Wednesday, April 29, 2009

Falsafah Pak Pandir - Yang Remeh Temeh

1. Masih ingat lagi dengan keletah Pak Pandir yang popular dengan lagunya Yang Remeh Temeh? Lagu itu diangkat sebagai Juara Kategori Irama Malaysia pada pertandingan Juara Lagu Tahun 1992. Kita hayati bait-bait liriknya;

Ada mata pandang
Ada telinga dengar
Ada mulut diam
Ada tangan garu
Ada kaki goyang
Ada otak pandai
Ada akal pakai
Ada bijak gadai
Ada mata pejam
Ada mulut kunyah
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekeliling mu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekeliling mu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu
Rela jadi tunggul
Rela jadi patung
Tunggu dilelong
Suruh angguk-angguk
Suruh geleng-geleng
Oh puji lah aku
Ampu lah aku
Senang hidup mu
Ada tangan tadah
Ada maruah campak

2. Sebelum itu kita soroti siapa Pak Pandir?

3. Penyanyi ini membawa imej seorang tua. Namun saya yakin usia sebenarnya jauh lebih muda dari imej yang di bawa. Sekarang penyanyi ini sudah menyepi tanpa khabar berita. Mungkin Melodi boleh suruh Michelle “Serkap” di mana Pak Pandir sekarang atau Nas Ahmad boleh “Terjah” apa yang sedang dibuat oleh Pak Pandir?


4. Pada saya lirik lagu ini membawa maksud yang tersirat tentang kehidupan. Beliau menceritakan ragam sesetengah manusia yang hidup dalam kepura-puraan. Sanggup membutakan mata, memekakkan telinga dan mengikut telunjuk pihak tertentu walau pun hakikatnya jauh dari nyata.

5. Inilah hakikat hidup. Kalau mahu selamat, kita perlu menari ikut rentak lagu. Berlakon mengikut skrip yang ditetapkan. Walau pada hakikatnya ada yang tidak kena pada mata sekali pun, kita perlu mengikut kalau mahu diterima umum.


6. Jika tidak kita akan dipinggir. Kita dilihat sebagai pelik dan anti pembangunan.

7. Mungkin pada sesetengah pihak, ini perkara “remeh temeh”.


8. Tapi jangan lupa. Perkara yang remeh temeh atau kecil-kecil ini boleh menjadi besar kalau tidak ditangani dengan baik.

9. Kita jangan nafikan bahawa tamadun yang besar di dunia ini juga pernah runtuh hanya kerana perkara-perkara kecil. Seorang jeneral yang hebat dengan bala tentera yang besar pun dibuktikan oleh sejarah pernah tewas dalam perang hanya kerana salah dalam strategi disebabkan perkara-perkara kecil.

10. Tesis PhD yang sarat dengan kajian ilmiah, huraian yang analitikal dan penemuan-penemuan baru boleh ditolak hanya kerana kesilapan pada format penulisan, margin dan binding.

11. Kita set piawaian, tapi kita sendiri tak ikut, maka runtuhlah sistem!


12. Inilah kesan besar kepada perkara-perkara yang kita anggap kecil. Sebab itu, jangan kita anggap perkara yang remeh itu kecil dan perkara yang kecil itu remeh. Hargailah mereka yang teliti dalam kerjanya kerana ketelitian tidak ada pada semua orang. Paling penting untuk kita bertanya, adakah aku ini teliti orangnya?

Sunday, April 26, 2009

Memberi Pertolongan

1. Kamus Dewan mendefinisikan pertolongan sebagai perihal (perbuatan dsb) menolong, sesuatu (yg digunakan) utk menolong, bantuan, sokongan: dgn rahmat dan ~ Allah; ~ cemas pertolongan yg mula-mula dilakukan bagi merawat seseorang yg mendapat kecederaan (akibat kemalangan dsb);

2. Maknanya pertolongan adalah suatu khidmat mulia yang kita berikan kepada mereka yang memerlukan.

3. Pepatah Melayu juga banyak menyentuh tentang perkara ini. Antaranya tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Bermaksud, orang yang memberikan pertolongan itu secara relatifnya lebih mulia hati dan budinya kerana membantu orang yang ditolongnya tadi.

4. Akan tetapi, pertolongan harus datang dengan keperluan, iaitu orang yang mahu ditolong benar-benar memerlukan pertolongan. Jika tidak ia tidak akan dihargai dan kita juga yang sakit hati ibarat pinggan tak retak nasi tak dingin, orang tak hendak aku tak hingin.

5. Jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai. Itulah ibaratnya sesuatu pertolongan dan perbuatan baik yang hendak kita berikan jangan sampai disalah tafsir akan kebaikannya atau lebih penting lagi jangan sampai ia tidak dinilai dengan satu pemberat yang betul. Pastinya kita lebih arif sesuatu tujuan atau matlamat dalam perbuatan.

6. Simpati dan kasihan adalah rasa mulia yang ada dalam diri manusia-manusia yang dididik dan diasuh supaya sentiasa berbaik sangka dan bantu membantu sesama manusia. Inilah kesempurnaan didikan sewaktu kecil yang dimainkan oleh keluarga.

7. Tetapi kita mesti ingat, bukan semua orang sempurna dan cukup didikan serta asuhan sewaktu kecil atau masih belum cukup diasuh supaya menghargai sesuatu perkara di dunia ini.

8. Lebih tepat, bukan semua orang tahu adat berbudi seperti kata pepatah orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

9. Sedih juga bila ramai orang hari ini bersifat individualistik. Pentingkan diri sendiri tetapi mengharapkan orang lain menyempurnakan kepentingan dirinya sendiri. Untuk dia membantu jauh sekali!

10. Lebih teruk lagi bila ada yang menjadi seperti si buta mematah tongkat.

11. Bukanlah saya sengaja hendak mencari silap ibarat kata pepatah sengaja bercekak pinggang, tinggallah rebana beralih ke gelanggang, tak tahu pipit tak tahu enggang, yang rapat kelak menjadi renggang. Tetapi biarlah keadaan itu kena pada tempatnya.

12. Saya masih ingat pesanan seorang rakan yang ibunya pandai masak nasi beriani udang - paling sedap pernah saya makan. Katanya, kalau hendak menolong orang, biarlah apabila orang itu meminta pertolongan kita dan jangan sewenang-wenangnya memberikan pertolongan bila orang tak minta. Bukan kita ni kedekut atau berkira, tapi supaya orang tu lebih menghargai apa yang kita tolong.

13. Nyata sekali, betul dan relevan sungguh kata-katanya itu.

14. Hidup akan lebih bahagia kalau kita saling bantu membantu dan tolong menolong. Tetapi kesucian dan kebersihan hati manusia yang menolong atau ditolong hanya Allah sahaja yang tahu.

15. Sebab itu, pandangan mata hati tidak ada pada semua manusia. Fikirkanlah.

Tuesday, April 14, 2009

Fokus

1. Fokus ialah penumpuan kepada sesuatu perkara, bidang atau perbuatan yang dengan sebab itu menjadikannya seorang yang mahir atau pakar rujuk yang hebat dalam perkara, bidang atau perbuatan tersebut.

2. Ini definisi spontan dari minda saya tentang perkataan fokus.

3. Dalam hidup saya bila bercakap tentang fokus saya ingin berterima kasih kepada manusia ini - Badrul Illahan Abdul Jabar.

4. Terima kasih Encik Badrul.

5. Saya kenal Encik Badrul sewaktu praktikal di Wisma Putra tahun 2001. Waktu tu beliau sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Penerangan Luar.

6. Ini mentor saya, orangnya rajin, kuat bekerja, sangat membantu dalam memberi tunjuk ajar. Paling istimewa ialah split personality beliau. Cepat bertukar 'topi' sewaktu di pejabat mengikut peranan dan situasi.

7. Pernah apabila beliau memberi tugasan, saya hanya membuatnya alah kadar. Sebabnya ia sesuatu yang baru dan saya tak tahu bagaimana untuk melakukannya.

8. Bila ditanya apakah saya sudah menyiapkan tugasan yang diberi, saya hanya menjawab dah siap tapi saya hanya membuat mana yang saya tahu kerana yang lain tu saya tak tahu. Maka dengan tegas beliau memaklumkan pada saya, “there are no such thing as tak tahu!”.

9. Baru saya sedar betapa bodohnya saya masa tu. Mujur lah saya ni bukan jenis “bodoh sombong” tapi bodoh yang boleh diajar. Bila kita tak tahu, maka kena lah ambil tahu, belajar dan bertanya. Bukannya lepas tangan dan memanjang nak mengharapkan bantuan orang lain. Itulah pengajaran paling besar yang saya peroleh.

10. Di akhir tempoh praktikal, beliau menasihati saya. Pesanan akhirnya, satu perkataan sahaja - FOKUS.

11. Pesanan ini terpahat di hati saya sehingga kini. Katanya apa juga yang kita buat, perlu ada fokus. "It is good that you know each and everything, but at the end of the day, you are master of none".

12. Itulah ayat power Encik Badrul yang saya ingat dan sebenarnya sangat tepat.

13. Sesiapa sahaja boleh menjadi mentor, tetapi bukan semua orang boleh menjadi mentor yang baik.

14. Bila ada orang menegur atau memberi komen tentang hasil kerja kita, kita perlu ikut atas semangat ingin belajar. Kesan baik dari tunjuk ajar itu bukan datangnya kepada mentor tadi, tapi kepada kita sebagai mentee iaitu orang yang ditunjuk ajar. Oleh itu, tunjukkanlah rasa penghargaan (appreciation) atas teguran dan tunjuk ajar yang diberi. Berterima kasih la.

15. Hari ini tak semua orang fokus. Orang lebih minat kepada instant solution dan mencari jalan pintas. Malas. Itu yang sebenarnya!

16. Kalau ada mentee yang malas samaada di alam pengajian atau di dunia pekerjaan, mereka ini cenderung untuk menjadi penumpang atau free rider. Lebih hina lagi kalau free rider jenis parasit. Ini yang disebut 'baik ada makna'.

17. Atas dunia mungkin boleh lepas, tapi ingatlah hidup kita ibarat roda. Hari ini mungkin hari kita tapi bukan selamanya hari itu menjadi milik kita. Malu la sikit, takutlah pada azab Allah SWT tatkala kita mencuri hasil keringat dan jasa baik baik orang lain. Lebih dari itu mengambil kesempatan atas orang lain.

18. Cubalah jadi manusia yang pandai berbudi. Mengenang budi baik orang lain dan membalasnya dengan budi pekerti yang baik kepada semua manusia di sekeliling yang memerlukan. Bukan hanya pandai moody!

19. Pesanan Encik Badrul terkesan di hati saya. Kali terakhir saya berhubung dengan beliau ialah tahun lepas di mana beliau ketika itu kalau tak silap saya sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Pertahanan sewaktu Dato' Sri Najib menterinya. Mungkin sekarang beliau sudah berpindah ke pejabat Perdana Menteri.

20. Terima kasih Encik Badrul. Allah sahajalah yang membalas jasa baik tuan.

Monday, April 13, 2009

Consider It Done!

1. Pada saya, consider it done adalah satu ungkapan keramat.

2. Ungkapan itu datang dengan satu tanggungjawab besar yang mana amanah yang kita terima akan kita laksanakan dengan sebaik mungkin.

