Friday, May 21, 2010

Kecil Hati

1. Sesetengah orang dia tak peduli hati dan perasaan orang lain.

2. Bagi sesetengah orang, dia rasa dia hanya bergurau walau pun setelah melukakan hati dan perasaan orang lain.

3. Bagi orang-orang tertentu pula, dia tak percaya bahawa semua orang ada hati dan perasaan.

4. Lebih dari itu, ada yang tak rasa dan perasan, akan ada orang yang terasa dan kecil hati dengan apa yang dilakukan.

5. Itulah manusia yang bernama manusia. Selagi manusia namanya manusia, begitulah. Ada juga yang tak sedar dirinya manusia. Soalnya, kita kena tahu bahawa setiap manusia ada hati dan perasaan.

6. Andaian kita belum tentu betul tentang hati dan perasaan orang.

7. Ada orang akan terasa bila dikata.

8. Ada orang akan terasa bila dikutuk.

9. Ada orang akan terasa bila dimaki.

10. Ada orang akan terasa bila disindir.

11. Tapi semua orang suka dipuji. Maka lahirlah ramai manusia pengampu, pelakon, hipokrit, yang hanya tahu menggunakan orang lain untuk kepentingan tertentu. Depan cakap lain belakang sudah pastinya lain.

12. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas apa yang kalian katakan tentang aku. Walau pun aku begini, aku ikhlas, tapi biarlah hanya Allah yang tahu. Aku minta maaf kalau ada tutur kata dan perbuatan aku yang menyinggung hati dan perasaan kalian. Kerana aku juga manusia yang ada hati dan perasaan serta akan juga membuat salah dan berdosa. AKU BUKAN MAKSUM.

Tuesday, May 4, 2010

Integriti Amalan Kita

Apa la ente cakap itu macam, ente polisi mesti jaga keamanan bukan bagi rusuhan. Ente musti baik2 cakap. Sekali ana rejam sama ini batu, pecah ente punya kepala!

1. Itulah antara dialog dalam salah satu babak cerita Ahmad Albab. Dialog itu diucapkan oleh Syawal (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) sewaktu memarahi polis yang bertindak kasar memanggil ‘birasnya’ dengan gelaran ‘unta’!

2. Waktu itu lagi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dah pesan, kuasa, amanah, tugas dan tanggungjawab yang dikurniakan tak boleh disalah guna.

3. Polis sepatutnya menjalankan tugas mengikut saluran undang-undang dan tak boleh bertindak di luar batasan.

4. Saya setuju, kekerasan perlu digunakan ke atas penjenayah, kerana walau pun penjenayah juga manusia, tapi inilah manusia yang memilih untuk jadi manusia luar biasa, iaitu luar biasa jahat dengan merompak, menyamun, mencuri, membunuh dan lain-lain bentuk keganasan.

5. Menurut Prof. Madya Dr Posiah Mohd Isa, dalam etika kepolisian. Kekerasan adalah jalan terakhir yang boleh digunakan oleh polis setelah semua usaha atau kaedah lain sebagai alternatif telah digunakan dalam menjalankan tugasan.

6. Ini tepat sekali. Sewaktu negara dikejutkan dengan era reformasi pada penghujung tahun 1990an, polis juga sering disalahkan apabila dilihat menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan dan reformis jalanan. Sewaktu itu, teguran dari pelbagai pihak termasuk Suhakam ke atas polis telah sedikit sebanyak memberikan informasi kepada rakyat tentang kekerasan.

7. Kekerasan atau police brutality bukan perkara baru dan bukan isu nasional yang hanya berlaku di Malaysia. Di luar negara isu ini juga tidak sunyi dari diperkatakan. Pada saya, ia juga berkait rapat dengan persepsi. Jika persepsi melihat polis melakukan tugas dengan kekerasan, maka kekerasanlah yang berlaku. Tapi jika dilihat polis seharusnya bertindak dengan apa cara sekali pun untuk menjalankan tugas, maka ia hanya sebagai salah satu dari kaedah dalam polis menjalankan tugas.

8. Saya yakin, seperti juga lain-lain profesion, polis juga ada kod etika mereka yang perlu dipatuhi dalam menjalankan tugas. Polis yang baik pasti akan patuh pada ketetapan ini.

9. Bagi yang tak patuh, itu adalah sebahagian dari penjawat awam yang ingkar. Bukan sahaja polis tapi lain-lain kumpulan penjawat awam pun ada yang tidak patuh. Maka mereka ini perlu diambil tindakan. Bak kata pepatah, marahkan nyamuk janganlah kelambu dibakar. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Beri peluang kepada polis yang baik untuk menjalankan tugas dan kita ambil tindakan pada mereka yang tidak melaksanakan tugas dengan betul.

10. Cuma, kita khuatir ada amalan tidak baik cuba dibawa dalam menjalankan tugas. Contohnya mereka-reka pernyataan atau cerita untuk menutup kejadian yang dilihat boleh menjejaskan kepentingan pihak tertentu. Ini bukan satu tindakan yang bijak!

11. Bukankah kita perlu berkata benar walau pun pahit? Dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam, kepentingan perkhidmatan perlu diutamakan. Apabila kepentingan perkhidmatan melebihi kepentingan peribadi atau lain-lain kepentingan, maka kepentingan perkhidmatan perlu diberikan keutamaan.

12. Percayalah, polis sedia berkhidmat dan mereka berkhidmat dengan penuh integriti seperti motto pada lencana mereka, “INTEGRITI AMALAN KITA”.

Monday, May 3, 2010

Mengubati Hati Sesetengah Doktor di Malaysia

# Gambar Hiasan

1. Saya amat bersetuju apabila Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengatakan “walaupun ganjaran agak rendah berbanding Singapura, mereka perlu bangga berkhidmat di negara sendiri,” bilamana beliau merujuk kepada ramai lulusan perubatan UKM ‘lari’ bekerja di Singapura (Utusan Malaysia, 4 Mei 2010).

2. Ini merujuk kepada tarikan dari segi kewangan apabila sebagai doktor pelatih di Singapura, mereka ditawarkan gaji pokok $2,690 dolar Singapura (RM6,187) manakala doktor pelatih di negara ini dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dengan RM1,000 sebulan.

3. Saya mempunyai beberapa rakan dan kenalan yang bertugas sebagai doktor di negara ini. Majoriti yang saya kenal adalah rakan-rakan dari keturunan Melayu dan juga beberapa kenalan baik saya dari bangsa lain.

4. Tugas sebagai doktor sangat mulia. Tidak cukup dengan itu, doktor dilihat sebagai ikon manusia pintar. Sememangnya mereka yang jadi doktor ini orang yang cemerlang dari segi akademik sejak di bangku sekolah lagi.

5. Pengajian perubatan memang mencabar dan menuntut pengorbanan seorang manusia untuk menjadi seorang siswazah perubatan yang tidak sama cara hidupnya dengan lain-lain bidang pengajian. Sewajarnya mereka diberikan gaji yang lumayan kerana hasil penat lelah belajar dan risiko yang diambil dalam tugas sebagai seorang doktor. Perkhidmatan yang diberi adalah juga satu tanggungjawab sosial dan khidmat kemasyarakatan yang sangat dipandang tinggi.

6. Namun begitu, terdapat sesetengah doktor dan ingin saya tegaskan sekali lagi, terdapat sesetengah doktor yang menjadi doktor hanya kerana aspek kewangan semata-mata. Ini hasil pemerhatian saya kepada sesetengah doktor dalam perkhidmatan kerajaan. Mereka menyertai perkhidmatan kerajaan kerana hanya dengan cara itu mereka dapat mengambil pinjaman perumahan pada amaun yang tinggi tapi pada kadar faedah yang paling minimum. Dengan banyak masa lapang dalam kehidupan harian, peluang untuk membuat locum di klinik swasta selepas waktu kerja biasa memberikan nilai pendapatan tambahan. Mereka menjadi doktor kerana itulah caranya yang paling cepat untuk mereka boleh membeli kereta mewah. Ini hanya pandangan saya, sesiapa sahaja boleh untuk tidak bersetuju atas apa juga sebab.

