Sunday, October 28, 2012

Kerja Budak Melayu

1. Pomen motosikal saya namanya Zainal.

2. Dulu Zainal bekerja sebagai pomen di sebuah bengkel motosikal di Ipoh. Kepakaran Zainal, termasuk motosikal berkuasa tinggi.

3. Zainal berpengalaman sebagai pomen di Singapura. Itu menjadikan beliau modal insan yang 'istimewa mutunya'.

4. Sekarang Zainal mengusahakan bengkel motosikal sendiri. Perniagaannya kecil, tapi jika dilihat, ia stabil.

5. Saya berdoa kepada Allah, semoga perniagaan Zainal maju jaya.

6. Tak ramai orang kita yang menceburi bidang ini, apatah lagi sebagai pengusaha bengkel yang memiliki bengkel dengan reputasi tersendiri.

7. Akan tetapi, setiap kali bersembang dengan dengan Zainal, sambil-sambil servis motosikal pasti topik tentang stafnya akan mengambil tempat.

8. Kata Zainal, budak Melayu sekarang 'susah' nak diajar. Kerja hanya untuk gaji, takde keinginan nak belajar. Tak boleh ditegur sikit, nak merajuk. Menjawab, ambil hati.

9. Saya akui, ada betulnya apa yang Zainal nyatakan.

10. Pada pemerhatian saya, staf Zainal silih berganti. Takde yang kekal lama. Bila diambilnya staf baru untuk bekerja, kena la tunjuk ajar dan latih semula.

11. Satu perkara yang saya sangat setuju dengan Zainal ialah, budak kita ni bila kerja dengan cina, mereka 'tahan maki!'. Ada betulnya, kalau dimarah oleh taukey cina di bengkel atas kesalahan yang dibuat, biasanya tak ambil hati. Tak kisah sangat. Esoknya tetap datang kerja, sengeh-sengeh pulak!

12. Tapi kalau taukey bengkel motosikal Melayu yang tegur, macam-macam akan dikaitkan. Dengan kata lain, tak boleh terima!

13. Itulah mungkin menjadi sebab kenapa bengkel Zainal silih berganti stafnya. Saya tertanya-tanya, kenapakah mereka itu tidak melihat Zainal sebagai seorang guru yang 'mendidik' anak muridnya tentang ilmu membaiki motosikal dengan apa juga kaedah, pendekatan atau tindakan?

14. Persoalan lain, adakah brangkali mereka merasakan hendak menjadi pomen sampai tua? Tidakkah berhasrat menjadi seperti Zainal yang pada awalnya menjadi pomen, tetapi kini memiliki bengkel sendiri dan mungkin nanti akan memiliki lebih banyak bengkel serta mungkin juga pusat jualan?

15. Wawasan.

16. Mungkin itulah yang hilang dari minda 'budak Melayu' kita sekarang!

17. Wallahuallam.

Tuesday, October 23, 2012

Memahami dan Minta Difahami


1. Ia pernyataan yang ringkas. Tentang dua keadaan vice versa.

2. Bergantung kepada situasi, siapa yang terlibat, kepentingan dan lain-lain. Ia adalah tentang baik atau buruk, untung atau rugi.

3. Saya yakin ini situasi popular dalam sebuah organisasi pekerjaan, ramai pernah melaluinya.

4. Bagaimana pengalaman bagi yang pernah merasainya?

5. Dalam kesibukan tugas di pejabat yg sedang bersedia menghadapi mesyuarat penting, seorang ketua mengharapkan komitmen 100% dari stafnya. Ia tentang persediaan terbaik. Ia tentang penelitian. Kesempurnaan tugas. Supaya laporan disiapkan dengan baik dan mesyuarat berjalan lancar tanpa masalah. Pada waktu yang sama, staf yang menjadi tunjang organisasi, yakni orang harapan si ketua mendapat perkhabaran tidak baik. Anaknya sakit, masuk hospital, nak kena jalani pembedahan. Ini menghalang komitmen dan tumpuan. Kerja penting, tapi soal kesihatan anak jauh lebih mustahak. Apatah lagi ia soal antara hidup dan mati.

6. Seorang ketua yang memahami akan berkata pada dirinya, ini satu bentuk ujian kepada dirinya, untuk melihat kehebatan kepemimpinan dalam mengendalikan tugas. Walau tanpa orang harapannya, kerja masih boleh diurus dengan baik. Biarlah staf itu, samada berjawatan pegawai, atau sekadar staf sokongan, menguruskan masalah kesihatan anaknya. Lagi pun, sebagai ketua di pejabat, tak pula ada kesempatan nak melawat sampai ke hospital. Apalah mahu bergantung harap kepada satu atau dua staf untuk membuat persediaan mesyuarat? Kerja boleh dilaksanakan oleh mana-mana staf, dengan syarat adanya good governance! Ini persoalan kecekapan memimpin senagai ketua organisasi.

7. Malang sekali, bagi ketua yang tidak memahami, rimas dan seram sejuk menyelubungi jiwa. Timbul lah persoalan, 'masa ni lah pulak anaknya nak sakit?'. Alasan apa ni? Bukankah kerja perlu diberi keutamaan? Kalau pun anaknya sakit sekarang, perlukah selamanya menunggu di hospital. Tiadakah saudara mara terdekat lain boleh membantu kerana tugas ini 'urgent and important'!

8. Seorang staf yang minta difahami akan berkata, ini soal keutamaan untuk memilih dan di mana harus berada? Mungkin kali ini ia soal antara hidup dan mati. Kerja memang penting, tapi soal kesihatan anak menjadi tanggungjawab ibubapa. Tak mahulah kerana salah percaturan, menyesal seumur hidup. Selamanya di pejabat, semua kerja disempurnakan dengan sebaik mungkin. Masakan dengan sekali ini, ada sebab yang jelas, maka orang lain tak boleh lakukan bagi pihaknya? Mesti si ketua faham keadaannya yang terdesak. Memerlukan perhatian untuk bersama si anak yang sakit, apatah lagi jika berperanan sebagai ketua keluarga dan anak dalam bilangan yang ramai?

9. Malang sekali, bagi staf yang tidak minta difahami, akan terus mengutamakan kerjanya. Kesempurnaan tugasnya adalah keutamaan hidup. Ya, anak sakit, penting........tapi kan ke ada si isteri atau adik beradik yang boleh membantu. Jika semua sudah tak pedulikan kerja, siapa nak bertanggungjawab jika organisasi lingkup? Barangkali staf dengan komitmen sebegini sudah hampir tiada lagi. Kalau ada pun, mungkin dari jenis yang ada tanggungjawab dengan anak dan isteri. Kerana jika sebegitu komitmennya pada kerja, pasti staf jenis ini meilih untuk tidak berumahtangga. Kerjayalah yang menjadi keluarganya!

10. Inilah antara karektor manusia dalam organisasi yang memahami dan minta difahami, serta keadaan disebaliknya.

11. Siapa pun kita. Sebagai ketua, pegawai atau sekadar staf sokongan, bukankah kerja keras dan rezeki yang dicari itu adalah untuk keluarga? Paling utama, untuk anak-anak yang sedang membesar, mahu kita berikan kehidupan yang lebih baik.

12. Korelasi wujud dalam memahami dan minta difahami, tetapi yang mana lebih signifikan tidak dapat dianalisa secara regresi.

13. Sebagai ketua atau staf, di mana harus keutamaan diletak kena pada tempatnya?

14. Sebagai ketua, untuk memahami dan sentiasa memahami terus menerus, bilakah pula giliran untuk ketua minta difahami oleh staf tentang keperluan organisasi dan melaksanakan tugas dengan beramanah? Memang ada dalam organisasi, staf yang tak habis-habis menipu dan mereka pelbagai alasan, semata-mata untuk menutup penyakit malas dan tidak amanah dalam tugas.

15. Sebagai staf yang minta difahami, perlukan untuk terus minta ketua memahami kita dan adilkah untuk kita ambil kesempatan tatkala bila ketua seorang yang baik, berkomitmen tinggi dan pentingkan kesempurnaan? Bukankah ada masanya, kita sebagai staf perlu memahami hasrat ketua yang mahu supaya kita menjadi staf yang lebih berakauntabiliti.

16. Persoalan iman dan mata hati yang bersandar semata-mata kerana Allah sahaja mampu mengurus permasalahan ini menjadi satu peluang yang tidak menjejaskan mana-mana pihak.

17. Keimanan dan ikhlas kerana Allah tidak akan membiarkan seorang ketua menjadi zalim dan tidak mahu memahami situasi stafnya dalam apa juga keadaan.

18. Keimanan dan ikhlas kerana Allah tidak akan membiarkan seorang staf menzalimi dirinya sendiri hingga sanggup menipu semata-mata kerana minta difahami dalam apa juga keadaan.

19. Perlukan hubungan timbal balas ini berterusan dalam sebuah organisasi secara turun temurun, merentas zaman?

20. Wallahuallam.


Monday, October 22, 2012

Aduhai Datuk Bandar 1Malaysia.............Prosedur Tu Tak Boleh Ke Dipermudahkan Tanpa Langgar Undang-Undang?

1. Sedih bila melihat berita rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam yang sedang diubahsuai, runtuh pada 18 Okt 2012 lalu.

2. Lebih mengharukan bila tahu ada pekerja binaan yang mati dan putus kami disebabkan kejadian tersebut.

3. Namun, jadi sakit hati pula bila Datuk Bandar Shah Alam dilaporkan oleh Buletin Utama, bahawa pemilik rumah tidak memohon membuat pengubahsuaian rumah dan kerja ubahsuai dianggap tidak sah serta pemilik rumah boleh di bawa ke mahkamah untuk tindakan.

4. Paling sakit hati kenyataan yang berbunyi, "permohonan ubahsuai boleh diluluskan dalam masa 24jam!".

5. Boleh blah!

6. Datuk Bandar ni betul ke? Cakap ikut buku ke ikut realiti.

7. Mungkin saya kurang pengalaman, tapi dari perbulan dengan rakan-rakan membeli rumah dan buat ubahsuai, proses nak mohon kebenaran ubahsuai tu sendiri pon banyak cabaran dan halangan.

8. Karenah birokrasi, yang kadang kala membuka peluang rasuah.

9. Ada rakan yang menunggu sehingga 7 bulan untuk dapat kelulusan pelan ubahsuai, hanya kerana ikut saluran betul, hantar ke pejabat tapi tak beri 'saguhati' kepada yang 'meminta'.

10. Berbalik kepada banglo Seksyen 7 tadi. Rumah tu sendiri dikatakan bernilai RM3 juta. Masakan pemiliknya tak mampu nak mohon kebenaran ubahsuai? Pasti ada sebab lain. Mungkinkah kerana banyaknya karenah dan prosedur yang menyusahkan, membuat orang ramai meluat nak berurusan?

Saturday, October 20, 2012

Anekdot

1. Saya mula 'berkenalan dengan sungguh-sungguh' perkataan Anekdot sewaktu membaca blog Prof Kamil Ibrahim.

2. Ada sesuatu tentang perkataan itu yang menarik perhatian saya.

3. Memang sejak bersekolah menengah di tingkatan 3, saya didik oleh guru Bahasa Melayu saya, Arwah Cikgu Amin untuk menggunakan perkataan-perkataan baru yang 'catchy'.

4. Tanpa membuang masa saya terus google, mencari maksud anekdot. Penjelasan yang paling mudah untuk difahami tentang maksudnya ialah;

"kisah yg ringkas dan biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian (peristiwa)"

5. Bertambah lagi tatabahasa saya.

6. Saya yakin bahawa penggunaan terminologi dan istilah terkini dalam perbualan, pembentangan dan penulisan kita sehari-harian terutama dalam urusan kerja, mampu memberikan impak yang lebih menarik.

7. Setidaknya, ia akan menarik perhatian sisi yang mendengar.

8 Mungkin inilah beza dan perbezaan kepada mereka yang mentelaah, membaca dan berfikir.

9. Kepada Allah saya bersyukur, kerana menggerakkan akal dan minda saya untuk berfikir, dan lebih dari itu, untuk menulis posting ini.

10. Semoga ia menjadi manfaat dan ilmu yang dipanjangkan kepada pembaca blog ini. Amin, Alhamdulillah.

Tuesday, October 16, 2012

Ragam dan Rencah Kehidupan

1. Sekali lagi nak saya tegaskan, Score Field adalah sebuah blog kehidupan dengan catatan pengalaman berdasarkan persepsi saya.

2. Ia bukan sebuah blog politik.

3. Niat asal saya menulis blog dulu pon ialah sebagai batu loncatan untuk menghasilkan sebuah buku. Tajuk buku dah ada dalam kepala. Permulaannya pun sangat jelas. Pertengahannya masih bercelaru. Cuma penghujungnya belum nampak.

4. Sebab Score Field bukan blog politik, ia agak sunyi dari posting.

5. Alahai, blog politik pun bukannya sarat dengan catatan dan idea. Banyak 'copy & paste' sahaja. Sekadar mengulas atau melebar luas jangkauan isu.

6. Score Field akan ada post terbaru, bila ada kesempatan untuk saya menulis. Tak mudah meluahkan isi minda ke bentuk tulisan, walau pun bayangan tulisan sentiasa menari-nari dalam hati sanubari.

7. Semalam ada beberapa kejadian yang mengusik jiwa. Tentang teguran ketua yang tak boleh diterima oleh seorang staf 'berpangkat'. Ibarat hilang arah, merata cerok dijaja cerita seolah mengadu. Kadang kala, ibarat mengadu domba. Kelakar pon ada. Manakan tidaknya, ketua menegur urusan kerja, tapi nampak gayanya tak boleh terima, sampai berhajat nak minta tukar ke Shah Alam. Emosinya! Kenapa tidak muhasabah diri? Bukankah teguran itu membina. Bukankah kalau ditegur itu bermakna ada yang tak kena? Jika kita betul, pasti ada hujah untuk menyokong. Ketua pun bukan sentiasa betul. Jika kita betul, dan ada hujah menyokong, Ketua pon boleh kita jelaskan dan akan menerima penjelasan berasaskan fakta yang betul. Tapi kalau tak mampu pertahankan diri. Maknanya betul la salah kita kan?

8. Semalam juga, seorang rakan seperjawatan dari Utara mengadu tentang pernyataan, "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Geli hati juga, tapi bila di amat-amati, menjadi geram pun ada. Masih berkisar tentang tugas, teguran dan ketua. Rakan saya ini mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan diri dari menjadi 'pak sanggup' kepada tugas yang diberikan kepadanya melangkaui garis bahagian di mana tugas hakiki sepatut menjadi keutamaan. Walhal dia dari bahagian yang berbeza. Tak puas hati. Masakan tidak, jadi pak sanggup hanya kerana orang lain dilihat tak sesuai untuk melakukan tugasan tersebut. Lalu rakan saya pergi menemui ketuanya yang tertinggi. Mengadu hal, minta simpati. Sebaliknya, pandangan ketua tidak seperti apa yang diharapkan. Lantas keluarkan pernyataan "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Memang ia kedengaran seperti satu amanah. Tapi ada juga betul telahan rakan saya. Tanggungjawab, biarlah kena pada tempatnya. Lebih-lebih lagi, sebagai penjawat awam, biarlah betul punca kuasanya.

9. Apa pun yang berlaku dalam rencah kehidupan bekerja, kita sepatutnya insaf akan satu perkara yang nyata. Tak lain tak bukan, bersyukurlah kepada Allah kerana kita masih ada kerja untuk dibuat, sebagai sumber rezeki.

10. Kerja yang baik dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan menjadi ibadat.

11. Kepada Allah kita berserah, semoga setiap pekerjaan yang kita lakukan mendekatkan diri kepada-Nya.

12. Setiap yang berlaku ada hikmah, kepada Allah kita memohon, agar hikmahnya menjadi sesuatu yang baik untuk kita. Wallahuallam.

Saturday, July 14, 2012

Golongan Moderat Dalam Kehidupan

(Terima kasih kepada Razak Idris, http://razak.wordpress.com/2012/02/17/siapakah-golongan-moderat/)

Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global atau Global Movement of Moderates yang berlangsung pada 1-19 Januari 2012 yang lalu memberi perspektif yang jelas tentang siapakah golongan moderat? ‘Moderat’ ialah kata nama yang diambil dari bahasa Inggeris merujuk kepada perkumpulan masyarakat yang menghayati falsafah ‘moderation’ atau kesederhanaan dan menghayatinya di dalam bertindakbalas dengan persekitaran hidup yang rencam di sekeliling.
Golongan moderat memiliki daya pertimbangan yang tinggi. Daya ini ialah satu pemilikan sifat dan nilai yang paling benar dan adil. Di dalam al-Quran, kelompok ini dikenal sebagai ‘ummatan wasata’ sebagaimana di dalam surah al-Baqarah ayat 143. Oleh itu, istilah ‘wasat’ merujuk terus kepada satu darjah keseimbangan dalam kehidupan. Golongan moderat dalam konteks istilah ini ialah kelompok yang berada pada darjah pertengahan dan mereka berkeupayaan berada pada darjah tersebut kerana mereka dipandu oleh falsafah hidup yang benar dan adil serta dibimbing oleh nilai keseimbangan serta sifat kesederhanaan.

Dalam banyak perbahasan di persidangan tersebut, antara ciri yang disepakati tentang golongan moderat ialah wataknya yang realistik. Golongan moderat tidak terlampau dihimbau oleh keagungan nostalgia sejarah sehingga menutup ruang harapan di masa depan. Mereka juga tidak terlalu asyik menuju masa depan sehingga menafikan dan mengabaikan sejarah dan warisan silam. Sebagai golongan yang realitik, moderat melihat realiti sebagai dinamik dan bersifat organik. Sebuah realiti yang tumbuh dalam kehidupan ini tidak berlaku di dalam kekosongan melainkan ia dibentuk dan dipengaruhi oleh pelbagai unsur dan elemen dari aspek sejarah, budaya dan nilai yang saling berinteraksi secara dinamik dan organik secara rencam dan berterusan dalam perjalanan sejarah yang panjang.