3. Bahawa kita telah berusaha sekuat mungkin untuk memberikan yang terbaik.

4. Bahawa ia telah dilaksanakan menggunakan segala daya, usaha, keringat, keintelektualan dan kudrat yang ada.

5. Namun, kebiasaanya orang yang yang terlibat hanya melepas batok di tangga.

6. Usaha sekadar sebelah mata, buat apa nak buat sungguh-sungguh, bukan aku punya, aku bukan nak susah?

7. Manusia kan?

Friday, April 10, 2009

Cikgu Oh Cikgu!


Pendidik, guru, cikgu. Saya suka kepada sebutan cikgu!

Saya sentiasa menyifatkan kerjaya sebagai seorang pendidik sebagai semulia-mulia kerjaya. Salah satu dari tiga perkara yang dihitung apabila matinya anak Adam ialah ilmu yang dipanjang-panjangkan. Maka seorang cikgu nampaknya ada peluang yang lebih cerah untuk masuk syurga, Insya-Allah.

Saya pernah teringin nak jadi cikgu. Tapi saya tidak cukup sabar dan saya sifatkan kesabaran adalah keperluan paling besar untuk menjadi cikgu. Maka saya lupakan keinginan itu.

Masih saya ingat wajah-wajah cikgu zaman saya bersekolah dahulu, terutamanya zaman sekolah rendah. Pendidikan yang mereka berikan terkesan di hati saya. Ramai yang boleh saya sebutkan antaranya Cikgu Shamzainah, Cikgu Zaiton, Cikgu Low Swee Sing, Cikgu K. Periasamy, Cikgu Rocidiah, Cikgu Raseba Lingam, Cikgu Zahari, Cikgu Suhaimi, Cikgu Norsam, juga Cikgu Mahanom Sudin dan banyak lagi yang saya tak mampu untuk sebutkan satu per satu.

Bukan semua cikgu-cikgu ini “suka” pada saya kerana saya secara relatifnya memang seorang yang agak nakal, banyak cakap, aktif dalam kelas termasuk membuat bising. Tapi saya sifatkan cikgu-cikgu saya sebagai insan mulia yang menjadikan siapa saya hari ini.

Sebab itu bila saya bandingkan diri saya, rasanya jauh untuk saya menepati ciri-ciri seorang cikgu.

Hari ini siapa yang jadi cikgu?

Saya mungkin salah tapi pengalaman saya melihat bahawa rata-rata kenalan saya yang hari ini menjadi cikgu adalah mereka yang dulunya sewaktu di universiti adalah mereka yang sederhana pencapaian akademiknya. Malah ada kalangan mereka ini yang sebenarnya lemah dari aspek akademik. Mereka menjadi cikgu kerana tiada pilihan lain selepas tidak diterima untuk bekerja dalam sektor lain. Tambahan pula, mereka memikirkan cuti panjang dalam musim cuti sekolah yang dinikmati seorang cikgu.

Ada juga yang mengikut cakap ibu bapa atau ahli keluarga. Tambahan pula bila sudah lama menganggur dan putus harapan untuk mendapat kerja, maka mohonlah masuk KPLI.

Tak lama dulu sewaktu berjoging dengan rakan-rakan saya berjumpa dengan seorang cikgu lelaki muda yang sama-sama berjoging di trek. Dia mengatakan memang bukan minat sangat nak jadi cikgu tapi dalam temuduga KPLI bila ditanya sejauh mana minat menjadi cikgu, sudah tentu jawapannya sangat berminat! Tapi katanya dia boleh dapat KPLI sebab saingan sesama lelaki kurang, tapi kalau perempuan agak hebat volume yang memohonnya!

Inilah kekhuatiran kita, bila yang menjadi cikgu bukanlah orang yang minat mengajar. Mereka ke sekolah bukan untuk mengajar tetapi semata-mata untuk bekerja kerana gaji cukup bulan. Naluri pendidik tiada dalam jiwanya. Mungkin sebab itu, ramai cikgu yang buat direct selling? Memang tiada salahnya selagi tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan, tetapi kita bimbang akan fokus cikgu tadi pada kerjayanya.

Tanggungjawab seorang cikgu sangat besar. Cikgu bukan sahaja mengajar, tetapi juga mendidik! Seorang cikgu dengan naluri pendidik pasti dapat membezakannya, tetapi seorang manusia yang tiada naluri tersebut pasti akan tertanya-tanya dan sudah tentu tidak bersetuju dengan saya.

Perlu ada anjakan paradigma dalam masyarakat.

Di pihak individu, tepuk dada tanyalah selera dan kemampuan? Ini soal tanggungjawab dan masa depan negara. Aspirasi peribadi harus seimbang dengan aspirasi negara.

Di pihak keluarga, janganlah meletakkan cita-cita peribadi ibu bapa atau keinginan yang tidak kesampaian kepada anak-anak. Bimbing mereka ke arah kerjaya yang mereka minat dan bukan yang kita minat. Berikan anak-anak pendedahan, kesan positif dan negatif setiap keputusan yang dibuat ke arah pemilihan kerjaya di masa hadapan tetapi, pilihan akhir masih di tangan mereka.

Di pihak cikgu yang telah “terjadi” cikgu sama ada sengaja atau tak sengaja, tingkatkanlah keilmuan dan keintelektualan kalau ia masih lemah. Mungkir ditakdirkan anda menjadi cikgu. Tiada salahnya malah seperti saya katakan ia adalah semulia-mulia kerjaya. Tetapi, letakka diri anda di tempat yang betul sebagai seorang pendidik. Jangan buat perbandingan kerjaya anda dengan lain-lain skim perkhidmatan dalam kerajaan atau di sektor swasta. Elemen utama sebagai seorang cikgu ialah mendidik dengan matlamat ilmu dan bukanlah berorientasikan keuntungan dari segi wang ringgit. Jika anda sukar untuk menerima hakikat ini, sedarlah bahawa anda telah tersalah langkah. Jangan diperjudikan nasib anak-anak Malaysia, maka berundurlah secara berani. Letak jawatan, carilah kerjaya baru.

Sunday, April 5, 2009

Bila Ada Orang Tak Tahu Malu!

1. Diberi betis nak paha, dah bagi paha nak dada, dapat dada naik ke kepala, minta lagi terajang bagi mampus, kalau tak mampus tanam aje hidup-hidup!

2. Ini bahasa kiasan nak menceritakan perihal orang yang mengada-ngada. Bukan setakat mengada-ngada tapi siap tergedik-gedik tak de makna.

3. Bagi sesetengah pihak, terutama yang tak tahu meletakkan had dalam sesuatu perkara, ia akan hanya menimbulkan rasa kurang selesa kepada pihak lain.


4. Tapi yang empunya diri memang tak akan rasa apa sebab kalau dah memang muka tak tahu malu, apa nak ada hal?

5. Istilah mudah dalam Bahasa Inggeris ialah “too much!”.

6. Manalah tahu kot tak “reti” Bahasa Melayu pulak ker, atau “feel stupid” bila baca istilah Melayu ni?

7. Rasa tanggungjawab perlu datang dalam apa juga yang kita usahakan. Nyata sekali generasi hari ini lebih mementingkan keputusan segera (instant result) tanpa mahu memikirkan penyelesaian terbaik (the best solution) dan lebih dari itu berusaha untuk mencapaikan (effort towards the achievement).

8. Memang susah kalau dah dasar muka tak tahu malu!

9. Hanya tahu menumpang usaha dan jerit perih orang lain tetapi malas nak berusaha dengan keupayaan sendiri. Tahu nak mudah sahaja, tahu nak menyelinap sahaja, tahu nak cari jalan pintas sahaja, tahu nak nampak penting sahaja walau pun usaha tak seberapa. Bila hasilnya nampak positif, orang yang sebegini akan menonjol dan teruja lebih dari orang yang kuat bekerja sedari awal. Tapi jika hasilnya tidak baik, dia akan cuci tangan. Menyalahkan itu dan ini, seperti anjing kurap menyalak depan rumah orang!

10. Orang begini kalau bekerja akan membuat sesuatu tugas tu sambil lewa. Tiada ekspektasi dan lebih malang lagi tidak menghormati ekspektasi dan piawaian yang ada. Ibarat kata pepatah, “seperti melepaskan batok di tangga”. Orang yang sebegini jika egonya rendah boleh dibimbing dan dibantu untuk memajukan potensi diri. Tapi kalau egonya tinggi, maka jadilah si bodoh sombong tak sedo diri!

11. Memang la tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Tapi, takut la kepada hukum Allah. Tak malu ke kalau ditanya halal dan haram dalam hidup. Sampai bila nak menumpang orang? Sedangkan Allah bagi kekuatan dan keupayaan yang sama. Kepala otak tu pun sama, kenapa tahu nak harapkan orang lain aje? Bagi la sesuatu yang boleh disumbangkan dan buat orang ingat. Sampai bila nak jadi tangan yang menerima sahaja?

12. Mentaliti subsidi ni pernah membuatkan Tun Dr. Mahathir menitiskan air mata. Mengenangkan masa depan orang Melayu. Nampaknya generasi hari ini masih ada mentaliti subsidi tetapi dalam versi baru yang lebih rakus tetapi menjijikkan. Malas!

13. Atau memang nak mengaku yang diri tu bodoh? Kalau nak buat pengakuan, tulis la blog. Dedikasikan pada seluruh dunia bahawa “kita” tu bodoh. “Bodoh sombong” lah kot?

14. Apa pun jugak, siapa pun jugak, di mana pun jugak, apa yang paling penting ialah kerjasama (bak kata Wonder Pets). Kerjasama yang dijelmakan atas rasa tanggungjawab.

15. Lebih dari itu sebenarnya penting untuk kita muhasabah diri sendiri. Muhasabah dengan sesungguhnya kerana Allah SWT dan kita muhasabah diri sendiri bukan muhasabah diri orang lain. Kata seorang kenalan saya di Pahang dulu, ada dua perkara yang sedap dalam dunia ni. Satu, makan free dan keduanya, mengata orang! Saya kata, lebih sedap lagi kalau kita mengata orang sambil makan free. Tapi sedih la, kalau masih tak sedo diri!

16. Jangan seronok mengata orang itu dan ini. Rasa bagus, belum tentu kita ni cukup bagus. Cermin diri! Cermin diri! Cermin diri! Muhasabah diri dan sedar diri. Jangan syok sendiri.

Saturday, April 4, 2009

Faham dan Reti Bahasa

1. Ayahanda saya seorang yang garang.

2. Atok saya pon seorang yang garang dan kalau bercakap, suaranya kuat!

3. Mudah sangat untuk menjangka dari mana datangnya sikap garang ayah saya tu, tentunya dari bapa dia yang juga atok saya. Akan tetapi, inilah antara dua lelaki yang paling saya sayangi dalam dunia ini. Saya berdoa ALLAH SWT memanjangkan usia mereka berdua kerana kedua mereka ini baik hati dan penyayang.

4. Sudah pasti saya mewarisi perangai ayah dan atok!

5. Masa saya kecil dulu bila ayah marah, dua perkataan ni selalu digunakan.

6. Pertama, "Faham bahasa tak?"

7. Kedua, "Reti bahasa tak?"

8. Hari ni saya sedar kepentingan dua soalan ni. Bila ramai yang tak faham bahasa dan tak reti bahasa, rupanya susah kita nak berbahasa dengan mereka. Penyudahnya, ramai yang yang akan membahasakannya dan jadilah bahan kena bahasa.

9. penting sungguh kan? Terima kasih saya kepada ayahanda yang saya sayangi. Allah sahaja la yang membalas jasa baik ayah.

