Tuesday, May 26, 2009

Falsafah Lepat Pisang




1. Hari ni ada pelbagai jenis pisang yang boleh dibuat lepat. Pisang abu, nangka, raja, berangan, mas, montel, tanduk, nipah, dan lain-lain lagi.

2. Zaman dulu, orang buat lepat pisang sebab pisang dah buruk. Ada juga keadaan di mana pisang dah busuk sebahagiannya, tapi sebahagian lagi masih boleh diselamatkan. Bukan la busuk sebab tak mandi, atau busuk sebab dikerebek haiwan, tetapi kerana dah terlampau masak. Jadi lodoh la pisang tu.


3. Nak tutup keadaan tu, maka dibuat lepat.

4. Memang sedap. Lemak, manis, gebu, empuk adalah gabungan rasa lepat pisang. Nak resipi lepat pisang? Nah ambil :


Bahan-bahan:
20 biji pisang masak ranum (kalau yang buruk tapi OK lagi pon boleh)
300 gm tepung gandum
1 sudu besar gula (kurangkan, tapi tambah manis dalam senyuman)
2 sudu besar santan (kalau banyak, jadi naik lemak)
Daun pisang (untuk membalut pisang buruk tadi supaya tak nampak buruk)
Garam

Caranya:
Potong daun pisang berukuran 15 x 15 cm dan layur di atas api hingga layu. Pisang dilecek hingga lumat. Kemudian masukkan tepung sedikit-sedikit bersama-sama gula. Kacau hingga sebati. Masukkan santan dan garam dan kacau lagi. Jika lembik, tambah sedikit tepung. Letakkan 2 sudu besar adunan tadi ke atas daun pisang dan balut memanjang. Lipat kedua-dua belah hujung daun. Seelok-eloknya biarlah sama saiz dan bentuk. Kukus sehingga masak dan hidangkan .





5. Pisang buruk boleh jadi lepat. Daun pisang yang membalut lepat mungkin boleh menutup mata sesetengah orang dari melihat sesuatu keburukan. Tapi tak cukup besar untuk menutup setiap keburukan.

6. Rasa lepat yang sedap dan enak mungkin boleh melalaikan sesetengah orang, tapi bukan semua orang makan lepat pisang. Ada yang lebih suka lepat labu, lepat nangka, lepat durian atau mungkin juga lepat mangga.

7. Kerana cabaran membuat lepat itu, bukan semua orang mampu membuatnya. Hanya yang berkemahiran dan berkeazaman tinggi sahaja mampu melakukannya. Kalau tak tahu boleh belajar, ikut aje resipi kat atas tu.

8. Tapi zaman sekarang, zaman catering. Mungkin bila dah tak reti buat, tapi nak makan lepat yang sedap, maka order sahaja la dari catering yang bertauliah. Dah tentunya sedap. Sebab lepat yang tak sedap, bukan sahaja mengingatkan kepada pisang yang buruk, tapi juga kepada kemahiran membuat lepat yang tiada pada si tukang masak.

2 comments: