Tuesday, May 26, 2009

Falsafah Lepat Pisang




1. Hari ni ada pelbagai jenis pisang yang boleh dibuat lepat. Pisang abu, nangka, raja, berangan, mas, montel, tanduk, nipah, dan lain-lain lagi.

2. Zaman dulu, orang buat lepat pisang sebab pisang dah buruk. Ada juga keadaan di mana pisang dah busuk sebahagiannya, tapi sebahagian lagi masih boleh diselamatkan. Bukan la busuk sebab tak mandi, atau busuk sebab dikerebek haiwan, tetapi kerana dah terlampau masak. Jadi lodoh la pisang tu.


3. Nak tutup keadaan tu, maka dibuat lepat.

4. Memang sedap. Lemak, manis, gebu, empuk adalah gabungan rasa lepat pisang. Nak resipi lepat pisang? Nah ambil :


Bahan-bahan:
20 biji pisang masak ranum (kalau yang buruk tapi OK lagi pon boleh)
300 gm tepung gandum
1 sudu besar gula (kurangkan, tapi tambah manis dalam senyuman)
2 sudu besar santan (kalau banyak, jadi naik lemak)
Daun pisang (untuk membalut pisang buruk tadi supaya tak nampak buruk)
Garam

Caranya:
Potong daun pisang berukuran 15 x 15 cm dan layur di atas api hingga layu. Pisang dilecek hingga lumat. Kemudian masukkan tepung sedikit-sedikit bersama-sama gula. Kacau hingga sebati. Masukkan santan dan garam dan kacau lagi. Jika lembik, tambah sedikit tepung. Letakkan 2 sudu besar adunan tadi ke atas daun pisang dan balut memanjang. Lipat kedua-dua belah hujung daun. Seelok-eloknya biarlah sama saiz dan bentuk. Kukus sehingga masak dan hidangkan .





5. Pisang buruk boleh jadi lepat. Daun pisang yang membalut lepat mungkin boleh menutup mata sesetengah orang dari melihat sesuatu keburukan. Tapi tak cukup besar untuk menutup setiap keburukan.

6. Rasa lepat yang sedap dan enak mungkin boleh melalaikan sesetengah orang, tapi bukan semua orang makan lepat pisang. Ada yang lebih suka lepat labu, lepat nangka, lepat durian atau mungkin juga lepat mangga.

7. Kerana cabaran membuat lepat itu, bukan semua orang mampu membuatnya. Hanya yang berkemahiran dan berkeazaman tinggi sahaja mampu melakukannya. Kalau tak tahu boleh belajar, ikut aje resipi kat atas tu.

8. Tapi zaman sekarang, zaman catering. Mungkin bila dah tak reti buat, tapi nak makan lepat yang sedap, maka order sahaja la dari catering yang bertauliah. Dah tentunya sedap. Sebab lepat yang tak sedap, bukan sahaja mengingatkan kepada pisang yang buruk, tapi juga kepada kemahiran membuat lepat yang tiada pada si tukang masak.

Friday, May 15, 2009

Ketidakpuasan Hati dan Muhasabah Diri - Yang Mana Satu Datang Dahulu?



1. Saya setuju bahawa bercakap memang mudah, tapi tidak semudah untuk melaksanakan.

2. Tambahan pula cakap memang murah.

3. Ketidakpuasan hati wujud dalam diri setiap hamba Allah.

4. Mustahil ia tiada langsung walau sekelumit?

5. Dulu saya ada seorang kawan, namanya Khamel. Memang Khamel ini insan kamil yang jujur orangnya. Tapi ada sesuatu yang tak berapa nak kena pada tempatnya dengan Khamel. Katanya “aku ni tak pandai marah!”.

6. Yer ker?

7. Maka kami buat eksperimen demi eksperimen. Ternyata, kami berjaya buktikan Khamel boleh marah. Malah dalam banyak keadaan Khamel marah mengalahkan orang yang dah biasa marah. Khamel marah bila sesuatu tentang dirinya dinafikan, bila dirinya disakitkan, bila kebenaran yang dia dinyatakan tidak dipeduli.

8. Ha ha ha…………….Khamel, mana ada orang tak pandai marah?

9. Bila wujud ketidakpuasan hati, kita cenderung untuk berasa tidak senang dan selesa dalam hati dan diri kita, dan perasaan tidak senang itu akan beransur-ansur mewujudkan fikiran dan pemikiran yang berkecamuk dan keadaan tak tentu hala, hatta ia kecil atau besar seraya ia membawa juga kepada satu kesan yang disebut sebagai rasa marah. Maka itulah dinamakan marah, yakni berpunca dari ketidakpuasan hati.

10. Apa nak buat yer?

11. Sudah pasti kita mencari penyelesaian. Bagaimana caranya?

12. Inilah peranan satu lagi istilah, iaitu muhasabah.

13. Perlukah kita muhasabah diri bila tak puas hati, atau muhasabah diri dulu sebelum tak puas hati? Atau kita sewajarnya hidup dengan muhasabah diri sepanjang masa, atau mungkin kita perlu hidup dengan tidak puas hati sepanjang masa?

14. Menyelesaikan tak puas hati yang membawa kepada perasaan dan rasa marah, perlu bermula pada puncanya.

15. Kalau puncanya ada potensi untuk dibetulkan, ada tanda-tanda untuk ditambahbaik, ada ruang untuk penambahbaikan, ada peluang untuk diberikan penyelesaian yang mungkin, maka ia boleh diuruskan dengan baik.

16. Tapi kita jangan salah punca – sebab – akibat!

17. Salah analogi akan hanya memburukkan keadaan.

18. Selamat berjaya.

Wednesday, May 13, 2009

Survival Industri Kereta Nasional

Gambar Hiasan
1. Penubuhan Perusahaan Automobil Nasional (Proton) pada tahun 1983 membuka lembaran baru dalam sektor industri negara apabila Malaysia sebagai sebuah negara Islam pertama di dunia berjaya menghasilkan kereta sendiri. Kejayaan ini hasil usaha sama dengan Jepun melalui Dasar Pandang Ke Timur (1981) yang diilhamkan oleh Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada ketika itu. ini diteruskan dengan penubuhan Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) pada tahun 1993 yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar kereta yang gah di mata dunia.

2. Dalam meniti usia jubli peraknya, Proton seakan hilang arah. Masalah dan isu yang melanda melenyapkan kejayaan dan sejarah yang pernah dicapai sebelumnya. Hingga pada satu ketika, Perodua dilihat lebih menyerlah dari segi kualiti, pembuatan, pengurusan, pemasaran dan menjadi pilihan utama pengguna. Di mana silapnya?

3. Matlamat utama Tun Dr, Mahathir mencetuskan idea penubuhan Proton ialah supaya Malaysia mampu menghasilkan enjin. Ini kerana untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu menghasilkan enjin sendiri. Ini seakan asas kepada mana-mana negara maju di dunia.

4. Tiada negara berstatus negara maju yang tidak menghasilkan enjin. Mereka mempunyai identiti enjin sendiri kalau pun pada asalnya enjin itu adalah hasil cetusan teknologi negara lain.

5. Maka identiti enjin Malaysia itulah yang dicari dan dinanti. Namun, setelah hampir 20 tahun ditubuhkan, Proton terlalu syok menjual kereta. Lebih dari itu, Proton dilihat bersaing pula dengan Perodua dalam usaha untuk meningkatkan jualan.

6. Namun, penantian itu berhasil apabila kita berjaya menghasilkan enjin Campro pada tahun 2004. Setidak-tidaknya enjin ini menjadi asas pembangunan kita ke arah matlamat menjadi sebuah negara maju.

7. Tiada satu pembuatan yang sempurna kerana kesempurnaan itu milik Allah SWT. Justeru versi demi versi kepada enjin CPS ini pasti akan dibangunkan untuk penambahbaikan. Dimulakan dengan model Gen-2, Satria Neo, Waja Campro, Pesona dan yang terbaru Exora, enjin ini telah menjadi satu harapan baru kepada industri kereta nasional.

8. Sekitar tahun 2005, seorang rakan pernah bertanya kepada saya kenapa Proton agak bermasalah? Dengan spontan saya menjawab, kerana penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tidak efisien.

