Apa la ente cakap itu macam, ente polisi mesti jaga keamanan bukan bagi rusuhan. Ente musti baik2 cakap. Sekali ana rejam sama ini batu, pecah ente punya kepala!
1. Itulah antara dialog dalam salah satu babak cerita Ahmad Albab. Dialog itu diucapkan oleh Syawal (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) sewaktu memarahi polis yang bertindak kasar memanggil ‘birasnya’ dengan gelaran ‘unta’!
2. Waktu itu lagi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dah pesan, kuasa, amanah, tugas dan tanggungjawab yang dikurniakan tak boleh disalah guna.
3. Polis sepatutnya menjalankan tugas mengikut saluran undang-undang dan tak boleh bertindak di luar batasan.
4. Saya setuju, kekerasan perlu digunakan ke atas penjenayah, kerana walau pun penjenayah juga manusia, tapi inilah manusia yang memilih untuk jadi manusia luar biasa, iaitu luar biasa jahat dengan merompak, menyamun, mencuri, membunuh dan lain-lain bentuk keganasan.
5. Menurut Prof. Madya Dr Posiah Mohd Isa, dalam etika kepolisian. Kekerasan adalah jalan terakhir yang boleh digunakan oleh polis setelah semua usaha atau kaedah lain sebagai alternatif telah digunakan dalam menjalankan tugasan.
6. Ini tepat sekali. Sewaktu negara dikejutkan dengan era reformasi pada penghujung tahun 1990an, polis juga sering disalahkan apabila dilihat menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan dan reformis jalanan. Sewaktu itu, teguran dari pelbagai pihak termasuk Suhakam ke atas polis telah sedikit sebanyak memberikan informasi kepada rakyat tentang kekerasan.
7. Kekerasan atau police brutality bukan perkara baru dan bukan isu nasional yang hanya berlaku di Malaysia. Di luar negara isu ini juga tidak sunyi dari diperkatakan. Pada saya, ia juga berkait rapat dengan persepsi. Jika persepsi melihat polis melakukan tugas dengan kekerasan, maka kekerasanlah yang berlaku. Tapi jika dilihat polis seharusnya bertindak dengan apa cara sekali pun untuk menjalankan tugas, maka ia hanya sebagai salah satu dari kaedah dalam polis menjalankan tugas.
8. Saya yakin, seperti juga lain-lain profesion, polis juga ada kod etika mereka yang perlu dipatuhi dalam menjalankan tugas. Polis yang baik pasti akan patuh pada ketetapan ini.
9. Bagi yang tak patuh, itu adalah sebahagian dari penjawat awam yang ingkar. Bukan sahaja polis tapi lain-lain kumpulan penjawat awam pun ada yang tidak patuh. Maka mereka ini perlu diambil tindakan. Bak kata pepatah, marahkan nyamuk janganlah kelambu dibakar. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Beri peluang kepada polis yang baik untuk menjalankan tugas dan kita ambil tindakan pada mereka yang tidak melaksanakan tugas dengan betul.
10. Cuma, kita khuatir ada amalan tidak baik cuba dibawa dalam menjalankan tugas. Contohnya mereka-reka pernyataan atau cerita untuk menutup kejadian yang dilihat boleh menjejaskan kepentingan pihak tertentu. Ini bukan satu tindakan yang bijak!
11. Bukankah kita perlu berkata benar walau pun pahit? Dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam, kepentingan perkhidmatan perlu diutamakan. Apabila kepentingan perkhidmatan melebihi kepentingan peribadi atau lain-lain kepentingan, maka kepentingan perkhidmatan perlu diberikan keutamaan.
12. Percayalah, polis sedia berkhidmat dan mereka berkhidmat dengan penuh integriti seperti motto pada lencana mereka, “INTEGRITI AMALAN KITA”.
Tuesday, May 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment