Monday, March 1, 2010

Adiwira Dalam Kepimpinan Politik Malaysia




1. Kadang kala ada terkesan di hati dengan kehebatan adiwira dalam filem atau cerita-cerita aksi yang kita tonton sejak zaman kanak-kanak.

2. Walau pun adiwira itu banyak lahir dari pengaruh barat, tiap satunya datang dengan hikmat dan imej yang membuatkan kita terkesima dan memuja kehebatannya. Hari ini di negara kita sudah muncul watak adiwira tempatan melalui filem dan karya tempatan seperti Cicakman, Pepaya, Kapten Kitt, Captain Boleh dan ramai lagi. Zaman berubah, tapi konsep ini masih sama. Zaman dulu, watak Hang Tuah lima bersaudara, Badang dan lain-lain menjadi minat mengikut zaman.

3. Tak semua adiwira boleh bertahan menjadi pujaan. Ada juga adiwira yang wataknya dimatikan dalam cerita atau hikmat mahu pun kuasanya pudar. Namun adiwira pujaan atau pilihan boleh saling berganti. Mungkin saya lebih meminati Superman pada zaman kanak-kanak, tapi kini lebih berminat dengan Cicakman atas dasar patriotik dan sebagainya. Pokoknya, kita ada sebab dan tujuan untuk sesuatu perkara.

4. Begitu juga dengan politik negara kita. Pemimpin datang dan pergi tapi konsep pemimpin-pengikut masih sama. Di mana ada pemimpin, pasti ada pengikut yang menzahirkan bahawa pemimpin itu punya pengaruh untuk dia diberikan kuasa yang bersifat legitimasi.

5. Apabila pembangkang berjaya menguasai lima negeri pada PRU12 lalu, konsep adiwira ini antara analogi yang boleh membantu analisa dan kefahaman. Pimpinan kerajaan dilihat lemah, tidak bermaya, dikongkong oleh sanak saudara terdekat dalam masa yang sama isu nasional seperti kenaikan harga minyak dan barang keperluan, kadar jenayah yang meningkat dan rasuah serta salah guna kuasa terus berleluasa. Sedangkan pembangkang menghidangkan pilihan dan tawaran lebih baik dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat lebih bersih dan mampu melaksanakan tugas dengan amanah dan berkhidmat untuk rakyat sebagai ‘adiwira’ baru menggantikan adiwira sekarang yang semakin kehilangan hikmat dan kesaktian kuasanya!

6. Terbukti, ia berjaya di lima negeri.

7. Maka, kalau negeri tersebut mahu di tawan kembali konsep adiwira adalah kaedah paling sesuai dalam pertarungan persepsi untuk memenangi hati rakyat (battle of perception among the rakyat). Hal yang sama juga jika pembangkang mahu melebarkan sayap ke negeri-negeri lain pada PRU13 nanti. Tak perlu cantas mencantas atau membunuh korektor pemimpin sedia ada. Rakyat sudah bijak dan bimbang perbuatan itu akan memakan diri sendiri (back fired) dan hanya meningkatkan jumlah pengunjung di youtube!

8. Hari ini salah sebuah negeri yang dirampas oleh pembangkang sedang hangat dengan krisis kepimpinan. Ketua Menteri diserang dari luar dan dalam. Dikaitkan dengan pelbagai ketidakcekapan dan isu. Sejauh mana ia benar, sukar dipastikan kalau hanya bersandar pada media arus perdana kerana kenyataan dalam media alternatif menafikan. Apa yang pasti seorang demi seorang keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas.

9. Kita berharap mereka ini bercakap benar supaya rakyat tidak keliru. Kalau boleh dianalogikan, isu yang mereka ingin jelaskan ibarat satu gelas yang di dalamnya hanya ada separuh air. Satu pihak menegaskan dengan pelbagai dalil dan fakta bahawa gelas tersebut hanya separuh berisi air tetapi separuh lagi kosong. Satu pihak lagi menafikan dengan menyatakan bahawa gelas itu lebih tepat separuh kosong tetapi separuh lagi berisi air. Kedua-dua kenyataan itu benar. Akan tetapi, biarlah rakyat dihidangkan dengan fakta yang mampu mempengaruhi kepercayaan mereka kepada salah satu dari pernyataan itu dan pernyataan manakah yang mampu menambat hati mereka. Itulah yang kita harapkan.

10. Salah seorang wakil rakyat yang baru mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas hari ini pada saya mempunyai kredibiliti untuk menjadi pemimpin yang baik. Dengan penampilan bersahaja dan kemampuan meyakinkan pengikut, dia mungkin adiwira yang dicari-cari bagi mengisi watak Ketua Menteri?

11. Akan tetapi kredibiliti harus dibina bermula dari sekarang. Kredibiliti itu pula tidak harus hanya bersandar pada wibawa palsu. Ketua Menteri dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja. Mampukah beliau yang begitu hebat mengkritik kepimpinan Ketua Menterinya mempamerkan kesungguhan untuk bekerja dengan lebih kuat. Bukan sekadar itu, perlu dilihat lebih telus, lebih bersih, lebih beriman, lebih adil dan memperjuangkan kepentingan semua kaum tanpa hanya melaungkan manifesto yang pelbagai untuk menjadi janji-janji manis. Fungsi den kedudukan sebagai wakil rakyat yang beliau miliki sekarang adakah sudah dimanfaatkan dengan efektif bagi memastikan kepentingan rakyat di kawasannya telah diperjuangkan? It baru satu kawasan, kalau jadi Ketua Menteri perlu tengok satu negeri.

12. Boleh ker?

2 comments:

  1. jadilah adimira yang sejati.. namun, pada ketika ini sukar untuk dipastikan ketulinan mereka2 yang kononnya menggelar diri mereka adiwira.. percaya atau tidak dlm satu keadaan adalah lebih baik kita memilih 'usop santorian ' sbg wira drpd adiwira. =)

    ReplyDelete
  2. Saudara Awang,

    Mereka tidak menggelar diri sebagai adiwira, hanya persepsi kita menyifatkan mereka mampu menjadi adiwira. Soalnya, adakah mereka mampu?

    ReplyDelete