Wednesday, June 26, 2013

Ilmu Pengurusan Organisasi

Jarang sekali saya repost sesuatu tulisan dari pihak lain ke blog ini. Kecuali jika ia sangat menarik. Seorang rakan letakkan posting ini di laman fb yang dikatakan bertarikh 25 Jun 2013. Saya suka kongsikan kerana ada banyak pengajaran di sebalik cerita ini;

JANGAN BUNUH HANG NADIM NANTI MUNCUL HANG JEBAT!

25 JUN


“Kaedah pengurusan saya ‘simple’. Tegas dan jelas. Yang bekerja dengan baik berikan ganjaran dan yang buat masalah berikan hukuman. Hasilnya… awak tengok syarikat saya sekarang,” kata seorang pengurus sebuah syarikat pembekal makanan halal kepada saya sewaktu kami menghadiri kursus pengurusan dan kepimpinan.

Saya tersenyum, membuka laluan untuknya terus berkata-kata. Sejak dari awal perbualannya sehinggalah sekarang, dia sentiasa mendominasi perbualan.

“Lihat berapa banyak anugerah kecemerlangan yang saya berikan untuk staf. Mereka tentu berpuas hati dan akan memberi pulangan yang tinggi untuk syarikat nanti. Mereka untung dan saya sebagai pemilik syarikat untung. Sama-sama untung.”

“Yang buat masalah, mereka terima akibatnya!”

Saya terus diam. Mencari ruang untuk mencelah yang sejak tadi belum diberikan.

“Berapa ramai pekerja yang kekal sejak awal penubuhan syarikat?” tanya saya mengalih sedikit hala tuju perbualan.

“Bilangan jari. Ramai pekerja baru. Saya tidak bimbang… saya punya kemampuan kewangan untuk mendapat tenaga-tenaga baru. Yang berhenti atau diberhentikan mudah sahaja mencari gantinya.”

“Itu petanda yang tidak berapa elok, “ jolok saya tiba-tiba.

“Mengapa?”

“Jika pekerja kerap bertukar ganti… itu menunjukkan syarikat awak belum berjaya, “ kata saya berlapik.

“Tapi syarikat sentiasa buat keuntungan berganda setiap tahun!”

Saya senyum. Betapa dia hanya fokus kepada keuntungan. Pada hal ukuran pencapaian sesebuah berdasarkan ‘Balance Score Card’ syarikat ada empat – tercapai objektif kewangan, kepuasan pelanggan, proses kerja dalaman yang baik dan faktor pembelajaran dan perkembangan pada warga kerja.

“Awak hanya fokus kepada telur emas tetapi tidak menjaga angsanya,” kilas saya tiba-tiba.

“Maksud awak?”

“Tentu awak pernah dengan cerita angsa bertelur emas. Seekor angsa bertelur emas sebiji sehari. Tuan punya tidak sabar menunggu. Disangkanya dalam perut angsa ada banyak telur lalu angsa itu dibunuh dan dibelah perutnya…”

“Awak tahu apa hasilnya pada pemilik angsa? Telur emas tidak dapat dan angsanya mati. Rugi berganda. Begitulah akibatnya jika hanya fokus kepada produktiviti dan kualiti kerja tetapi menafikan perasaan, jiwa dan kebajikan pekerja,” tambah saya dengan cepat agar penjelasan saya tidak dipotong.

Dahinya berkerut. Nampaknya dia mula berfikir dan cuba memahami input yang saya cuba sampaikan.

“Tetapi saya masih mempunyai beberapa orang pekerja yang setia. Mereka sangat patuh dan sentiasa memberi kerjasama…”

“Awak perlu bijak membezakan antara pekerja yang setia dan pengampu. Di keliling awak kadangkala hanya seorang pengampu bukan yang bijak dan kritis, ” celah saya agak tegas.

“Saya tidak suka orang yang kritis. Bagi saya mereka adalah duri dalam daging. Orang yang menikam kita dari belakang. Mereka seperti ini saya cantas dengan cepat.”

“Itu hak awak. Tetapi syarikat jangan dilihat sebagai organisasi membuat keuntungan sahaja tetapi perlu dijadikan sebagai institusi pendidikan. Kita perlu memberi ilmu, mendidik, mendengar, menghargai, dan jika memimpin pekerja,” kata saya.

“Antara kebijaksanaan dan kesetiaan, saya memilih kesetiaan,” jawabnya.

“Tanpa perhubungan yang erat dan kasih sayang sejati awak akan hilang kedua-duanya…”

“Saya kira saya telah mendapatnya sekarang,” ucapnya sambil tersenyum. Dia kelihatan begitu yakin.

Saya menggelengkan kepala perlahan-lahan.

