini dan bilakah agaknya pemikiran dan persepsi masyarakat kita terhadap questionnaire akan berubah?

17. Saya teringin nak buat penyelidikan, kenapa orang kita tak nak isi dan kembalikan questionnaire yang diedar serta cara bagaimana nak mengubah persepsi masyarakat kita dalam hal ni. Ia penyelidikan yang baik.

18. Tetapi, saya bimbang nanti questionnaire saya tak dikembalikan pula?

Monday, March 1, 2010

Adiwira Dalam Kepimpinan Politik Malaysia




1. Kadang kala ada terkesan di hati dengan kehebatan adiwira dalam filem atau cerita-cerita aksi yang kita tonton sejak zaman kanak-kanak.

2. Walau pun adiwira itu banyak lahir dari pengaruh barat, tiap satunya datang dengan hikmat dan imej yang membuatkan kita terkesima dan memuja kehebatannya. Hari ini di negara kita sudah muncul watak adiwira tempatan melalui filem dan karya tempatan seperti Cicakman, Pepaya, Kapten Kitt, Captain Boleh dan ramai lagi. Zaman berubah, tapi konsep ini masih sama. Zaman dulu, watak Hang Tuah lima bersaudara, Badang dan lain-lain menjadi minat mengikut zaman.

3. Tak semua adiwira boleh bertahan menjadi pujaan. Ada juga adiwira yang wataknya dimatikan dalam cerita atau hikmat mahu pun kuasanya pudar. Namun adiwira pujaan atau pilihan boleh saling berganti. Mungkin saya lebih meminati Superman pada zaman kanak-kanak, tapi kini lebih berminat dengan Cicakman atas dasar patriotik dan sebagainya. Pokoknya, kita ada sebab dan tujuan untuk sesuatu perkara.

4. Begitu juga dengan politik negara kita. Pemimpin datang dan pergi tapi konsep pemimpin-pengikut masih sama. Di mana ada pemimpin, pasti ada pengikut yang menzahirkan bahawa pemimpin itu punya pengaruh untuk dia diberikan kuasa yang bersifat legitimasi.

5. Apabila pembangkang berjaya menguasai lima negeri pada PRU12 lalu, konsep adiwira ini antara analogi yang boleh membantu analisa dan kefahaman. Pimpinan kerajaan dilihat lemah, tidak bermaya, dikongkong oleh sanak saudara terdekat dalam masa yang sama isu nasional seperti kenaikan harga minyak dan barang keperluan, kadar jenayah yang meningkat dan rasuah serta salah guna kuasa terus berleluasa. Sedangkan pembangkang menghidangkan pilihan dan tawaran lebih baik dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat lebih bersih dan mampu melaksanakan tugas dengan amanah dan berkhidmat untuk rakyat sebagai ‘adiwira’ baru menggantikan adiwira sekarang yang semakin kehilangan hikmat dan kesaktian kuasanya!

6. Terbukti, ia berjaya di lima negeri.

7. Maka, kalau negeri tersebut mahu di tawan kembali konsep adiwira adalah kaedah paling sesuai dalam pertarungan persepsi untuk memenangi hati rakyat (battle of perception among the rakyat). Hal yang sama juga jika pembangkang mahu melebarkan sayap ke negeri-negeri lain pada PRU13 nanti. Tak perlu cantas mencantas atau membunuh korektor pemimpin sedia ada. Rakyat sudah bijak dan bimbang perbuatan itu akan memakan diri sendiri (back fired) dan hanya meningkatkan jumlah pengunjung di youtube!

8. Hari ini salah sebuah negeri yang dirampas oleh pembangkang sedang hangat dengan krisis kepimpinan. Ketua Menteri diserang dari luar dan dalam. Dikaitkan dengan pelbagai ketidakcekapan dan isu. Sejauh mana ia benar, sukar dipastikan kalau hanya bersandar pada media arus perdana kerana kenyataan dalam media alternatif menafikan. Apa yang pasti seorang demi seorang keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas.

9. Kita berharap mereka ini bercakap benar supaya rakyat tidak keliru. Kalau boleh dianalogikan, isu yang mereka ingin jelaskan ibarat satu gelas yang di dalamnya hanya ada separuh air. Satu pihak menegaskan dengan pelbagai dalil dan fakta bahawa gelas tersebut hanya separuh berisi air tetapi separuh lagi kosong. Satu pihak lagi menafikan dengan menyatakan bahawa gelas itu lebih tepat separuh kosong tetapi separuh lagi berisi air. Kedua-dua kenyataan itu benar. Akan tetapi, biarlah rakyat dihidangkan dengan fakta yang mampu mempengaruhi kepercayaan mereka kepada salah satu dari pernyataan itu dan pernyataan manakah yang mampu menambat hati mereka. Itulah yang kita harapkan.

10. Salah seorang wakil rakyat yang baru mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas hari ini pada saya mempunyai kredibiliti untuk menjadi pemimpin yang baik. Dengan penampilan bersahaja dan kemampuan meyakinkan pengikut, dia mungkin adiwira yang dicari-cari bagi mengisi watak Ketua Menteri?

