Thursday, March 12, 2009

RUPA FIZIKAL - Satu Penilaian Semula

Watak dalam filem Hellboy yang telah memasuki siri ke-2


Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki

Kalau hati itu bersih
Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia


Demikianlah antara bait-bait dari lirik lagu Mata Hati dendangan kumpulan Hijjaz. Lirik lagu yang ringkas ini mendukung seribu satu makna di sebalik realiti kehidupan manusia. Ini menjelaskan hakikat di sebalik setiap tingkah laku manusia tentang pandangan seorang manusia terhadap manusia lain atau keadaan di hadapannya. Pandangan mata dirujuk sebagai pandangan yang selalu menipu kerana mata menilai rupa fizikal apa yang dipandang. Sedangkan rupa fizikal sebenar sesuatu perkara itu bukanlah tetap dan tepat pada sesuatu keadaan. Pandangan akal dirujuk sebagai selalu tersalah jika akal tidak mempunyai cukup ilmu untuk dijadikan rujukan. Hanya akal yang cukup dengan ilmu yang sepatutnya boleh memberikan pandangan yang betul. Pandangan nafsu dirujuk sebagai melulu kerana sifat manusia dan kepentingan nafsu yang sering kali berada pada keadaan luar kawalan apabila pertimbangan keadaan melibatkan nafsu. Pandangan hati adalah pandangan yang hakiki kerana hati bersifat dalaman. Akan tetapi ia masih merujuk kepada isi hati seseorang manusia yang memandang. Jika hatinya bersih maka benarlah pandangannya.

Bahaya kecelaruan pandangan ini ialah ia boleh membawa kepada salah analogi dalam masyarakat. Masyarakat akan prejudis dan menjejaskan silaturahim antara sesama manusia. Lebih dari itu, ia akan menganiaya pihak yang benar tetapi dilihat salah dalam kumpulan masyarakat. Ironinya, pandangan manusia lebih melihat kepada rupa fizikal.

Izinkan saya berkongsi pengalaman atas pemerhatian dalam kehidupan yang saya lalui. Tak lama dulu saya ke pawagam untuk menonton wayang. Waktu itu filem Batman – Dark Knight dan Hell Boy - The Golden Army (poster filem seperti pada gambar di atas) sedang ditayangkan dan ada beberapa filem lain yang tak perlu saya sebut satu per satu. Saya sebutkan dua ini kerana ia signifikan dengan apa yang hendak saya huraikan.

Dari rupa paras watak di atas, pasti ramai yang membuat andaian bahawa inilah rupa fizikal kejahatan! Jahat, seringkali dikaitkan dengan rupa yang buruk, ganas, menakutkan dan mengerikan serta pelbagai status dan stigma bagi membayangkan rupa fizikal jahat. Inilah yang ditanam dalam pemikiran kita sejak sekian lama tentang rupa fizikal jahat sehingga kita begitu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan rupa fizikal yang kita lihat. Kita percaya apa yang kita lihat dan mengabaikan apa yang sepatutnya kita tahu kerana apa yang kita lihat lebih meyakinkan. Saya mengikuti siri pertama filem Hellboy sebelum ini dan saya memilih untuk menonton filem siri kedua ini. Sayangnya tak ramai yang menonton filem ini kerana perhatian lebih terarah kepada filem Batman. Watak superhero yang kita kenal sejak kecil. Saya pasti kutipan hasil tayangan filem Hellboy lebih rendah jika dibandingkan dengan filem Batman.

Dalam filem Hellboy, rupa fizikal Red (nama watak Hellboy dalam filem ini) dibayangkan sebagai syaitan yang hidup dalam kelompok manusia. Inilah gambaran fizikal rupa syaitan. Analogi dalam filem ini sama sekali berbeza, kerana watak protoganis mempunyai rupa fizikal "jahat" dalam erti kata yang kita fahami. Lebih dari itu, analogi tersebut disampaikan secara maksimum dengan memberi gambaran rupa fizikal syaitan yakni bapa kepada segala kejahatan! Inilah Red- The Hellboy. Tetapi memainkan watak sebaliknya berbanding rupa fizikal tersebut.