10. Mungkin kerana didikan ayah yang kreatif itu (kiasan tak langsung dalam ketegasannya), hari ini saya beristerikan seorang pensyarah bahasa! Alhamdulillah.

Friday, April 3, 2009

Bibir Senyum Hati Menangis

1. Saya menjelaskan panjang lebar tentang rupa fizikal dalam post lalu.

2. Saya rujuk beberapa buku ilmiah dan hasil seni lain termasuk lirik lagu dan pada saya post tersebut sangat terkesan di hati kerana ia adalah luahan hati dan penilaian saya dari pengalaman hidup.

3. Pada saya kehidupan adalah suatu lakonan di pentas kehidupan yang tidak berpenghujung.

4. Semua orang ada watak yang di bawa.

5. Cuma saya sendiri kadang kala keliru dengan watak diri sendiri.

6. Saya boleh menganalisa watak orang lain. Ada orang yang berterus terang. Ada orang yang bermuka-muka. Ada orang takde perasaan. Ada orang perasan. Ada orang tak macam orang!

7. Pada saya, orang tak tahu bila pada hakikatnya bibir kita mengukir senyum tetapi hati menangis. Masalah yang ada kadang kala tidak tertanggung, tetapi tidak boleh pula nak diluahkan!

8. Kadang kala hidup ini bak tawa dalam tangisan.

9. Tertekan? Sudah pasti cuma siapa yang mahu mengerti maksud di hati?

10 Allah tahu. Allah tak pernah jauh dari kita dan tidak pernah lupa pada kita. Semuanya tak berguna jika tidak kembali pada Allah.

Wednesday, April 1, 2009

Bodoh Sombong atau Pandai Sombong

1. Bodoh Sombong satu istilah yang sangat semantik dalam masyarakat Melayu.
2. Bodoh adalah stupid, sombong adalah arragont. Tapi dalam Bahasa Inggeris tiada istilah "arragont stupid" atau "stupid arragont"!
3. Saya adalah seorang yang bodoh sombong JIKA, saya tak tahu untuk melakukan sesuatu perkara tetapi berlagak seolah saya tahu dan melakukannya dengan cara saya (yang sebenarnya salah atau kurang tepat) tanpa merujuk kepada orang lain. Dalam masa yang sama ada orang yang sedar kesilapan yang saya sedang lakukan dan cuba untuk membantu kerana dia tahu kaedah terbaik dan betul untuk melakukannya, tetapi saya tak mahu menerima bantuan dari orang itu malah merasa bahawa dia cuba tunjuk pandai dan hanya menyusahkan saya.
4. Apa akan terjadi kepada orang yang bodoh sombong?
5. Selagi dia tak melibatkan pihak lain dalam entiti masyarkat, tiada apa perkara buruk akan berlaku kecuali kepada dirinya sendiri yang memang sombong untuk melakukan sesuatu dengan cara yang betul. Akan tetapi dalam sebuah organisasi orang yang bodoh sombong adalah liabiliti.
6. Orang bodoh sombong akan menjadi pembantut dan bukan pembantu yang hanya akan menyumbing dan bukan menyumbang dalam keadaannya yang dirasakan peka walhal pekak dengan perkembangan sekitar!
7. Jalan keluar dari kepompong bodoh sombong ialah dengan muhasabah diri kerana Allah. Kerana sumber ilmu adalah dari Allah SWT, maka jalan ilmu juga seharusnya berlandaskan jalan yang diredhai oleh-Nya.
8. Persoalannya, wujudkah orang yang "Pandai Sombong"?
9. Jika kita kembali kepada Islam, sombong atau riak itu adalah sebahagian dari syirik kecil. Dalam budaya Melayu yang kaya dengan adab dan budaya pula, kita percaya kepada pepatah Melayu ibarat padi yang semakin tunduk apabila semakin berisi.
10. Mungkinkah masyarakat hari ini sudah jauh lari dari ajaran Islam dan pegangan kepada budaya bangsa Melayu?