Wednesday, May 13, 2009

Survival Industri Kereta Nasional

Gambar Hiasan
1. Penubuhan Perusahaan Automobil Nasional (Proton) pada tahun 1983 membuka lembaran baru dalam sektor industri negara apabila Malaysia sebagai sebuah negara Islam pertama di dunia berjaya menghasilkan kereta sendiri. Kejayaan ini hasil usaha sama dengan Jepun melalui Dasar Pandang Ke Timur (1981) yang diilhamkan oleh Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada ketika itu. ini diteruskan dengan penubuhan Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) pada tahun 1993 yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar kereta yang gah di mata dunia.

2. Dalam meniti usia jubli peraknya, Proton seakan hilang arah. Masalah dan isu yang melanda melenyapkan kejayaan dan sejarah yang pernah dicapai sebelumnya. Hingga pada satu ketika, Perodua dilihat lebih menyerlah dari segi kualiti, pembuatan, pengurusan, pemasaran dan menjadi pilihan utama pengguna. Di mana silapnya?

3. Matlamat utama Tun Dr, Mahathir mencetuskan idea penubuhan Proton ialah supaya Malaysia mampu menghasilkan enjin. Ini kerana untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu menghasilkan enjin sendiri. Ini seakan asas kepada mana-mana negara maju di dunia.

4. Tiada negara berstatus negara maju yang tidak menghasilkan enjin. Mereka mempunyai identiti enjin sendiri kalau pun pada asalnya enjin itu adalah hasil cetusan teknologi negara lain.

5. Maka identiti enjin Malaysia itulah yang dicari dan dinanti. Namun, setelah hampir 20 tahun ditubuhkan, Proton terlalu syok menjual kereta. Lebih dari itu, Proton dilihat bersaing pula dengan Perodua dalam usaha untuk meningkatkan jualan.

6. Namun, penantian itu berhasil apabila kita berjaya menghasilkan enjin Campro pada tahun 2004. Setidak-tidaknya enjin ini menjadi asas pembangunan kita ke arah matlamat menjadi sebuah negara maju.

7. Tiada satu pembuatan yang sempurna kerana kesempurnaan itu milik Allah SWT. Justeru versi demi versi kepada enjin CPS ini pasti akan dibangunkan untuk penambahbaikan. Dimulakan dengan model Gen-2, Satria Neo, Waja Campro, Pesona dan yang terbaru Exora, enjin ini telah menjadi satu harapan baru kepada industri kereta nasional.

8. Sekitar tahun 2005, seorang rakan pernah bertanya kepada saya kenapa Proton agak bermasalah? Dengan spontan saya menjawab, kerana penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tidak efisien.

9. Mudah sahaja, waktu itu ada dua segmen kereta yang popular. Pertama, ialah segmen kereta compact, inilah pilihan generasi muda, golongan eksekutif muda yang mahukan gaya dan penampilan ringkas tetapi menarik. Akan tetapi oleh sebab generasi muda ini rata-ratanya adalah mereka yang tidak berduit atau baru bekerja, mereka mahukan kereta pada harga mampu milik. Tetapi kepada yang berpendapatan tinggi, harga bukan satu masalah kerana mereka akan membayar untuk sesuatu yang mereka suka. Kedua, segmen MPV. Oleh sebab masyarakat Malaysia begitu menghargai kehidupan berkeluarga dan mempunyai anak yang ramai, maka MPV adalah segmen yang perlu kita penuhi. Inilah dua segmen yang pada ketika itu gagal dipenuhi oleh Proton.

10. Mungkin Perodua dilihat memenuhi keperluan segment kenderaan compact pada ketika itu. namun saya yakin dan percaya kalau R&D mampu bertindak agresif, mereka akan nampak keperluan seperti yang saya sebutkan itu.

11. Demi memastikan survival industri kereta nasional, R&D adalah faktor yang perlu dititik beratkan. Inilah penekanan yang harus bertindak agresif dalam berhadapan dengan pasaran automotif hari ini.

12. Apa yang jelas, hanya bahagian jualan dan pemasaran yang dilihat begitu agresif. Memang la mereka perlu agresif untuk meningkatkan jualan dan dalam masa yang sama meningkatkan keuntungan dan pendapatan syarikat terutama dengan meneroka pasaran baru tetapi R&D adalah competitive advantage yang secara langsung juga akan meningkatkan pendapatan melalui peningkatan permintaan.

13. Tidak dinafikan, kereta nasional menjadi alternatif yang baik dalam segmen kereta compact melalui jenama Myvi, Savvy, Kenari, Kelisa, Viva dan lain-lain model terdahulu tetapi penerokaan terhadap permintaan dan trend masa hadapan perlu diteruskan melalui R&D.

14. Hari ini pasaran MPV tempatan dijangka mendapat saingan hebat dari model Proton Exora yang menepati cita rasa pengguna. Exora adalah hasil R&D yang sebenarnya tidaklah cukup pantas tetapi membuktikan bahawa dalam keadaan tertekan dan mendesak, kita mampu menghasilkan suatu produk yang memenuhi keperluan.

15. Kita akan terus menanti bilakah akan terhasil sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam erti kata sebenar iaitu selain dari apa yang ditawarkan oleh Perodua Kembara? Ini bagi menggantikan penggunaan kenderaan 4WD jenama luar yang sangat sinonim dengan industri berat negara dan kerja-kerja luar yang memerlukan sebuah 4WD yang mampu menyahut cabaran sebenar sebuah 4WD. Lebih dari itu, sebuah 4WD yang mampu menjadi alternatif kepada majoriti pengguna 4WD di Sabah dan Sarawak yang permukaan jalannya memerlukan khidmat sebuah 4WD.

16. Berapa tahun lagi perlu kita tunggu, R&D ada jawapannya?

3 comments: