Wednesday, June 26, 2013

Ilmu Pengurusan Organisasi

Jarang sekali saya repost sesuatu tulisan dari pihak lain ke blog ini. Kecuali jika ia sangat menarik. Seorang rakan letakkan posting ini di laman fb yang dikatakan bertarikh 25 Jun 2013. Saya suka kongsikan kerana ada banyak pengajaran di sebalik cerita ini;

JANGAN BUNUH HANG NADIM NANTI MUNCUL HANG JEBAT!

25 JUN


“Kaedah pengurusan saya ‘simple’. Tegas dan jelas. Yang bekerja dengan baik berikan ganjaran dan yang buat masalah berikan hukuman. Hasilnya… awak tengok syarikat saya sekarang,” kata seorang pengurus sebuah syarikat pembekal makanan halal kepada saya sewaktu kami menghadiri kursus pengurusan dan kepimpinan.

Saya tersenyum, membuka laluan untuknya terus berkata-kata. Sejak dari awal perbualannya sehinggalah sekarang, dia sentiasa mendominasi perbualan.

“Lihat berapa banyak anugerah kecemerlangan yang saya berikan untuk staf. Mereka tentu berpuas hati dan akan memberi pulangan yang tinggi untuk syarikat nanti. Mereka untung dan saya sebagai pemilik syarikat untung. Sama-sama untung.”

“Yang buat masalah, mereka terima akibatnya!”

Saya terus diam. Mencari ruang untuk mencelah yang sejak tadi belum diberikan.

“Berapa ramai pekerja yang kekal sejak awal penubuhan syarikat?” tanya saya mengalih sedikit hala tuju perbualan.

“Bilangan jari. Ramai pekerja baru. Saya tidak bimbang… saya punya kemampuan kewangan untuk mendapat tenaga-tenaga baru. Yang berhenti atau diberhentikan mudah sahaja mencari gantinya.”

“Itu petanda yang tidak berapa elok, “ jolok saya tiba-tiba.

“Mengapa?”

“Jika pekerja kerap bertukar ganti… itu menunjukkan syarikat awak belum berjaya, “ kata saya berlapik.

“Tapi syarikat sentiasa buat keuntungan berganda setiap tahun!”

Saya senyum. Betapa dia hanya fokus kepada keuntungan. Pada hal ukuran pencapaian sesebuah berdasarkan ‘Balance Score Card’ syarikat ada empat – tercapai objektif kewangan, kepuasan pelanggan, proses kerja dalaman yang baik dan faktor pembelajaran dan perkembangan pada warga kerja.

“Awak hanya fokus kepada telur emas tetapi tidak menjaga angsanya,” kilas saya tiba-tiba.

“Maksud awak?”

“Tentu awak pernah dengan cerita angsa bertelur emas. Seekor angsa bertelur emas sebiji sehari. Tuan punya tidak sabar menunggu. Disangkanya dalam perut angsa ada banyak telur lalu angsa itu dibunuh dan dibelah perutnya…”

“Awak tahu apa hasilnya pada pemilik angsa? Telur emas tidak dapat dan angsanya mati. Rugi berganda. Begitulah akibatnya jika hanya fokus kepada produktiviti dan kualiti kerja tetapi menafikan perasaan, jiwa dan kebajikan pekerja,” tambah saya dengan cepat agar penjelasan saya tidak dipotong.

Dahinya berkerut. Nampaknya dia mula berfikir dan cuba memahami input yang saya cuba sampaikan.

“Tetapi saya masih mempunyai beberapa orang pekerja yang setia. Mereka sangat patuh dan sentiasa memberi kerjasama…”

“Awak perlu bijak membezakan antara pekerja yang setia dan pengampu. Di keliling awak kadangkala hanya seorang pengampu bukan yang bijak dan kritis, ” celah saya agak tegas.

“Saya tidak suka orang yang kritis. Bagi saya mereka adalah duri dalam daging. Orang yang menikam kita dari belakang. Mereka seperti ini saya cantas dengan cepat.”

“Itu hak awak. Tetapi syarikat jangan dilihat sebagai organisasi membuat keuntungan sahaja tetapi perlu dijadikan sebagai institusi pendidikan. Kita perlu memberi ilmu, mendidik, mendengar, menghargai, dan jika memimpin pekerja,” kata saya.

“Antara kebijaksanaan dan kesetiaan, saya memilih kesetiaan,” jawabnya.

“Tanpa perhubungan yang erat dan kasih sayang sejati awak akan hilang kedua-duanya…”

“Saya kira saya telah mendapatnya sekarang,” ucapnya sambil tersenyum. Dia kelihatan begitu yakin.

Saya menggelengkan kepala perlahan-lahan.

“Awak hanya akan dapat pengampu yang bekerja tanpa kreativiti dan inovasi. Mereka hanya hebat membuat kerja rutin. Atau pekerja yang takut dan tertekan dalam diam yang kreativitinya tersekat tetapi belum mendapat tempat lain untuk meninggalkan syarikat!” tusuk saya berani.

Dia menggelengkan kepala. Tidak bersetuju.

“Saya percaya kepada ketegasan. Kita perlu jelas bahawa syarikat bukan sekolah berteraskan pendidikan. Syarikat adalah sebuah organisasi bermatlamatkan keuntungan. Awak tidak faham!”

“Itu betul jika dilihat pada ukuran yang biasa. Tetapi awak juga yang menegaskan sejak awal tadi bahawa awak hendak mengurus dan mentadbir syarikat secara Islam. Islam melihat pekerja sebagai matlamat, keuntungan sebagai alat. Berbeza dengan ukuran biasa yang melihat pekerja sebagai alat untuk mendapat keuntungan.”

“Pekerja sebagai matlamat? Maaf, saya tidak faham.”

“Yang paling berharga dalam mana-mana institusi ialah manusianya. Itulah harta yang paling bernilai. Sama seperti sebuah famili… yang bernilai bukan rumah, kereta dan set perabotnya tetapi manusianya, yakni suami, isteri dan anak-anak. Begitulah dalam sebuah syarikat Islamik, yang paling berharga ialah pekerja bukan yang lain.”

“Habis keuntungan tidak penting?”

“Awak jaga angsanya, insyaAllah ia akan bertelur emas setiap hari,” jawab saya pendek.

“Salahkah saya memberi hukuman?”

“Tidak salah. Mana-mana organisasi mesti ada peraturannya. Tetapi hukuman adalah jalan akhir setelah proses perhubungan, penerangan, perbincangan, penjelasan dan komunikasi yang telus dan tulus dilaksanakan.”

“Saya tidak masa untuk itu… saya sibuk mengurus hal yang lain.”

“Awak seorang pemimpin atau seorang pengurus?” tanya saya.

“Saya pemimpin syarikat ini!”

“Pemimpin perlu fokus kepada manusia. Hanya pengurus yang fokus kepada sistem. Pemimpin perlu mendekati, memberi ruang dan peluang untuk pekerja didengari, bermesra dan menyayangi pekerja. Paling penting, kasih sayang. Kita boleh menyayangi tanpa memimpin tetapi kita tidak boleh memimpin tanpa menyayangi.”

“Jadi tak perlu hukuman?”

“Peraturan ditambah undang-undang tetapi tanpa kasih sayang hanya akan mencetuskan pemberontakan!” jawab saya jelas.

“Pemberontakan telah saya padamkan…”

“Yang nampak boleh awak padamkan. Tetapi bagaimana yang terpendam?”

“Yang terpendam biarkanlah. Itu hak mereka. Asal jangan buat tidak senonoh dalam syarikat…”

Saya senyum. Seronok berbincang dengan orang yang berbeza ‘school of thought’ begitu. Kita akan dapat corak fikiran yang berbeza.

“Yang terpendam sebenarnya lebih berbahaya. Mereka akan membatas daya kreativiti dan produktiviti. Mereka akan bekerja di bawah batas kemampuan dan kebijaksanaan. Melaksanakan bekerja tanpa keghairahan dan semangat berpasukan yang tinggi. Nak mengampu mereka tak tega, nak memberi pandangan takut pula jadi Hang Nadim.”

“Hang Nadim?”

“Hang Nadim adalah kanak-kanak bijak dalam cerita Singapura dilanggar todak. Dia boleh berfikir secara kreatif. Think outside the box, kata orang sekarang. Daripada berkubukan betis baik berkubukan batang pisang. Itu pemikiran strategiknya. Akhirnya, Singapura selamat tetapi Hang Nadim tidak selamat.”

“ Apa terjadi kepada Hang Nadim?”

“Dibunuh raja. Kalau masih kanak-kanak sudah begitu bijak, apalagi kalau sudah dewasa nanti, fikir raja. Aku boleh dilawannya, lalu Hang Nadim dihukum bunuh!” kata saya.

Mahu sahaja saya menyoal, berapa ramai ‘Hang Nadim’ yang telah awak ‘bunuh’ dalam syarikat awak? Setelah habis manis, sepahnya dibuang. Namun, tidak tergamak saya bertanya demikian. Tidak berakhlak.

“Tetapi saya tidak begitu. Saya hanya menghukum yang salah, bukan yang bijak.”

“Tidak salah menghukum tetapi pemimpin perlu mendidik dahulu sebelum menghukum. Tanya dan dengarlah penjelasannya. Jangan dengar daripada pengampu. Jika kesalahan dalam bentuk fizikal dan material, dapat hujah nyata atau bukti-bukti yang tertulis. Jika kesalahan dalam bentuk kata-kata dan sikap datangkan saksi yang adil. Jangan bunuh Hang Nadim, nanti muncul Hang Jebat ”

“Wah macam mahkamah pula. Tadi macam sekolah.”

“Seorang pemimpin lebih rela disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Takutilah doa orang yang zalim. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman!”

“Saya bukan seorang pemimpin negara… saya hanya pemimpin syarikat perniagaan.”

“Sekalipun pemimpin di skala yang paling kecil, semua pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Hendak dengar cerita burung dan ulat?”

Dia memalingkan wajahnya. Tetapi saya terus berkata, “semasa burung hidup dia memakan ulat tetapi apabila burung mati, dia pula yang dimakan ulat. Kita tidak selamanya di atas… walaupun sekarang kita terus menaik ke atas. Mungkin itu hanya untuk meninggikan tempat kita jatuh. Lebih tinggi, lebih sakit nanti. Berhati-hatilah…”

Tuesday, June 18, 2013

Bersyukur Saat Diuji

1. Ini tajuk sebuah buku. Tulisan Prof. Dr. Mohd Kamil Ibrahim.

2. Kepada Allah saya bersyukur.

3. Kepada Allah saya berterima kasih.

4. Kerana memberikan ilham sehingga saya barangkali menjadi antara pembaca awal buku tersebut sewaktu ia diterbitkan.

5. Kerana buku tersebut memberikan asas yang baik kepada saya tentang maksud ujian Allah. Kerana buku itu meninggalkan sesuatu di hati saya. Kerana buku itu, saya masih bertahan ketika ini.

6. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana masih diberikan kesihatan dan kewarasan minda.

7. Itu membolehkan saya bangun setiap pagi dan memilih apa yang mahu saya lakukan.

8. Syukur Alhamdulillah, kerja saya yang Allah tetapkan setakat ini tidak membuka ruang dan peluang kepada RASUAH.

9. Saya masih boleh membezakan antara dosa dan pahala, antara betul dan salah, antara baik dan buruk. Alhamdulillah.

10. Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Apa yang pasti, ia sesuatu perlakuan yang tidak baik. Salah guna kuasa juga adalah satu perbuatan tidak baik yang boleh berlaku jika hilang pedoman dan bimbingan Allah SWT.

11. Sekali lagi saya bersyukur kepada Allah, sekurang-kurangnya apa yang saya ada hari ini adalah kurniaan Allah hasil titik peluh dan usaha saya dan isteri. Usaha kami dan kerja kuat kami.

12. Oleh kerana ia kurniaan Allah, kepada Allah tempat kita berterima kasih. Kepada Allah kita meminta supaya reski yang ada dilipatganda dan dipermudahkan seperti mana bacaan doa waktu Dhuha.

13. Kita bimbang jika apa yang Allah berikan ini hanya pinjaman sementara.

14. Saya bimbang jika Allah tarik balik kesemuanya atau sebahagiannya.

15. Oleh itu, saya berdoa kepada Allah semoga saya dan keluarga tidak mendatangkan murka kepada Allah. Dan semoga perlindungan Allah sentiasa diberikan kepada saya dan keluarga.

16. Ya ALLAH, kau sucikanlah reski yang kau berikan kepada kami ini sejak dulu, hari ini, esok dan selamanya. Amin.

Thursday, June 13, 2013

Akibatnya Bila Tidak Lagi Positif

1. Pada 27 Mac 2013, saya pernah menulis tentang Menjadi Positif.
 
2. Sebab?
 
3. Minat terhadap kerja dan apa yang saya lakukan semakin merudum. Merosot ke peringkat yang paling rendah.
 
4. Hari ini selepas asakan bertali arus, kritikan, serangan, cercaan dan pelbagai usaha jahat dan iri hati serta tidak kena pada tempatnya.................perkataan positif sudah hampir tiada dalam diri saya.
 
5. Hasilnya kini, saya tak minat kerja.
 
6. Setidak-tidaknya, saya masih datang ke pejabat dan menjadi manusia antara jam 8 pagi hingga 5 petang. Tetapi tiada lagi kesungguhan atau keriangan untuk saya teruskan kerja dengan cara tersendiri dan bersungguh-sungguh.
 
7. Mengapa?
 
8. Kerana apa saja yang saya buat semua tak cukup, semua tak kena, semua tak betul! Padahal standard yang ditetapkan memang level 'taik'.
 
9. Ini standard baru? Ini baru standard. Yesssss....................'taik' punya standard.
 
10. Tahniah kepada mereka yang mahu melihat saya 'jatuh'. Puas hati kan? Ini yang anda mahu, ini yang anda sangka dan harapkan. Sekarang saya sudah tidak peduli lagi. Saya tak minat kerja.

Monday, May 13, 2013

Bercinta pada yang sudi. Berkasih pada yang sayang. Berbudi pada yang ?


PUAS SUDAH MENANAM UBI
NENAS JUGA DIBELI ORANG
PUAS SUDAH MENABUR BUDI
EMAS JUGA DIPANDANG ORANG
 
1.     Ia satu pantun lama yang sangat signifikan sehingga hari ini.
2.     Tentang harga sebuah perbuatan baik yang tidak dihargai dibandingkan dengan EMAS. Dalam konteks ini EMAS dijadikan analogi untuk wang ringgit, kemewahan, materialis dan lain-lain.
3.     Ini konsep budaya dan cara hidup. Apabila kita berkorban, pengorbanan kita tidak dihargai. Apabila melakukan sesuatu dengan sepenuh hati, kesalahan juga yang dicari. Kita rasa putus asa.  
4.     Kerana keadaan inilah, masyarakat rosak dan pincang. Bila mana wang dan kemewahan menjadi matlamat. Rasuah akan terus menjadi-jadi.
5.     Tak usahlah kita bercakap soal kompetensi, meritokrasi dan pencapaian kalau itu semua boleh dibeli.
6.     Betul juga la, kalau berbudi kepada haiwan, lambat atau cepat satu hari nanti kita akan digigit juga!
7.     Ada dua keadaan yang nyata di sini. Pertama haiwan sebenar. Kalau haiwan jinak seperti kucing sekali pun, lambat atau cepat dia akan tetap menggigit tuannya samada melepas geram kerana sesuatu atau gigit sekadar nak bermanja. Perbuatan itu tetap dipanggil ‘menggigit’!
8.     Kedua manusia yang berperangai haiwan. Pada sesetengah keadaan disebut manusia bertopeng haiwan. Sama sahaja. Manusia jenis ini tak sepatutnya dibuat baik. Kerana penyudahnya, kita juga yang akan ditempelak. Perbuatan sia-sia seperti mencurah air ke daun keladi.
9.     Justeru itu kepada siapa budi yang baik patut kita laksanakan?
10.  Dulu sekitar tahun 80an ada rancangan drama radio – Budi Disemai Bakti Dituai. Orang muda mungkin tak tahu, yang tak berapa muda barangkali pernah mengikutinya.
 
 

Sunday, April 21, 2013

Bantuan Yang Kecil Di Mata Kita, Besar Buat Mereka

1. Siapa yang tidak setuju dengan tajuk posting ini bukan?
 
2. Ia ungkapan tepat.
 
3. Manfaat buat kumpulan rakyat berpendapatan rendah. Dengan pelbagai bentuk bantuan untuk mereka hidup lebih selesa.
 
4. Tak perlu saya nyatakan apa dia jenis dan bentuk bantuan itu, kerana ia bukan lagi rahsia kepada mereka terutama dari kalangan yang berpendapatan RM3000 ke bawah.
 
5. Tidak dilupakan, kumpulan rakyat di atas juga turut mendapat pelabagai keistimewaan. Ia bukan dalam bentuk 'bantuan' tetapi lebih kepada pelbagai insentif. Terutama kepada golongan peniaga.
 
6. Jika tidak masakan mantan Menteri Kewangan Kedua pernah membuat kenyataan sekitar Feb-Mac 2013 lalu bahawa jumlah kekayaan individu di Malaysia mencecah RM330 million!
 
7. Soalnya, apakah 'bantuan' kepada rakyat kumpulan pertengahan?
 
8. Mereka tidak membebankan kerajaan untuk menjadi penerima bantuan.
 
9. Mereka juga tidak menerima apa-apa insentif dalam bentuk kemudahan perniagaan dan urusniaga misalnya kerana kebanyakan rakyat kumpulan pertengahan adalah mereka yang mempunyai kerjaya tetap di sektor swasta atau kerajaan sebagai orang yang makan gaji.
 
10. Inilah kalangan rakyat Malaysia yang dulunya waktu sekolah jadi budak pandai. Masuk universiti, ada kelulusan tinggi.
 
11. Dengan usaha itu, dapatlah bina kerjaya dengan pekerjaan dan gaji yang baik untuk sara hidup dan bina keluarga.
 
12. Akan tetapi kurang 'adil' barangkali, kalau mereka ini pula dipinggirkan dari sebarang bentuk 'bantuan istimewa' sebaliknya kena pula membayar cukai pendapatan dan pelbagai bayaran utiliti tanpa ada sebarang bentuk insentif! Wallahuallam.
 
 

Saturday, April 13, 2013

Paradigma Tauhid

1. Saya ditanya, "Adakah anda bersedia menjadi role model dalam merealisasikan Paradigma Tauhid?".

2. Ia soalan yang mudah. Tapi datang dengan jawapan yang memungkinkan pelbagai akibat.

3. Saya menjawab dengan yakin, YA!

4. Apakah Paradigma Taudhid? Ia adalah taat setia dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah SWT dan rasa cinta kepada Rasullullah SAW. Kerana apa juga yang saya lakukan selama ini semata-mata kerana Allah, dan bukan orang tertentu atau sebab lain yang tertentu, maka saya dengan jelas memilih jawapan YA.

5. Kalau tidak, pasti dah lama saya merajuk, bawa diri. Dah macam-macam orang buat kepada saya, dan isteri saya. Ini dalam konteks kerja dan kerjaya. Tapi saya masih setia dengan pekerjaan saya, sedikit pon saya tidak berganjak dari prinsip menghormati ketua dan melakukan yang terbaik dalam pekerjaan.

6. Jika ada yang mengatakan saya tidak layak, penjelasan saya mudah.

7. Setiap orang sepatutnya mempunyai hasrat dan keinginan untuk menjadi baik dan berbuat baik. Kita menjaga hubungan dengan tuhan, Allah SWT dan hubungan sesama manusia melalui ibadat, kerja dan aktiviti harian.

8. Kalau ada yang rasa saya keterlaluan, terpulanglah.

9. Kerana jika ada yang rasa dia tak mahu menjadi role model dalam Paradigma Tauhid, saya sifatkan mereka tidak ikhlas dalam kerja seharian, dan mungkin banyak silap dengan Allah atau sesama manusia.

10. Mungkin!

11. Saya sendiri tidak pasti. Tapi pasti ada penjelasan yang logik. Selama boleh dan selagi boleh, kita buatlah yg terbaik dan berbuat baik dimana juga berada dan apa juga yang kita lakukan.

12. Wallahuallam.

Wednesday, March 27, 2013

Menjadi Positif

I learn a lot from Captain John H. Miller by this powerful quotes : "I don't gripe to you, Reiben. I'm a captain. There's a chain of command. Gripes go up, not down. Always up. You gripe to me, I gripe to my superior officer, so on, so on, and so on. I don't gripe to you. I don't gripe in front of you. You should know that as a Ranger".

1. Bukan mudah menjadi seorang manusia yang positif.

2. Lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang negatif. Dipenuhi pengaruh jahat yang mencabar dan menggugat keimanan.

3. Saat nak menulis posting ini juga rasa dan perasaan sangat malas

4. Kerana mahu melawan perasaan negatif itu, jari jemari digagahkan juga untuk menaip dan menulis luahan hati.

5. Kerana semuanya tersimpan dalam hati. Maka yang dinukilkan ini ialah luahan hati.

6. Menjadi modal insan yang berfikiran positif adalah aset yang tidak ternilai kepada organisasi. Apatah lagi jika modal insan tu ialah seorang ketua yang berkeupayaan memimpin.

7. Memimpin merupakan kemahiran mempengaruhi dan membimbing yang memerlukan kekuatan untuk menggerakkan insan lain untuk bekerja ke arah satu matlamat yang sama.

8. Tentunya matlamat yang sama itu harus bersandar kepada sesuatu yang positif.

9. Satu-satunya semangat yang membuatkan saya masih menjadi positif ialah kerana sikap "being different"!

10. Kerana hanya usaha yang luar biasa sahaja akan menghasilkan keberhasilan yang luar biasa. Sayangnya, bukan semua faham.