Proses interaksi ini membawa kepada kelahiran kepelbagaian dan kerencaman dalam kehidupan alam dan kemanusiaan. Kerangka kefahaman ini adalah asas yang menjadikan golongan moderat realistik dalam erti sentiasa menilai setiap peristiwa dan kejadian yang wujud di dalam konteksnya yang tersendiri. Dalam kata lain, suatu realiti dibentuk oleh persekitarannya yang dinamik dan tumbuh secara organik menyebabkan ia tumbuh dan muncul secara unik dan tersendiri. Seseorang yang berkemampuan memahami realiti sejajar dengan konteks dan persekitarannya yang unik dan tersendiri ini bererti dia sedang mencapai satu daya dan tahap pertimbangan yang paling adil dan benar dalam pemahaman dan tindakannya. Pencapaian ini membawa seseorang itu tergolong di dalam kelompok moderat.

Oleh kerana itu, golongan moderat juga sering dicirikan sebagai kelompok yang bersifat ilmiah dan objektif. Dalam dunia keilmuan, pemilikiran dua ciri ini adalah antara asas utama yang akan membawa seseorang kepada pencapaian kebenaran atau hakikat. Sebuah kebenaran hanya mampu tergambar di dalam alam fikiran kita dan terhayat di dalam benak sanubari kalbu setelah ia dibangunkan secara ilmiah dan objektif berasaskan hujah yang benar dan pasti. Golongan moderat dalam konteks ini tidak akan mudah tertawan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas apatah lagi sekiranya sesuatu hujah mengandungi dakwaan-dakwaan palsu.
Memandangkan golongan moderat ialah kelompok yang berwatak ilmiah dan objektif dalam membuat sebarang pertimbangan di dalam kehidupan, mereka juga memiliki satu daya pemikiran yang bersifat menyuruh atau syumul. Dalam kata lain, golongan moderat bukan kelompok yang berfikiran sempit di dalam memahami sesuatu persoalan. Seseorang yang memiliki daya pemikiran menyeluruh tidak akan menilai sesuatu dari hanya satu sumber sahaja. Golongan moderat sentiasa terbuka menerima pelbagai pendapat dan pandangan dari apa juga sumber yang boleh membawanya memahami sesuatu persoalan secara menyeluruh. Pemikiran menyeluruh ialah satu asas yang akan menghindarkan seseorang bersifat prejudis atau buruk sangka terhadap sesuatu persoalan dan kejadiaan.

Membina dan menghimpunkan golongan moderat ialah satu tuntukan utama pada masa kini kerana masyarakat dunia sedang dihimpit oleh pelbagai arus yang bercorak eksterim atau melampau.
Fenomena melampau tergambar di dalam pelbagai fenomena kehidupan hari ini samada dalam dimensi sosial, politik dan ekonomi. Fenomena melampau sering dan mudah kita fahami dalam konteks perhubungan politik dan agama kerana gejalanya sering terjadi. Gejala Islamphobia yang sering kita huraian ialah salah satu contoh bagaimana fenomena melampau tergambar di dalam dimensi perhubungan antara dua kelompok agama dan tamadun di dunia hari ini.

Namun, ia bukan satu-satunya gejala yang harus kita sedari. Dalam perbahasan yang rancak dan segar di persidangan tersebut, pembentang menyepakati iaitu golongan moderat juga harus menyumbang kepada proses penyeimbangan dalam aspek ekonomi, ketenteraan dan hubungan antarabangsa. Krisis ekonomi dunia yang berlaku sejak beberapa dekad yang lalu ialah antara fenomena gejala melampau yang disumbangkan oleh golongan yang tamak dari kalangan kapitalis. Kesan dan akibat yang disumbangkan mereka adalah seumpama gejala peperangan yang digerakkan oleh para imperialis moden hari ini sebagai terjadi di negara Afghanistan, Iraq dan Palestin. Bahaya golongan pelampau ekonomi dan ketenteraan adalah sama dengan para pelampau yang mengibarkan bendera pemusuhan dan kebenciaan sesama manusia atas nama agama.

Tuesday, July 3, 2012

Terpaksa, Menerima dan Memberi

1. Saya ke Pulau Pinang menghadiri tugasan rasmi luar pejabat.

2. Kesempatan berada sebilik dengan seorang pegawai kanan yang berpengalaman sebagai penceramah multi-disiplin memberi peluang kepada saya menimba pelbagai ilmu.

3. Antara yang menarik ialah tiga jenis kategori staf iaitu terpaksa, menerima dan memberi

4. Staf terpaksa ialah seorang yang membuat kerja sentiasa atas sebab terpaksa. Tiada kerelaan hati. Tidak ikhlas. Hasilnya, hanya apabila diarah, kerja dikalukan, itu pun tidak sempurna. Bukan seperti apa yang sepatutnya.

5. Staf yang menerima pula ialah staf yang hanya mengambil semua faedah untuk kebaikan dirinya. OLeh itu, kerja hanya akan dilakukan jika ada ganjaran nyata. Tiada extra bagi pihaknya tapi akan sentiasa mencari extra untuk dirinya!

6. Staf yang memberi adalah staf yang sentiasa memberi khidmat bakti dan melaksanakan tugas sebagai seorang yang beramanah. Sentiasa menambahbaik mutu kerja, sentiasa berusaha memastikan yang terbaik untuk organisasi dan kerjayanya. Inilah staf yang menjadi pilihan majikan.

7. Organisasi cemerlang harus memilih atau melahirkan staf yang memberi. Ia tidak mustahil bilamana iman dan taqwa menjadi asas.

8. Bermula dangan transformasi minda, staf yang berada dalam kategori terpaksa dan menerima pon boleh berubah menjadi staf yang memberi.

9. Kita ni kategori mana yer?

Monday, April 16, 2012

Ubi Keledek Dipolitikkan



1) Di suatu petang, seorang kawan saya telah post di wall FB gambar di atas.

2) Itu adalah menu minum petangnya. Sekadar nak berkongsi gambar menu petang tradisional yang memang lazat di makan sekali-sekala.

3) Ramai yang komen, bertanya itu ini dan saya turut komen dengan ringkas membayangkan betapa sedap menu tersebut. Tiba-tiba muncul satu komen yang lebih kurang begini bunyinya;

"Ramai takut undi PR bimbang terpaksa makan ubi@ keledek macam zaman Jepun dulu. Apa masalahnya makan ubi kayu @ubi keledek?"

4) Sampai gambar ubi keledek pon nak dipolitikkan?

5) Apa la nak jadi manusia sekarang ni. Mungkin ia sekadar senda gurau, tapi saya yakin ada juga percubaan telunjuk lurus kelingking berkait dalam komen tersebut.

