Monday, April 26, 2010
Kenapa Orang Buat Kelakar?
1. Apa jawapan mungkin jika saya tanya, kenapa orang buat kelakar?
2. Buat kelakar atau lebih senang disebut buat lawak adalah ungkapan yang semakin popular di Malaysia hari ini. Semakin popular apabila martabat lawak diangkat menerusi rancangan realiti tv popular Raja Lawak.
3. Sejak dulu sebelum adanya Raja Lawak kita memang tak pernah sunyi dari pelawak yang menghiasi dunia seni negara. Malah seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh juga adalah salah seorang warga seni dalam aliran lawak sungguh pun Allahyarham boleh dikatakan seorang seniman versatile, tetapi lakonannya lebih terkesan dalam genre komedi. Selepas itu sampai kepada era AR Badul, kemudian Mr. Os. Mereka ini juga membawa genre lawak dalam karya seni. Lebih dari itu dunia lawak berevolusi ke era kegemilangan Senario yang dicungkil bakat mereka dan beberapa pelawak tanah air melalui Sinaran Pasport Kegemilangan. Timbul pula Saiful Apek yang menyerlah hingga tenggelam seketika rakan-rakan Senario mereka. Sampai satu ketika filem Melayu tak boleh jual kalau Saiful Apek tak berlakon dan fenomena Apek memberi kekayaan berterusan kepada produser filem seperti David Teo, KRU dengan Cicakman dan banyak lagi. Sekarang ni zaman beralih kepada Nabil, tunggulah saat kebangkitan Sepah dan Kecik selaku pendatang baru.
4. Wah, saya boleh mengulas dengan baik berkaitan dunia seni lawak negara!
5. Kita tinggalkan ulasan itu. ia menarik untuk saya ulas lebih lanjut tapi mungkin di lain siri. Berbalik kepada soalan asal saya di atas, kenapa?
6. Kita boleh katakan sebabnya yang utama ialah untuk menghiburkan orang ramai. Untuk memberikan hiburan santai yang mencuit hati kepada orang ramai. Lawak sebagai terapi nak memberi ketenangan. Buat lawak sebab ada bakat berlawak, nak ketengahkan bakat baru lawak yang orang tak pernah tengok dan macam-macam lagi.
7. Satu perkara yang jarang kita fikir dan telusuri ialah persoalan “kenapa” dari kaca mata si pembuat lawak.
8. Saya tak hairan kalau majoriti menganggap orang yang buat kelakar ni sebagai oarang yang tak tahu malu, orang tak hati kering dan tak de perasaan. Sebab dunia dia hanya tahu buat kelakar sahaja. Lawak sahaja!
9. Kita sangka orang kelakar ni hidupnya siang malam hanya melawak dan tak kering gusilah orang di sekelilingnya bergelak tawa.
10. Betul ke?
11. Cuba kita perhalusi kehidupan orang-orang kelakar ni. Cuba kita perhatikan kehidupan peribadi mereka. Betul ke bagai disangka?
12. Sebenarnya, saya berani gerenti yang kehidupan mereka yang kita sifatkan sebagai orang kelakar ni jauh berbeza dari lawak mereka. Jangan tak percaya, si pelawak ni sebenarnya adalah orang-orang yang ada “split personality”.
13. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, lebih kelakar lawaknya, lebih hebat cabaran kehidupan yang dilalui oleh orang tu. Cubalah anda perhalusi hari ni kalau tak percaya?
14. Saya nak beri jawapan kepada persoalan saya di awal tadi. Orang melawak sebab nak sembunyikan keresahan dan masalah yang melanda. Lebih hebat masalah atau cabaran yang dihadapi maka lebih kelakar lawaknya.
15. Kuasa Allah maka besar, ada sekumpulan manusia yang diberikan kelebihan untuk menyalurkan kerunsingan dan rasa bermuram durja mereka untuk disembunyikan dalam lawak dan perbuatan kelakar yang menjadi perhatian ramai.
16. Ya, perhatian. Itulah yang sebenarnya dimahukan. Masalah dan cabaran hidup yang terlalu mendesak akan membuatkan dia gila kalau memikirkannya siang dan malam. Tapi bila buat kelakar nanti, orang akan beri perhatian. Siapa yang tak suka lawak kan? Itu lah yang akan membantu dia melupakan masalah hidupnya.
17. Saya tahu jawapan ini hasil pemerhatian kepada hidup yang saya lalui dan pengalaman bersama rakan-rakan. Saya begitu dan rakan-rakan saya juga begitu.
18. Kita tak tahu di sebalik sifat lawak seolah-olah tak de masalah tu, seseorang tu mempunyai sisi kehidupan yang sangat mencabar dan tak terjangkau dek pemikiran biasa kita.
19. Sekadar mengimbau satu contoh, lihatlah Arwah Mior Ahmad Fuad atau Din Beramboi. Siapa boleh lupa aksinya dalam rancangan Spontan, yang paling giler dan hiperaktif. Sawancara di ERA? Aksi di Wuhai Beramboi dan lain-lain rancangan di mana Arwah muncul. Tapi kita tak tahu di rumah, Arwah seorang yang serius, seorang bapa yang tegas dengan anak-anaknya. Ini yang saya sebut “split personality”. Semua ini hanya didedahkan kepada umum bila Arwah sudah pergi meninggalkan kita.
20. Ada di kalangan mereka ni datangnya dari keluarga yang bermasalah; ibu bapa bergaduh atau bercerai-berai, konflik adik-beradik, dihimpit kehidupan yang tidak kondusif di rumah, masalah peribadi; konflik diri, dipandang hina kelompok masyarakat, mempunyai masalah kesihatan; menahan sakit dan tak mahu memikirkan tentang penyakitnya dan banyak lagi masalah yang tak dapat kita bayangkan.
21. Ketahuilah, pilihan untuk menjadi seorang yang kelakar kadangkala bukan datang secara pilihan seperti kita membuat keputusan sama ada nak menyertai Raja Lawak atau tidak? Berilah sedikit penghormatan selain dari perhatian kepada golongan ini.
22. Jika ada kesempatan, cubalah dalam isi hati mereka. Mungkin mereka juga perlukan kawan, kawan sejati dan bukan sekadar perhatian. Sifat kelakar itu akan terus kekal pada diri seseorang selepas masalahnya selesai, itu pasti.
23. Jangan sampai kita terlambat untuk memahami seseorang yang kita sangka tiada perasaan, tapi hatinya meruntun dengan pelbagai masalah yang menyentuh perasaan kita.
24. Sebab itu penting untuk menilai kehidupan dari mata hati. Adakah kita tahu menggunakan mata hati?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment