Sunday, April 5, 2009

Bila Ada Orang Tak Tahu Malu!

1. Diberi betis nak paha, dah bagi paha nak dada, dapat dada naik ke kepala, minta lagi terajang bagi mampus, kalau tak mampus tanam aje hidup-hidup!

2. Ini bahasa kiasan nak menceritakan perihal orang yang mengada-ngada. Bukan setakat mengada-ngada tapi siap tergedik-gedik tak de makna.

3. Bagi sesetengah pihak, terutama yang tak tahu meletakkan had dalam sesuatu perkara, ia akan hanya menimbulkan rasa kurang selesa kepada pihak lain.


4. Tapi yang empunya diri memang tak akan rasa apa sebab kalau dah memang muka tak tahu malu, apa nak ada hal?

5. Istilah mudah dalam Bahasa Inggeris ialah “too much!”.

6. Manalah tahu kot tak “reti” Bahasa Melayu pulak ker, atau “feel stupid” bila baca istilah Melayu ni?

7. Rasa tanggungjawab perlu datang dalam apa juga yang kita usahakan. Nyata sekali generasi hari ini lebih mementingkan keputusan segera (instant result) tanpa mahu memikirkan penyelesaian terbaik (the best solution) dan lebih dari itu berusaha untuk mencapaikan (effort towards the achievement).

8. Memang susah kalau dah dasar muka tak tahu malu!

9. Hanya tahu menumpang usaha dan jerit perih orang lain tetapi malas nak berusaha dengan keupayaan sendiri. Tahu nak mudah sahaja, tahu nak menyelinap sahaja, tahu nak cari jalan pintas sahaja, tahu nak nampak penting sahaja walau pun usaha tak seberapa. Bila hasilnya nampak positif, orang yang sebegini akan menonjol dan teruja lebih dari orang yang kuat bekerja sedari awal. Tapi jika hasilnya tidak baik, dia akan cuci tangan. Menyalahkan itu dan ini, seperti anjing kurap menyalak depan rumah orang!

10. Orang begini kalau bekerja akan membuat sesuatu tugas tu sambil lewa. Tiada ekspektasi dan lebih malang lagi tidak menghormati ekspektasi dan piawaian yang ada. Ibarat kata pepatah, “seperti melepaskan batok di tangga”. Orang yang sebegini jika egonya rendah boleh dibimbing dan dibantu untuk memajukan potensi diri. Tapi kalau egonya tinggi, maka jadilah si bodoh sombong tak sedo diri!

11. Memang la tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Tapi, takut la kepada hukum Allah. Tak malu ke kalau ditanya halal dan haram dalam hidup. Sampai bila nak menumpang orang? Sedangkan Allah bagi kekuatan dan keupayaan yang sama. Kepala otak tu pun sama, kenapa tahu nak harapkan orang lain aje? Bagi la sesuatu yang boleh disumbangkan dan buat orang ingat. Sampai bila nak jadi tangan yang menerima sahaja?

12. Mentaliti subsidi ni pernah membuatkan Tun Dr. Mahathir menitiskan air mata. Mengenangkan masa depan orang Melayu. Nampaknya generasi hari ini masih ada mentaliti subsidi tetapi dalam versi baru yang lebih rakus tetapi menjijikkan. Malas!

13. Atau memang nak mengaku yang diri tu bodoh? Kalau nak buat pengakuan, tulis la blog. Dedikasikan pada seluruh dunia bahawa “kita” tu bodoh. “Bodoh sombong” lah kot?

14. Apa pun jugak, siapa pun jugak, di mana pun jugak, apa yang paling penting ialah kerjasama (bak kata Wonder Pets). Kerjasama yang dijelmakan atas rasa tanggungjawab.

15. Lebih dari itu sebenarnya penting untuk kita muhasabah diri sendiri. Muhasabah dengan sesungguhnya kerana Allah SWT dan kita muhasabah diri sendiri bukan muhasabah diri orang lain. Kata seorang kenalan saya di Pahang dulu, ada dua perkara yang sedap dalam dunia ni. Satu, makan free dan keduanya, mengata orang! Saya kata, lebih sedap lagi kalau kita mengata orang sambil makan free. Tapi sedih la, kalau masih tak sedo diri!

16. Jangan seronok mengata orang itu dan ini. Rasa bagus, belum tentu kita ni cukup bagus. Cermin diri! Cermin diri! Cermin diri! Muhasabah diri dan sedar diri. Jangan syok sendiri.

Saturday, April 4, 2009

Faham dan Reti Bahasa

1. Ayahanda saya seorang yang garang.

2. Atok saya pon seorang yang garang dan kalau bercakap, suaranya kuat!

3. Mudah sangat untuk menjangka dari mana datangnya sikap garang ayah saya tu, tentunya dari bapa dia yang juga atok saya. Akan tetapi, inilah antara dua lelaki yang paling saya sayangi dalam dunia ini. Saya berdoa ALLAH SWT memanjangkan usia mereka berdua kerana kedua mereka ini baik hati dan penyayang.

4. Sudah pasti saya mewarisi perangai ayah dan atok!

5. Masa saya kecil dulu bila ayah marah, dua perkataan ni selalu digunakan.

6. Pertama, "Faham bahasa tak?"

7. Kedua, "Reti bahasa tak?"

8. Hari ni saya sedar kepentingan dua soalan ni. Bila ramai yang tak faham bahasa dan tak reti bahasa, rupanya susah kita nak berbahasa dengan mereka. Penyudahnya, ramai yang yang akan membahasakannya dan jadilah bahan kena bahasa.

9. penting sungguh kan? Terima kasih saya kepada ayahanda yang saya sayangi. Allah sahaja la yang membalas jasa baik ayah.

10. Mungkin kerana didikan ayah yang kreatif itu (kiasan tak langsung dalam ketegasannya), hari ini saya beristerikan seorang pensyarah bahasa! Alhamdulillah.

Friday, April 3, 2009

Bibir Senyum Hati Menangis

1. Saya menjelaskan panjang lebar tentang rupa fizikal dalam post lalu.

2. Saya rujuk beberapa buku ilmiah dan hasil seni lain termasuk lirik lagu dan pada saya post tersebut sangat terkesan di hati kerana ia adalah luahan hati dan penilaian saya dari pengalaman hidup.

3. Pada saya kehidupan adalah suatu lakonan di pentas kehidupan yang tidak berpenghujung.

4. Semua orang ada watak yang di bawa.

5. Cuma saya sendiri kadang kala keliru dengan watak diri sendiri.

6. Saya boleh menganalisa watak orang lain. Ada orang yang berterus terang. Ada orang yang bermuka-muka. Ada orang takde perasaan. Ada orang perasan. Ada orang tak macam orang!

7. Pada saya, orang tak tahu bila pada hakikatnya bibir kita mengukir senyum tetapi hati menangis. Masalah yang ada kadang kala tidak tertanggung, tetapi tidak boleh pula nak diluahkan!

8. Kadang kala hidup ini bak tawa dalam tangisan.

9. Tertekan? Sudah pasti cuma siapa yang mahu mengerti maksud di hati?

10 Allah tahu. Allah tak pernah jauh dari kita dan tidak pernah lupa pada kita. Semuanya tak berguna jika tidak kembali pada Allah.