9. Mudah sahaja, waktu itu ada dua segmen kereta yang popular. Pertama, ialah segmen kereta compact, inilah pilihan generasi muda, golongan eksekutif muda yang mahukan gaya dan penampilan ringkas tetapi menarik. Akan tetapi oleh sebab generasi muda ini rata-ratanya adalah mereka yang tidak berduit atau baru bekerja, mereka mahukan kereta pada harga mampu milik. Tetapi kepada yang berpendapatan tinggi, harga bukan satu masalah kerana mereka akan membayar untuk sesuatu yang mereka suka. Kedua, segmen MPV. Oleh sebab masyarakat Malaysia begitu menghargai kehidupan berkeluarga dan mempunyai anak yang ramai, maka MPV adalah segmen yang perlu kita penuhi. Inilah dua segmen yang pada ketika itu gagal dipenuhi oleh Proton.

10. Mungkin Perodua dilihat memenuhi keperluan segment kenderaan compact pada ketika itu. namun saya yakin dan percaya kalau R&D mampu bertindak agresif, mereka akan nampak keperluan seperti yang saya sebutkan itu.

11. Demi memastikan survival industri kereta nasional, R&D adalah faktor yang perlu dititik beratkan. Inilah penekanan yang harus bertindak agresif dalam berhadapan dengan pasaran automotif hari ini.

12. Apa yang jelas, hanya bahagian jualan dan pemasaran yang dilihat begitu agresif. Memang la mereka perlu agresif untuk meningkatkan jualan dan dalam masa yang sama meningkatkan keuntungan dan pendapatan syarikat terutama dengan meneroka pasaran baru tetapi R&D adalah competitive advantage yang secara langsung juga akan meningkatkan pendapatan melalui peningkatan permintaan.

13. Tidak dinafikan, kereta nasional menjadi alternatif yang baik dalam segmen kereta compact melalui jenama Myvi, Savvy, Kenari, Kelisa, Viva dan lain-lain model terdahulu tetapi penerokaan terhadap permintaan dan trend masa hadapan perlu diteruskan melalui R&D.

14. Hari ini pasaran MPV tempatan dijangka mendapat saingan hebat dari model Proton Exora yang menepati cita rasa pengguna. Exora adalah hasil R&D yang sebenarnya tidaklah cukup pantas tetapi membuktikan bahawa dalam keadaan tertekan dan mendesak, kita mampu menghasilkan suatu produk yang memenuhi keperluan.

15. Kita akan terus menanti bilakah akan terhasil sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam erti kata sebenar iaitu selain dari apa yang ditawarkan oleh Perodua Kembara? Ini bagi menggantikan penggunaan kenderaan 4WD jenama luar yang sangat sinonim dengan industri berat negara dan kerja-kerja luar yang memerlukan sebuah 4WD yang mampu menyahut cabaran sebenar sebuah 4WD. Lebih dari itu, sebuah 4WD yang mampu menjadi alternatif kepada majoriti pengguna 4WD di Sabah dan Sarawak yang permukaan jalannya memerlukan khidmat sebuah 4WD.

16. Berapa tahun lagi perlu kita tunggu, R&D ada jawapannya?

Friday, May 8, 2009

Menangani Jenayah Ragut


Gambar ihsan Kosmo!


1. Sungguh menyayat hati apabila mangsa ragut menemui ajal apatah lagi mereka pergi meninggalkan anak-anak yang masih kecil dan belum tahu erti kehidupan dan belum pun puas menikmati kasih sayang seorang ibu.

2. Sebab itu apabila ada peragut yang berjaya diberkas oleh orang awam, mereka akan dibelasah setengah mati. Inilah yang dikatakan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.“Lembik” la kena taji bila salah “melompat”!

3. Saya tiada pengalaman lagi membelasah peragut. Tapi saya masih ingat pengalaman jadi “tukang tambah nasi” kepada seorang pencuri kasut yang berjaya ditangkap oleh orang ramai di sebuah masjid di Sentul beberapa tahun dulu. Sampai tak boleh bercakap pencuri tu dikerjakan oleh jemaah solat tarawih sementara menunggu polis datang. Teringin juga jadi tukang belasah peragut kalau ada peluang lepas geram.

4. Kerajaan dan pihak berkuasa pastinya berusaha mencari penyelesaian bagi menangani jenayah ini. Lebih dari itu peruntukan undang-undang sedia ada cukup untuk mendakwa pesalah jenayah ragut ke muka pengadilan.

