Wednesday, November 25, 2009

Perubahan Persepsi Terhadap Program BTN

1. Ada hikmahnya bila kerajaan Selangor mengharamkan kursus BTN kepada ‘warga’ mereka. Ini bukti bahawa ALLAH SWT maha kaya dan maha mengetahui. Usaha yang baik pasti diberkati ALLAH SWT, tambahan pula kalau pihak yang mengusahakan kebaikan memohon keredhaanNya.

2. Setidaknya sekarang semua perhatian tertumpu pada BTN. Semua tertanya-tanya kenapa. Semua mengimbau semula pengalaman menghadiri kursus BTN sama ada pada zaman sekolah atau di alam pekerjaan hatta mereka yang bakal menghadirinya. Evolusi kursus BTN sejak zaman saya sekolah sampai ke hari ini memberikan pengalaman yang pelbagai. Saya yakin dan percaya ramai yang mengalami pengalaman tersebut. Pengalaman itu membawa kepada persepsi.


3. Pada saya, pengalamannya seronok. BTN menyedarkan saya tentang potensi diri untuk menjadi pelajar cemerlang sewaktu di tingkatan 4 bila saya hadiri kursus BTN di Alor Gajah, Melaka. Ketua Jurulatih masa tu Pak Abu. Selepas lebih 10 tahun saya terjumpa Pak Abu di Kem BTN Ulu Sepri, Negeri Sembilan sewaktu menghadiri bagi tujuan SSM. Beliau kelihatan kurus sedikit tapi masih ‘hensem’. Bangga dia bila saya tegur dan katakan yang saya pernah menghadiri kursus seliaannya sejak masih di sekolah lagi.

4. Saya melihat BTN berjasa kepada saya. Menyedarkan saya tentang hakikat kehidupan dan kasih sayang ibu bapa. Sekarang saya sudah ada pekerjaan yang baik dan keluarga yang bahagia. Syukur Alhamdulillah.


5. Pandangan peribadi saya, tak wajar bila ada pihak yang haramkan kursus BTN. Tambahan pula jika tujuannya hanya atas matlamat politik. Sebab saya kata begitu ialah, mereka sebenarnya mengakui ‘format’ kursus tersebut baik. Kalau tidak masakan kursus BTN ‘digantikan’ dengan kursus lain oleh pihak konsultan?

6. Inilah aspek Spiritual Capital yang mahu dibina dalam diri setiap insan dan BTN hanya sebagai agensi pelaksana. Mereka tak salah. Tenaga Penggerak, Fasilitator dan warga BTN yang terlibat dalam kursus hanya menyampaikan fakta, bukan auta.


7. Fakta tak pernah menipu. Mereka berkongsi fakta sejarah. Mereka menyedarkan peserta kursus tentang hakikat kehidupan di Malaysia. Mereka menyedarkan tentang realiti yang sepatutnya kita hadapi. Fakta tak menipu, yang menipu ni orang yang memanipulasi fakta. Kita cari si ‘penipu’ ni dan mereka ni la yang sepatutnya ‘diharamkan’. Bukan kursus BTN.

8. Di pihak BTN, sabar la. Teruskan perjuangan kerana perjuangan kita memartabatkan agama, bangsa dan negara tidak akan berakhir. Cuma saya suka untuk berikan cadangan penambahbaikan. Dah sampai masanya BTN mempunyai kakitangan selaku Tenaga Penggerak atau Fasilitator dari kumpulan bukan Melayu. Sekarang majoriti mereka Melayu.

9. BTN akan lebih berjaya bila ada fasilitator dari kumpulan profesional yang bukan Melayu. Fasilitator BTN selalunya diambil secara sambilan dari kumpulan profesional dan mereka yang hebat latar belakangnya. Paling tidak pun pesara kerajaan dengan jawatan akhir yang hebat. Kenapa tak libatkan rakan-rakan kita dari bangsa lain? Mereka akan jadi jurucakap BTN. Tak perlu BTN mempertahankan diri mengatakan mereka betul, mereka baik dan mereka relevan. Saya sifatkan ini sebagai satu bentuk strategi.

10. Dengan kehadiran mereka, BTN tidak akan dilihat sebagai satu program untuk memelayukan peserta tetapi lebih kepada merakyatkan rakyat Malaysia yang mungkin sudah lupa kepada fakta dan sejarah. Untuk semua rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa mereka. Bukankah ini satu yang baik?


11. Di pihak pengurusan tertinggi BTN pula, sudah masanya skim perjawatan staf BTN dikaji dan diteliti dengan serius. Jangan kita lupakan staf BTN yang sudah bertahun-tahun kerja tapi masih dalam skim ‘kontrak’. Mereka pun mahu berkeluarga, membeli rumah dan harta. Sampai bila nak jadi staf kontrak?

12. Dengan skim perjawatan yang kurang menarik, hanya menyebabkan mereka meninggalkan BTN kalau dapat tawaran yang lebih baik. Rugi la, bukan mudah nak melatih pegawai dan kakitangan yang faham aliran dan matlamat perjuangan BTN. Ia mengambil masa. BTN sepatutnya boleh memohon dari JPA untuk mempunyai skim perjawatan mereka sendiri. Dengan skim perjawatan yang baik, semua rakyat Malaysia akan berminat memohon dan jadi staf BTN. Barulah keadaan kena pada tempatnya dan BTN sendiri terhindar dari fitnah atau cakap-cakap belakang yang tidak baik. Ini semua cadangan saya sahaja, saya mungkin salah tapi sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan agama, bangsa dan negara, saya mohon mencadang. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment