Saturday, February 21, 2009

Ulasan Buku - “PERMATANG PAUH : Pilihan Raya Kecil Ogos 2008”


Selesai membaca buku berjudul “PERMATANG PAUH : Pilihan Raya Kecil Ogos 2008” saya terpanggil untuk membuat ulasan buku ini untuk dikongsi dalam laman blog saya. Faktor pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah yang bakal diadakan pada 7 April 2009 nanti menaikkan semangat saya untuk berkongsi sesuatu melalui penulisan ini.


Rasionalnya buku tulisan Mohammad Redzuan Othman, Zulkarnain Abdul Rahman, Shaharuddin Badaruddin, Amer Saifude Ghazali dan Md Rozimi Mohd Nasir yang terdiri dari ahli akademik Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA ini tidak seperti naskhah penulis politik dalam pasaran. Naskhah ini mempunyai ciri dan nilai akademik yang jelas berdasarkan kupasan yang dibuat melalui pengalaman mereka menjalankan penyelidikan sepanjang perjalanan pilihan raya tersebut. Inilah yang membezakan sebuah naskhah akademik dan penulisan politik. Buku ini mengandungi tujuh bab iaitu :


BAB 1 LATAR BELAKANG KAWASAN
BAB 2 TOKOH DAN STRATEGI CALON BERTANDING
BAB 3 PENDEKATAN DAN KEBERKESANAN KEMPEN
BAB 4 POSTER, KAIN RENTANG DAN RISALAH
BAB 5 PENGURUSAN KESELAMATAN
BAB 6 POLA DAN ANALISIS PENGUNDIAN
BAB 7 EPILOG


Kupasan utama dalam buku terbitan Karisma Publications Sdn. Bhd. ini ialah tentang perjalanan pilihan raya parlimen Permatang Pauh dengan menghuraikan apa yang tersurat dan tersirat di sebalik calon-calon dan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya itu secara akademik tanpa berpihak kepada mana-mana. Walau pun menjadikan pilihan raya kecil Permatang Pauh sebagai perbincangan utama, buku ini boleh menjadi kerangka kajian yang baik sebagai panduan dalam menghadapi pilihan raya terutama pilihan raya kecil yang sering kali menjadi tumpuan dan medan beradu kekuatan bagi parti-parti politik yang bertanding.


Selesai membaca buku ini, pembaca akan mengetahui sebab utama yang membawa kemenangan dan kekalahan kepada pihak yang telah kita semua ketahui. Buku ini juga menegaskan faktor-faktor signifikan yang terlibat dalam sesuatu pilihan raya dan berkaitan parti politik yang mungkin dilupakan atau diabaikan sehingga ia memberikan kesan dalam keputusan pilihan raya. Buku ini seharusnya menjadi bacaan wajib kepada pelajar IPT yang mengambil bidang sains politik, pentadbiran awam dan bidang-bidang yang berkaitan dengannya. Ia juga sesuai dibaca oleh ahli politik dan jentera parti yang terlibat dalam pilihan raya dan rakyat Malaysia yang berminat dan mahukan pandangan dari sudut yang berbeza.


Ingin tahu kenapa? Dapatkan segera di pasaran pada harga RM15.00 sahaja, sebelum terlambat. Selamat membaca.

3 comments:

  1. Salam. Sedikit komen tidak mencukupi utk menghuraikn sebab & punca kemenangan & kekalahan. Mungkin kalau boleh dpt ditampilkan ("quote") satu-dua perenggan yg mungkin dpt menarik minat pembaca. Wassalam - Ishak M

    ReplyDelete
  2. ima77,

    Terima kasih atas pandangan anda. Akan dipertimbangkan untuk post akan datang.

    ReplyDelete
  3. Ya, saya setuju bahawa saudara hanya memberikan preview saja tentang buku itu, bukannya ulasan. Apa kata saudara mengulas secara kritikal dan konstruktif.

    Saya juga sudah mendapatkan buku sama, insya'allah saya akanmengulas apabila selesai menelaahnya nanti.

    Terima kasih.

    ReplyDelete