Saturday, July 14, 2012

Golongan Moderat Dalam Kehidupan

(Terima kasih kepada Razak Idris, http://razak.wordpress.com/2012/02/17/siapakah-golongan-moderat/)

Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global atau Global Movement of Moderates yang berlangsung pada 1-19 Januari 2012 yang lalu memberi perspektif yang jelas tentang siapakah golongan moderat? ‘Moderat’ ialah kata nama yang diambil dari bahasa Inggeris merujuk kepada perkumpulan masyarakat yang menghayati falsafah ‘moderation’ atau kesederhanaan dan menghayatinya di dalam bertindakbalas dengan persekitaran hidup yang rencam di sekeliling.
Golongan moderat memiliki daya pertimbangan yang tinggi. Daya ini ialah satu pemilikan sifat dan nilai yang paling benar dan adil. Di dalam al-Quran, kelompok ini dikenal sebagai ‘ummatan wasata’ sebagaimana di dalam surah al-Baqarah ayat 143. Oleh itu, istilah ‘wasat’ merujuk terus kepada satu darjah keseimbangan dalam kehidupan. Golongan moderat dalam konteks istilah ini ialah kelompok yang berada pada darjah pertengahan dan mereka berkeupayaan berada pada darjah tersebut kerana mereka dipandu oleh falsafah hidup yang benar dan adil serta dibimbing oleh nilai keseimbangan serta sifat kesederhanaan.

Dalam banyak perbahasan di persidangan tersebut, antara ciri yang disepakati tentang golongan moderat ialah wataknya yang realistik. Golongan moderat tidak terlampau dihimbau oleh keagungan nostalgia sejarah sehingga menutup ruang harapan di masa depan. Mereka juga tidak terlalu asyik menuju masa depan sehingga menafikan dan mengabaikan sejarah dan warisan silam. Sebagai golongan yang realitik, moderat melihat realiti sebagai dinamik dan bersifat organik. Sebuah realiti yang tumbuh dalam kehidupan ini tidak berlaku di dalam kekosongan melainkan ia dibentuk dan dipengaruhi oleh pelbagai unsur dan elemen dari aspek sejarah, budaya dan nilai yang saling berinteraksi secara dinamik dan organik secara rencam dan berterusan dalam perjalanan sejarah yang panjang.

Proses interaksi ini membawa kepada kelahiran kepelbagaian dan kerencaman dalam kehidupan alam dan kemanusiaan. Kerangka kefahaman ini adalah asas yang menjadikan golongan moderat realistik dalam erti sentiasa menilai setiap peristiwa dan kejadian yang wujud di dalam konteksnya yang tersendiri. Dalam kata lain, suatu realiti dibentuk oleh persekitarannya yang dinamik dan tumbuh secara organik menyebabkan ia tumbuh dan muncul secara unik dan tersendiri. Seseorang yang berkemampuan memahami realiti sejajar dengan konteks dan persekitarannya yang unik dan tersendiri ini bererti dia sedang mencapai satu daya dan tahap pertimbangan yang paling adil dan benar dalam pemahaman dan tindakannya. Pencapaian ini membawa seseorang itu tergolong di dalam kelompok moderat.

Oleh kerana itu, golongan moderat juga sering dicirikan sebagai kelompok yang bersifat ilmiah dan objektif. Dalam dunia keilmuan, pemilikiran dua ciri ini adalah antara asas utama yang akan membawa seseorang kepada pencapaian kebenaran atau hakikat. Sebuah kebenaran hanya mampu tergambar di dalam alam fikiran kita dan terhayat di dalam benak sanubari kalbu setelah ia dibangunkan secara ilmiah dan objektif berasaskan hujah yang benar dan pasti. Golongan moderat dalam konteks ini tidak akan mudah tertawan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas apatah lagi sekiranya sesuatu hujah mengandungi dakwaan-dakwaan palsu.
Memandangkan golongan moderat ialah kelompok yang berwatak ilmiah dan objektif dalam membuat sebarang pertimbangan di dalam kehidupan, mereka juga memiliki satu daya pemikiran yang bersifat menyuruh atau syumul. Dalam kata lain, golongan moderat bukan kelompok yang berfikiran sempit di dalam memahami sesuatu persoalan. Seseorang yang memiliki daya pemikiran menyeluruh tidak akan menilai sesuatu dari hanya satu sumber sahaja. Golongan moderat sentiasa terbuka menerima pelbagai pendapat dan pandangan dari apa juga sumber yang boleh membawanya memahami sesuatu persoalan secara menyeluruh. Pemikiran menyeluruh ialah satu asas yang akan menghindarkan seseorang bersifat prejudis atau buruk sangka terhadap sesuatu persoalan dan kejadiaan.

Membina dan menghimpunkan golongan moderat ialah satu tuntukan utama pada masa kini kerana masyarakat dunia sedang dihimpit oleh pelbagai arus yang bercorak eksterim atau melampau.
Fenomena melampau tergambar di dalam pelbagai fenomena kehidupan hari ini samada dalam dimensi sosial, politik dan ekonomi. Fenomena melampau sering dan mudah kita fahami dalam konteks perhubungan politik dan agama kerana gejalanya sering terjadi. Gejala Islamphobia yang sering kita huraian ialah salah satu contoh bagaimana fenomena melampau tergambar di dalam dimensi perhubungan antara dua kelompok agama dan tamadun di dunia hari ini.

Namun, ia bukan satu-satunya gejala yang harus kita sedari. Dalam perbahasan yang rancak dan segar di persidangan tersebut, pembentang menyepakati iaitu golongan moderat juga harus menyumbang kepada proses penyeimbangan dalam aspek ekonomi, ketenteraan dan hubungan antarabangsa. Krisis ekonomi dunia yang berlaku sejak beberapa dekad yang lalu ialah antara fenomena gejala melampau yang disumbangkan oleh golongan yang tamak dari kalangan kapitalis. Kesan dan akibat yang disumbangkan mereka adalah seumpama gejala peperangan yang digerakkan oleh para imperialis moden hari ini sebagai terjadi di negara Afghanistan, Iraq dan Palestin. Bahaya golongan pelampau ekonomi dan ketenteraan adalah sama dengan para pelampau yang mengibarkan bendera pemusuhan dan kebenciaan sesama manusia atas nama agama.

No comments:

Post a Comment