1. Sekali lagi nak saya tegaskan, Score Field adalah sebuah blog kehidupan dengan catatan pengalaman berdasarkan persepsi saya.
2. Ia bukan sebuah blog politik.
3. Niat asal saya menulis blog dulu pon ialah sebagai batu loncatan untuk menghasilkan sebuah buku. Tajuk buku dah ada dalam kepala. Permulaannya pun sangat jelas. Pertengahannya masih bercelaru. Cuma penghujungnya belum nampak.
4. Sebab Score Field bukan blog politik, ia agak sunyi dari posting.
5. Alahai, blog politik pun bukannya sarat dengan catatan dan idea. Banyak 'copy & paste' sahaja. Sekadar mengulas atau melebar luas jangkauan isu.
6. Score Field akan ada post terbaru, bila ada kesempatan untuk saya menulis. Tak mudah meluahkan isi minda ke bentuk tulisan, walau pun bayangan tulisan sentiasa menari-nari dalam hati sanubari.
7. Semalam ada beberapa kejadian yang mengusik jiwa. Tentang teguran ketua yang tak boleh diterima oleh seorang staf 'berpangkat'. Ibarat hilang arah, merata cerok dijaja cerita seolah mengadu. Kadang kala, ibarat mengadu domba. Kelakar pon ada. Manakan tidaknya, ketua menegur urusan kerja, tapi nampak gayanya tak boleh terima, sampai berhajat nak minta tukar ke Shah Alam. Emosinya! Kenapa tidak muhasabah diri? Bukankah teguran itu membina. Bukankah kalau ditegur itu bermakna ada yang tak kena? Jika kita betul, pasti ada hujah untuk menyokong. Ketua pun bukan sentiasa betul. Jika kita betul, dan ada hujah menyokong, Ketua pon boleh kita jelaskan dan akan menerima penjelasan berasaskan fakta yang betul. Tapi kalau tak mampu pertahankan diri. Maknanya betul la salah kita kan?
8. Semalam juga, seorang rakan seperjawatan dari Utara mengadu tentang pernyataan, "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Geli hati juga, tapi bila di amat-amati, menjadi geram pun ada. Masih berkisar tentang tugas, teguran dan ketua. Rakan saya ini mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan diri dari menjadi 'pak sanggup' kepada tugas yang diberikan kepadanya melangkaui garis bahagian di mana tugas hakiki sepatut menjadi keutamaan. Walhal dia dari bahagian yang berbeza. Tak puas hati. Masakan tidak, jadi pak sanggup hanya kerana orang lain dilihat tak sesuai untuk melakukan tugasan tersebut. Lalu rakan saya pergi menemui ketuanya yang tertinggi. Mengadu hal, minta simpati. Sebaliknya, pandangan ketua tidak seperti apa yang diharapkan. Lantas keluarkan pernyataan "dah dapat tanggungjawab, laksanakan!". Memang ia kedengaran seperti satu amanah. Tapi ada juga betul telahan rakan saya. Tanggungjawab, biarlah kena pada tempatnya. Lebih-lebih lagi, sebagai penjawat awam, biarlah betul punca kuasanya.
9. Apa pun yang berlaku dalam rencah kehidupan bekerja, kita sepatutnya insaf akan satu perkara yang nyata. Tak lain tak bukan, bersyukurlah kepada Allah kerana kita masih ada kerja untuk dibuat, sebagai sumber rezeki.
10. Kerja yang baik dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan menjadi ibadat.
11. Kepada Allah kita berserah, semoga setiap pekerjaan yang kita lakukan mendekatkan diri kepada-Nya.
12. Setiap yang berlaku ada hikmah, kepada Allah kita memohon, agar hikmahnya menjadi sesuatu yang baik untuk kita. Wallahuallam.
Tuesday, October 16, 2012
Ragam dan Rencah Kehidupan
Labels:
amanah,
ketua,
ragam kehidupan,
rencah kehidupan,
Tanggungjawab,
Teguran
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment