Monday, February 9, 2009

RUKUN NEGARA

1. Masih segar dalam memori saya akan kemerduan lagu Perkhidmatan Awam dendangan kumpulan koir, Selendang Perak. Lagu ini sering dinyanyikan setiap kali saya menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan awam negeri Perak di SUK tak lama dulu.

2. Antara bait-bait lirik yang segar di ingatan :
“Rukun negara jadi pedoman
Kitalah benteng Malaysia”

Lirik penuh :

Kita Memegang Amanah Bangsa
Kita Juga Telah Berikrar
Taat Setia Korban Tenaga
Bela Bangsa Dan Negara
Etika Kerja Kita Amalkan
Tekun Jujur Dan Berbudaya
Gandakan Hasil Dan Pembangunan
Berkhidmat Bakti Berjasa
Agama Asas Pegangan
Perlembagaan Negara Dijulang
Rukun negara Jadi Pedoman
Kitalah Benteng Malaysia

3. Bukan sahaja liriknya indah, melodinya juga menarik dan sedap didengar. Syabas pencipta lagu ini.

4. Sebagai seorang penjawat awam, penting untuk kita menzahirkan profesionalisme. Lagu ini menerangkan betapa kita perlu memainkan peranan profesional sebagai penjawat awam di bumi Malaysia yang berdaulat. Lirik yang menyentuh tentang Rukun Negara mencuri perhatian saya.

5. Saya percaya kepada pendekatan “back to basic”. Dalam salah satu peperiksaan akhir di universiti, saya pernah memberikan Rukun Negara sebagai sebahagian dari jawapan peperiksaan kerana saya sifatkan ia bersifat asas. Saya kurang pasti penerimaan pensyarah yang menanda kertas jawapan saya dan merasakan ia pasti tiada dalam skema jawapan, tapi jika diamati, banyak falsafah di sebalik hujahan saya.

6. Saya pasti setiap rakyat negara Malaysia sudah hafal Rukun Negara.

7. Di sekolah, Rukun Negara diikrarkan setiap kali perhimpunan rasmi.

8. Kulit belakang buku tulis sekolah, tertera Rukun Negara.

9. Mungkin rakyat Malaysia yang tidak melalui sistem pendidikan rasmi di negara ini sahaja yang tidak hafal Rukun Negara.

10. Hafal satu perkara. Menghayati satu perkara. Memahami satu perkara yang lain pula.

11. Kalau ada yang kurang faham, mari saya bantu berkongsi kefahaman. Kita teliti satu per satu :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN – Di Malaysia, Islam adalah agama persekutuan tetapi dalam masa yang sama kaum lain bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing. Sebagai seorang yang beragama Islam, kita percaya kepada qada dan qadar dari Allah SWT. Kita sepatutnya yakin bahawa jika Allah sayang kepada kita maka akan diberikan cubaan, cabaran dan dugaan agar kita tabah dan terus yakin dengan ketentuan Allah sebagai tuhan yang maha esa. Dalam Islam juga kita sering didedahkan dengan ungkapan “tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima”. Ungkapan ini dah pernah jadi lirik lagu Ruhil Amani Hussin tahun 1990an dulu. Jadi?

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA – Sistem pemerintahan negara Malaysia ialah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jawapan tepat tentang sistem pemerintahan negara Malaysia, “kadang-kadang” tak boleh diberikan oleh rakyat Malaysia sendiri. Keliru antara kesedaran politik atau pengetahuan am? Apa pun, rukun kedua ini menuntut kita untuk setia kepada raja dan mengutamakan kesetiaan dan kesejahteraan kepada negara. Sewajarnya pada hemat saya, apabila raja (merujuk juga kepada sultan-sultan dan yang dipertuan negeri di negeri-negeri di Malaysia) bertitah, maka hendaklah kita junjung titah baginda. Zaman sekarang, relevenkah ungkapan “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Mahukah kita digelar Jebat “Derhaka” sedangkan Hang Tuah bergelar Laksamana?

KELUHURAN PERLEMBAGAAN – Saya sebagai seorang rakyat Malaysia, bangga dengan kewujudan Perlembagaan yang menjadi tunjang dan asas sistem pemerintahan dan keadilan. Sejarah membuktikan betapa mencabarnya proses merealisasikan Perlembagaan sehingga ia bertulis sedemikian rupa. Sebaiknya setiap rakyat Malaysia membaca perlembagaan, lebih baik menghayati dan faham isi kandungannya. Saya menasihati diri sendiri, kerana saya juga kurang menghayati walaupun saya pernah baca perlembagaan.

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG – Malaysia negara yang mempunyai sistem perundangan. Kedaulatan undang-undang memberikan ruang untuk setiap pihak yang terlibat dengan apa juga bentuk pergolakan, isu, krisis atau ketidakpuasan hati untuk menggunakan saluran undang-undang. Ramai cerdik pandai dan pengamal undang-undang muncul di negara ini. Secara idealnya, janganlah kita salah gunakan pula ruang yang ada. Peliharalah kedaulatan undang-undang, bukan menjadikannya alat untuk mencapai kepentingan peribadi. Keadilan bukan bermakna sekata atau sama rata, tetapi meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

KESOPANAN DAN KESUSILAAN – Kalau semua rakyat Malaysia termasuk saya benar-benar menghayati rukun ke lima ini maka tiadalah perbuatan “bangsat membangsatkan” antara satu sama lain, NAUZUBILLAHHIMINZALIK! Kasar bunyinya tu, tapi saya berpesan pada diri saya supaya mengamalkan kesopanan iaitu menghormati semua pihak tak mengira tua, muda dan siapa juga. Rasulullah berpesan, yang tua dihormati, yang muda disayangi. Kesusilaan bermaksud kita menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni dan etika dalam kehidupan sebagai rakyat di negara Malaysia yang berdaulat. Maknanya kita perlu menjaga ketatasusilaan dalam kehidupan seharian.

12. Kesimpulannya Rukun Negara sangat signifikan dalam kehidupan. Jika semua menghayati, faham dan mengamalkan, maka kita akan menjadi seorang rakyat Malaysia yang lebih bertanggungjawab. Sama-samalah kita fikirkan!

No comments:

Post a Comment