Tuesday, February 24, 2009

Bila Giliran Adnan Abu Hasan Jadi Pengetua AF?


1. Kita tinggalkan seketika cerita politik dan pertikaian yang berlaku sekarang dengan mengintai dunia hiburan tanah air. Bukanlah sudah bosan atau jemu cuma beralih angin kepada perkara lain untuk merehatkan minda.



2. Akademi Fantasia dah nak masuk musim ke 7 (AF7). Seperti biasa, bahang kehangatannya sudah mula dirasai. Kali ni tampil dengan tagline ‘Satu Tranformasi’. Saya bukanlah fanatik AF tetapi realitinya, rancangan realiti tv ini adalah yang paling popular di Malaysia.



3. Pada awalnya saya tidak begitu selesa dengan AF yang disiarkan sekitar bulan Julai dan Ogos iaitu di waktu anak-anak remaja Malaysia dekat dengan peperiksaan penting PMR dan SPM. Sekarang sudah nampak ada sedikit toleransi, rasanya tak salah untuk berhibur asalkan jangan sampai hanyut jauh dari landasan syarak.



4. Saya bukan nak bincangkan siapa bakal juara AF7 tapi dari aspek yang lebih akademik saya suka untuk membincangkan siapa calon Pengetua AF7.



5. Inilah watak yang memainkan peranan penting dalam menentukan warna dan corak AF pada sesuatu musim. Setelah enam musim, setiap pengetua mempunyai gaya kepimpinan tersendiri dan Ramli MS disifatkan yang paling berjaya dan sebab itu dipilih dua kali menduduki kerusi itu.



6. Tenaga pengajar musim ke tujuh ini juga ramai muka baru. Buat pertama kalinya AF tidak mendapat sentuhan Linda Jasmin selaku guru tari kerana beliau pastinya mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangga yang baru dibina. Namun barisan tenaga pengajar yang menggabungkan muka lama dan baru dilihat akan meneruskan kesinambungan untuk melakukan ‘Satu Transformasi’ seperti yang dijanjikan.



7. Jika ditanya pandangan, saya mencadangkan Adnan Abu Hassan dilantik sebagai Pengetua AF7.



8. Beliau bukanlah muka baru di AF malah telah beberapa kali menjadi tenaga pengajar AF sebelum ini disamping mencipta lagu-lagu yang kemudiannya popular untuk beberapa pelajar pada konsert akhir. Tambahan pula, beliau juga pernah menjadi pengkritik AF.



9. Pengalaman melihat AF dari dalam dan luar akademi adalah sesuatu yang amat berharga. Secara tidak langsung, ini juga seakan satu ‘kenaikan pangkat’ kepada tenaga pengajar AF sebagai mengiktiraf peranan mereka.



10. Adnan bukanlah baru dalam dunia hiburan tempatan. Beliau merupakan Pemegang Ijazah Sarjana Muda jurusan 'Professional Music' dari Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat. Beliau berpengalaman luas sejak tahun 1984 dalam dunia muzik dan menjadi tulang belakang kepada banyak syarikat rakaman.



11. Adnan juga banyak menaikkan artis yang mempunyai nama besar hari ini melalui lagu-lagu ciptaannya termasuklah Fauziah Latif, Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar.



12. Tidak cukupkah lagi pengalamannya itu?



13. Saya yakin pihak Astro telah pun mempunyai calon pengetua AF7 dan hanya menunggu masa untuk mengumumkannya.



14. Apa pun jika AF diteruskan pada masa hadapan, ssaya berharap agar pandangan dan hujah saya ini mampu menarik perhatian pihak yang berkenaan.



15. AF terkenal dengan akademi yang penuh dengan kejutan dan kita mengharapkan agar kejutan itu mampu memberikan satu impak yang positif kepada dunia hiburan tanah air.



16. Lebih dari itu saya secara peribadi melihat peri pentingnya untuk AF menjadi penanda aras yang mempunyai jatidiri kepada rancangan realiti tv bercorak hiburan di Malaysia.



17. Paling penting, bagaimana menyelitkan unsur-unsur pesanan dan syariat Islam dalam dunia hiburan di negara yang hari ini lebih kepada berbentuk hiburan yang melalaikan.



18. Soalnya, mampukah Adnan Abu Hasan memikul tanggungjawab itu?

No comments:

Post a Comment