Wednesday, March 27, 2013

Menjadi Positif

I learn a lot from Captain John H. Miller by this powerful quotes : "I don't gripe to you, Reiben. I'm a captain. There's a chain of command. Gripes go up, not down. Always up. You gripe to me, I gripe to my superior officer, so on, so on, and so on. I don't gripe to you. I don't gripe in front of you. You should know that as a Ranger".

1. Bukan mudah menjadi seorang manusia yang positif.

2. Lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang negatif. Dipenuhi pengaruh jahat yang mencabar dan menggugat keimanan.

3. Saat nak menulis posting ini juga rasa dan perasaan sangat malas

4. Kerana mahu melawan perasaan negatif itu, jari jemari digagahkan juga untuk menaip dan menulis luahan hati.

5. Kerana semuanya tersimpan dalam hati. Maka yang dinukilkan ini ialah luahan hati.

6. Menjadi modal insan yang berfikiran positif adalah aset yang tidak ternilai kepada organisasi. Apatah lagi jika modal insan tu ialah seorang ketua yang berkeupayaan memimpin.

7. Memimpin merupakan kemahiran mempengaruhi dan membimbing yang memerlukan kekuatan untuk menggerakkan insan lain untuk bekerja ke arah satu matlamat yang sama.

8. Tentunya matlamat yang sama itu harus bersandar kepada sesuatu yang positif.

9. Satu-satunya semangat yang membuatkan saya masih menjadi positif ialah kerana sikap "being different"!

10. Kerana hanya usaha yang luar biasa sahaja akan menghasilkan keberhasilan yang luar biasa. Sayangnya, bukan semua faham.

Saturday, March 16, 2013

"Nanti Saya Check!"

1. Pengurusan dan tadbir urus adalah satu proses berterusan yang memerlukan kemahiran individu seorang manusia hebat bernama ketua.

2. Ada ketikanya, koordinasi ketua dalam mengurus dan mentadbir memerlukan komitmen semua subordinat.

3. Ada banyak sumber yang terlibat perlu digerakkan. Ada ketikanya, ia digerakkan sederap.

4. Empat fungsi pengurusan itu sendiri sepatutnya menjadi asas buat seorang pengurus tidak kira di peringkat mana juga pengurusan itu terlibat.

5. Malangnya, bukan semua manusia bergelar pengurus tahu dan faham fungsi asas pengurusan iaitu merancang, mengatur, memimpin dan mengawal.

6. Nak mudah, ingat dalam Bahasa Inggeris empat huruf ni POLC - planning, organizing, leading, controlling.

7. Pelik kalau dalam sebuah organisasi pekerjaan, seorang pengurus yang sudah lama bekerja hanya boleh memberikan jawapan "saya akan check" kepada apa juga soalan yang diajukan.

8. Jawapan seperti ini sebenarnya hanya membuktikan bahawa pengurus itu 'tidak cukup berfikir' atau berfikir setengah masak.

9. Apakan tidak? Seorang pengurus bukan kan perlu tahu, perkara yang paling asas iaitu merancang tugas yang dilakukan. Kemudiannya mengatur strategi perlaksanaan. Selepas itu memimpin sumber tidak kira ianya sumber manusia, bahan mentah, informasi atau apa sahaja. Akhir sekali ia patut tahu mengawal keadaan dan situasi supaya semuanya dalam kawalan. Inilah faktor kejayaan pengurusan seorang pengurus yang 'buat kerja'.

10. Disini pentingnya peranan 'superior' di peringkat atasan. Perlu celik mata hati supaya tidak membiarkan 'ahli pasukan' yang menjadi 'penumpang' seumpama ini menjadi parasit organisasi yang merosakkan zat-zat kehebatan dan kelancaran tadbir urus.

11. Mungkin juga superior turut mengamalkan pengurusan jenis "nanti saya check?".

12. Jika betul, tidak mustahil situasi tidak efisyen seperti ini terus dibiarkan dalam organisasi. Wallahuallam.

Wednesday, February 6, 2013

Tambah Nasi


1. Secara realiti, makan kalau sampai tambah nasi maknanya berselera.

2. Mungkin kerana lapar, atau juga kerana masakan yang lazat!

3. Hakikatnya makan sampai tambah nasi secara berlebihan tidak berapa baik untuk kesihatan. Maklumlah, nasi adalah ejen karbohidrat. Pengambilan secara berlebihan boleh membawa kepada obesiti.

4. Macam itu jugak orang kalau perangainya suka 'tambah nasi'.

5. Menyibuk tak tentu pasal, seronok tambah nasi sebab tak kena pada batang hidung sendiri. Sekadar menyibuk atau menyampuk.

6. Perangai tambah nasi ni memang tak baik untuk sebuah organisasi. Orang pun tak suka.

7. Bawa-bawalah bertaubat. Selawat ke atas nabi banyak-banyak, jangan seronok sangat mengenakan orang.

 

Monday, February 4, 2013

Reason dan Result

1. Ini ialah teori motivasi.

2. Analogi kesan-akibat yang mudah untuk membezakan orang yang gagal dan orang yang berjaya.

3. Mudah untuk difahami dan menjadi panduan kehidupan.

4. Secara relatif, orang yang berjaya akan menunjukkan hasil demi hasil. Ini disebut sebagai result, yang akan menjadi bukti kehabatan dan kejayaan sesuatu perkara, pekerjaan atau kepercayaan.

5. Manakala dengan mudah kita akan dapati orang yang gagal akan memberikan alasan demi alasan serta pelbagai lagi alasan sebagai menunjukkan kelemahan dan kekurangan tapi akan disalahkan semua faktor disekelilingnya.

6. Sebagai cerdik pandai, kita seharusnya tahu membezakan antara oarang yang berjaya dan orang yang gagal.

7. Bukanlah langsung tidak boleh gagal dalam hidup ini. Akan tetapi biarlah ia datang dengan sebab yang kukuh dan bukan alasan murahan. Bukankah ada beza antara sebab dan alasan?

8. Hanya mereka yang betul-betul cerdik pandai dapat membezakan antara keduanya.

9. Ironinya, mereka yang cerdik pandai belum tentu cukup ilmu untuk menilai. Ada ketikanya, cerdik pandai dan berilmu sekali pun, ditakdirkan buta mata hati pula!

10. Sepatutnya tidak ada tempat untuk menerima alasan, apatah lagi alasan rekayasa yang murahan. Fikir-fikirkanlah.

Saturday, January 26, 2013

Profesional Seorang Hipokrit

1. Saya pernah menulis pada status fb lebih kurang maksud saya, profesionalisme menjadikan seorang hipokrit itu lebih profesional.

2. Sebenarnya ini resipi kejayaan.

3. Terkadang saya pelik. Saya juga mushkil. Masih ada mereka yang berjaya dalam hidup, terutama dalam kerjaya dengan menggunakan resipi ini. Berpangkat besar, dapat kedudukan yang baik, malah dinaikkan pangkat dan mendapat pujian ketua hanya kerana resipi itu menjadi sebahagian dari hidupnya.

4. Adakah saya perlu menjadi seorang yang profesional atau hipokrit?

5. Namun saya tetap yakin dengan ayat Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya, maka seseungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar".

(Surah Al-Ahzab, ayat 70-71)

6. Tambahan pula Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadisnya, `Berkatalah yang benar walaupun pahit` dan Baginda juga bersabda yang bermaksud `Sebaik-baik jihad ialah berkata benar walaupun dihadapan Raja yang zalim`.

7. Pada saya, hidup biar ada prinsip.

8. Seringkali juga saya ditegur oleh rakan dan ahli keluarga, kerana prinsip saya. Juga saya pernah hilang kawan, kerana prinsip saya yang suka berterus terang.

9. Saya tak kisah langsung, kerana saya yakin berada di pihak yang benar.

10. Memilih untuk bercakap buruk di belakang, memang seronok. Tapi ia tidak langsung menyelesaikan masalah.

11. Tatkala ramai yang berperangai begitu, saya selesa dengan diri saya. Kepada Allah saya berdoa agar kebenaran ditegakkan. Agar hidayah berdasarkan ayat suci Allah dan hadis nabi disedari oleh semua umat manusia. Supaya mereka tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

12. Kita perlu menjadi seorang yang profesional, terutama dalam tugas dan kerjaya. Bukan sekadar profesional, tapi produktif dan inovatif. Tetapi saya yakin, profesional tak perlu sampai ke tahap hipokrit.



Saturday, January 5, 2013

Kerja Sebagai Ibadah Dalam Perkhidmatan Awam

1. Umumnya konsep kerja sebagai ibadah sudah lama diperkatakan. Tidak terhad kepada perkhidmatan awam, malahan dalam apa juga bidang pekerjaan.

2. Modal insan yang cekap, cepat dan tepat dalam melaksanakan tugasnya menjadiidaman setiap majikan. Hasil kerja yang baik menjadi amal soleh dan ibadah kepada Allah.

3. Majoriti penjawat awam adalah dari kalangan orang Melayu yang 100% beragama Islam. Ini menjadikan ada organisasi atau pejabat kerajaan yang mempunyai modal insan di kalangan orang Melayu sepenuhnya.

4. Sebagai Muslim, sepatutnya komitmen terhadap tugas tidak menjadi maslah dengan andaian semua staf faham konsep kerja sebagai ibadah.

5. Sebaliknya, organisasi dengan majoriti staf Melayu biasanya lebih bermasalah. Staf malas, tuang kerja, menipu sijil sakit, menangguh kerja,membuat tuntutan palsu, tidak produktif, lepas tangan, gossip, dan banyak masalah lain akan menjadi satu senario biasa.

6. Mengapa begitu yer?

7. Adakah ini menunjukkan orang Melayu sekarang sudah buta agama? Lari dari cara hidup Islam yang sebenarnya? Tidak menghayati falsafah solat dan ibadah lain dalam kehidupan seharian?

8. Jika begitu duduk perkaranya, ini menjadi masalah dan barah yang akan merugikan perkhidmatan awam dan kerajaan.

9. Kita bimbang, survival perkhidmatan awam yang selama ni menjadi sumber rezeki segelintir rakyat tidak akan bertahan.

Thursday, January 3, 2013

Banding dan Membandingkan

1. Ia satu situasi dengan emosi yang pelbagai.

2. Pada satu keadaan, membandingkan seorang dengan seseorang boleh melahirkan emosi yang baik kepada seseorang, terutama dalam konteks modal insan cemerlang.

3. Namun tatkala perbandingan dilakukan untuk membandingkan betapa buruk seseorang modal insan dengan seseorang yang jauh lebih baik, ia boleh mengundang rasa kurang senang dan emosi yang meruntun jiwa.

4. Perbandingan tidak selalunya baik. Namun ada ketikanya ia perlu.

5. Apa yang membimbangkan, tidak semua manusia suka apabila dirinya diperbandingkan. Apatah lagi kalau dia berada di pihak yang tidak baik.

6. Mungkin mudah menasihatkan untuk memandang positif setiap perbandingan itu. Namun iman dan hati antara manusia membezakan penerimaan. Fikrah manusia, suka kepada puji-pujian.

7. Subhanallah.

8. Semoga Allah SWT akan mempermudahkan urusan kita dan meredhai kita dari kehancuran yang boleh memudaratkan imej dan nama baik. Kerana reputasi sebagai manusia tidak mudah untuk dibina. Biarpun siapa kita di sisi Allah adalah paling mustahak, tetapi hablul minannas juga penting kerana setiap manusia itu adalah khalifah.

9. Kepada Allah kita berdoa. Syukur Alhamdulillah ya Allah, atas keberkatanMu kepada ku. Amin.