Wednesday, September 4, 2013

Budaya 5S : Menjuarai Keceriaan Persekitaran

1. Semakin banyak organisasi yang mahu mendapatkan persijilan 5S. mereka percaya bahawa konsep dari Negara matahari terbit itu mampu mempertingkatkan kecekapan tadbir urus dan staf yang terlibat dalam organisasi.

2. Justeru itu komitmen digerakkan agar persijilan dapat diperolehi. Komitmen pengurusan atasan, dan komitmen staf sebagai kumpulan pelaksana yang signifikan.

3. Namun adakah persijilan 5S yang dikejar atau sebenarnya budaya 5S yang perlu diterap dalam diri setiap warga kerja untuk manfaat organisasi?

4. Inilah kesilapan konsepsual yang sering berlaku. Ia perlu diperbetulkan.

5. Apabila persijilan menjadi matlamat, ia lebih bersifat peribadi. Menjadi matlamat individu, mungkin kepada ketua yang taksub atau perasan sebagai seorang yang sangat cermat dan teliti jika dibandingkan orang lain atau matlamat sekumpulan manusia dalam jawatankuasa penggerak yang mahu dilihat sebagai kumpulan elit dalam organisasi.

6. Tetapi jika budaya 5S yang mahu ditanam, ia akan menjadi satu nilai. Seharusnya nilai itu juga di bawa ke rumah atau dari rumah dan bukan hanya di pejabat.

7. Dalam memartabatkan budaya 5S, persekitaran yang bersih tidak memadai. Persekitaran itu bukan sahaja perlu bersih, tetapi ceria, kondusif dan sihat. Inilah matlamat yang harus menjadi arah tuju.

8. Hanya jika kita dapat menggerakkan budaya 5S, kita mampu untuk menjuarai keceriaan persekitaran samada di tempat kerja, rumah atau dimana sahaja.

9. Selagi ia tidak dibudayakan, MUNGKIN ia hanya satu retorik. Fikir-fikirkan?

Wednesday, July 24, 2013

Kompetensi

1. Apabila kita tidak kompeten, maka kita tidak akan terpilih untuk melakukan sesuatu.

2. Dalam istilah mudah, kompetensi merangkumi gabungan pengetahuan, kemahiran dan sikap seseorang.

3. Ini istilah yang merujuk kepada modal insan cemerlang. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memperkenalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada tahun 2002.

4. Sekaligus memperkenalkan semua penjawat awam kepada istilah ini.

5. Namun ada juga modal insan yang tidak kompeten, berjaya terpilih kerana faktor lain. Pada saya, faktor kronisme dan kenalan dalaman adalah satu faktor yang menganggu proses demokrasi dan keadilan.

6. Jika tidak kompeten, anda tidak layak!

7. Cuma terima hakikat dan fahami situasi itu. Baiki diri dan dalami pengetahuan, asah kemahiran, ubahlah sikap.

8. Mungkin jika ada rezeki, masa anda akan sampai.

9. Usahlah melawan takdir!

Wednesday, July 17, 2013

Mengambil Kesempatan

1. Saya nak ulas tentang fenomena mengambil kesempatan.
 
2. Ia dalam konteks organisasi dan kerjaya. Fokusnya kepada kehidupan sebagai seorang modal insan.
 
3. Di pejabat ada peraturan. Sudah pasti bila ke pejabat, kita datang untuk bekerja, terpulang kepada rupabentuk pejabat itu sendiri. Ada yang pejabatnya cantek, buruk, sempit, luas, canggih, tradisional, outdoor, indoor dan lain-lain lagi.
 
4. Sebagai modal insan, kita sepatutnya bersaing menunjukkan bakat dan kebolehan untuk membuktikan kepada majikan dan organisasi bahawa mereka tidak tersalah membuat pilihan mengambil kita bekerja.
 
5. Sebaliknya hari ini, terutama dalam perkhidmatan awam, semakin ramai yang ponteng kerja, malas dan tidak menunjukkan komitmen dalam kerja. Lebih hina lagi, ramai di kalangan modal insan yang mengambil kesempatan.
 
6. Ambil kesempatan tidak menyiapkan kerja dalam masa kerana bos tak tanya.
 
7. Ambl kesempatan tak datang kerja kerana bos tak berbunyi.
 
8. Ambil kesempatan bila kawan boleh cover kerja kita.
 
9. Ambil kesempatan cuti kerana cuti masih banyak dan merasakan ia satu kemudahan dan hak.
 
10. Ambil kesempatan salah guna kemudahan panel klinik dengan mengambil sijil cuti sakit.
 
11. Ambil kesempatan menggunakan anak sebagai alas an.
 
12. Ambil kesempatan masalah rumah tangga sebagai sebab yang macam-macam.
 
13. Dan banyak lagi.
 
14. Selalunya, masalah kesihatan anak dan masalah rumahtangga menimbulkan polemic dan situasi yang tidak boleh disangkal. Ia mudah diputarbelit menjadikan ketua sebagai subjek yang tidak memahami dan zalim.
 
15. Ironinya, sampai bila? Adakah ketua tidak mengalami masalah yang sama walhal ketua juga manusia?
 
16. Pada saya, kalau sudah sampai ke peringkat mengambil kesempatan, tindakan tegas perlu diambil supaya ia tidak menjadi 'wabak yang berjangkit'.
 
17. Persetankan persepsi staf dan masyarakat sekitar tentang kredibiliti tindakan, selagi mana ia betul dan mematuhi peraturan.
 
18. Pengajaran harus diberi.
 
JANGAN AMBIL KESEMPATAN!!!

Wednesday, July 3, 2013

Jangan Salahkan Orang Lain

 
1. Tersentak juga bila ketua menegur tentang kualiti kerja dan kesilapan yang kita lakukan.
 
2. Apa pun, saya cepat-cepat beristighfar dan memohon petunjuk Allah.
 
3. Memang jelas nampak, kesalahannya di pihak kita. Maka kita redha dan buka pintu hati untuk menerima.
 
4. Bukan semua orang boleh menerima teguran. Dalam masa yang sama bukan semua orang menegur dengan ikhlas. Saya masih boleh berbaik sangka.
 
5. Respon terbaik apabila ditegur tentang kesilapan yang nyata kita lakukan secara langsung atau tidak langsung ialah dengan mengucapkan TERIMA KASIH atas teguran itu.
 
6. Tidak selesai masalah jika kita menyalahkan orang lain. Itu benar.
 
7. Tetapi mungkin akan timbul persoalan lain - Why always me?
 
8. Kepada Allah kita berdoa. Semoga putus asa tidak ada dalam kamus hidup.
 
9. Bila saya katakan saya tidak minat kerja. Saya maksudkannya. Memang saya tak minat kerja.
 
10. Saya tak minat kerja dengan orang yang tak mahu bekerja, malas, sambil lewa, kaki ampu, kaki bodek, mengadu domba dan mengelat serta mengulat.
 
11. Hakikat dunia pengurusan pengajian tinggi awam hari ini, bukan semua staf tahu dan faham peranan sebenar mereka dalam menjalankan tugas. Ada yang melakukan kerja, tetapi impak kepada organisasi dan pelanggan tiada.
 
12. Tidak semua staf tahu peranan mereka mendidik pelajar (bukan mengajar) melalui tugas yang mereka lakukan.
 
13. Semoga apabila kita ikhlas, Allah akan tambah reskinya kepada kita.
 
14. Memang benar, kita tak akan tahu apa yang menanti dihadapan. Hanya istiqamah yang mampu memotivasikan kita untuk terus bergerak.
 
15. Kepada Allah saya memohon. Kurniakan saya kekuatan untuk istiqamah.

Wednesday, June 26, 2013

Ilmu Pengurusan Organisasi

Jarang sekali saya repost sesuatu tulisan dari pihak lain ke blog ini. Kecuali jika ia sangat menarik. Seorang rakan letakkan posting ini di laman fb yang dikatakan bertarikh 25 Jun 2013. Saya suka kongsikan kerana ada banyak pengajaran di sebalik cerita ini;

JANGAN BUNUH HANG NADIM NANTI MUNCUL HANG JEBAT!

25 JUN


“Kaedah pengurusan saya ‘simple’. Tegas dan jelas. Yang bekerja dengan baik berikan ganjaran dan yang buat masalah berikan hukuman. Hasilnya… awak tengok syarikat saya sekarang,” kata seorang pengurus sebuah syarikat pembekal makanan halal kepada saya sewaktu kami menghadiri kursus pengurusan dan kepimpinan.

Saya tersenyum, membuka laluan untuknya terus berkata-kata. Sejak dari awal perbualannya sehinggalah sekarang, dia sentiasa mendominasi perbualan.

“Lihat berapa banyak anugerah kecemerlangan yang saya berikan untuk staf. Mereka tentu berpuas hati dan akan memberi pulangan yang tinggi untuk syarikat nanti. Mereka untung dan saya sebagai pemilik syarikat untung. Sama-sama untung.”

“Yang buat masalah, mereka terima akibatnya!”

Saya terus diam. Mencari ruang untuk mencelah yang sejak tadi belum diberikan.

“Berapa ramai pekerja yang kekal sejak awal penubuhan syarikat?” tanya saya mengalih sedikit hala tuju perbualan.

“Bilangan jari. Ramai pekerja baru. Saya tidak bimbang… saya punya kemampuan kewangan untuk mendapat tenaga-tenaga baru. Yang berhenti atau diberhentikan mudah sahaja mencari gantinya.”

“Itu petanda yang tidak berapa elok, “ jolok saya tiba-tiba.

“Mengapa?”

“Jika pekerja kerap bertukar ganti… itu menunjukkan syarikat awak belum berjaya, “ kata saya berlapik.

“Tapi syarikat sentiasa buat keuntungan berganda setiap tahun!”

Saya senyum. Betapa dia hanya fokus kepada keuntungan. Pada hal ukuran pencapaian sesebuah berdasarkan ‘Balance Score Card’ syarikat ada empat – tercapai objektif kewangan, kepuasan pelanggan, proses kerja dalaman yang baik dan faktor pembelajaran dan perkembangan pada warga kerja.

“Awak hanya fokus kepada telur emas tetapi tidak menjaga angsanya,” kilas saya tiba-tiba.

“Maksud awak?”

“Tentu awak pernah dengan cerita angsa bertelur emas. Seekor angsa bertelur emas sebiji sehari. Tuan punya tidak sabar menunggu. Disangkanya dalam perut angsa ada banyak telur lalu angsa itu dibunuh dan dibelah perutnya…”

“Awak tahu apa hasilnya pada pemilik angsa? Telur emas tidak dapat dan angsanya mati. Rugi berganda. Begitulah akibatnya jika hanya fokus kepada produktiviti dan kualiti kerja tetapi menafikan perasaan, jiwa dan kebajikan pekerja,” tambah saya dengan cepat agar penjelasan saya tidak dipotong.

Dahinya berkerut. Nampaknya dia mula berfikir dan cuba memahami input yang saya cuba sampaikan.

“Tetapi saya masih mempunyai beberapa orang pekerja yang setia. Mereka sangat patuh dan sentiasa memberi kerjasama…”

“Awak perlu bijak membezakan antara pekerja yang setia dan pengampu. Di keliling awak kadangkala hanya seorang pengampu bukan yang bijak dan kritis, ” celah saya agak tegas.

“Saya tidak suka orang yang kritis. Bagi saya mereka adalah duri dalam daging. Orang yang menikam kita dari belakang. Mereka seperti ini saya cantas dengan cepat.”

“Itu hak awak. Tetapi syarikat jangan dilihat sebagai organisasi membuat keuntungan sahaja tetapi perlu dijadikan sebagai institusi pendidikan. Kita perlu memberi ilmu, mendidik, mendengar, menghargai, dan jika memimpin pekerja,” kata saya.

“Antara kebijaksanaan dan kesetiaan, saya memilih kesetiaan,” jawabnya.

“Tanpa perhubungan yang erat dan kasih sayang sejati awak akan hilang kedua-duanya…”

“Saya kira saya telah mendapatnya sekarang,” ucapnya sambil tersenyum. Dia kelihatan begitu yakin.

Saya menggelengkan kepala perlahan-lahan.

“Awak hanya akan dapat pengampu yang bekerja tanpa kreativiti dan inovasi. Mereka hanya hebat membuat kerja rutin. Atau pekerja yang takut dan tertekan dalam diam yang kreativitinya tersekat tetapi belum mendapat tempat lain untuk meninggalkan syarikat!” tusuk saya berani.

Dia menggelengkan kepala. Tidak bersetuju.

“Saya percaya kepada ketegasan. Kita perlu jelas bahawa syarikat bukan sekolah berteraskan pendidikan. Syarikat adalah sebuah organisasi bermatlamatkan keuntungan. Awak tidak faham!”

“Itu betul jika dilihat pada ukuran yang biasa. Tetapi awak juga yang menegaskan sejak awal tadi bahawa awak hendak mengurus dan mentadbir syarikat secara Islam. Islam melihat pekerja sebagai matlamat, keuntungan sebagai alat. Berbeza dengan ukuran biasa yang melihat pekerja sebagai alat untuk mendapat keuntungan.”

“Pekerja sebagai matlamat? Maaf, saya tidak faham.”

“Yang paling berharga dalam mana-mana institusi ialah manusianya. Itulah harta yang paling bernilai. Sama seperti sebuah famili… yang bernilai bukan rumah, kereta dan set perabotnya tetapi manusianya, yakni suami, isteri dan anak-anak. Begitulah dalam sebuah syarikat Islamik, yang paling berharga ialah pekerja bukan yang lain.”

“Habis keuntungan tidak penting?”

“Awak jaga angsanya, insyaAllah ia akan bertelur emas setiap hari,” jawab saya pendek.

“Salahkah saya memberi hukuman?”

“Tidak salah. Mana-mana organisasi mesti ada peraturannya. Tetapi hukuman adalah jalan akhir setelah proses perhubungan, penerangan, perbincangan, penjelasan dan komunikasi yang telus dan tulus dilaksanakan.”

“Saya tidak masa untuk itu… saya sibuk mengurus hal yang lain.”

“Awak seorang pemimpin atau seorang pengurus?” tanya saya.

“Saya pemimpin syarikat ini!”

“Pemimpin perlu fokus kepada manusia. Hanya pengurus yang fokus kepada sistem. Pemimpin perlu mendekati, memberi ruang dan peluang untuk pekerja didengari, bermesra dan menyayangi pekerja. Paling penting, kasih sayang. Kita boleh menyayangi tanpa memimpin tetapi kita tidak boleh memimpin tanpa menyayangi.”

“Jadi tak perlu hukuman?”

“Peraturan ditambah undang-undang tetapi tanpa kasih sayang hanya akan mencetuskan pemberontakan!” jawab saya jelas.

“Pemberontakan telah saya padamkan…”

“Yang nampak boleh awak padamkan. Tetapi bagaimana yang terpendam?”

“Yang terpendam biarkanlah. Itu hak mereka. Asal jangan buat tidak senonoh dalam syarikat…”

Saya senyum. Seronok berbincang dengan orang yang berbeza ‘school of thought’ begitu. Kita akan dapat corak fikiran yang berbeza.

“Yang terpendam sebenarnya lebih berbahaya. Mereka akan membatas daya kreativiti dan produktiviti. Mereka akan bekerja di bawah batas kemampuan dan kebijaksanaan. Melaksanakan bekerja tanpa keghairahan dan semangat berpasukan yang tinggi. Nak mengampu mereka tak tega, nak memberi pandangan takut pula jadi Hang Nadim.”

“Hang Nadim?”

“Hang Nadim adalah kanak-kanak bijak dalam cerita Singapura dilanggar todak. Dia boleh berfikir secara kreatif. Think outside the box, kata orang sekarang. Daripada berkubukan betis baik berkubukan batang pisang. Itu pemikiran strategiknya. Akhirnya, Singapura selamat tetapi Hang Nadim tidak selamat.”

“ Apa terjadi kepada Hang Nadim?”

“Dibunuh raja. Kalau masih kanak-kanak sudah begitu bijak, apalagi kalau sudah dewasa nanti, fikir raja. Aku boleh dilawannya, lalu Hang Nadim dihukum bunuh!” kata saya.

Mahu sahaja saya menyoal, berapa ramai ‘Hang Nadim’ yang telah awak ‘bunuh’ dalam syarikat awak? Setelah habis manis, sepahnya dibuang. Namun, tidak tergamak saya bertanya demikian. Tidak berakhlak.

“Tetapi saya tidak begitu. Saya hanya menghukum yang salah, bukan yang bijak.”

“Tidak salah menghukum tetapi pemimpin perlu mendidik dahulu sebelum menghukum. Tanya dan dengarlah penjelasannya. Jangan dengar daripada pengampu. Jika kesalahan dalam bentuk fizikal dan material, dapat hujah nyata atau bukti-bukti yang tertulis. Jika kesalahan dalam bentuk kata-kata dan sikap datangkan saksi yang adil. Jangan bunuh Hang Nadim, nanti muncul Hang Jebat ”

“Wah macam mahkamah pula. Tadi macam sekolah.”

“Seorang pemimpin lebih rela disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Takutilah doa orang yang zalim. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman!”

“Saya bukan seorang pemimpin negara… saya hanya pemimpin syarikat perniagaan.”

“Sekalipun pemimpin di skala yang paling kecil, semua pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Hendak dengar cerita burung dan ulat?”

Dia memalingkan wajahnya. Tetapi saya terus berkata, “semasa burung hidup dia memakan ulat tetapi apabila burung mati, dia pula yang dimakan ulat. Kita tidak selamanya di atas… walaupun sekarang kita terus menaik ke atas. Mungkin itu hanya untuk meninggikan tempat kita jatuh. Lebih tinggi, lebih sakit nanti. Berhati-hatilah…”

Tuesday, June 18, 2013

Bersyukur Saat Diuji

1. Ini tajuk sebuah buku. Tulisan Prof. Dr. Mohd Kamil Ibrahim.

2. Kepada Allah saya bersyukur.

3. Kepada Allah saya berterima kasih.

4. Kerana memberikan ilham sehingga saya barangkali menjadi antara pembaca awal buku tersebut sewaktu ia diterbitkan.

5. Kerana buku tersebut memberikan asas yang baik kepada saya tentang maksud ujian Allah. Kerana buku itu meninggalkan sesuatu di hati saya. Kerana buku itu, saya masih bertahan ketika ini.

6. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana masih diberikan kesihatan dan kewarasan minda.

7. Itu membolehkan saya bangun setiap pagi dan memilih apa yang mahu saya lakukan.

8. Syukur Alhamdulillah, kerja saya yang Allah tetapkan setakat ini tidak membuka ruang dan peluang kepada RASUAH.

9. Saya masih boleh membezakan antara dosa dan pahala, antara betul dan salah, antara baik dan buruk. Alhamdulillah.

10. Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Apa yang pasti, ia sesuatu perlakuan yang tidak baik. Salah guna kuasa juga adalah satu perbuatan tidak baik yang boleh berlaku jika hilang pedoman dan bimbingan Allah SWT.

11. Sekali lagi saya bersyukur kepada Allah, sekurang-kurangnya apa yang saya ada hari ini adalah kurniaan Allah hasil titik peluh dan usaha saya dan isteri. Usaha kami dan kerja kuat kami.

12. Oleh kerana ia kurniaan Allah, kepada Allah tempat kita berterima kasih. Kepada Allah kita meminta supaya reski yang ada dilipatganda dan dipermudahkan seperti mana bacaan doa waktu Dhuha.

13. Kita bimbang jika apa yang Allah berikan ini hanya pinjaman sementara.

14. Saya bimbang jika Allah tarik balik kesemuanya atau sebahagiannya.

15. Oleh itu, saya berdoa kepada Allah semoga saya dan keluarga tidak mendatangkan murka kepada Allah. Dan semoga perlindungan Allah sentiasa diberikan kepada saya dan keluarga.

16. Ya ALLAH, kau sucikanlah reski yang kau berikan kepada kami ini sejak dulu, hari ini, esok dan selamanya. Amin.

Thursday, June 13, 2013

Akibatnya Bila Tidak Lagi Positif

1. Pada 27 Mac 2013, saya pernah menulis tentang Menjadi Positif.
 
2. Sebab?
 
3. Minat terhadap kerja dan apa yang saya lakukan semakin merudum. Merosot ke peringkat yang paling rendah.
 
4. Hari ini selepas asakan bertali arus, kritikan, serangan, cercaan dan pelbagai usaha jahat dan iri hati serta tidak kena pada tempatnya.................perkataan positif sudah hampir tiada dalam diri saya.
 
5. Hasilnya kini, saya tak minat kerja.
 
6. Setidak-tidaknya, saya masih datang ke pejabat dan menjadi manusia antara jam 8 pagi hingga 5 petang. Tetapi tiada lagi kesungguhan atau keriangan untuk saya teruskan kerja dengan cara tersendiri dan bersungguh-sungguh.
 
7. Mengapa?
 
8. Kerana apa saja yang saya buat semua tak cukup, semua tak kena, semua tak betul! Padahal standard yang ditetapkan memang level 'taik'.
 
9. Ini standard baru? Ini baru standard. Yesssss....................'taik' punya standard.
 
10. Tahniah kepada mereka yang mahu melihat saya 'jatuh'. Puas hati kan? Ini yang anda mahu, ini yang anda sangka dan harapkan. Sekarang saya sudah tidak peduli lagi. Saya tak minat kerja.

Monday, May 13, 2013

Bercinta pada yang sudi. Berkasih pada yang sayang. Berbudi pada yang ?


PUAS SUDAH MENANAM UBI
NENAS JUGA DIBELI ORANG
PUAS SUDAH MENABUR BUDI
EMAS JUGA DIPANDANG ORANG
 
1.     Ia satu pantun lama yang sangat signifikan sehingga hari ini.
2.     Tentang harga sebuah perbuatan baik yang tidak dihargai dibandingkan dengan EMAS. Dalam konteks ini EMAS dijadikan analogi untuk wang ringgit, kemewahan, materialis dan lain-lain.
3.     Ini konsep budaya dan cara hidup. Apabila kita berkorban, pengorbanan kita tidak dihargai. Apabila melakukan sesuatu dengan sepenuh hati, kesalahan juga yang dicari. Kita rasa putus asa.  
4.     Kerana keadaan inilah, masyarakat rosak dan pincang. Bila mana wang dan kemewahan menjadi matlamat. Rasuah akan terus menjadi-jadi.
5.     Tak usahlah kita bercakap soal kompetensi, meritokrasi dan pencapaian kalau itu semua boleh dibeli.
6.     Betul juga la, kalau berbudi kepada haiwan, lambat atau cepat satu hari nanti kita akan digigit juga!
7.     Ada dua keadaan yang nyata di sini. Pertama haiwan sebenar. Kalau haiwan jinak seperti kucing sekali pun, lambat atau cepat dia akan tetap menggigit tuannya samada melepas geram kerana sesuatu atau gigit sekadar nak bermanja. Perbuatan itu tetap dipanggil ‘menggigit’!
8.     Kedua manusia yang berperangai haiwan. Pada sesetengah keadaan disebut manusia bertopeng haiwan. Sama sahaja. Manusia jenis ini tak sepatutnya dibuat baik. Kerana penyudahnya, kita juga yang akan ditempelak. Perbuatan sia-sia seperti mencurah air ke daun keladi.
9.     Justeru itu kepada siapa budi yang baik patut kita laksanakan?
10.  Dulu sekitar tahun 80an ada rancangan drama radio – Budi Disemai Bakti Dituai. Orang muda mungkin tak tahu, yang tak berapa muda barangkali pernah mengikutinya.
 
 

Sunday, April 21, 2013

Bantuan Yang Kecil Di Mata Kita, Besar Buat Mereka

1. Siapa yang tidak setuju dengan tajuk posting ini bukan?
 
2. Ia ungkapan tepat.
 
3. Manfaat buat kumpulan rakyat berpendapatan rendah. Dengan pelbagai bentuk bantuan untuk mereka hidup lebih selesa.
 
4. Tak perlu saya nyatakan apa dia jenis dan bentuk bantuan itu, kerana ia bukan lagi rahsia kepada mereka terutama dari kalangan yang berpendapatan RM3000 ke bawah.
 
5. Tidak dilupakan, kumpulan rakyat di atas juga turut mendapat pelabagai keistimewaan. Ia bukan dalam bentuk 'bantuan' tetapi lebih kepada pelbagai insentif. Terutama kepada golongan peniaga.
 
6. Jika tidak masakan mantan Menteri Kewangan Kedua pernah membuat kenyataan sekitar Feb-Mac 2013 lalu bahawa jumlah kekayaan individu di Malaysia mencecah RM330 million!
 
7. Soalnya, apakah 'bantuan' kepada rakyat kumpulan pertengahan?
 
8. Mereka tidak membebankan kerajaan untuk menjadi penerima bantuan.
 
9. Mereka juga tidak menerima apa-apa insentif dalam bentuk kemudahan perniagaan dan urusniaga misalnya kerana kebanyakan rakyat kumpulan pertengahan adalah mereka yang mempunyai kerjaya tetap di sektor swasta atau kerajaan sebagai orang yang makan gaji.
 
10. Inilah kalangan rakyat Malaysia yang dulunya waktu sekolah jadi budak pandai. Masuk universiti, ada kelulusan tinggi.
 
11. Dengan usaha itu, dapatlah bina kerjaya dengan pekerjaan dan gaji yang baik untuk sara hidup dan bina keluarga.
 
12. Akan tetapi kurang 'adil' barangkali, kalau mereka ini pula dipinggirkan dari sebarang bentuk 'bantuan istimewa' sebaliknya kena pula membayar cukai pendapatan dan pelbagai bayaran utiliti tanpa ada sebarang bentuk insentif! Wallahuallam.
 
 

Saturday, April 13, 2013

Paradigma Tauhid

1. Saya ditanya, "Adakah anda bersedia menjadi role model dalam merealisasikan Paradigma Tauhid?".

2. Ia soalan yang mudah. Tapi datang dengan jawapan yang memungkinkan pelbagai akibat.

3. Saya menjawab dengan yakin, YA!

4. Apakah Paradigma Taudhid? Ia adalah taat setia dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah SWT dan rasa cinta kepada Rasullullah SAW. Kerana apa juga yang saya lakukan selama ini semata-mata kerana Allah, dan bukan orang tertentu atau sebab lain yang tertentu, maka saya dengan jelas memilih jawapan YA.

5. Kalau tidak, pasti dah lama saya merajuk, bawa diri. Dah macam-macam orang buat kepada saya, dan isteri saya. Ini dalam konteks kerja dan kerjaya. Tapi saya masih setia dengan pekerjaan saya, sedikit pon saya tidak berganjak dari prinsip menghormati ketua dan melakukan yang terbaik dalam pekerjaan.

6. Jika ada yang mengatakan saya tidak layak, penjelasan saya mudah.

7. Setiap orang sepatutnya mempunyai hasrat dan keinginan untuk menjadi baik dan berbuat baik. Kita menjaga hubungan dengan tuhan, Allah SWT dan hubungan sesama manusia melalui ibadat, kerja dan aktiviti harian.

8. Kalau ada yang rasa saya keterlaluan, terpulanglah.

9. Kerana jika ada yang rasa dia tak mahu menjadi role model dalam Paradigma Tauhid, saya sifatkan mereka tidak ikhlas dalam kerja seharian, dan mungkin banyak silap dengan Allah atau sesama manusia.

10. Mungkin!

11. Saya sendiri tidak pasti. Tapi pasti ada penjelasan yang logik. Selama boleh dan selagi boleh, kita buatlah yg terbaik dan berbuat baik dimana juga berada dan apa juga yang kita lakukan.

12. Wallahuallam.

Wednesday, March 27, 2013

Menjadi Positif

I learn a lot from Captain John H. Miller by this powerful quotes : "I don't gripe to you, Reiben. I'm a captain. There's a chain of command. Gripes go up, not down. Always up. You gripe to me, I gripe to my superior officer, so on, so on, and so on. I don't gripe to you. I don't gripe in front of you. You should know that as a Ranger".

1. Bukan mudah menjadi seorang manusia yang positif.

2. Lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang negatif. Dipenuhi pengaruh jahat yang mencabar dan menggugat keimanan.

3. Saat nak menulis posting ini juga rasa dan perasaan sangat malas

4. Kerana mahu melawan perasaan negatif itu, jari jemari digagahkan juga untuk menaip dan menulis luahan hati.

5. Kerana semuanya tersimpan dalam hati. Maka yang dinukilkan ini ialah luahan hati.

6. Menjadi modal insan yang berfikiran positif adalah aset yang tidak ternilai kepada organisasi. Apatah lagi jika modal insan tu ialah seorang ketua yang berkeupayaan memimpin.

7. Memimpin merupakan kemahiran mempengaruhi dan membimbing yang memerlukan kekuatan untuk menggerakkan insan lain untuk bekerja ke arah satu matlamat yang sama.

8. Tentunya matlamat yang sama itu harus bersandar kepada sesuatu yang positif.

9. Satu-satunya semangat yang membuatkan saya masih menjadi positif ialah kerana sikap "being different"!

10. Kerana hanya usaha yang luar biasa sahaja akan menghasilkan keberhasilan yang luar biasa. Sayangnya, bukan semua faham.

Saturday, March 16, 2013

"Nanti Saya Check!"

1. Pengurusan dan tadbir urus adalah satu proses berterusan yang memerlukan kemahiran individu seorang manusia hebat bernama ketua.

2. Ada ketikanya, koordinasi ketua dalam mengurus dan mentadbir memerlukan komitmen semua subordinat.

3. Ada banyak sumber yang terlibat perlu digerakkan. Ada ketikanya, ia digerakkan sederap.

4. Empat fungsi pengurusan itu sendiri sepatutnya menjadi asas buat seorang pengurus tidak kira di peringkat mana juga pengurusan itu terlibat.

5. Malangnya, bukan semua manusia bergelar pengurus tahu dan faham fungsi asas pengurusan iaitu merancang, mengatur, memimpin dan mengawal.

6. Nak mudah, ingat dalam Bahasa Inggeris empat huruf ni POLC - planning, organizing, leading, controlling.

7. Pelik kalau dalam sebuah organisasi pekerjaan, seorang pengurus yang sudah lama bekerja hanya boleh memberikan jawapan "saya akan check" kepada apa juga soalan yang diajukan.

8. Jawapan seperti ini sebenarnya hanya membuktikan bahawa pengurus itu 'tidak cukup berfikir' atau berfikir setengah masak.

9. Apakan tidak? Seorang pengurus bukan kan perlu tahu, perkara yang paling asas iaitu merancang tugas yang dilakukan. Kemudiannya mengatur strategi perlaksanaan. Selepas itu memimpin sumber tidak kira ianya sumber manusia, bahan mentah, informasi atau apa sahaja. Akhir sekali ia patut tahu mengawal keadaan dan situasi supaya semuanya dalam kawalan. Inilah faktor kejayaan pengurusan seorang pengurus yang 'buat kerja'.

10. Disini pentingnya peranan 'superior' di peringkat atasan. Perlu celik mata hati supaya tidak membiarkan 'ahli pasukan' yang menjadi 'penumpang' seumpama ini menjadi parasit organisasi yang merosakkan zat-zat kehebatan dan kelancaran tadbir urus.

11. Mungkin juga superior turut mengamalkan pengurusan jenis "nanti saya check?".

12. Jika betul, tidak mustahil situasi tidak efisyen seperti ini terus dibiarkan dalam organisasi. Wallahuallam.

Wednesday, February 6, 2013

Tambah Nasi


1. Secara realiti, makan kalau sampai tambah nasi maknanya berselera.

2. Mungkin kerana lapar, atau juga kerana masakan yang lazat!

3. Hakikatnya makan sampai tambah nasi secara berlebihan tidak berapa baik untuk kesihatan. Maklumlah, nasi adalah ejen karbohidrat. Pengambilan secara berlebihan boleh membawa kepada obesiti.

4. Macam itu jugak orang kalau perangainya suka 'tambah nasi'.

5. Menyibuk tak tentu pasal, seronok tambah nasi sebab tak kena pada batang hidung sendiri. Sekadar menyibuk atau menyampuk.

6. Perangai tambah nasi ni memang tak baik untuk sebuah organisasi. Orang pun tak suka.

7. Bawa-bawalah bertaubat. Selawat ke atas nabi banyak-banyak, jangan seronok sangat mengenakan orang.

 

Monday, February 4, 2013

Reason dan Result

1. Ini ialah teori motivasi.

2. Analogi kesan-akibat yang mudah untuk membezakan orang yang gagal dan orang yang berjaya.

3. Mudah untuk difahami dan menjadi panduan kehidupan.

4. Secara relatif, orang yang berjaya akan menunjukkan hasil demi hasil. Ini disebut sebagai result, yang akan menjadi bukti kehabatan dan kejayaan sesuatu perkara, pekerjaan atau kepercayaan.

5. Manakala dengan mudah kita akan dapati orang yang gagal akan memberikan alasan demi alasan serta pelbagai lagi alasan sebagai menunjukkan kelemahan dan kekurangan tapi akan disalahkan semua faktor disekelilingnya.

6. Sebagai cerdik pandai, kita seharusnya tahu membezakan antara oarang yang berjaya dan orang yang gagal.

7. Bukanlah langsung tidak boleh gagal dalam hidup ini. Akan tetapi biarlah ia datang dengan sebab yang kukuh dan bukan alasan murahan. Bukankah ada beza antara sebab dan alasan?

8. Hanya mereka yang betul-betul cerdik pandai dapat membezakan antara keduanya.

9. Ironinya, mereka yang cerdik pandai belum tentu cukup ilmu untuk menilai. Ada ketikanya, cerdik pandai dan berilmu sekali pun, ditakdirkan buta mata hati pula!

10. Sepatutnya tidak ada tempat untuk menerima alasan, apatah lagi alasan rekayasa yang murahan. Fikir-fikirkanlah.

Saturday, January 26, 2013

Profesional Seorang Hipokrit

1. Saya pernah menulis pada status fb lebih kurang maksud saya, profesionalisme menjadikan seorang hipokrit itu lebih profesional.

2. Sebenarnya ini resipi kejayaan.

3. Terkadang saya pelik. Saya juga mushkil. Masih ada mereka yang berjaya dalam hidup, terutama dalam kerjaya dengan menggunakan resipi ini. Berpangkat besar, dapat kedudukan yang baik, malah dinaikkan pangkat dan mendapat pujian ketua hanya kerana resipi itu menjadi sebahagian dari hidupnya.

4. Adakah saya perlu menjadi seorang yang profesional atau hipokrit?

5. Namun saya tetap yakin dengan ayat Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya, maka seseungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar".

(Surah Al-Ahzab, ayat 70-71)

6. Tambahan pula Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadisnya, `Berkatalah yang benar walaupun pahit` dan Baginda juga bersabda yang bermaksud `Sebaik-baik jihad ialah berkata benar walaupun dihadapan Raja yang zalim`.

7. Pada saya, hidup biar ada prinsip.

8. Seringkali juga saya ditegur oleh rakan dan ahli keluarga, kerana prinsip saya. Juga saya pernah hilang kawan, kerana prinsip saya yang suka berterus terang.

9. Saya tak kisah langsung, kerana saya yakin berada di pihak yang benar.

10. Memilih untuk bercakap buruk di belakang, memang seronok. Tapi ia tidak langsung menyelesaikan masalah.

11. Tatkala ramai yang berperangai begitu, saya selesa dengan diri saya. Kepada Allah saya berdoa agar kebenaran ditegakkan. Agar hidayah berdasarkan ayat suci Allah dan hadis nabi disedari oleh semua umat manusia. Supaya mereka tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

12. Kita perlu menjadi seorang yang profesional, terutama dalam tugas dan kerjaya. Bukan sekadar profesional, tapi produktif dan inovatif. Tetapi saya yakin, profesional tak perlu sampai ke tahap hipokrit.



Saturday, January 5, 2013

Kerja Sebagai Ibadah Dalam Perkhidmatan Awam

1. Umumnya konsep kerja sebagai ibadah sudah lama diperkatakan. Tidak terhad kepada perkhidmatan awam, malahan dalam apa juga bidang pekerjaan.

2. Modal insan yang cekap, cepat dan tepat dalam melaksanakan tugasnya menjadiidaman setiap majikan. Hasil kerja yang baik menjadi amal soleh dan ibadah kepada Allah.

3. Majoriti penjawat awam adalah dari kalangan orang Melayu yang 100% beragama Islam. Ini menjadikan ada organisasi atau pejabat kerajaan yang mempunyai modal insan di kalangan orang Melayu sepenuhnya.

4. Sebagai Muslim, sepatutnya komitmen terhadap tugas tidak menjadi maslah dengan andaian semua staf faham konsep kerja sebagai ibadah.

5. Sebaliknya, organisasi dengan majoriti staf Melayu biasanya lebih bermasalah. Staf malas, tuang kerja, menipu sijil sakit, menangguh kerja,membuat tuntutan palsu, tidak produktif, lepas tangan, gossip, dan banyak masalah lain akan menjadi satu senario biasa.

6. Mengapa begitu yer?

7. Adakah ini menunjukkan orang Melayu sekarang sudah buta agama? Lari dari cara hidup Islam yang sebenarnya? Tidak menghayati falsafah solat dan ibadah lain dalam kehidupan seharian?

8. Jika begitu duduk perkaranya, ini menjadi masalah dan barah yang akan merugikan perkhidmatan awam dan kerajaan.

9. Kita bimbang, survival perkhidmatan awam yang selama ni menjadi sumber rezeki segelintir rakyat tidak akan bertahan.

Thursday, January 3, 2013

Banding dan Membandingkan

1. Ia satu situasi dengan emosi yang pelbagai.

2. Pada satu keadaan, membandingkan seorang dengan seseorang boleh melahirkan emosi yang baik kepada seseorang, terutama dalam konteks modal insan cemerlang.

3. Namun tatkala perbandingan dilakukan untuk membandingkan betapa buruk seseorang modal insan dengan seseorang yang jauh lebih baik, ia boleh mengundang rasa kurang senang dan emosi yang meruntun jiwa.

4. Perbandingan tidak selalunya baik. Namun ada ketikanya ia perlu.

5. Apa yang membimbangkan, tidak semua manusia suka apabila dirinya diperbandingkan. Apatah lagi kalau dia berada di pihak yang tidak baik.

6. Mungkin mudah menasihatkan untuk memandang positif setiap perbandingan itu. Namun iman dan hati antara manusia membezakan penerimaan. Fikrah manusia, suka kepada puji-pujian.

7. Subhanallah.

8. Semoga Allah SWT akan mempermudahkan urusan kita dan meredhai kita dari kehancuran yang boleh memudaratkan imej dan nama baik. Kerana reputasi sebagai manusia tidak mudah untuk dibina. Biarpun siapa kita di sisi Allah adalah paling mustahak, tetapi hablul minannas juga penting kerana setiap manusia itu adalah khalifah.

9. Kepada Allah kita berdoa. Syukur Alhamdulillah ya Allah, atas keberkatanMu kepada ku. Amin.