Tuesday, October 16, 2012

Ragam dan Rencah Kehidupan

1. Sekali lagi nak saya tegaskan, Score Field adalah sebuah blog kehidupan dengan catatan pengalaman berdasarkan persepsi saya.

2. Ia bukan sebuah blog politik.

3. Niat asal saya menulis blog dulu pon ialah sebagai batu loncatan untuk menghasilkan sebuah buku. Tajuk buku dah ada dalam kepala. Permulaannya pun sangat jelas. Pertengahannya masih bercelaru. Cuma penghujungnya belum nampak.

4. Sebab Score Field bukan blog politik, ia agak sunyi dari posting.

5. Alahai, blog politik pun bukannya sarat dengan catatan dan idea. Banyak 'copy & paste' sahaja. Sekadar mengulas atau melebar luas jangkauan isu.

6. Score Field akan ada post terbaru, bila ada kesempatan untuk saya menulis. Tak mudah meluahkan isi minda ke bentuk tulisan, walau pun bayangan tulisan sentiasa menari-nari dalam hati sanubari.

7. Semalam ada beberapa kejadian yang mengusik jiwa. Tentang teguran ketua yang tak boleh diterima oleh seorang staf 'berpangkat'. Ibarat hilang arah, merata cerok dijaja cerita seolah mengadu. Kadang kala, ibarat mengadu domba. Kelakar pon ada. Manakan tidaknya, ketua menegur urusan kerja, tapi nampak gayanya tak boleh terima, sampai berhajat nak minta tukar ke Shah Alam. Emosinya! Kenapa tidak muhasabah diri? Bukankah teguran itu membina. Bukankah kalau ditegur itu bermakna ada yang tak kena? Jika kita betul, pasti ada hujah untuk menyokong. Ketua pun bukan sentiasa betul. Jika kita betul, dan ada hujah menyokong, Ketua pon boleh kita jelaskan dan akan menerima penjelasan berasaskan fakta yang betul. Tapi kalau tak mampu pertahankan diri. Maknanya betul la salah kita kan?

8. Semalam juga, seorang rakan seperjawatan dari Utara mengadu tentang pernyataan, "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Geli hati juga, tapi bila di amat-amati, menjadi geram pun ada. Masih berkisar tentang tugas, teguran dan ketua. Rakan saya ini mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan diri dari menjadi 'pak sanggup' kepada tugas yang diberikan kepadanya melangkaui garis bahagian di mana tugas hakiki sepatut menjadi keutamaan. Walhal dia dari bahagian yang berbeza. Tak puas hati. Masakan tidak, jadi pak sanggup hanya kerana orang lain dilihat tak sesuai untuk melakukan tugasan tersebut. Lalu rakan saya pergi menemui ketuanya yang tertinggi. Mengadu hal, minta simpati. Sebaliknya, pandangan ketua tidak seperti apa yang diharapkan. Lantas keluarkan pernyataan "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Memang ia kedengaran seperti satu amanah. Tapi ada juga betul telahan rakan saya. Tanggungjawab, biarlah kena pada tempatnya. Lebih-lebih lagi, sebagai penjawat awam, biarlah betul punca kuasanya.

9. Apa pun yang berlaku dalam rencah kehidupan bekerja, kita sepatutnya insaf akan satu perkara yang nyata. Tak lain tak bukan, bersyukurlah kepada Allah kerana kita masih ada kerja untuk dibuat, sebagai sumber rezeki.

10. Kerja yang baik dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan menjadi ibadat.

11. Kepada Allah kita berserah, semoga setiap pekerjaan yang kita lakukan mendekatkan diri kepada-Nya.

12. Setiap yang berlaku ada hikmah, kepada Allah kita memohon, agar hikmahnya menjadi sesuatu yang baik untuk kita. Wallahuallam.

Saturday, July 14, 2012

Golongan Moderat Dalam Kehidupan

(Terima kasih kepada Razak Idris, http://razak.wordpress.com/2012/02/17/siapakah-golongan-moderat/)

Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global atau Global Movement of Moderates yang berlangsung pada 1-19 Januari 2012 yang lalu memberi perspektif yang jelas tentang siapakah golongan moderat? ‘Moderat’ ialah kata nama yang diambil dari bahasa Inggeris merujuk kepada perkumpulan masyarakat yang menghayati falsafah ‘moderation’ atau kesederhanaan dan menghayatinya di dalam bertindakbalas dengan persekitaran hidup yang rencam di sekeliling.
Golongan moderat memiliki daya pertimbangan yang tinggi. Daya ini ialah satu pemilikan sifat dan nilai yang paling benar dan adil. Di dalam al-Quran, kelompok ini dikenal sebagai ‘ummatan wasata’ sebagaimana di dalam surah al-Baqarah ayat 143. Oleh itu, istilah ‘wasat’ merujuk terus kepada satu darjah keseimbangan dalam kehidupan. Golongan moderat dalam konteks istilah ini ialah kelompok yang berada pada darjah pertengahan dan mereka berkeupayaan berada pada darjah tersebut kerana mereka dipandu oleh falsafah hidup yang benar dan adil serta dibimbing oleh nilai keseimbangan serta sifat kesederhanaan.

Dalam banyak perbahasan di persidangan tersebut, antara ciri yang disepakati tentang golongan moderat ialah wataknya yang realistik. Golongan moderat tidak terlampau dihimbau oleh keagungan nostalgia sejarah sehingga menutup ruang harapan di masa depan. Mereka juga tidak terlalu asyik menuju masa depan sehingga menafikan dan mengabaikan sejarah dan warisan silam. Sebagai golongan yang realitik, moderat melihat realiti sebagai dinamik dan bersifat organik. Sebuah realiti yang tumbuh dalam kehidupan ini tidak berlaku di dalam kekosongan melainkan ia dibentuk dan dipengaruhi oleh pelbagai unsur dan elemen dari aspek sejarah, budaya dan nilai yang saling berinteraksi secara dinamik dan organik secara rencam dan berterusan dalam perjalanan sejarah yang panjang.

Proses interaksi ini membawa kepada kelahiran kepelbagaian dan kerencaman dalam kehidupan alam dan kemanusiaan. Kerangka kefahaman ini adalah asas yang menjadikan golongan moderat realistik dalam erti sentiasa menilai setiap peristiwa dan kejadian yang wujud di dalam konteksnya yang tersendiri. Dalam kata lain, suatu realiti dibentuk oleh persekitarannya yang dinamik dan tumbuh secara organik menyebabkan ia tumbuh dan muncul secara unik dan tersendiri. Seseorang yang berkemampuan memahami realiti sejajar dengan konteks dan persekitarannya yang unik dan tersendiri ini bererti dia sedang mencapai satu daya dan tahap pertimbangan yang paling adil dan benar dalam pemahaman dan tindakannya. Pencapaian ini membawa seseorang itu tergolong di dalam kelompok moderat.

Oleh kerana itu, golongan moderat juga sering dicirikan sebagai kelompok yang bersifat ilmiah dan objektif. Dalam dunia keilmuan, pemilikiran dua ciri ini adalah antara asas utama yang akan membawa seseorang kepada pencapaian kebenaran atau hakikat. Sebuah kebenaran hanya mampu tergambar di dalam alam fikiran kita dan terhayat di dalam benak sanubari kalbu setelah ia dibangunkan secara ilmiah dan objektif berasaskan hujah yang benar dan pasti. Golongan moderat dalam konteks ini tidak akan mudah tertawan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas apatah lagi sekiranya sesuatu hujah mengandungi dakwaan-dakwaan palsu.
Memandangkan golongan moderat ialah kelompok yang berwatak ilmiah dan objektif dalam membuat sebarang pertimbangan di dalam kehidupan, mereka juga memiliki satu daya pemikiran yang bersifat menyuruh atau syumul. Dalam kata lain, golongan moderat bukan kelompok yang berfikiran sempit di dalam memahami sesuatu persoalan. Seseorang yang memiliki daya pemikiran menyeluruh tidak akan menilai sesuatu dari hanya satu sumber sahaja. Golongan moderat sentiasa terbuka menerima pelbagai pendapat dan pandangan dari apa juga sumber yang boleh membawanya memahami sesuatu persoalan secara menyeluruh. Pemikiran menyeluruh ialah satu asas yang akan menghindarkan seseorang bersifat prejudis atau buruk sangka terhadap sesuatu persoalan dan kejadiaan.

Membina dan menghimpunkan golongan moderat ialah satu tuntukan utama pada masa kini kerana masyarakat dunia sedang dihimpit oleh pelbagai arus yang bercorak eksterim atau melampau.
Fenomena melampau tergambar di dalam pelbagai fenomena kehidupan hari ini samada dalam dimensi sosial, politik dan ekonomi. Fenomena melampau sering dan mudah kita fahami dalam konteks perhubungan politik dan agama kerana gejalanya sering terjadi. Gejala Islamphobia yang sering kita huraian ialah salah satu contoh bagaimana fenomena melampau tergambar di dalam dimensi perhubungan antara dua kelompok agama dan tamadun di dunia hari ini.

