Sunday, October 28, 2012

Kerja Budak Melayu

1. Pomen motosikal saya namanya Zainal.

2. Dulu Zainal bekerja sebagai pomen di sebuah bengkel motosikal di Ipoh. Kepakaran Zainal, termasuk motosikal berkuasa tinggi.

3. Zainal berpengalaman sebagai pomen di Singapura. Itu menjadikan beliau modal insan yang 'istimewa mutunya'.

4. Sekarang Zainal mengusahakan bengkel motosikal sendiri. Perniagaannya kecil, tapi jika dilihat, ia stabil.

5. Saya berdoa kepada Allah, semoga perniagaan Zainal maju jaya.

6. Tak ramai orang kita yang menceburi bidang ini, apatah lagi sebagai pengusaha bengkel yang memiliki bengkel dengan reputasi tersendiri.

7. Akan tetapi, setiap kali bersembang dengan dengan Zainal, sambil-sambil servis motosikal pasti topik tentang stafnya akan mengambil tempat.

8. Kata Zainal, budak Melayu sekarang 'susah' nak diajar. Kerja hanya untuk gaji, takde keinginan nak belajar. Tak boleh ditegur sikit, nak merajuk. Menjawab, ambil hati.

9. Saya akui, ada betulnya apa yang Zainal nyatakan.

10. Pada pemerhatian saya, staf Zainal silih berganti. Takde yang kekal lama. Bila diambilnya staf baru untuk bekerja, kena la tunjuk ajar dan latih semula.

11. Satu perkara yang saya sangat setuju dengan Zainal ialah, budak kita ni bila kerja dengan cina, mereka 'tahan maki!'. Ada betulnya, kalau dimarah oleh taukey cina di bengkel atas kesalahan yang dibuat, biasanya tak ambil hati. Tak kisah sangat. Esoknya tetap datang kerja, sengeh-sengeh pulak!

12. Tapi kalau taukey bengkel motosikal Melayu yang tegur, macam-macam akan dikaitkan. Dengan kata lain, tak boleh terima!

13. Itulah mungkin menjadi sebab kenapa bengkel Zainal silih berganti stafnya. Saya tertanya-tanya, kenapakah mereka itu tidak melihat Zainal sebagai seorang guru yang 'mendidik' anak muridnya tentang ilmu membaiki motosikal dengan apa juga kaedah, pendekatan atau tindakan?

14. Persoalan lain, adakah brangkali mereka merasakan hendak menjadi pomen sampai tua? Tidakkah berhasrat menjadi seperti Zainal yang pada awalnya menjadi pomen, tetapi kini memiliki bengkel sendiri dan mungkin nanti akan memiliki lebih banyak bengkel serta mungkin juga pusat jualan?

15. Wawasan.

16. Mungkin itulah yang hilang dari minda 'budak Melayu' kita sekarang!

17. Wallahuallam.

Tuesday, October 23, 2012

Memahami dan Minta Difahami


1. Ia pernyataan yang ringkas. Tentang dua keadaan vice versa.

2. Bergantung kepada situasi, siapa yang terlibat, kepentingan dan lain-lain. Ia adalah tentang baik atau buruk, untung atau rugi.

3. Saya yakin ini situasi popular dalam sebuah organisasi pekerjaan, ramai pernah melaluinya.

4. Bagaimana pengalaman bagi yang pernah merasainya?

5. Dalam kesibukan tugas di pejabat yg sedang bersedia menghadapi mesyuarat penting, seorang ketua mengharapkan komitmen 100% dari stafnya. Ia tentang persediaan terbaik. Ia tentang penelitian. Kesempurnaan tugas. Supaya laporan disiapkan dengan baik dan mesyuarat berjalan lancar tanpa masalah. Pada waktu yang sama, staf yang menjadi tunjang organisasi, yakni orang harapan si ketua mendapat perkhabaran tidak baik. Anaknya sakit, masuk hospital, nak kena jalani pembedahan. Ini menghalang komitmen dan tumpuan. Kerja penting, tapi soal kesihatan anak jauh lebih mustahak. Apatah lagi ia soal antara hidup dan mati.

6. Seorang ketua yang memahami akan berkata pada dirinya, ini satu bentuk ujian kepada dirinya, untuk melihat kehebatan kepemimpinan dalam mengendalikan tugas. Walau tanpa orang harapannya, kerja masih boleh diurus dengan baik. Biarlah staf itu, samada berjawatan pegawai, atau sekadar staf sokongan, menguruskan masalah kesihatan anaknya. Lagi pun, sebagai ketua di pejabat, tak pula ada kesempatan nak melawat sampai ke hospital. Apalah mahu bergantung harap kepada satu atau dua staf untuk membuat persediaan mesyuarat? Kerja boleh dilaksanakan oleh mana-mana staf, dengan syarat adanya good governance! Ini persoalan kecekapan memimpin senagai ketua organisasi.

7. Malang sekali, bagi ketua yang tidak memahami, rimas dan seram sejuk menyelubungi jiwa. Timbul lah persoalan, 'masa ni lah pulak anaknya nak sakit?'. Alasan apa ni? Bukankah kerja perlu diberi keutamaan? Kalau pun anaknya sakit sekarang, perlukah selamanya menunggu di hospital. Tiadakah saudara mara terdekat lain boleh membantu kerana tugas ini 'urgent and important'!

8. Seorang staf yang minta difahami akan berkata, ini soal keutamaan untuk memilih dan di mana harus berada? Mungkin kali ini ia soal antara hidup dan mati. Kerja memang penting, tapi soal kesihatan anak menjadi tanggungjawab ibubapa. Tak mahulah kerana salah percaturan, menyesal seumur hidup. Selamanya di pejabat, semua kerja disempurnakan dengan sebaik mungkin. Masakan dengan sekali ini, ada sebab yang jelas, maka orang lain tak boleh lakukan bagi pihaknya? Mesti si ketua faham keadaannya yang terdesak. Memerlukan perhatian untuk bersama si anak yang sakit, apatah lagi jika berperanan sebagai ketua keluarga dan anak dalam bilangan yang ramai?

9. Malang sekali, bagi staf yang tidak minta difahami, akan terus mengutamakan kerjanya. Kesempurnaan tugasnya adalah keutamaan hidup. Ya, anak sakit, penting........tapi kan ke ada si isteri atau adik beradik yang boleh membantu. Jika semua sudah tak pedulikan kerja, siapa nak bertanggungjawab jika organisasi lingkup? Barangkali staf dengan komitmen sebegini sudah hampir tiada lagi. Kalau ada pun, mungkin dari jenis yang ada tanggungjawab dengan anak dan isteri. Kerana jika sebegitu komitmennya pada kerja, pasti staf jenis ini meilih untuk tidak berumahtangga. Kerjayalah yang menjadi keluarganya!

10. Inilah antara karektor manusia dalam organisasi yang memahami dan minta difahami, serta keadaan disebaliknya.

11. Siapa pun kita. Sebagai ketua, pegawai atau sekadar staf sokongan, bukankah kerja keras dan rezeki yang dicari itu adalah untuk keluarga? Paling utama, untuk anak-anak yang sedang membesar, mahu kita berikan kehidupan yang lebih baik.

12. Korelasi wujud dalam memahami dan minta difahami, tetapi yang mana lebih signifikan tidak dapat dianalisa secara regresi.

13. Sebagai ketua atau staf, di mana harus keutamaan diletak kena pada tempatnya?

14. Sebagai ketua, untuk memahami dan sentiasa memahami terus menerus, bilakah pula giliran untuk ketua minta difahami oleh staf tentang keperluan organisasi dan melaksanakan tugas dengan beramanah? Memang ada dalam organisasi, staf yang tak habis-habis menipu dan mereka pelbagai alasan, semata-mata untuk menutup penyakit malas dan tidak amanah dalam tugas.

15. Sebagai staf yang minta difahami, perlukan untuk terus minta ketua memahami kita dan adilkah untuk kita ambil kesempatan tatkala bila ketua seorang yang baik, berkomitmen tinggi dan pentingkan kesempurnaan? Bukankah ada masanya, kita sebagai staf perlu memahami hasrat ketua yang mahu supaya kita menjadi staf yang lebih berakauntabiliti.

16. Persoalan iman dan mata hati yang bersandar semata-mata kerana Allah sahaja mampu mengurus permasalahan ini menjadi satu peluang yang tidak menjejaskan mana-mana pihak.

17. Keimanan dan ikhlas kerana Allah tidak akan membiarkan seorang ketua menjadi zalim dan tidak mahu memahami situasi stafnya dalam apa juga keadaan.

18. Keimanan dan ikhlas kerana Allah tidak akan membiarkan seorang staf menzalimi dirinya sendiri hingga sanggup menipu semata-mata kerana minta difahami dalam apa juga keadaan.

19. Perlukan hubungan timbal balas ini berterusan dalam sebuah organisasi secara turun temurun, merentas zaman?

20. Wallahuallam.


Monday, October 22, 2012

Aduhai Datuk Bandar 1Malaysia.............Prosedur Tu Tak Boleh Ke Dipermudahkan Tanpa Langgar Undang-Undang?

1. Sedih bila melihat berita rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam yang sedang diubahsuai, runtuh pada 18 Okt 2012 lalu.

2. Lebih mengharukan bila tahu ada pekerja binaan yang mati dan putus kami disebabkan kejadian tersebut.

3. Namun, jadi sakit hati pula bila Datuk Bandar Shah Alam dilaporkan oleh Buletin Utama, bahawa pemilik rumah tidak memohon membuat pengubahsuaian rumah dan kerja ubahsuai dianggap tidak sah serta pemilik rumah boleh di bawa ke mahkamah untuk tindakan.

4. Paling sakit hati kenyataan yang berbunyi, "permohonan ubahsuai boleh diluluskan dalam masa 24jam!".

5. Boleh blah!

6. Datuk Bandar ni betul ke? Cakap ikut buku ke ikut realiti.

7. Mungkin saya kurang pengalaman, tapi dari perbulan dengan rakan-rakan membeli rumah dan buat ubahsuai, proses nak mohon kebenaran ubahsuai tu sendiri pon banyak cabaran dan halangan.

8. Karenah birokrasi, yang kadang kala membuka peluang rasuah.

9. Ada rakan yang menunggu sehingga 7 bulan untuk dapat kelulusan pelan ubahsuai, hanya kerana ikut saluran betul, hantar ke pejabat tapi tak beri 'saguhati' kepada yang 'meminta'.

10. Berbalik kepada banglo Seksyen 7 tadi. Rumah tu sendiri dikatakan bernilai RM3 juta. Masakan pemiliknya tak mampu nak mohon kebenaran ubahsuai? Pasti ada sebab lain. Mungkinkah kerana banyaknya karenah dan prosedur yang menyusahkan, membuat orang ramai meluat nak berurusan?

Saturday, October 20, 2012

Anekdot

1. Saya mula 'berkenalan dengan sungguh-sungguh' perkataan Anekdot sewaktu membaca blog Prof Kamil Ibrahim.

2. Ada sesuatu tentang perkataan itu yang menarik perhatian saya.

3. Memang sejak bersekolah menengah di tingkatan 3, saya didik oleh guru Bahasa Melayu saya, Arwah Cikgu Amin untuk menggunakan perkataan-perkataan baru yang 'catchy'.

4. Tanpa membuang masa saya terus google, mencari maksud anekdot. Penjelasan yang paling mudah untuk difahami tentang maksudnya ialah;

"kisah yg ringkas dan biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian (peristiwa)"

5. Bertambah lagi tatabahasa saya.

6. Saya yakin bahawa penggunaan terminologi dan istilah terkini dalam perbualan, pembentangan dan penulisan kita sehari-harian terutama dalam urusan kerja, mampu memberikan impak yang lebih menarik.

7. Setidaknya, ia akan menarik perhatian sisi yang mendengar.

8 Mungkin inilah beza dan perbezaan kepada mereka yang mentelaah, membaca dan berfikir.

9. Kepada Allah saya bersyukur, kerana menggerakkan akal dan minda saya untuk berfikir, dan lebih dari itu, untuk menulis posting ini.

10. Semoga ia menjadi manfaat dan ilmu yang dipanjangkan kepada pembaca blog ini. Amin, Alhamdulillah.

Tuesday, October 16, 2012

Ragam dan Rencah Kehidupan

1. Sekali lagi nak saya tegaskan, Score Field adalah sebuah blog kehidupan dengan catatan pengalaman berdasarkan persepsi saya.

2. Ia bukan sebuah blog politik.

3. Niat asal saya menulis blog dulu pon ialah sebagai batu loncatan untuk menghasilkan sebuah buku. Tajuk buku dah ada dalam kepala. Permulaannya pun sangat jelas. Pertengahannya masih bercelaru. Cuma penghujungnya belum nampak.

4. Sebab Score Field bukan blog politik, ia agak sunyi dari posting.

5. Alahai, blog politik pun bukannya sarat dengan catatan dan idea. Banyak 'copy & paste' sahaja. Sekadar mengulas atau melebar luas jangkauan isu.

6. Score Field akan ada post terbaru, bila ada kesempatan untuk saya menulis. Tak mudah meluahkan isi minda ke bentuk tulisan, walau pun bayangan tulisan sentiasa menari-nari dalam hati sanubari.

7. Semalam ada beberapa kejadian yang mengusik jiwa. Tentang teguran ketua yang tak boleh diterima oleh seorang staf 'berpangkat'. Ibarat hilang arah, merata cerok dijaja cerita seolah mengadu. Kadang kala, ibarat mengadu domba. Kelakar pon ada. Manakan tidaknya, ketua menegur urusan kerja, tapi nampak gayanya tak boleh terima, sampai berhajat nak minta tukar ke Shah Alam. Emosinya! Kenapa tidak muhasabah diri? Bukankah teguran itu membina. Bukankah kalau ditegur itu bermakna ada yang tak kena? Jika kita betul, pasti ada hujah untuk menyokong. Ketua pun bukan sentiasa betul. Jika kita betul, dan ada hujah menyokong, Ketua pon boleh kita jelaskan dan akan menerima penjelasan berasaskan fakta yang betul. Tapi kalau tak mampu pertahankan diri. Maknanya betul la salah kita kan?

8. Semalam juga, seorang rakan seperjawatan dari Utara mengadu tentang pernyataan, "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Geli hati juga, tapi bila di amat-amati, menjadi geram pun ada. Masih berkisar tentang tugas, teguran dan ketua. Rakan saya ini mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan diri dari menjadi 'pak sanggup' kepada tugas yang diberikan kepadanya melangkaui garis bahagian di mana tugas hakiki sepatut menjadi keutamaan. Walhal dia dari bahagian yang berbeza. Tak puas hati. Masakan tidak, jadi pak sanggup hanya kerana orang lain dilihat tak sesuai untuk melakukan tugasan tersebut. Lalu rakan saya pergi menemui ketuanya yang tertinggi. Mengadu hal, minta simpati. Sebaliknya, pandangan ketua tidak seperti apa yang diharapkan. Lantas keluarkan pernyataan "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Memang ia kedengaran seperti satu amanah. Tapi ada juga betul telahan rakan saya. Tanggungjawab, biarlah kena pada tempatnya. Lebih-lebih lagi, sebagai penjawat awam, biarlah betul punca kuasanya.

9. Apa pun yang berlaku dalam rencah kehidupan bekerja, kita sepatutnya insaf akan satu perkara yang nyata. Tak lain tak bukan, bersyukurlah kepada Allah kerana kita masih ada kerja untuk dibuat, sebagai sumber rezeki.

10. Kerja yang baik dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan menjadi ibadat.

11. Kepada Allah kita berserah, semoga setiap pekerjaan yang kita lakukan mendekatkan diri kepada-Nya.

12. Setiap yang berlaku ada hikmah, kepada Allah kita memohon, agar hikmahnya menjadi sesuatu yang baik untuk kita. Wallahuallam.