5. Soalnya bukan mudah memberkas penjenayah in kerana mereka bersifat mobile. Kejadian juga biasanya berlaku begitu pantas dan kadang kala tiada saksi kejadian. Inilah dilema yang dihadapi dan menyukarkan lagi usaha untuk membasmi jenayah ini dari berleluasa.

6. Secara relatifnya, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa jenayah ragut telah berevolusi. Sememangnya jenayah ragut telah berlaku di negara ini sejak sekian lama dahulu.

7. Cuma, dulu peragut meragut beg tangan dan melarikannya sambil berlari. Contohnya dalam filem Do Re Mi, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah memuatkan babak peragut melarikan beg tangan seorang wanita sambil mereka bertiga (Do Re dan Mi) mengejar penjenayah itu. Banyak juga filem-filem lain yang menunjukkan aksi ini.

8. Kini, jenayah ini telah berevolusi apabila peragut melarikan beg tangan yang diragut dengan bermotosikal. Seakan suatu jenayah terancang, penjenayah ini biasanya menaiki motosikal berdua dan sangat cekap melarikan diri dengan motosikal. Pastinya mereka sangat arif tentang selok-belok jalan raya dan kawasan tempat kejadian.

9. Apa yang perlu kita tumpukan sekarang ialah aspek pencegahan kepada jenayah ini.

10. Kepada pejalan kaki yang membawa beg tangan, mereka telah dinasihatkan supaya berjalan melawan arus jalan raya. Ini bagi menafikan peluang peragut.

11. Kepada kakak-kakak, adik-adik atau makcik-makcik yang bermotosikal ketahuilah bawaha anda merupakan sasaran terbaru peragut!

12. Kebanyakan jenayah ragut berlaku sewaktu mangsa sedang menunggang motosikal iaitu beg tangan tadi akan direntap dari badan atau dicuri dari bakul motosikal mangsa. Inilah yang mendedahkan mangsa kepada risiko kecederaan atau membawa kepada kematian. Bagi menafikan peluang peragut sewaktu anda bermotosikal, saya mencadangkan beberapa alternatif sebagai langkah keselamatan.

13. Pertamanya, jika ada kemampuan dan kesempatan pilihlah untuk menggunakan motosikal jenis skuter. Bukan sahaja ia lebih sesuai untuk orang perempuan, malah skuter mempunyai nilai tambah keselamatan kerana ruang tempat letak barang di bawah tempat duduk skuter itu boleh digunakan untuk menyimpan beg tangan dengan selamat dan “hilang terus” dari pandangan penjenayah yang liar matanya tatkala sedang bermotosikal. Pilihlah skuter yang besar ruang tempat simpan barangnya untuk keselamatan barangan berharga anda yang lain.

14. Keduanya, bagi motosikal selain dari skuter pasanglah kotak meletak barang di bahagian belakang (ekor) motosikal. Kotak ini boleh dikunci dan sebelum memulakan perjalanan bermotosikal, simpanlah beg tangan dan barangan beharga anda yang lain di dalam kotak ini.

15. Inilah antara langkah keselamatan yang boleh diikuti untuk mengurangkan risiko dari diragut.

16. Namun begitu jenayah ragut tidak mengira tempat sama ada di kota atau di desa dan tidak pula mengenal mangsa sama ada tua, muda, perempuan atau lelaki.

17. Cadangan yang dinyatakan juga belum tentu dapat menyelesaikan terus jenayah ini seratus peratus malah tidak dinafikan kemungkinan untuk jenayah ini terus berevolusi dalam “menyesuaikan” modus operandinya dengan kaedah-kaedah yang kita fikir mampu untuk menafikan kelangsungan jenayah tersebut.

18. Mencari punca sebenar masalah yang membawa kepada jenayah ragut adalah jalan terbaik menangani fenomena ini.

19. Siapa berani menafikan korelasi antara jenayah ragut dengan aktiviti mat rempit yang keterlaluan?

20. Siapa berani menafikan korelasi antara jenayah ragut dengan jenayah curi motosikal?

21. Siapa berani menafikan korelasi antara jenayah ragut dengan penyalahgunaan dadah?

22. Justeru itu, di mana mahu kita mulakan?