Namun, ia bukan satu-satunya gejala yang harus kita sedari. Dalam perbahasan yang rancak dan segar di persidangan tersebut, pembentang menyepakati iaitu golongan moderat juga harus menyumbang kepada proses penyeimbangan dalam aspek ekonomi, ketenteraan dan hubungan antarabangsa. Krisis ekonomi dunia yang berlaku sejak beberapa dekad yang lalu ialah antara fenomena gejala melampau yang disumbangkan oleh golongan yang tamak dari kalangan kapitalis. Kesan dan akibat yang disumbangkan mereka adalah seumpama gejala peperangan yang digerakkan oleh para imperialis moden hari ini sebagai terjadi di negara Afghanistan, Iraq dan Palestin. Bahaya golongan pelampau ekonomi dan ketenteraan adalah sama dengan para pelampau yang mengibarkan bendera pemusuhan dan kebenciaan sesama manusia atas nama agama.

Tuesday, July 3, 2012

Terpaksa, Menerima dan Memberi

1. Saya ke Pulau Pinang menghadiri tugasan rasmi luar pejabat.

2. Kesempatan berada sebilik dengan seorang pegawai kanan yang berpengalaman sebagai penceramah multi-disiplin memberi peluang kepada saya menimba pelbagai ilmu.

3. Antara yang menarik ialah tiga jenis kategori staf iaitu terpaksa, menerima dan memberi

4. Staf terpaksa ialah seorang yang membuat kerja sentiasa atas sebab terpaksa. Tiada kerelaan hati. Tidak ikhlas. Hasilnya, hanya apabila diarah, kerja dikalukan, itu pun tidak sempurna. Bukan seperti apa yang sepatutnya.

5. Staf yang menerima pula ialah staf yang hanya mengambil semua faedah untuk kebaikan dirinya. OLeh itu, kerja hanya akan dilakukan jika ada ganjaran nyata. Tiada extra bagi pihaknya tapi akan sentiasa mencari extra untuk dirinya!

6. Staf yang memberi adalah staf yang sentiasa memberi khidmat bakti dan melaksanakan tugas sebagai seorang yang beramanah. Sentiasa menambahbaik mutu kerja, sentiasa berusaha memastikan yang terbaik untuk organisasi dan kerjayanya. Inilah staf yang menjadi pilihan majikan.

7. Organisasi cemerlang harus memilih atau melahirkan staf yang memberi. Ia tidak mustahil bilamana iman dan taqwa menjadi asas.

8. Bermula dangan transformasi minda, staf yang berada dalam kategori terpaksa dan menerima pon boleh berubah menjadi staf yang memberi.

9. Kita ni kategori mana yer?

Monday, April 16, 2012

Ubi Keledek Dipolitikkan



1) Di suatu petang, seorang kawan saya telah post di wall FB gambar di atas.

2) Itu adalah menu minum petangnya. Sekadar nak berkongsi gambar menu petang tradisional yang memang lazat di makan sekali-sekala.

3) Ramai yang komen, bertanya itu ini dan saya turut komen dengan ringkas membayangkan betapa sedap menu tersebut. Tiba-tiba muncul satu komen yang lebih kurang begini bunyinya;

"Ramai takut undi PR bimbang terpaksa makan ubi@ keledek macam zaman Jepun dulu. Apa masalahnya makan ubi kayu @ubi keledek?"

4) Sampai gambar ubi keledek pon nak dipolitikkan?

5) Apa la nak jadi manusia sekarang ni. Mungkin ia sekadar senda gurau, tapi saya yakin ada juga percubaan telunjuk lurus kelingking berkait dalam komen tersebut.

6) Saya memilih untuk tidak respon komen itu dan saya harap orang lain juga begitu. Saya huraikan di blog ini sebagai perkongsian pemikiran sahaja.

7) Bukan apa, kalaulah saya komen contohnya "mengapa dipolitikkan ubi keledek ini?" pasti ramai manusia yang melatah dan komen menjadi lebih panjang kerana fokusnya bukan lagi pada ubi keledek.

8) Saya selesa dengan menu diet saya sekarang, ia seimbang. Kalau orang tu nak makan ubi selamanya, terpulanglah. Pada saya, sesekali makan ubi ok, tapi bukan selamanya.

