Saturday, January 26, 2013

Profesional Seorang Hipokrit

1. Saya pernah menulis pada status fb lebih kurang maksud saya, profesionalisme menjadikan seorang hipokrit itu lebih profesional.

2. Sebenarnya ini resipi kejayaan.

3. Terkadang saya pelik. Saya juga mushkil. Masih ada mereka yang berjaya dalam hidup, terutama dalam kerjaya dengan menggunakan resipi ini. Berpangkat besar, dapat kedudukan yang baik, malah dinaikkan pangkat dan mendapat pujian ketua hanya kerana resipi itu menjadi sebahagian dari hidupnya.

4. Adakah saya perlu menjadi seorang yang profesional atau hipokrit?

5. Namun saya tetap yakin dengan ayat Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya, maka seseungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar".

(Surah Al-Ahzab, ayat 70-71)

6. Tambahan pula Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadisnya, `Berkatalah yang benar walaupun pahit` dan Baginda juga bersabda yang bermaksud `Sebaik-baik jihad ialah berkata benar walaupun dihadapan Raja yang zalim`.

7. Pada saya, hidup biar ada prinsip.

8. Seringkali juga saya ditegur oleh rakan dan ahli keluarga, kerana prinsip saya. Juga saya pernah hilang kawan, kerana prinsip saya yang suka berterus terang.

9. Saya tak kisah langsung, kerana saya yakin berada di pihak yang benar.

10. Memilih untuk bercakap buruk di belakang, memang seronok. Tapi ia tidak langsung menyelesaikan masalah.

11. Tatkala ramai yang berperangai begitu, saya selesa dengan diri saya. Kepada Allah saya berdoa agar kebenaran ditegakkan. Agar hidayah berdasarkan ayat suci Allah dan hadis nabi disedari oleh semua umat manusia. Supaya mereka tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

12. Kita perlu menjadi seorang yang profesional, terutama dalam tugas dan kerjaya. Bukan sekadar profesional, tapi produktif dan inovatif. Tetapi saya yakin, profesional tak perlu sampai ke tahap hipokrit.



Saturday, January 5, 2013

Kerja Sebagai Ibadah Dalam Perkhidmatan Awam

1. Umumnya konsep kerja sebagai ibadah sudah lama diperkatakan. Tidak terhad kepada perkhidmatan awam, malahan dalam apa juga bidang pekerjaan.

2. Modal insan yang cekap, cepat dan tepat dalam melaksanakan tugasnya menjadiidaman setiap majikan. Hasil kerja yang baik menjadi amal soleh dan ibadah kepada Allah.

3. Majoriti penjawat awam adalah dari kalangan orang Melayu yang 100% beragama Islam. Ini menjadikan ada organisasi atau pejabat kerajaan yang mempunyai modal insan di kalangan orang Melayu sepenuhnya.

4. Sebagai Muslim, sepatutnya komitmen terhadap tugas tidak menjadi maslah dengan andaian semua staf faham konsep kerja sebagai ibadah.

5. Sebaliknya, organisasi dengan majoriti staf Melayu biasanya lebih bermasalah. Staf malas, tuang kerja, menipu sijil sakit, menangguh kerja,membuat tuntutan palsu, tidak produktif, lepas tangan, gossip, dan banyak masalah lain akan menjadi satu senario biasa.

6. Mengapa begitu yer?

7. Adakah ini menunjukkan orang Melayu sekarang sudah buta agama? Lari dari cara hidup Islam yang sebenarnya? Tidak menghayati falsafah solat dan ibadah lain dalam kehidupan seharian?

8. Jika begitu duduk perkaranya, ini menjadi masalah dan barah yang akan merugikan perkhidmatan awam dan kerajaan.

9. Kita bimbang, survival perkhidmatan awam yang selama ni menjadi sumber rezeki segelintir rakyat tidak akan bertahan.

Thursday, January 3, 2013

Banding dan Membandingkan

1. Ia satu situasi dengan emosi yang pelbagai.

2. Pada satu keadaan, membandingkan seorang dengan seseorang boleh melahirkan emosi yang baik kepada seseorang, terutama dalam konteks modal insan cemerlang.

3. Namun tatkala perbandingan dilakukan untuk membandingkan betapa buruk seseorang modal insan dengan seseorang yang jauh lebih baik, ia boleh mengundang rasa kurang senang dan emosi yang meruntun jiwa.

4. Perbandingan tidak selalunya baik. Namun ada ketikanya ia perlu.

5. Apa yang membimbangkan, tidak semua manusia suka apabila dirinya diperbandingkan. Apatah lagi kalau dia berada di pihak yang tidak baik.

6. Mungkin mudah menasihatkan untuk memandang positif setiap perbandingan itu. Namun iman dan hati antara manusia membezakan penerimaan. Fikrah manusia, suka kepada puji-pujian.

7. Subhanallah.

8. Semoga Allah SWT akan mempermudahkan urusan kita dan meredhai kita dari kehancuran yang boleh memudaratkan imej dan nama baik. Kerana reputasi sebagai manusia tidak mudah untuk dibina. Biarpun siapa kita di sisi Allah adalah paling mustahak, tetapi hablul minannas juga penting kerana setiap manusia itu adalah khalifah.

9. Kepada Allah kita berdoa. Syukur Alhamdulillah ya Allah, atas keberkatanMu kepada ku. Amin.