Tuesday, January 26, 2010

Raja Lawak Musim ke Empat, Menyengat atau Disengat?




1. Semakin ada yang tak kena dengan format pengurusan Raja Lawak ke empat (RL4) musim ini.

2. Memang penentuan pemenang dan yang terkeluar setiap minggu ditentukan oleh pengundi melalui SMS. Itulah format rancangan realiti tv di Malaysia. Usah kita persoalkan tentang format tersebut yang seakan sudah boleh diterima umum.

3. Bila WILI terkeluar pada minggu ke empat, sedangkan ramai peserta lain yang lebih ‘bodoh’ lawaknya menampakkan kesudahan yang semakin tidak meyakinkan.

4. Saya sebagai peminat rancangan hiburan suka untuk memberikan pandangan peribadi melalui pemerhatian dan penilaian saya.

5. RL4 memuatkan nama-nama besar seperti Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki sebagai tunjang. Bob Lokman yang versatile dalam dunia hiburan tanah air sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Berpengalaman menaikkan kumpulan Wings, menulis lirik-lirik lagu yang menjadi lagenda halwa telinga, mengacara dengan bersahaja di samping sebagai event manager adalah sebahagian dari diri Bob Lokman. Tak dapat kita nafikan lawak psycho-humor Din Beramboi yang penuh kontroversi sejak dari awal pembabitan. Dia sendiri pernah menjelaskan dalam salah satu minggu di RL4 sewaktu memberi kritikan bahawa dulu orang pernah menganggapnya gila. Bermula sebagai kartunis, berkebolehan membuat animasi dan voice over, berlakon bernyanyi dan berlawak bukan asing bagi Din Beramboi yang kini dipasangkan bersama Aznil sebagai penyampai radio ERA dalam segmen pagi di ERA. Siapa yang tidak suka kepada Afdlin? Ibarat mempunyai sentuhan emas, pengarah terkenal filem komedi tanah air ini sering tampil dengan pendekatan di luar kotak pemikiran dan menghasilkan filem berkualiti dengan strategi lautan biru. Mana ada filem Afdlin yang dilakoni atau diarahkan olehnya tidak berjaya?

6. Tapi sayang, dari pemerhatian saya peranan mereka dalam RL4 sangat terhad. Terutamanya dari aspek bimbingan kepada peserta sewaktu di rumah penginapan. Selain memberi tema tugasan, bimbingan supaya idea dikembangkan melalui persembahan sangat terhad.

7. Ini melalui pemerhatian saya melalui Ceritera RL. Peserta diminta memikirkan sendiri konsep persembahan berdasarkan tema mingguan yang ditugaskan.

8. Sepatutnya RL4 mempunyai tenaga pengajar sepenuh masa yang mampu memberi tunjuk ajar dan bimbingan. Boleh la ikut format ala-ala Akademi Fantasia kalau tak sepenuhnya pon sebahagiannya lah kan?

9. Apa yang saya nampak Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki terlalu memberikan penekanan kepada aspek kritikan atau komen persembahan. Sedangkan apa yang dikritik kena pada batang hidung mereka sendiri. Kerana, merekalah yang memberikan tema tugasan setiap minggu!

10. Saya percaya ramai yang tak mahu nanti di sebalik Bob, Din dan Afdlin yang merupakan nama besar di sebalik karya lawak tanah air disifatkan gagal menjayakan RL4. Mereka sewajarnya memberikan penekanan kepada aspek transformasi peserta melalui persembahan mantap setiap minggu. Janganlah nanti bila RL4 berakhir orang mengaitkan nama besar mereka dengan RL4 yang hambar.

11. Mungkin peranan sebagai pembimbing dan pengkritik sudah tidak sesuai buat mereka dalam RL4.

12. Untuk membetulkan keadaan ini, saya kira lebih banyak bimbingan perlu diberi kepada peserta. Mantapkan aspek rehearsal. Tumpukan kepada elemen lawak dalam penceritaan dan bukan penceritaan yang membosankan.

13. Tontonlah filem Punchline lakonan Tom Hanks untuk lebih memahami aspek idea, penceritaan dan lawak yang berkualiti. Saya yakin dengan fokus dan kesungguhan, RL4 mampu menyengat kerana barisan peserta yang masih tinggal hebat-hebat belaka.

14. Untuk Raja Lawak akan datang, mungkin ASTRO perlu memikirkan untuk melantik seorang Pengetua Akademi Raja Lawak dan krew tenaga pengajar secukupnya.

15. Kah kah kah……………………………….

No comments:

Post a Comment