Wednesday, April 1, 2009

Bodoh Sombong atau Pandai Sombong

1. Bodoh Sombong satu istilah yang sangat semantik dalam masyarakat Melayu.
2. Bodoh adalah stupid, sombong adalah arragont. Tapi dalam Bahasa Inggeris tiada istilah "arragont stupid" atau "stupid arragont"!
3. Saya adalah seorang yang bodoh sombong JIKA, saya tak tahu untuk melakukan sesuatu perkara tetapi berlagak seolah saya tahu dan melakukannya dengan cara saya (yang sebenarnya salah atau kurang tepat) tanpa merujuk kepada orang lain. Dalam masa yang sama ada orang yang sedar kesilapan yang saya sedang lakukan dan cuba untuk membantu kerana dia tahu kaedah terbaik dan betul untuk melakukannya, tetapi saya tak mahu menerima bantuan dari orang itu malah merasa bahawa dia cuba tunjuk pandai dan hanya menyusahkan saya.
4. Apa akan terjadi kepada orang yang bodoh sombong?
5. Selagi dia tak melibatkan pihak lain dalam entiti masyarkat, tiada apa perkara buruk akan berlaku kecuali kepada dirinya sendiri yang memang sombong untuk melakukan sesuatu dengan cara yang betul. Akan tetapi dalam sebuah organisasi orang yang bodoh sombong adalah liabiliti.
6. Orang bodoh sombong akan menjadi pembantut dan bukan pembantu yang hanya akan menyumbing dan bukan menyumbang dalam keadaannya yang dirasakan peka walhal pekak dengan perkembangan sekitar!
7. Jalan keluar dari kepompong bodoh sombong ialah dengan muhasabah diri kerana Allah. Kerana sumber ilmu adalah dari Allah SWT, maka jalan ilmu juga seharusnya berlandaskan jalan yang diredhai oleh-Nya.
8. Persoalannya, wujudkah orang yang "Pandai Sombong"?
9. Jika kita kembali kepada Islam, sombong atau riak itu adalah sebahagian dari syirik kecil. Dalam budaya Melayu yang kaya dengan adab dan budaya pula, kita percaya kepada pepatah Melayu ibarat padi yang semakin tunduk apabila semakin berisi.
10. Mungkinkah masyarakat hari ini sudah jauh lari dari ajaran Islam dan pegangan kepada budaya bangsa Melayu?

Tuesday, March 31, 2009

Keteguran dan Teguran

1. Keteguran adalah istilah yang sangat popular di kalangan orang Melayu.

2. Boleh kata, siapa yang tak faham maksud istilah keteguran maknanya bukan Melayu tulen gamaknya?

3. Kata orang tua-tua dulu kalau main kat luar masa nak Maghrib boleh kena keteguran. Perkataan lain yang sinonim ialah kena sampok!

4. Di katakan, bila keteguran tu badan rasa macam tak sihat, letih-letih, lengoh-lengoh atau kekedang rasa sakit kepala. Ada jugak yang tak sedarkan diri, dan satu kategori lagi membawa kepada meracau dan meraung, tu dah masuk kategori kena rasuk!

5. Hebat orang Melayu ni, kaya dengan istilah.

6. Orang tua-tua dulu ada cara nak ubat keteguran ni. Salah satu caranya dipanggil Balik Kunyit atau Balik Bawang. Caranya guna bawang atau kunyit yang dibelah dua, dengan bacaan tertentu (mungkin jampi, serapah............nak kena belajo la ni?) maka boleh disahkan keteguran di mana, siapa yang punya angkara dan diubati selepas pada tu. Ada juga yang guna air tawar, iaitu air yang di jampi atau dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran.

7. Soalnya keteguran ada kolerasi dengan makluk halus. Berapa darjah signifikan antara korelasi tu, kena la buat ujian SPSS dulu!

8. Teguran?

9. Makluk yang berbadan kecil pun boleh tegur, makluk yang badan semangat (bukan gemuk!) pon boleh tegur!

10. Tegur apa? Kenapa pulak perlu tegur?

11. Teguran biasanya berlaku apabila terjadinya sesuatu perkara atau kejadian yang tidak kena pada tempatnya yang dengan sebab dan perbuatan dari kejadian itu boleh mendatangkan implikasi tidak baik lagi merugikan pihak-pihak terlibat.

12. Apa saja perkara atau kejadian yang boleh menjejaskan kepentingan lain secara langsung atau tidak langsung perlu diberi teguran sebagai satu kaedah semak dan seimbang (check and balance) supaya keadaan kena pada tempatnya.

13. Orang Melayu kaya dengan budi bahasa, sopan santun, adat susila.

14. Malangnya, tak semua oarang boleh menerima teguran. Teguran sering disalah tafsir. Tidak dilihat dari aspek penambahbaikan berterusan tapi dilihat dari aspek kena marah!

15. Bila kena marah, kecewa! Bila kecewa, bengang! Bila bengang, merajuk! Bila merajuk, patah hati! Bila patah hati, apa juga yang berlaku selepas tu antara yang menegur dan ditegur akan patah harapan!

16. Bila patah harapan, rosaklah hubungan dan inilah yang merosakkan sistem masyarakat kita. Wujud tidak puas hati dan rasa kurang senang yang akhirnya hanya mewujudkan persepsi songsang dan negatif.

17. Penting untuk yang ditegur menerima teguran dengan positif dan fikiran terbuka. Kepada yang menegur pula, tegurlah dengan berhemah. Ini prinsip asas kehidupan manusia yang tak memerlukan huraian panjang. Cuma kita bila kena tegur, barangkali memang suka nak memanjang-manjangkan perkara ?

18. Kalau teguran yang terlalu pahit untuk kita terima, barangkali kita perlukan kunyit, bawang atau air tawar untuk mengadaptasinya? Saya terjemahkan pepatah Inggeris yang bermaksud, orang yang pandai akan belajar dari kesilapannya tetapi orang yang bijak akan belajar dari kesilapan orang lain.

Thursday, March 12, 2009

RUPA FIZIKAL - Satu Penilaian Semula

Watak dalam filem Hellboy yang telah memasuki siri ke-2


Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki

Kalau hati itu bersih
Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia


Demikianlah antara bait-bait dari lirik lagu Mata Hati dendangan kumpulan Hijjaz. Lirik lagu yang ringkas ini mendukung seribu satu makna di sebalik realiti kehidupan manusia. Ini menjelaskan hakikat di sebalik setiap tingkah laku manusia tentang pandangan seorang manusia terhadap manusia lain atau keadaan di hadapannya. Pandangan mata dirujuk sebagai pandangan yang selalu menipu kerana mata menilai rupa fizikal apa yang dipandang. Sedangkan rupa fizikal sebenar sesuatu perkara itu bukanlah tetap dan tepat pada sesuatu keadaan. Pandangan akal dirujuk sebagai selalu tersalah jika akal tidak mempunyai cukup ilmu untuk dijadikan rujukan. Hanya akal yang cukup dengan ilmu yang sepatutnya boleh memberikan pandangan yang betul. Pandangan nafsu dirujuk sebagai melulu kerana sifat manusia dan kepentingan nafsu yang sering kali berada pada keadaan luar kawalan apabila pertimbangan keadaan melibatkan nafsu. Pandangan hati adalah pandangan yang hakiki kerana hati bersifat dalaman. Akan tetapi ia masih merujuk kepada isi hati seseorang manusia yang memandang. Jika hatinya bersih maka benarlah pandangannya.

Bahaya kecelaruan pandangan ini ialah ia boleh membawa kepada salah analogi dalam masyarakat. Masyarakat akan prejudis dan menjejaskan silaturahim antara sesama manusia. Lebih dari itu, ia akan menganiaya pihak yang benar tetapi dilihat salah dalam kumpulan masyarakat. Ironinya, pandangan manusia lebih melihat kepada rupa fizikal.

Izinkan saya berkongsi pengalaman atas pemerhatian dalam kehidupan yang saya lalui. Tak lama dulu saya ke pawagam untuk menonton wayang. Waktu itu filem Batman – Dark Knight dan Hell Boy - The Golden Army (poster filem seperti pada gambar di atas) sedang ditayangkan dan ada beberapa filem lain yang tak perlu saya sebut satu per satu. Saya sebutkan dua ini kerana ia signifikan dengan apa yang hendak saya huraikan.

Dari rupa paras watak di atas, pasti ramai yang membuat andaian bahawa inilah rupa fizikal kejahatan! Jahat, seringkali dikaitkan dengan rupa yang buruk, ganas, menakutkan dan mengerikan serta pelbagai status dan stigma bagi membayangkan rupa fizikal jahat. Inilah yang ditanam dalam pemikiran kita sejak sekian lama tentang rupa fizikal jahat sehingga kita begitu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan rupa fizikal yang kita lihat. Kita percaya apa yang kita lihat dan mengabaikan apa yang sepatutnya kita tahu kerana apa yang kita lihat lebih meyakinkan. Saya mengikuti siri pertama filem Hellboy sebelum ini dan saya memilih untuk menonton filem siri kedua ini. Sayangnya tak ramai yang menonton filem ini kerana perhatian lebih terarah kepada filem Batman. Watak superhero yang kita kenal sejak kecil. Saya pasti kutipan hasil tayangan filem Hellboy lebih rendah jika dibandingkan dengan filem Batman.

Dalam filem Hellboy, rupa fizikal Red (nama watak Hellboy dalam filem ini) dibayangkan sebagai syaitan yang hidup dalam kelompok manusia. Inilah gambaran fizikal rupa syaitan. Analogi dalam filem ini sama sekali berbeza, kerana watak protoganis mempunyai rupa fizikal "jahat" dalam erti kata yang kita fahami. Lebih dari itu, analogi tersebut disampaikan secara maksimum dengan memberi gambaran rupa fizikal syaitan yakni bapa kepada segala kejahatan! Inilah Red- The Hellboy. Tetapi memainkan watak sebaliknya berbanding rupa fizikal tersebut.

Cuma hakikatnya, dalam filem ini Red menjadi pelindung manusia di muka bumi dari sebarang ancaman dan kejahatan. Red menentang musuh manusia dan menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan manusia. Red memotong tanduknya dan berkawan dengan manusia dan mengamalkan cara hidup sebagai mana manusia normal yang lain seperti menghisap cerut Cuba dan lain-lain lagi. Lebih menyentuh, Red mempunyai personaliti yang sensitif, mudah tersinggung dengan kata-kata pedih atau sindiran padanya dan mahukan perhatian. Red sukakan kucing dan sangat sayang pada kucing. Makanan kegemarannya ialah coklat, tidak seperti rupanya yang menakutkan! Suka kepada kanak-kanak. Lebih dari itu Red juga mempunyai hati dan perasaan serta bersifat romantik kepada wanita apabila jatuh cinta dan mengahwini Liz - seorang wanita yang mempunyai keupayaan luar biasa terhadap api. Red sanggup bermatian demi cintanya pada Liz! Red menyanyikan lagu Can't Smile Without You bersama rakannya Abe Sapien bagi melayan perasaan mereka yang jatuh cinta. Manusia normal sendiri barangkali tidak kenal penyanyi asal lagu itu, Barry Manilow?

Moralnya, kita perlu menilai semula apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat tidak semestinya sama dengan apa yang kita sangka. Dengan kata mudah, yang nampak baik belum tentu baik dan yang nampak jahat belum tentu jahat! Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa asas-asas yang kukuh. Pada hari ini, rupa fizikal kejahatan boleh datang dalam pelbagai bentuk dan pakej. Kejahatan itu sendiri sudah sukar untuk didefinisikan apabila kejahatan sudah mampu berevolusi dalam tamadun manusia. Revolusi kejahatan menjadikan manusia-manusia jujur sebagai mangsa. Mangsa kepada kejahatan yang kadangkala dimulakan dengan kebaikan! Kita sukar menerima kejahatan yang dilakukan oleh pihak yang mempunyai rupa fizikal "baik" walaupun sebenarnya ia tidak mustahil untuk berlaku.

Pandangan hati yang hakiki memerlukan kesatuan antara semua deria yang terlibat dan bukan hanya mata yang memandang, akal yang menilai dan hati yang mentafsir. Ia memerlukan keredaan tuhan (Allah SWT) dan manusia yang memerlukan keredaan Allah SWT perlulah sentiasa berdoa dan memohon petunjuk semoga pandangan hati dan keredaan Allah sentiasa dalam kehidupan kita sehari-harian. Indrawan Muhammad Yatim (2008) mengatakan:

“Mudah-mudahan dengan berdoa kepada-Nya, Allah SWT akan memberi pandangan dan petunjuk rohani untuk jelas bagi mengetahui sesuatu kebenaran. Selama umat Melayu melihat untuk mencari kebenaran dengan hanya menggunakan mata biasa sahaja, selama itulah juga mereka akan ditipu dan tertipu. Bersihkanlah hati dan pemikiran agar mata rohani dapat berfungsi untuk melihat dan menilai sesuatu kebenaran. Mata rohani adalah anugerah khas Allah SWT kepada hamba yang benar-benar memohon bimbingan dan petunjuk-Nya” (Indrawan Muhammad Yatim, 2008, pp 102 dalam bukunya Mengangkasa Revolusi Melayu & Orde Dunia Baru).

Persepsi tidak semestinya memberikan gambaran sebenar sesuatu realiti. Dalam banyak keadaan persepsi lebih menyumbang kepada sesuatu yang negatif dan berat sebelah. Apabila apa yang kita lihat sudah tak sama dengan apa yang kita tengok, dan apa yang kita dengar sudah tak sama dengan apa yang dicakap, pasti akan ada pihak yang teraniaya. Ingatlah, sebagai seorang Muslim kita yakin dan percaya sesungguhnya doa orang yang teraniaya itu tiada hijjab dengan Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui.

Berdoalah kita kepada Allah SWT semoga dikurniakan pandangan mata yang menjurus kepada pandangan hati yang benar dan jauh dari pengaruh negatif. Inilah elemen penting sebagai permulaan untuk kita menilai semula sesuatu rupa fizikal.

Tuesday, March 3, 2009

Sidang DUN Bawah Pokok Ala Kerajaan Negara Pasir Dua Butir!


1. Ingatkan malas dah nak ulas hal ehwal politik, tapi ada sesuatu yang menggeletek hati saya malam tadi. Mendatangkan idea untuk saya nukilkan sesuatu.


2. Dalam rancangan Hujah di TV9 malam tadi (3 Mac 2009), salah seorang panel iaitu Tan Sri Isa Samad telah menyatakan pandangan beliau bahawa apa yang berlaku di Perak pada 3 Mac 2009 tidak ubah seperti adegan dalam filem Laxmana Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ini merujuk kepada sidang DUN Perak yang diadakan di bawah pokok apabila sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk ke bangunan dewan undangan negeri.


3. Secara prinsipnya memang ia berlaku, tapi saya berharap ia sekadar serupa tapi tak sama.


4. Ini kerana, dalam filem tersebut kerajaan terpaksa bersidang di bawah pokok kerana Menteri Fasola telah mengopakkan dinding-dinding istana! Sampai menteri kabinet terpaksa pakai topi “fire brigade” sebab membantu memadamkan kebakaran di kampung-kampung yang hangus di bakar oleh Menteri Fasola dan konco-konconya.


5. Analogi Tan Sri Isa Samad tu dikhuatiri boleh menempelak kerajaan BN. Ibarat menepuk air di dulang, tepercik ke muka sendiri!


6. Dalam filem tersebut, kerajaan yang bersidang di bawah pokok tu adalah kerajaan yang sah! Jangan lupa bahawa mereka terpaksa bersidang di bawah pokok kerana huru-hara yang dicetuskan Menteri Fasola yang patah hati kerana lamarannya ditolak oleh Puteri Si Bujur Sireh.


7. Dalam pergolakan politik di Perak, siapakah yang memegang watak “Menteri Fasola”? Kalau benar wujud Menteri Fasola, pastinya “Laxmana Do RE Mi” akan datang membantu atas titah baginda Sultan. Siapa pula nak jadi Laxmana Do Re Mi dengan tiga barang ajaibnya?


8. Sama-sama kita nantikan!