6) Saya memilih untuk tidak respon komen itu dan saya harap orang lain juga begitu. Saya huraikan di blog ini sebagai perkongsian pemikiran sahaja.

7) Bukan apa, kalaulah saya komen contohnya "mengapa dipolitikkan ubi keledek ini?" pasti ramai manusia yang melatah dan komen menjadi lebih panjang kerana fokusnya bukan lagi pada ubi keledek.

8) Saya selesa dengan menu diet saya sekarang, ia seimbang. Kalau orang tu nak makan ubi selamanya, terpulanglah. Pada saya, sesekali makan ubi ok, tapi bukan selamanya.

Sunday, April 15, 2012

Demonstrasi Pelajar - Indoktrinisasi Tidak Langsung

1) Demonstrasi oleh pelajar universiti bukan baru dalam dunia ini, apatah lagi di Malaysia. Banyak telah diperkatakan sejak dulu hingga hari ini.

2) Pelajar universiti (selepas ini disebut sebagai pelajar sahaja) merasakan mereka tahu sesuatu yang rakyat majoriti tidak tahu, justeru itu mereka memperjuangkan kepercayaan itu.

3) Perjuangan itu disokong pula oleh beberapa kumpulan atau individu lain yang biasanya mempunyai fakta atau maklumat yang menguatkan kepercayaan pelajar contohnya NGO, pemimpin politik atau sesiapa sahaja.

4) Demonstrasi atau protes yang biasa kita lihat ialah seperti perarakan, perhimpunan, usaha untuk menghantar memorandum dan banyak lagi yang biasa melibatkan sejumlah pengikut membawa sepanduk, edaran nota, ucapan yang bersemangat dll.

5) Apa yang membezakan suasana demo hari ini ialah isu yang diperjuangkan.

6) Memang negara demokrasi membenarkan kebebasan bersuara (dengan had tertentu dlm perlembagaan. Sejarah negara kita memperlihatkan kepelbagaian isu di bawa sewaktu demo pelajar.

7) YB Saifudin Abdullah menulis dalam bukunya Kalau Saya Mahasiswa, yang mana tahun 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa kerana setelah peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan telah dibuat terhadap AUKU 1971 pada awal tahun 1975 (dikenali sebagai Pindaan 1975), dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar dari segi bermulanya zaman kelembapan gerakan mahasiswa.

8) Kenapa sekarang pelajar universiti seakan kembali aktif berdemo?

9) Kesan The Arab Spring? Mungkin.

10) Keadaan sosial, ekonomi dan politik negara kini semakin tenat? Barangkali. Akan tetapi, negara serantau lain juga menghadapi masalah yang sama. Adakah pelajar mereka berdemo?

11) Pemikiran saya, ini adalah satu kesan evolusi secara tak langsung yang berlaku hasil dari indoktrinisasi sistem pendidikan kita yang 'lemah'. Apa yang lemah ye?

12) Saya ringkaskan, bermula dari lantikan guru. Apabila guru yang dilantik adalah dari kalangan graduan yang gagal memperolehi kerja dalam bidang yang mereka minat. Menceburi profesion keguruan kerana permintaan ibu bapa dan bukan minat mereka. Maka, jadilah mereka sebagai guru yang hanya makan gaji sebagai penjawat awam. Bukan semua guru begitu, tapi yang nyata naluri nak mendidik sudah tiada (saya merujuk dari aspek kesungguhan).

13) Jika tidak, masakan ramai guru yang buat MLM, direct selling dan meniaga secara tradisional? Ada banyak masa kerana komitmen kerja tidak seperti bekerja di pejabat (8-5) dan peluang untuk buat duit tambahan. Mengapa tidak!

14) Ini berlaku lebih dari 10 tahun lalu.

15) Maka lahirlah pelajar dari sistem persekolahan yang diajar oleh guru yang kurang komitmen. Pelajar hanya belajar menghafal. Tidak didedahkan dengan kemahiran berfikir dalam erti kata sebenar dan mereka gagal membina kemahiran kognitif yang diperlukan dalam survival hidup.

16) Ikut saja apa cikgu cakap. Mereka terbiasa, doktrin mengatakan cikgu semua betul, orang besar cakap semua betul. Mesti kena ikut. Oleh itu, ikut saja la!

17) Hafal dan menghafal hingga akhirnya mereka masuk universiti. Sayangnya mereka hanya pandai menghafal dan kemahiran berfikir yang dibina tidak cukup untuk menganalisa situasi secara kritikal. Hanya setakat pemikiran asas atau lapisan pertama tapi bukan peringkat tertinggi. Mungkin juga, ia berterusan hingga peringkat sarjana (barangkali tidak sampai ke peringkat doktor falsafah).

18) Inilah yang terjadi kepada pelajar kita hari ini. Mereka gagal melihat isu dari sudut sebenar atau dari pelbagai sudut untuk menganalisa situasi. Hasilnya mereka gagal mencari punca masalah dan tersalah percaturan untuk mencari penyelesaian.

19) Sebab itu apabila dipelawa berdemo, mereka turut. Sedangkan isu sebenar mereka juga tidak jelas. Apakah ia akan berhasil, mereka juga tidak pasti.

20) Kesan indoktrinisasi ini perlukan reformasi dan transformasi pada sistem pendidikan kita. Banyak yang perlu diberi nafas baru. Soalnya sekarang, di mana nak bermula?

Saturday, April 14, 2012

Muhasabah Diri (Sendiri)

1) Datuk Dr Yusof Hussain, bekas mufti Wilayah PErsekutuan sewaktu menjadi Rektor KISDAR memberikan kesan kepada hidup saya.

2) Dalam satu sesi majlis ilmu beliau, saya sangat tertarik dengan konsep muhasabah diri sendiri yang beilau kupas berkaitan kisah hidup mayarakat dan umat Islam di Malaysia.

3) Saya masih ingat, ia adalah majlis ilmu yang menjelaskan kosep Islam Hadhari di zaman Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri tidak lama dulu.

4) KAta beliau, masalah dgn umat ISlam di kalangan masyarakat MAlaysia hari ini ialah merasakan diri sendiri semua betul dan orang lain semua salah. Mereka tidak muhasabah diri sendiri tapi asyik muhasabah diri orang lain. Muhasabah tu dah betul, tapi yang tak betulnya ialah kerana tidak muhasabah diri sendiri sebaliknya sibuk bercakap tentang hal orang. Cerita hal agama orang, keimanan orang, dan lain-lain lagi (tak kena gaya).

5) Muhasabah diri ni datang dari perkataan hisaba yang bermaksud menghitung diri dari segi bahasa. Dari segi istilah, muhasabah bermaksud menghitung segala-galanya tentang diri kita, akhlak, ibadat, kelemahan dan lain-lain. Konsep muhasabah ni baik untuk kita perbaiki diri sendiri, sebagai check and balance.

6) Mendengar pernyataan tentang konsep muhasabah diri sendiri, saya bertanya diri sendiri dan timbul rasa insaf. Betul, kita bukan semua betul sepanjang masa.

7) KAlaulah semua orang muhasabah diri sendiri, aman dunia. Cemerlang hidup.

8) Saya cuba berkongsi pernyataan ini. Dengan rakan. Dengan ahli keluarga. Dengan staf. Dan ramai lagi.

9) Sayangnya, bukan semua orang boleh terima. Pelik betul. Kenapa yer?

10) Mungkinkah kerana saya bukan bukan bekas mufti Wilayah Persekutuan?

11) Bukankah dakwah itu termasuk dalam kategori menyampaikan. Saya menyampaikan yang baik.

12) Bila direnungkan dan saya muhasabah diri sendiri (juga sedikit muhasabah diri orang lain yang patut saya muhasabahkan), saya fikir mereka yang tidak boleh terima pernyataan yang baik, kerana hatinya sudah mati! Kerana bebalisme. Kerana Allah tidak lagi mengizinkan unsur yang baik masuk ke dalam dirinya. Rugilah mereka yang dalam kategori itu. Nauzubillahiminzalik.

Tuesday, April 10, 2012

Keberkatan Kerja Sebagai Ibadat

1) Saya terbaca posting yang sangat baik dari wall fb kawan-kawan tentang pernyataan oleh Prof Dr Muhaya, pakar mata dan pakar inspirasi negara. posting tersebut lebih kurang berbunyi;

Jika gaji kita RM 5000 tetapi kita kerja kuat seperti gaji RM 20000, Allah SWT akan berikan beza RM 15000 itu samada dalam bentuk duit, anak soleh, hidup bahagia dan lain-lain. Jika gaji kita RM 5000 tapi kita kerja malas macam gaji RM 2000, beza RM 3000 itu Allah akan tarik samada dalam bentuk kecurian, kesusahan, anak nakal dan seumpamanya.

2)Tahniah Prof Dr Muhaya, terkesan di hati saya. Dan saya yakin di hati ramai rakyat Malaysia lain.

3) Selama ini itulah rasa dan perasaan yang saya alami. Cuma, tak dapat untuk saya luahkan dalam perkataan. Saya kira Prof Muhaya mengungkapkan dalam bentuk kata dengan sangat baik setiap tindakan yang berlaku sehingga ia begitu menyentuh jiwa.

4) Saya insaf, hari ini ramai yang agak berkira bila melakukan tugas di pejabat walhal ia untuk tujuan mencari nafkah dan reski yang halal untuk keluarga.

5) Mengapa begitu?

Sunday, March 25, 2012

Kesultanan Melayu di Jambi

1. Waktu belajar dalam salah satu kuliah Politik Asia Tenggara di UUM dulu, saya pernah bertanya pada sebuah kumpulan yang membuat pembentangan tentang Indonesia, kemanakah berkuburnya institusi Raja di Indonesia?

2. Saya ditempelak. Kumpulan tersebut yang rata-ratanya adalah pelajar senior mengatakan institusi Raja di Indinesia tidak terkubur, sebaliknya masih ada.

3. Saya tidak bersetuju kerana pada pandangan saya, jika ianya ada sekali pun tetapi tidak berfungsi seperti Institusi Raja di Malaysia, maka tiada maknanya.

4. Menurut sumber Wikipedia, Wilayah Jambi yang dulunya merupakan wilayah Kerajaan Malayu, dan kemudian menjadi bagian dari Sriwijaya. Pada akhir abad ke-14 Jambi merupakan vasal Majapahit, dan pengaruh Jawa masih terus mewarnai kesultanan Jambi selama abad ke-17 dan ke-18.

5. Kesultanan Jambi adalah kerajaan Islam yang berkedudukan di provinsi Jambi sekarang. Kerajaan ini berbatasan dengan Kerajaan Indragiri dan kerajaan-kerajaan Minangkabau seperti Siguntur dan Lima Kota di utara. Di selatan kerajaan ini berbatasan dengan Kesultanan Palembang (kemudian Keresidenan Palembang). Jambi juga mengendalikan lembah Kerinci, meskipun pada akhir masa kekuasaannya kekuasaan nominal ini tidak lagi dipedulikan. Ibukota Kesultanan Jambi terletak di kota Jambi, yang terletak di pinggir sungai Batang Hari.

6. Berdirinya kesultanan Jambi bersamaan dengan bangkitnya Islam di wilayah itu. Pada 1616 Jambi merupakan pelabuhan terkaya kedua di Sumatera setelah Aceh dan pada 1670 kerajaan ini sebanding dengan tetangga-tetangganya seperti Johor dan Palembang. Namun kejayaan Jambi tidak berumur panjang. Tahun 1680-an Jambi kehilangan kedudukan sebagai pelabuhan lada utama, setelah perang dengan Johor dan konflik dalaman.

7. Pada tahun 1903 Jambi digabungkan dengan keresidenan Palembang oleh pemerintah Hindia Belanda, dan pada tahun 1906 kesultanan Jambi resmi dibubarkan oleh Belanda. Kesultanan Jambi dipimpin oleh raja yang bergelar sultan. Raja ini dipilih dari perwakilan empat keluarga bangsawan (suku): suku Kraton, Kedipan, Perban dan Raja Empat Puluh. Selain memilih raja keempat suku tersebut juga memilih pangeran ratu, yang mengendalikan jalan pemerintahan sehari-hari. Dalam menjalankan pemerintahan pangeran ratu dibantu oleh para menteri dan dewan penasihat yang anggotanya berasal dari keluarga bangsawan. Sultan berfungsi sebagai lambang penyatuan dan mewakili negara bagi dunia luar.