7. Sesetengah doktor ni, saya tegaskan lagi sesetengah mereka bukan kisah sangat tentang khidmat sosial, sumbangan kemasyarakatan dan lain-lain tapi hanya mementingkan aspek kewangan semata-mata. Pada mereka, dulu mereka ni dah belajar susah, dah berkorban waktu belajar dengan meninggalkan pelbagai perkara dalam kehidupan maka sekarang masa untuk mereka menikmati hidup!

8. Tidak keterlaluan untuk saya katakan ada di kalangan doktor yang saya kenal mengatakan mereka hanya berpura-pura mesra dan senyum di hadapan pesakit, tapi sebenarnya bukanlah nak sangat memberikan perkhidmatan yang mesra. Malah, ada yang mengaku telah dilatih untuk menjadi begitu.

9. Sewaktu saya belajar ilmu etika dulu, Prof Madya Dr Posiah Mat Isa pernah mengatakan bahawa seorang doktor lebih berbahaya dari seorang peguam. Peguam hanya berkemungkinan untuk menipu, tetapi doktor bukan sahaja boleh menipu tetapi juga boleh membunuh! Memang ada kebenarannya.

10. Tak salah jika seorang doktor tu mahu mencari pendapatan lebih. Akan tetapi, berpada-padalah. Bukankah kedudukan tinggi dalam masyarakat yang diberikan kepada seorang doktor itu sudah merupakan satu status yang cukup membanggakan?

11. Segala-galanya terletak di hati budi doktor itu juga. Kalau menjadi doktor untuk mengumpul duit menjadi jutawan, menikmati kereta mewah, kehidupan di rumah mewah, memberi tanah atau kebun berpuluh-puluh ekar, maka mereka akan dapat itu semua jika usaha dan keringat semata-mata untuk itu.

12. Tapi saya percaya, masih ada doktor yang menjadi doktor untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat. Kerana menghargai ilmu perubatan yang berasal dari kemasyhuran ilmuan Islam, Ibnu Sinar. Bukan semua doktor itu hipokrit dan mata duitan, sama juga dengan profesion lain. Pokok pangkalnya niat. Niat yang ikhlas datang dari hati nurani yang ikhlas. Kalau hati ikhlas, perbuatan, hubungan baik dengan kawan, pekerjaan, ibadah, atau apa sahaja pun akan dipermudahkan oleh Allah SWT, dan lebih penting ia akan diberkati.

RUJUKAN UTAMA:
Ramai lulusan perubatan UKM ‘lari’ bekerja di Singapura

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
saiful.sahak@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati semakin ramai siswazah perubatannya ditawarkan kerajaan Singapura untuk berkhidmat di hospital negara itu dengan tahun ini sahaja seramai 20 orang telah berbuat demikian.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, dijangkakan seramai 80 lagi akan mengikuti jejak kumpulan itu dan jika ini berlaku ia pasti merugikan negara yang mengeluarkan peruntukan besar membiayai universiti awam.
Sehubungan itu, beliau meminta siswazah perubatan UKM mengutamakan semangat nasionalis dengan berbakti kepada rakyat negara ini dan bukannya mengejar tawaran gaji lumayan di negara asing.
“Setakat ini 20 daripada 209 siswazah perubatan UKM yang tamat pengajian pada 26 Mac lalu telah menerima tawaran dari kerajaan Singapura dan menjangkakan seramai 80 lagi akan turut berkhidmat di negara itu.
“Sebagai doktor pelatih di Singapura, mereka ditawarkan gaji pokok $2,690 dolar Singapura (RM6,187) manakala doktor pelatih di negara ini dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dengan RM1,000 sebulan.
“Walaupun ganjaran agak rendah berbanding Singapura, mereka perlu bangga berkhidmat di negara sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Asia Pasifik Sains Pertuturan, Bahasa dan Pendengaran anjuran Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan UKM di sini hari ini.