Cuma hakikatnya, dalam filem ini Red menjadi pelindung manusia di muka bumi dari sebarang ancaman dan kejahatan. Red menentang musuh manusia dan menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan manusia. Red memotong tanduknya dan berkawan dengan manusia dan mengamalkan cara hidup sebagai mana manusia normal yang lain seperti menghisap cerut Cuba dan lain-lain lagi. Lebih menyentuh, Red mempunyai personaliti yang sensitif, mudah tersinggung dengan kata-kata pedih atau sindiran padanya dan mahukan perhatian. Red sukakan kucing dan sangat sayang pada kucing. Makanan kegemarannya ialah coklat, tidak seperti rupanya yang menakutkan! Suka kepada kanak-kanak. Lebih dari itu Red juga mempunyai hati dan perasaan serta bersifat romantik kepada wanita apabila jatuh cinta dan mengahwini Liz - seorang wanita yang mempunyai keupayaan luar biasa terhadap api. Red sanggup bermatian demi cintanya pada Liz! Red menyanyikan lagu Can't Smile Without You bersama rakannya Abe Sapien bagi melayan perasaan mereka yang jatuh cinta. Manusia normal sendiri barangkali tidak kenal penyanyi asal lagu itu, Barry Manilow?

Moralnya, kita perlu menilai semula apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat tidak semestinya sama dengan apa yang kita sangka. Dengan kata mudah, yang nampak baik belum tentu baik dan yang nampak jahat belum tentu jahat! Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa asas-asas yang kukuh. Pada hari ini, rupa fizikal kejahatan boleh datang dalam pelbagai bentuk dan pakej. Kejahatan itu sendiri sudah sukar untuk didefinisikan apabila kejahatan sudah mampu berevolusi dalam tamadun manusia. Revolusi kejahatan menjadikan manusia-manusia jujur sebagai mangsa. Mangsa kepada kejahatan yang kadangkala dimulakan dengan kebaikan! Kita sukar menerima kejahatan yang dilakukan oleh pihak yang mempunyai rupa fizikal "baik" walaupun sebenarnya ia tidak mustahil untuk berlaku.

Pandangan hati yang hakiki memerlukan kesatuan antara semua deria yang terlibat dan bukan hanya mata yang memandang, akal yang menilai dan hati yang mentafsir. Ia memerlukan keredaan tuhan (Allah SWT) dan manusia yang memerlukan keredaan Allah SWT perlulah sentiasa berdoa dan memohon petunjuk semoga pandangan hati dan keredaan Allah sentiasa dalam kehidupan kita sehari-harian. Indrawan Muhammad Yatim (2008) mengatakan:

“Mudah-mudahan dengan berdoa kepada-Nya, Allah SWT akan memberi pandangan dan petunjuk rohani untuk jelas bagi mengetahui sesuatu kebenaran. Selama umat Melayu melihat untuk mencari kebenaran dengan hanya menggunakan mata biasa sahaja, selama itulah juga mereka akan ditipu dan tertipu. Bersihkanlah hati dan pemikiran agar mata rohani dapat berfungsi untuk melihat dan menilai sesuatu kebenaran. Mata rohani adalah anugerah khas Allah SWT kepada hamba yang benar-benar memohon bimbingan dan petunjuk-Nya” (Indrawan Muhammad Yatim, 2008, pp 102 dalam bukunya Mengangkasa Revolusi Melayu & Orde Dunia Baru).

Persepsi tidak semestinya memberikan gambaran sebenar sesuatu realiti. Dalam banyak keadaan persepsi lebih menyumbang kepada sesuatu yang negatif dan berat sebelah. Apabila apa yang kita lihat sudah tak sama dengan apa yang kita tengok, dan apa yang kita dengar sudah tak sama dengan apa yang dicakap, pasti akan ada pihak yang teraniaya. Ingatlah, sebagai seorang Muslim kita yakin dan percaya sesungguhnya doa orang yang teraniaya itu tiada hijjab dengan Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui.

Berdoalah kita kepada Allah SWT semoga dikurniakan pandangan mata yang menjurus kepada pandangan hati yang benar dan jauh dari pengaruh negatif. Inilah elemen penting sebagai permulaan untuk kita menilai semula sesuatu rupa fizikal.

No comments:

Post a Comment