PENDAHULUAN
Napoleon Bonaparte dilahirkan pada 15 Ogos 1769 di Ajaccio (Ajacciu) di Pulau Corsica yang terletak di tenggara Perancis. Michael H. Hart meletakkan Napoleon Bonaparte pada senarai ke 34 dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History kerana kehebatan pengaruhnya. Kariernya sebagai anggota tentera yang paling digeruni bermula apabila menyertai Tentera Revolusi Perancis pada lewat 1790an.
Napoleon Bonaparte menjadi Jeneral Revolusi Perancis yang merupakan Konsul Pertama atau Konsul Perdana Republik Perancis pada 11 November 1799 sehingga 18 Mei 1804. Setelah menjadi Konsul pertama beberapa tahun, beliau kemudianya telah menjadi Maharaja Perancis (Empereur des Français) dan Raja Itali di bawah nama Napoleon I dari 18 Mei 1804 hingga 6 April 1814.
Namanya begitu masyhur kerana selama lebih kurang satu dekad, angkatan-angkatan tentera Perancis di bawah pimpinannya bertempur dengan hampir setiap kuasa Eropah dan menguasai kebanyakan tanah besar barat dan tengah Eropah melalui penaklukan atau perikatan. Napoleoan Bonaparte merupakan seorang tentera yang hebat, ketua taktikal serangan yang licik dan pentadbir yang dikagumi kerana kebolehan merancang taktik yang terbaik daripada pelbagai sumber, dan memodenkan angkatan tentera Perancis untuk mencapai banyak kemenangan yang utama. Kempen-kempennya telah dikaji di akademi-akademi seluruh dunia dan beliau secara amnya dianggap sebagai salah seorang daripada komander terutama yang pernah hidup dan disifatkan sebagai "pemerintah kuku besi berihsan". Selain daripada pencapaian tenteranya, Napoleon juga dikenang sebagai antara watak penting disebalik Kod Napoleon yang menjadi asas kepada sistem perundangan sivil Perancis (G. Stolyarov II , 2007).
Apa pula perkaitan dengan istilah Little Napoleon? Istilah ini merujuk kepada penjawat awam yang berada di sesuatu kedudukkan (bukannya peringkat tertinggi) tetapi berlagak seolah dia begitu berkuasa seakan pegawai yang berada di peringkat tertinggi. Kadangkala lagak itu didokong oleh persekitaran dan mereka yang berurusan dengannya lantaran kuatnya hubungan si “Little Napoleon” tadi dengan mereka yang berkuasa di peringkat tertinggi. Ianya diberi gelaran Little Napoleon kerana sifat mereka ini seperti Napoleon Bonaparte. Istilah ini dipopularkan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau memberi amaran tidak mahu melihat wujudnya Little Napoleon di kalangan penjawat awam. Beliau memberi amaran kepada segelintir penjawat awam yang ingin menunjukkan kuasa dengan cara melambatkan kerja dan keputusan. Perdana Menteri menyifatkan Little Napoleon sebagai golongan yang kecil tetapi memberikan kesan dan mencemarkan nama baik perkhidmatan awam ibarat kata pepatah “sebab nila setitik rosak susu sebelangga’ (Utusan Malaysia , 15 April 2006).
Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) Tan Sri Ramon Navaratnam yang pernah menghuraikan Little Napoleon dengan nada tegas menjelaskan bahawa golongan in adalah boneka yang menjadi begitu berkuasa lantaran sokongan dan dokongan yang diperolehi dari pihak-pihak tertentu. Beliau memuji langkah Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mahu memantau dengan dekat prestasi kakitangan awam dan menghukum siapa sahaja yang menyeleweng, rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Akan tetapi Tan Sri Ramon juga menyarankan agar perhatian diberikan kepada golongan atau kumpulan yang memberi sokongan dan dokongan tersebut (The Sun , 17 Disember 2007 ).
Perkhidmatan awam dalam mana-mana negara adalah tulang belakang kepada kerajaanya (Abdullah Sanusi , 1997). Sebuah perkhidmatan awam yang mantap dan cekap akan membawa kepada kelancaran tadbir urus dan kecekapan pengurusan yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penjawat awam di Malaysia yang berjumlah kira-kira 2 juta pada hari ini melalui evolusi dalam perkhidmatan. Penambahbaikan yang berlaku menjadikan kerjaya di sektor awam sebagai pilihan yang popular. Ini menjanjikan cabaran yang lebih besar kepada ketua jabatan dalam menguruskan kepelbagaian penjawat awam itu sendiri. Penulisan ini akan membincangkan peranan yang boleh diambil oleh seorang ketua jabatan dalam berhadapan dengan golongan Little Napoleon.
Pada 5 November 2003 dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama selaku Perdana Menteri Malaysia yang kelima, YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, telah mengumumkan keputusan kerajaan untuk membentuk Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) (Mustafar Ali , 2006). Pelan Integriti Nasional memfokuskan kepada dua perkara iaitu:
1. Membasmi rasuah dalam perkhidmatan
2. Meningkatkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan
Dalam fokus kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan, YAB Perdana Menteri telah mendedahkan wujudkan kalangan penjawat awam yang menyalah guna kuasa dan kedudukan serta melengah-lengah kerja bagi kepentingan peribadi. Golongan ini dirujuk oleh YAB Perdana Menteri sebagai Little Napoleon yang merupakan individu atau sekumpulan individu yang tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan mengikut tatacara sebenar sebagai penjawat awam.
Hakikatnya golongan Little Napoleon sememangnya telah lama wujud. Penjawat awam yang tidak mesra pelanggan, anti-pembangunan dan melawan ketua tanpa sebab juga boleh dirujuk sebagai Little Napoleon. Sedar akan masalah yang disebabkan oleh golongan inilah maka YAB Perdana Menteri telah memberikan teguran supaya perkara ini ditangani dan penumpuan terhadap penambahbaikan perkhidmatan dapat dilakukan.
RASIONALNYA GOLONGAN LITTLE NAPOLEON?
Little Napoleon adalah penjawat awam yang tidak menghayati prinsip integriti dalam perkhidmatan. Golongan ini akan merugikan organisasi kerana potensi modal insan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kesedaran terhadap wujudnya golongan yang bermasalah ini turut diakui oleh YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah, yang menegaskan bahawa budaya Little Napoleon lambat laun akan menjadi barah yang akan memusnahkan modal insan seterusnya melumpuhkan keseluruhan organisasi tersebut (Warta Darul Aman, 8 September 2008). Ini menjelaskan betapa golongan ini sebenarnya tiada tempat dalam mana-mana perkhidmatan awam di negara ini.
Menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk mencari rezeki. Rezeki adalah nafkah untuk menyara diri, dan ahli keluarga. Sewajarnya nafkah yang diberikan datang dari sumber yang halal dan sah. Sekiranya diperincikan, pendapatan yang diperolehi oleh seorang penjawat awam yang tidak amanah adalah satu bentuk pendapatan yang diragui dan dikhuatiri hilang keberkatannya apabila pendapatan tersebut diperolehi dari kerja yang tidak dilaksanakan dengan sempurna dan beramanah. Sebagai seorang Muslim ini akan menjejaskan matlamat untuk menjadi umat yang terbaik. Konsep kerja sebagai ibadah menguatkan lagi hujah bahawa pekerjaan yang dilakukan perlu dilakukan dengan sempurna dan memudahkan semua pihak. Secara nyata, golongan Little Napoleon adalah kumpulan penjawat awam yang tidak kompeten dan tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan mengikut tatacara sebenar.
MENANGANI LITTLE NAPOLEON DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Golongan Little Napoleon tidak seharusnya dibiarkan dalam perkhidmatan awam. Negara memerlukan modal insan yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk membawa cabaran negara di masa hadapan. Beberapa cadangan berikut boleh dipertimbangkan dalam menangani golongan tersebut:
1. Dalam menangani golongan ini, pelbagai peraturan dan garis panduan telah sedia ada. Hanya tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan perkara ini tidak berterusan. Antaranya Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1998 Garis Panduan Menguruskan Pegawai Berprestasi Rendah dan Pegawai Yang Bermasalah telah menjelaskan tindakan yang boleh diambil bagi mengatasi perkara ini. Garis panduan ini memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh seorang ketua jabatan terhadap kakitangan yang berprestasi rendah dan bermasalah. Golongan Little Napoleon adalah mereka yang dikategorikan sebagai kakitangan yang bermasalah. Perlaksanaan garis panduan ini merangkumi tindakan paling asas iaitu teguran sehingga membawa kepada tindakan lebih tegas iaitu tindakan tatatertib. Seorang ketua jabatan perlu menilai tindakan yang sesuai berdasarkan kepada keadaan mengikut peringkat yang ditetapkan. Perlu ada persefahaman antara ketua-ketua dalam sesebuah jabatan kerajaan untuk melaksanakan tindakan dalam surat pekeliling ini bagi memastikan keberkesanannya. Ini memerlukan keberanian dan ketelitian seorang ketua jabatan dalam melaksanakan tugasnya.
2. Kepimpinan Beretika adalah satu keperluan dalam organisasi. Ini adalah satu bentuk tindakan pencegahan yang dapat membimbing organisasi ke arah kecemerlangan. Seorang pegawai kerajaan adalah bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang berintegriti dalam organisasinya. Kepimpinan melalui tauladan adalah satu contoh penting yang diperlukan. Menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk memastikan misi dan visi yang jelas bagi organisasi dan penting misi dan visi tersebut difahami bersama. Komunikasi yang sihat dalam organisasi akan meningkatkan kefahaman kepada matlamat dan hala tuju organisasi. Ini dapat membimbing semua penjawat awam untuk bekerja dengan matlamat yang lebih jelas dan bertanggungjawab. Kepimpinan menjadi faktor penting dalam menangani Little Napoleon dan seorang ketua jabatan tidak seharusnya berkompromi dengan golongan ini dan membiarkan keadaan tersebut kerana ia boleh membawa kepada implikasi lebih buruk. Paling penting ialah seseorang ketua jabatan itu sendiri perlu memahami maksud tersirat disebalik Little Napoleon dan tidak menjadi sebahagian dari golongan tersebut.
3. Penghayatan kepada pendekatan Islam Hadhari adalah satu langkah yang mengajak penjawat awam kembali kepada Islam. Terdapat sepuluh prinsip yang menjadi sasaran dalam pendekatan ini iaitu:
i. Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Allah
ii. Kerajaan Adil dan Beramanah
iii. Rakyat Berjiwa Merdeka
iv. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
v. Pembangunan Ekonomi Seimbang & Komprehensif
vi. Kehidupan Berkualiti
vii. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
viii. Keutuhan Budaya dan Moral
ix. Pemuliharaan Alam Semulajadi
x. Kekuatan Pertahanan
Dalam melahirkan penjawat awam yang berintegriti, fokus diberikan kepada prinsip pertama dan ke lapan. Keimanan dan ketaqwaan kepada Allah adalah asas yang perlu ada pada setiap insan. Setiap agama di negara ini juga menekankan konsep keimanan dan ketaqwaan kepada tuhan mengikut kepercayaan dan amalan agama masing-masing. Melalui prinsip ini seorang penjawat awam akan lebih menghayati konsep kerja sebagai ibadah. Prinsip keutuhan budaya dan moral merujuk kepada amanah dan integriti sebagai seorang penjawat awam. Sasaran ke-2, TEKAD 2008 iaitu meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi dalam Pelan Integriti Nasional adalah selari dengan keperluan ini (Pelan Integriti Nasional , 2005). Justeru itu, setiap penjawat awam seharusnya mengambil langkah proaktif untuk menghayati perancangan dan matlamat ini untuk peningkatan kendiri. Ini penting bagi menajamkan minda dan kemahiran sebagai seorang penjawat awam dan bukan sebagai persediaan untuk menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sahaja.
4. Pembangunan sumber manusia melibatkan program latihan dan pembangunan adalah salah satu cara yang dapat mengubah keadaan. Dalam era globalisasi hari ini, Negara memerlukan penjawat awam yang mempunyai ciri-ciri knowledge worker (k-worker). Ini penting bagi menghadapi era knowledge economy (k-economy) yang memerlukan persaingan dari aspek pengetahuan disamping aspek lain yang sedia ada. Dasar Latihan Sektor Awam yang meletakkan sasaran latihan 56 jam setahun bagi setiap penjawat awam adalah langkah yang amat signifikan. Program latihan dan pembangunan seperti kursus, bengkel, seminar dan lain-lain lagi mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seorang penjawat awam. Latihan dan pembangunan adalah sebahagian dari pelaburan yang mampu meningkatkan nilai modal insan. Golongan Little Napoleon memerlukan latihan yang boleh menguatkan aspek kerohanian (Spiritual Strength) bagi membentuk kepada perubahan sikap terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
RUMUSAN
Dari penulisan ini dapat dirumuskan bahawa golongan Little Napoleon perlu dibantu supaya sedar akan tugas dan peranan sebenar yang perlu dijalankan sebagai seorang penjawat awam. Kerja harus dilihat sebagai satu ibadah. Justeru itu, penting untuk kita melaksanakan tugas dengan amanah dan berkesan. Penjawat awam harus menjadikan dirinya aset kepada jabatan dan harus bijak merancang kerja dan menyara diri dan keluarga dengan pendapatan yang halal dan sah. Ini menuntut kemahiran untuk merancang dan memimpin diri sendiri dengan cekap kerana setiap individu adalah juga seorang pemimpin setidaknya kepada diri sendiri. Dari aspek kepimpinan jabatan, seorang ketua perlu mencabar status-quo yang wujud dalam jabatannya, dari segi sistem atau prosedur, cara kerja dan lain-lain aspek supaya sistem penyampaian dapat di pertingkatkan. Penambahbaikan dan inovasi yang perlu dilaksanakan secara bersama. Hanya dengan gaya kepimpinan yang mantap, perubahan mampu dicapai. Perubahan yang paling asas ialah perubahan sikap yang memerlukan kesungguhan setiap individu untuk sama-sama melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang penjawat awam dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.
No comments:
Post a Comment