Sunday, April 15, 2012

Demonstrasi Pelajar - Indoktrinisasi Tidak Langsung

1) Demonstrasi oleh pelajar universiti bukan baru dalam dunia ini, apatah lagi di Malaysia. Banyak telah diperkatakan sejak dulu hingga hari ini.

2) Pelajar universiti (selepas ini disebut sebagai pelajar sahaja) merasakan mereka tahu sesuatu yang rakyat majoriti tidak tahu, justeru itu mereka memperjuangkan kepercayaan itu.

3) Perjuangan itu disokong pula oleh beberapa kumpulan atau individu lain yang biasanya mempunyai fakta atau maklumat yang menguatkan kepercayaan pelajar contohnya NGO, pemimpin politik atau sesiapa sahaja.

4) Demonstrasi atau protes yang biasa kita lihat ialah seperti perarakan, perhimpunan, usaha untuk menghantar memorandum dan banyak lagi yang biasa melibatkan sejumlah pengikut membawa sepanduk, edaran nota, ucapan yang bersemangat dll.

5) Apa yang membezakan suasana demo hari ini ialah isu yang diperjuangkan.

6) Memang negara demokrasi membenarkan kebebasan bersuara (dengan had tertentu dlm perlembagaan. Sejarah negara kita memperlihatkan kepelbagaian isu di bawa sewaktu demo pelajar.

7) YB Saifudin Abdullah menulis dalam bukunya Kalau Saya Mahasiswa, yang mana tahun 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa kerana setelah peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan telah dibuat terhadap AUKU 1971 pada awal tahun 1975 (dikenali sebagai Pindaan 1975), dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar dari segi bermulanya zaman kelembapan gerakan mahasiswa.

8) Kenapa sekarang pelajar universiti seakan kembali aktif berdemo?

9) Kesan The Arab Spring? Mungkin.

10) Keadaan sosial, ekonomi dan politik negara kini semakin tenat? Barangkali. Akan tetapi, negara serantau lain juga menghadapi masalah yang sama. Adakah pelajar mereka berdemo?

11) Pemikiran saya, ini adalah satu kesan evolusi secara tak langsung yang berlaku hasil dari indoktrinisasi sistem pendidikan kita yang 'lemah'. Apa yang lemah ye?

12) Saya ringkaskan, bermula dari lantikan guru. Apabila guru yang dilantik adalah dari kalangan graduan yang gagal memperolehi kerja dalam bidang yang mereka minat. Menceburi profesion keguruan kerana permintaan ibu bapa dan bukan minat mereka. Maka, jadilah mereka sebagai guru yang hanya makan gaji sebagai penjawat awam. Bukan semua guru begitu, tapi yang nyata naluri nak mendidik sudah tiada (saya merujuk dari aspek kesungguhan).

13) Jika tidak, masakan ramai guru yang buat MLM, direct selling dan meniaga secara tradisional? Ada banyak masa kerana komitmen kerja tidak seperti bekerja di pejabat (8-5) dan peluang untuk buat duit tambahan. Mengapa tidak!

14) Ini berlaku lebih dari 10 tahun lalu.

15) Maka lahirlah pelajar dari sistem persekolahan yang diajar oleh guru yang kurang komitmen. Pelajar hanya belajar menghafal. Tidak didedahkan dengan kemahiran berfikir dalam erti kata sebenar dan mereka gagal membina kemahiran kognitif yang diperlukan dalam survival hidup.

16) Ikut saja apa cikgu cakap. Mereka terbiasa, doktrin mengatakan cikgu semua betul, orang besar cakap semua betul. Mesti kena ikut. Oleh itu, ikut saja la!

17) Hafal dan menghafal hingga akhirnya mereka masuk universiti. Sayangnya mereka hanya pandai menghafal dan kemahiran berfikir yang dibina tidak cukup untuk menganalisa situasi secara kritikal. Hanya setakat pemikiran asas atau lapisan pertama tapi bukan peringkat tertinggi. Mungkin juga, ia berterusan hingga peringkat sarjana (barangkali tidak sampai ke peringkat doktor falsafah).

18) Inilah yang terjadi kepada pelajar kita hari ini. Mereka gagal melihat isu dari sudut sebenar atau dari pelbagai sudut untuk menganalisa situasi. Hasilnya mereka gagal mencari punca masalah dan tersalah percaturan untuk mencari penyelesaian.

19) Sebab itu apabila dipelawa berdemo, mereka turut. Sedangkan isu sebenar mereka juga tidak jelas. Apakah ia akan berhasil, mereka juga tidak pasti.

20) Kesan indoktrinisasi ini perlukan reformasi dan transformasi pada sistem pendidikan kita. Banyak yang perlu diberi nafas baru. Soalnya sekarang, di mana nak bermula?

Saturday, April 14, 2012

Muhasabah Diri (Sendiri)

1) Datuk Dr Yusof Hussain, bekas mufti Wilayah PErsekutuan sewaktu menjadi Rektor KISDAR memberikan kesan kepada hidup saya.

2) Dalam satu sesi majlis ilmu beliau, saya sangat tertarik dengan konsep muhasabah diri sendiri yang beilau kupas berkaitan kisah hidup mayarakat dan umat Islam di Malaysia.

3) Saya masih ingat, ia adalah majlis ilmu yang menjelaskan kosep Islam Hadhari di zaman Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri tidak lama dulu.

4) KAta beliau, masalah dgn umat ISlam di kalangan masyarakat MAlaysia hari ini ialah merasakan diri sendiri semua betul dan orang lain semua salah. Mereka tidak muhasabah diri sendiri tapi asyik muhasabah diri orang lain. Muhasabah tu dah betul, tapi yang tak betulnya ialah kerana tidak muhasabah diri sendiri sebaliknya sibuk bercakap tentang hal orang. Cerita hal agama orang, keimanan orang, dan lain-lain lagi (tak kena gaya).

5) Muhasabah diri ni datang dari perkataan hisaba yang bermaksud menghitung diri dari segi bahasa. Dari segi istilah, muhasabah bermaksud menghitung segala-galanya tentang diri kita, akhlak, ibadat, kelemahan dan lain-lain. Konsep muhasabah ni baik untuk kita perbaiki diri sendiri, sebagai check and balance.

6) Mendengar pernyataan tentang konsep muhasabah diri sendiri, saya bertanya diri sendiri dan timbul rasa insaf. Betul, kita bukan semua betul sepanjang masa.

7) KAlaulah semua orang muhasabah diri sendiri, aman dunia. Cemerlang hidup.

8) Saya cuba berkongsi pernyataan ini. Dengan rakan. Dengan ahli keluarga. Dengan staf. Dan ramai lagi.

9) Sayangnya, bukan semua orang boleh terima. Pelik betul. Kenapa yer?

10) Mungkinkah kerana saya bukan bukan bekas mufti Wilayah Persekutuan?

11) Bukankah dakwah itu termasuk dalam kategori menyampaikan. Saya menyampaikan yang baik.

12) Bila direnungkan dan saya muhasabah diri sendiri (juga sedikit muhasabah diri orang lain yang patut saya muhasabahkan), saya fikir mereka yang tidak boleh terima pernyataan yang baik, kerana hatinya sudah mati! Kerana bebalisme. Kerana Allah tidak lagi mengizinkan unsur yang baik masuk ke dalam dirinya. Rugilah mereka yang dalam kategori itu. Nauzubillahiminzalik.

Tuesday, April 10, 2012

Keberkatan Kerja Sebagai Ibadat

1) Saya terbaca posting yang sangat baik dari wall fb kawan-kawan tentang pernyataan oleh Prof Dr Muhaya, pakar mata dan pakar inspirasi negara. posting tersebut lebih kurang berbunyi;

Jika gaji kita RM 5000 tetapi kita kerja kuat seperti gaji RM 20000, Allah SWT akan berikan beza RM 15000 itu samada dalam bentuk duit, anak soleh, hidup bahagia dan lain-lain. Jika gaji kita RM 5000 tapi kita kerja malas macam gaji RM 2000, beza RM 3000 itu Allah akan tarik samada dalam bentuk kecurian, kesusahan, anak nakal dan seumpamanya.

2)Tahniah Prof Dr Muhaya, terkesan di hati saya. Dan saya yakin di hati ramai rakyat Malaysia lain.

3) Selama ini itulah rasa dan perasaan yang saya alami. Cuma, tak dapat untuk saya luahkan dalam perkataan. Saya kira Prof Muhaya mengungkapkan dalam bentuk kata dengan sangat baik setiap tindakan yang berlaku sehingga ia begitu menyentuh jiwa.

4) Saya insaf, hari ini ramai yang agak berkira bila melakukan tugas di pejabat walhal ia untuk tujuan mencari nafkah dan reski yang halal untuk keluarga.

5) Mengapa begitu?