8. Pada 19 Mac 2012, SULTAN Abddurrahman Thaha Saifuddin telah dinobatkan secara rasmi sebagai Sultan Jambi. Sultan Abdurrahman Thaha adalah dari keturunan keluarga Sultan JAmbi sebelum ini diangkat semula dan dilantik sebagai Sultan. Soalnya mengapa dan kenapa sekarang?

9. Pada hemat saya, tentunya kerana faktor lambang penyatuan dan bagaimana apabila dilihat Institusi Raja di Malaysia terus kekal kukuh sebagai sebuah institusi yang dihormati dan berdaulat. Nyata sekali, kesilapan yang dilakukan oleh penjajah Belanda dulu perlu dibetulkan kerana ia bukan satu keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat Indonesia.

10. Saya rasa, rakyat MAlaysia keseluruhan perlu bersyukur kerana Malaysia ditakdirkan melaksanakan gabungan sistem pentadbiran negara secara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Ini kerana, gabungan sistem ini menjadi satu elemen 'check and balance' yang sangat baik.

11. Indonesia dan banyak negara lain adalah antara contoh negara yang sudah meminggirkan atau menolak terus sistem monarki dalam pentadbiran negara. Bukanlah sistem tersebut perlu dikekalkan sebagai satu warisan semata-mata atau perlu pula kita kembali kepada sistem monarki secara tradisional seperti zaman dulu kerana bukan juga semua negara pada hari ini sesuai melaksanakan sistem seperti mana di negara Brunai yang dilihat sangat tenang dan aman.

12. Sebaiknya, rakyat Malaysia perlu terus menghargai Kesultanan Melayu di Malaysia sebagai seorang rakyat Malaysia. JAngan hanya ingat Sultan dan Raja Melayu hanya untuk orang Melayu. Daulat Tuanku!

Thursday, March 8, 2012

SBPA

1. Kecewa sungguh bila SBPA dibatalkan.

2. Hasrat tersirat utk melihat berlakunya transformasi minda di kalangan penjawat awam gagal dihayati. Sejak dari mula diperkenalkan, SBPA tak habis-habis dicemuh dan dipertikaikan.

3. Dari aspek battle of perception, SBPA telah tewas dan tidak diberi peluang mempertahankan diri.

4. Difahamkan proses merangka dan menyediakan dokumentasi SBPA tidak dirakyatkan. Justeru mungkin skopnya lebih kepada 'Putrajaya' hingga terlepas pandang banyak element diluar skop tersebut terutamanya perkhidmatan awam luar bandar dan badan berkanun.

5. Inilah bahananya.

6. Perdana Menteri telah tegaskan sejak mula mengambil alih pemerintahan negara, bahawa era di mana kerajaan tahu segalanya sudah berakhir.

7. Perkhidmatan awam adalah tulang belakang sebuah kerajaan seperti tulisan Abdullah Sanusi. Malangnya peneraju dan pemain utama dalam perkhidmatan awam tidak menghayatoi saranan YAB Perdana Menteri.

8. Sedih lah, kalau jadi Perdana Menteri. Saranan dan usaha kuat tak disahut oleh pemain utama dlm perkhidmatan awam. Hanya Perdana Menteri yg nak buat transformasi?

9. Apa yg dihebahkan hanya insentif kewangan tapi bukan fokus kpd penambahbaikan perkhidmatan. Faktor memperkasakan modal insan, org tak minat. Peluang memperluaskan skop kerjaya di organisasi luar disambut dingin oleh sesetengah ketua jabatan. Exit policy, performance base, masih tak boleh diterima dlm perkhidmatan awam.

10. Tapi, gaji naik semua org nak! Tak malu ke?

Tuesday, February 28, 2012

Menyesakkan

1. Sejak 2 minggu lalu, masa saya rasakan berlalu sangat pantas.

2. Sedihnya, saya terlalu banyak luangkan masa dgn tugasan luar dan meninggalkan keluarga. Tapi saya bersyukur kepada Allah krn setidaknya Allah buka saya jalan utk lihat dunia luar pejabat buat seketika dan cari kesempatan melapangkan fikiran utk agenda lain yg lebih besar.

3. Kalau langsung tak keluar pon, tak boleh juga. Lebih tension. Sebab itu selalu diingatkan, kita merancang Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah itu jauh lebih baik dan sempurna dengan hikmah yg tersurat dan tersirat.

4. Saya hanya berharap diberikan kesihatan tubuh badan oleh Allah SWT dan kesihatan yg sama kepada anak2 dan isteri serta keluarga terdekat saya. Kerana hanya dengan cara ini saya dpt laksanakan semua tugas dgn aman.

5. Saya juga hanya mampu berharap agar insan di sekitar faham dengan keadaan yg menyesakkan ini. Pastinya ini bukan untuk selamanya.

6. Untuk satu keadaan itu menjadi elok, ia perlulah menjadi melalui zaman tidak eloknya.

7. Semoga mereka itu faham.

8.Lebih penting dari itu, dengan semua tugas dan amanah yg menyesakkan ini, diharap ia mampu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dengan 'good faith' dan ia menjadi satu ibadah yang diterima Allah.

9. Maka, berbaloilah kalau pun ia menyesakkan.

Thursday, February 23, 2012

Al-Mathurat

1. Sewaktu bersarapan di Intekma semalam, saya terjumpa kenalan lama, Prof Dr Suhaimi Muhammad. Professor di program industri perkayuan UiTM Pahang.

2. Beliau dalam perjalanan ke Syarahan Tun M - Transformasi Penyelidikan.

3. Agak lama juga tidak berjumpa manusia baik yang tidak pandai marah ini. Beliau sentiasa merendah diri. Murah hati dan selalu bersedekah. Gaya penampilan persis Dato' Dr Fadilah Kamsah.

4. Bukan sahaja bersedekah kepada manusia. Beliau juga bersedekah kepada haiwan. Seorang kenalan pernah nampak Prof datang awal pagi ke pejabat, ada kucing menanti di hadapan biliknya. Lalu dengar Prof bertanya pada kucing, "Dah makan dah?".

5. Prof masuk biliknya dan keluar semula bersama sekotak makanan kucing yang kemudian diberikan kepada kucing itu, yg katanya memang akan setia menunggu di depan biliknya saban hari.

6. Sewaktu zaman persijilan ISO dulu, Prof diminta sediakan dokumen SPK. Beliau tiada pengalaman dan pentadbiran bukan bidangnya (bidangnya ialah perkayuan, tumbuh-tumbuhan herba dll).

7. Prof datang mohon bantuan saya, sambil membawa sebungkus buah anggur gred tinggi yang mahal harganya. Buah tangan katanya (bukan rasuah). Malu saya bila seorg Professor dtg kepada saya mohon bantuan. Saya bantu sampai dokumen siap. Prof ucap terima kasih tak putus-putus pada saya.

8. Semalam sempat berbual tentang anak-anaknya. Anak sulungnya yang lelaki sudah 7 tahun di Jepun! Saya kata sudah fasih berbahasa Jepun, kata Prof anaknya dah jd mcm Jepun pon. Belajar sejak peringkat sarjana muda, akan kembali ke tanah air dengan PhD tidak lama lagi dan menjadi pensyarah seperti ayahnya. Cuma, bidangnya ialah kejuruteraan komputer. Anak keduanya, baru kembali dari Adelaide, dengan sarjana muda dalam bidang Bioteknologi. Syukur Prof, anak2nya berjaya. Semoga anak2 saya juga nanti akan berjaya seperti anak2 Prof.

9. Sebelum beredar, beliau hadiahkan saya CD audio bacaan Al-Mathurat yang berupa 'single' terbaru beliau. Tanda persahabatan katanya. Sempat lagi beliau minta maaf dengan saya bimbang kalau bacaannya tidak sedap didengar.

10. Padahal, bacaan sedap dan mengasyikkan. Jadi bahan halwa telinga dan jiwa saya di pejabat sekarang. Syukur Alhamdulillah, semoga Allah panjangkan umur dan murahkan reski Prof Dr Suhaimi. Amin.

Sunday, February 19, 2012

Kesedaran Politik Rakyat Malaysia

1. Baru-baru ini saya minum di kafe kampus bersama Hairi, Rosli dan Din

2. Kami berbincang tentang kesedaran politik di kalangan rakyat Malaysia yg semakin teruk. Terutamanya di kalangan orang Melayu.

3. Saya kecilkan skop. Jangan kata org Melayu keseluruhan tapi pelajar kita hari ini pon sangat teruk kesedaran politik mereka.

4. Bukan saja tak ambil tahu hal ehwal politik, tak daftar mengundi, siapa jadi menteri pon tak tahu.

5. Sebelah meja kami, ada dua siswi sedang minum.

6. Saya katakan kepada Hairi, "kau tanya la budak2 meja sebelah ni siapa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia? Kalau dia boleh jawab, aku kerat jari Rosli!"

7. Din kata, tanya la!

8. Saya pon tanya,soalan tersebut. Dua siswi tu hanya senyum dan terpinga-pinga. Tak tahu jawapannya. Saya pon ucap terima kasih pada mereka.

9. Saya katakan pada Hairi, selamat jari Rosli tak kena kerat! Itulah yg berlaku hari ini betapa kesedaran politik di kalangan kita makin tidak mendapat tempat. Betapa kita melihat politik tidak penting, padahal segalanya berkaitan dengan politik dan kestabilan politik sesuatu yg sangat penting di negara seperti Malaysia.

10. Apa nak jadi pelajar kita ye? Sebelum beredar, saya maklumkan dua siswi itu, nama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia ialah, Dato' Saifuddin Abdullah. Tu belum saya tanya, siapakah seorang lagi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi?

Wednesday, February 1, 2012

Kerana Menjadi Bagus?

1. Saya ada seorang kawan, Yusuf (mungkin, bukan nama sebenar)yang bekerja di sektor swasta tapi kemudiannya menceburi sektor awam dengan menjadi seorang PTD.

2. Saya pernah berkata kepadanya bahawa menjadi penjawat awam adalah pilihan saya. Walau pun ada orang boleh mendapat pendapatan lebih lumayan, saya memilih menjadi seorang penjawat awam kerana saya suka dengan apa yang saya buat sekarang ini.

3. Saya juga pernah katakan padanya dalam bahasa Inggeris, “I am a government servant, damn good one!”

4. Kata Yusuf, I don’t know whether you good or not, but I think you are damn! Sambil dia tergelak dan memejamkan mata tanda seronok sangat (-:

5. Government servant, civil servant atau public servant dalam Bahasa Inggeris, maknanya dalam Bahasa Melayu tetap sama iaitu penjawat awam.

6. Semakin lama saya bekerja, saya semakin mengenali gelagat manusia terutama dalam perkhidmatan awam ini. Walau pun sudah bekerja hampir satu abad, jarang sekali saya menerima pujian dari mana-mana pihak sekali pun. Hinggakan bila terasa dipuji, timbul satu perasaan pelik dalam diri. Sebabnya, selalunya hanya dipersalahkan sahaja.

7. Hakikatnya, saya patuh arahan dan hormat ketua.

8. Itulah pegangan saya sejak mula bekerja, seperti mana pegangan saya untuk hormatkan guru sewaktu menjadi pelajar. Prinsip saya ialah tidak akan melawan ketua.

9. Akan tetapi, prinsip saya teruji bilamana; diberi pelbagai tanggungjawab besar dan saya laksanakan dengan penuh amanah dan dedikasi. Bila berjaya orang lain pula mendapat nama, kita dilupakan. Satu keadaan lagi, ada kawan satu organisasi yang tidak diberi tanggungjawab tambahan kerana kononnya lemah mentadbir, lemah merancang, tak boleh buat kerja dan lain-lain. Ada juga kawan yang tak mampu pun siapkan tugas hakiki tapi tak diambil tindakan pun hanya kerana dia kurang cerdik, kurang pandai, tak tahu dan lain-lain walau pun berjawatan pegawai!

10. Kita terus diberikan tugas dan pelbagai peranan hanya kerana kita boleh buat kerja dengan baik.

11. Orang lain tu tak diberikan tugas dan tanggungjawab hatta tak sempurnakan pun tugas hakiki hanya kerana mereka itu tak cukup bagus.

12. Adakah ini bermakna, dalam sebuah organisasi itu, menjadi kesilapan apabila seseorang itu mampu untuk bekerja dengan bagus hingga dia akan terus dikerjakan?