Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Itulah peribahasa Melayu yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi rumit sekumpulan penduduk rumah flat di ibunegara yang menghadapi dilema akibat ketiadaan lif. Isu ini timbul ekoran masalah kerosakan lif di blok perumahan flat tersebut yang gagal diperbaiki oleh pihak pengurusan rumah flat atau dirujuk sebagai pemaju. Masalah ini berlarutan sejak tahun 2008 dan masuk tahun 2009 hanya satu lif sahaja yang mampu beroperasi seperti mana dilaporkan Buletin Utama TV3 pada 18 Januari 2009.
Sememangnya TV3 menjadi saluran dalam memperjuangkan isu ini sejak dari awal. Rintihan penduduk, masalah harian penduduk dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan masalah ini telah dipaparkan sehingga membawa kepada tindakan pihak yang berkaitan walaupun pada tempoh dan jangka masa yang agak panjang. Isu ini juga telah mendapat perhatian ahli politik sama ada di pihak kerajaan mahupun ahli parlimen mereka dari Pakatan Rakyat. Namun untuk keadaan lif kembali kepada asal masih lagi belum menjadi realiti sepenuhnya. Sebagai seorang yang pernah tinggal di rumah flat, saya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan tanpa lif diteruskan saban hari. Apatah lagi jika tinggal di puncak tertinggi rumah flat iaitu di tingkat 17! Bayangkan jika pulang dari penat bekerja, dengan membawa barang yang banyak dan anak-anak yang masih kecil tatkala sampai di hadapan rumah di tingkat 17, baru tersedar bahawa kunci rumah ada dalam kereta? Tuhan sahajalah yang tahu perasaan jika situasi itu berlaku.
Saya simpati kepada anak-anak kecil yang terpaksa turun naik tangga ke sekolah, warga tua dan golongan kurang upaya yang meneruskan kehidupan harian dan mereka-mereka dengan masalah kesihatan dan pelbagai cerita tersendiri. Untuk seorang yang sihat tubuh badan pun akan merasa jerih peritnya jika terpaksa turun naik anak tangga satu persatu setiap hari. Itulah signifikannya lif kepada penduduk rumah flat. Akan tetapi saya yakin bahawa penghuni rumah flat tersebut tiada pilihan lain. Jika ada pilihan dan kemampuan untuk tinggal di tempat lain saya pasti ramai yang sudah mengambil tindakan tersebut. Akan tetapi inilah satu lagi dilema tinggal di ibu kota kerana kos sara hidup yang sangat tinggi.
Akan tetapi saya berpendapat bahawa masalah ini tidak boleh diletakkan atas bahu pihak pemaju dan kerajaan semata-mata. Ada isu yang lebih besar yang memerlukan perhatian masyarakat. Bercakap atas pengalaman sebagai seorang yang pernah membesar di kawasan rumah flat tersebut, saya meletakkan punca kepada masalah ini ialah sikap kurang bertanggungjawab “segelintir penduduk” rumah flat tersebut. Inilah punca rosaknya lif tersebut. Apabila ada yang kurang menghargai kemudahan yang disediakan, bahananya perlu ditanggung oleh keseluruhan penduduk kawasan rumah flat tersebut. Inilah yang disebut sebagai vandalisme. Mungkin ada yang akan marah jika saya catatkan bahawa lif di kawasan perumahan itu sangat sinonim dengan bau hancing. Tidak ubah seperti tandas awam yang tidak dicuci secara berjadual. Seakan satu trademark, bau hancing sering dikaitkan dengan lif-lif di kebanyakan rumah flat terutama rumah-rumah flat kos rendah. Secara sinis kita boleh kaitkan sikap “segelintir” penduduk yang tidak bertanggungjawab sehingga menjadikan kediaman mereka tempat yang tidak selesa untuk didiami. Kalau pun ada syarikat pembersihan yang dilantik menjaga kebersihan lif, mereka juga merasa hampa dengan keadaan sama yang berulang saban hari. Selain bau hancing, satu pemandangan biasa apabila panel nombor di dalam lif yang sepatutnya boleh digunakan dengan hanya menekan nombor tingkat untuk membawa pengguna lif ke tingkat rumah mereka cair dibakar oleh api dari pemetik api. Inilah vandalisme yang dilakukan oleh mereka yang kurang bertanggungjawab sementara berada dalam lif sebelum sampai ke tingkat yang mereka hajati. Sesetengah anak penghuni rumah flat menjadikan lif sebagai permainan mereka. Ini mendedahkan anak-anak kepada bahaya dan sememangnya ada kes kecederaan berlaku melibatkan anak-anak penghuni seperti tersepit pada pintu lif. Malah ada juga kes kematian melibatkan kemalangan lif di rumah flat di negara ini yang berpunca kerana menjadikan lif sebagai permainan atau menyalahgunakan lif tersebut. Sikap kasar dan kurang cermat sesetengah pengguna yang menendang lif yang lambat juga membawa kepada punca masalah ini. Keadaan kotor dalam lif dan dinding lif yang diconteng dengan pelbagai perkataan kesat dan lukisan adalah satu pemandangan biasa. Inilah antara punca yang menyesakkan dan mengakibatkan lif rosak.
Secara peribadi saya melihat pentingnya institusi keluarga dalam masalah ini. Ibubapa atau penjaga haruslah memainkan peranan mendidik anak-anak untuk menghargai kemudahan awam terutamanya lif dan menggunakannya dengan berhemah. Contoh dan tauladan yang baik juga harus ditunjukkan oleh penghuni dewasa supaya kehidupan yang harmoni dapat dipelihara dalam persekitaran dan kawasan perumahan yang bersih dan selamat. Jika semua pihak hidup dalam suasana dan sikap yang baik, masalah kerosakan lif tidak akan berlaku di mana-mana kawasan rumah flat samada kos rendah atau pun di kondominium mewah. Marilah kita sama berdoa semoga masalah lif di rumah flat tidak kira di mana juga lokasinya dapat diatasi dan diuruskan dengan baik. Dalam masa yang sama penduduk rumah flat perlu mengubah sikap dan berperanan menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab. Ini penting supaya semua pihak mendapat manfaat kebaikan (win-win situation) dalam perkara ini dan ia tidak menjadi masalah yang tidak dapat diselesaikan dan menjadi paparan berita dari hari ke hari.
No comments:
Post a Comment