Showing posts with label Budi. Show all posts
Showing posts with label Budi. Show all posts

Monday, May 13, 2013

Bercinta pada yang sudi. Berkasih pada yang sayang. Berbudi pada yang ?


PUAS SUDAH MENANAM UBI
NENAS JUGA DIBELI ORANG
PUAS SUDAH MENABUR BUDI
EMAS JUGA DIPANDANG ORANG
 
1.     Ia satu pantun lama yang sangat signifikan sehingga hari ini.
2.     Tentang harga sebuah perbuatan baik yang tidak dihargai dibandingkan dengan EMAS. Dalam konteks ini EMAS dijadikan analogi untuk wang ringgit, kemewahan, materialis dan lain-lain.
3.     Ini konsep budaya dan cara hidup. Apabila kita berkorban, pengorbanan kita tidak dihargai. Apabila melakukan sesuatu dengan sepenuh hati, kesalahan juga yang dicari. Kita rasa putus asa.  
4.     Kerana keadaan inilah, masyarakat rosak dan pincang. Bila mana wang dan kemewahan menjadi matlamat. Rasuah akan terus menjadi-jadi.
5.     Tak usahlah kita bercakap soal kompetensi, meritokrasi dan pencapaian kalau itu semua boleh dibeli.
6.     Betul juga la, kalau berbudi kepada haiwan, lambat atau cepat satu hari nanti kita akan digigit juga!
7.     Ada dua keadaan yang nyata di sini. Pertama haiwan sebenar. Kalau haiwan jinak seperti kucing sekali pun, lambat atau cepat dia akan tetap menggigit tuannya samada melepas geram kerana sesuatu atau gigit sekadar nak bermanja. Perbuatan itu tetap dipanggil ‘menggigit’!
8.     Kedua manusia yang berperangai haiwan. Pada sesetengah keadaan disebut manusia bertopeng haiwan. Sama sahaja. Manusia jenis ini tak sepatutnya dibuat baik. Kerana penyudahnya, kita juga yang akan ditempelak. Perbuatan sia-sia seperti mencurah air ke daun keladi.
9.     Justeru itu kepada siapa budi yang baik patut kita laksanakan?
10.  Dulu sekitar tahun 80an ada rancangan drama radio – Budi Disemai Bakti Dituai. Orang muda mungkin tak tahu, yang tak berapa muda barangkali pernah mengikutinya.
 
 

Tuesday, April 14, 2009

Fokus

1. Fokus ialah penumpuan kepada sesuatu perkara, bidang atau perbuatan yang dengan sebab itu menjadikannya seorang yang mahir atau pakar rujuk yang hebat dalam perkara, bidang atau perbuatan tersebut.

2. Ini definisi spontan dari minda saya tentang perkataan fokus.

3. Dalam hidup saya bila bercakap tentang fokus saya ingin berterima kasih kepada manusia ini - Badrul Illahan Abdul Jabar.

4. Terima kasih Encik Badrul.

5. Saya kenal Encik Badrul sewaktu praktikal di Wisma Putra tahun 2001. Waktu tu beliau sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Penerangan Luar.

6. Ini mentor saya, orangnya rajin, kuat bekerja, sangat membantu dalam memberi tunjuk ajar. Paling istimewa ialah split personality beliau. Cepat bertukar 'topi' sewaktu di pejabat mengikut peranan dan situasi.

7. Pernah apabila beliau memberi tugasan, saya hanya membuatnya alah kadar. Sebabnya ia sesuatu yang baru dan saya tak tahu bagaimana untuk melakukannya.

8. Bila ditanya apakah saya sudah menyiapkan tugasan yang diberi, saya hanya menjawab dah siap tapi saya hanya membuat mana yang saya tahu kerana yang lain tu saya tak tahu. Maka dengan tegas beliau memaklumkan pada saya, “there are no such thing as tak tahu!”.

9. Baru saya sedar betapa bodohnya saya masa tu. Mujur lah saya ni bukan jenis “bodoh sombong” tapi bodoh yang boleh diajar. Bila kita tak tahu, maka kena lah ambil tahu, belajar dan bertanya. Bukannya lepas tangan dan memanjang nak mengharapkan bantuan orang lain. Itulah pengajaran paling besar yang saya peroleh.

10. Di akhir tempoh praktikal, beliau menasihati saya. Pesanan akhirnya, satu perkataan sahaja - FOKUS.

11. Pesanan ini terpahat di hati saya sehingga kini. Katanya apa juga yang kita buat, perlu ada fokus. "It is good that you know each and everything, but at the end of the day, you are master of none".

12. Itulah ayat power Encik Badrul yang saya ingat dan sebenarnya sangat tepat.

13. Sesiapa sahaja boleh menjadi mentor, tetapi bukan semua orang boleh menjadi mentor yang baik.

14. Bila ada orang menegur atau memberi komen tentang hasil kerja kita, kita perlu ikut atas semangat ingin belajar. Kesan baik dari tunjuk ajar itu bukan datangnya kepada mentor tadi, tapi kepada kita sebagai mentee iaitu orang yang ditunjuk ajar. Oleh itu, tunjukkanlah rasa penghargaan (appreciation) atas teguran dan tunjuk ajar yang diberi. Berterima kasih la.

15. Hari ini tak semua orang fokus. Orang lebih minat kepada instant solution dan mencari jalan pintas. Malas. Itu yang sebenarnya!

16. Kalau ada mentee yang malas samaada di alam pengajian atau di dunia pekerjaan, mereka ini cenderung untuk menjadi penumpang atau free rider. Lebih hina lagi kalau free rider jenis parasit. Ini yang disebut 'baik ada makna'.

17. Atas dunia mungkin boleh lepas, tapi ingatlah hidup kita ibarat roda. Hari ini mungkin hari kita tapi bukan selamanya hari itu menjadi milik kita. Malu la sikit, takutlah pada azab Allah SWT tatkala kita mencuri hasil keringat dan jasa baik baik orang lain. Lebih dari itu mengambil kesempatan atas orang lain.

18. Cubalah jadi manusia yang pandai berbudi. Mengenang budi baik orang lain dan membalasnya dengan budi pekerti yang baik kepada semua manusia di sekeliling yang memerlukan. Bukan hanya pandai moody!

19. Pesanan Encik Badrul terkesan di hati saya. Kali terakhir saya berhubung dengan beliau ialah tahun lepas di mana beliau ketika itu kalau tak silap saya sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Pertahanan sewaktu Dato' Sri Najib menterinya. Mungkin sekarang beliau sudah berpindah ke pejabat Perdana Menteri.

20. Terima kasih Encik Badrul. Allah sahajalah yang membalas jasa baik tuan.