11. Akan tetapi kredibiliti harus dibina bermula dari sekarang. Kredibiliti itu pula tidak harus hanya bersandar pada wibawa palsu. Ketua Menteri dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja. Mampukah beliau yang begitu hebat mengkritik kepimpinan Ketua Menterinya mempamerkan kesungguhan untuk bekerja dengan lebih kuat. Bukan sekadar itu, perlu dilihat lebih telus, lebih bersih, lebih beriman, lebih adil dan memperjuangkan kepentingan semua kaum tanpa hanya melaungkan manifesto yang pelbagai untuk menjadi janji-janji manis. Fungsi den kedudukan sebagai wakil rakyat yang beliau miliki sekarang adakah sudah dimanfaatkan dengan efektif bagi memastikan kepentingan rakyat di kawasannya telah diperjuangkan? It baru satu kawasan, kalau jadi Ketua Menteri perlu tengok satu negeri.

12. Boleh ker?

Friday, February 19, 2010

Persoalan Kepada Yang Mempersoalkan

1. Persoalanya apa?

2. Persoalan hanya boleh timbul jika ada jawapan yang bakal memuaskan persoalan. Siapa yang bakal memberi jawapan? Terpulang pada persoalan.

3. Ada persoalan yang memerlukan jawapan, tindakan, huraian dan lain-lain yang datangnya dari pihak ke tiga. Namun ada persoalan yang perlu dirungkai sendiri oleh mereka yang mempersoalkan!

4. Kenapa?

5. Sebab memang begitu.

Tuesday, January 26, 2010

Raja Lawak Musim ke Empat, Menyengat atau Disengat?




1. Semakin ada yang tak kena dengan format pengurusan Raja Lawak ke empat (RL4) musim ini.

2. Memang penentuan pemenang dan yang terkeluar setiap minggu ditentukan oleh pengundi melalui SMS. Itulah format rancangan realiti tv di Malaysia. Usah kita persoalkan tentang format tersebut yang seakan sudah boleh diterima umum.

3. Bila WILI terkeluar pada minggu ke empat, sedangkan ramai peserta lain yang lebih ‘bodoh’ lawaknya menampakkan kesudahan yang semakin tidak meyakinkan.

4. Saya sebagai peminat rancangan hiburan suka untuk memberikan pandangan peribadi melalui pemerhatian dan penilaian saya.

5. RL4 memuatkan nama-nama besar seperti Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki sebagai tunjang. Bob Lokman yang versatile dalam dunia hiburan tanah air sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Berpengalaman menaikkan kumpulan Wings, menulis lirik-lirik lagu yang menjadi lagenda halwa telinga, mengacara dengan bersahaja di samping sebagai event manager adalah sebahagian dari diri Bob Lokman. Tak dapat kita nafikan lawak psycho-humor Din Beramboi yang penuh kontroversi sejak dari awal pembabitan. Dia sendiri pernah menjelaskan dalam salah satu minggu di RL4 sewaktu memberi kritikan bahawa dulu orang pernah menganggapnya gila. Bermula sebagai kartunis, berkebolehan membuat animasi dan voice over, berlakon bernyanyi dan berlawak bukan asing bagi Din Beramboi yang kini dipasangkan bersama Aznil sebagai penyampai radio ERA dalam segmen pagi di ERA. Siapa yang tidak suka kepada Afdlin? Ibarat mempunyai sentuhan emas, pengarah terkenal filem komedi tanah air ini sering tampil dengan pendekatan di luar kotak pemikiran dan menghasilkan filem berkualiti dengan strategi lautan biru. Mana ada filem Afdlin yang dilakoni atau diarahkan olehnya tidak berjaya?

6. Tapi sayang, dari pemerhatian saya peranan mereka dalam RL4 sangat terhad. Terutamanya dari aspek bimbingan kepada peserta sewaktu di rumah penginapan. Selain memberi tema tugasan, bimbingan supaya idea dikembangkan melalui persembahan sangat terhad.

7. Ini melalui pemerhatian saya melalui Ceritera RL. Peserta diminta memikirkan sendiri konsep persembahan berdasarkan tema mingguan yang ditugaskan.

8. Sepatutnya RL4 mempunyai tenaga pengajar sepenuh masa yang mampu memberi tunjuk ajar dan bimbingan. Boleh la ikut format ala-ala Akademi Fantasia kalau tak sepenuhnya pon sebahagiannya lah kan?

9. Apa yang saya nampak Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki terlalu memberikan penekanan kepada aspek kritikan atau komen persembahan. Sedangkan apa yang dikritik kena pada batang hidung mereka sendiri. Kerana, merekalah yang memberikan tema tugasan setiap minggu!

10. Saya percaya ramai yang tak mahu nanti di sebalik Bob, Din dan Afdlin yang merupakan nama besar di sebalik karya lawak tanah air disifatkan gagal menjayakan RL4. Mereka sewajarnya memberikan penekanan kepada aspek transformasi peserta melalui persembahan mantap setiap minggu. Janganlah nanti bila RL4 berakhir orang mengaitkan nama besar mereka dengan RL4 yang hambar.

11. Mungkin peranan sebagai pembimbing dan pengkritik sudah tidak sesuai buat mereka dalam RL4.

12. Untuk membetulkan keadaan ini, saya kira lebih banyak bimbingan perlu diberi kepada peserta. Mantapkan aspek rehearsal. Tumpukan kepada elemen lawak dalam penceritaan dan bukan penceritaan yang membosankan.

13. Tontonlah filem Punchline lakonan Tom Hanks untuk lebih memahami aspek idea, penceritaan dan lawak yang berkualiti. Saya yakin dengan fokus dan kesungguhan, RL4 mampu menyengat kerana barisan peserta yang masih tinggal hebat-hebat belaka.

14. Untuk Raja Lawak akan datang, mungkin ASTRO perlu memikirkan untuk melantik seorang Pengetua Akademi Raja Lawak dan krew tenaga pengajar secukupnya.

15. Kah kah kah……………………………….