“Awak hanya akan dapat pengampu yang bekerja tanpa kreativiti dan inovasi. Mereka hanya hebat membuat kerja rutin. Atau pekerja yang takut dan tertekan dalam diam yang kreativitinya tersekat tetapi belum mendapat tempat lain untuk meninggalkan syarikat!” tusuk saya berani.

Dia menggelengkan kepala. Tidak bersetuju.

“Saya percaya kepada ketegasan. Kita perlu jelas bahawa syarikat bukan sekolah berteraskan pendidikan. Syarikat adalah sebuah organisasi bermatlamatkan keuntungan. Awak tidak faham!”

“Itu betul jika dilihat pada ukuran yang biasa. Tetapi awak juga yang menegaskan sejak awal tadi bahawa awak hendak mengurus dan mentadbir syarikat secara Islam. Islam melihat pekerja sebagai matlamat, keuntungan sebagai alat. Berbeza dengan ukuran biasa yang melihat pekerja sebagai alat untuk mendapat keuntungan.”

“Pekerja sebagai matlamat? Maaf, saya tidak faham.”

“Yang paling berharga dalam mana-mana institusi ialah manusianya. Itulah harta yang paling bernilai. Sama seperti sebuah famili… yang bernilai bukan rumah, kereta dan set perabotnya tetapi manusianya, yakni suami, isteri dan anak-anak. Begitulah dalam sebuah syarikat Islamik, yang paling berharga ialah pekerja bukan yang lain.”

“Habis keuntungan tidak penting?”

“Awak jaga angsanya, insyaAllah ia akan bertelur emas setiap hari,” jawab saya pendek.

“Salahkah saya memberi hukuman?”

“Tidak salah. Mana-mana organisasi mesti ada peraturannya. Tetapi hukuman adalah jalan akhir setelah proses perhubungan, penerangan, perbincangan, penjelasan dan komunikasi yang telus dan tulus dilaksanakan.”

“Saya tidak masa untuk itu… saya sibuk mengurus hal yang lain.”

“Awak seorang pemimpin atau seorang pengurus?” tanya saya.

“Saya pemimpin syarikat ini!”

“Pemimpin perlu fokus kepada manusia. Hanya pengurus yang fokus kepada sistem. Pemimpin perlu mendekati, memberi ruang dan peluang untuk pekerja didengari, bermesra dan menyayangi pekerja. Paling penting, kasih sayang. Kita boleh menyayangi tanpa memimpin tetapi kita tidak boleh memimpin tanpa menyayangi.”

“Jadi tak perlu hukuman?”

“Peraturan ditambah undang-undang tetapi tanpa kasih sayang hanya akan mencetuskan pemberontakan!” jawab saya jelas.

“Pemberontakan telah saya padamkan…”

“Yang nampak boleh awak padamkan. Tetapi bagaimana yang terpendam?”

“Yang terpendam biarkanlah. Itu hak mereka. Asal jangan buat tidak senonoh dalam syarikat…”

Saya senyum. Seronok berbincang dengan orang yang berbeza ‘school of thought’ begitu. Kita akan dapat corak fikiran yang berbeza.

“Yang terpendam sebenarnya lebih berbahaya. Mereka akan membatas daya kreativiti dan produktiviti. Mereka akan bekerja di bawah batas kemampuan dan kebijaksanaan. Melaksanakan bekerja tanpa keghairahan dan semangat berpasukan yang tinggi. Nak mengampu mereka tak tega, nak memberi pandangan takut pula jadi Hang Nadim.”

“Hang Nadim?”

“Hang Nadim adalah kanak-kanak bijak dalam cerita Singapura dilanggar todak. Dia boleh berfikir secara kreatif. Think outside the box, kata orang sekarang. Daripada berkubukan betis baik berkubukan batang pisang. Itu pemikiran strategiknya. Akhirnya, Singapura selamat tetapi Hang Nadim tidak selamat.”

“ Apa terjadi kepada Hang Nadim?”

“Dibunuh raja. Kalau masih kanak-kanak sudah begitu bijak, apalagi kalau sudah dewasa nanti, fikir raja. Aku boleh dilawannya, lalu Hang Nadim dihukum bunuh!” kata saya.

Mahu sahaja saya menyoal, berapa ramai ‘Hang Nadim’ yang telah awak ‘bunuh’ dalam syarikat awak? Setelah habis manis, sepahnya dibuang. Namun, tidak tergamak saya bertanya demikian. Tidak berakhlak.

“Tetapi saya tidak begitu. Saya hanya menghukum yang salah, bukan yang bijak.”

“Tidak salah menghukum tetapi pemimpin perlu mendidik dahulu sebelum menghukum. Tanya dan dengarlah penjelasannya. Jangan dengar daripada pengampu. Jika kesalahan dalam bentuk fizikal dan material, dapat hujah nyata atau bukti-bukti yang tertulis. Jika kesalahan dalam bentuk kata-kata dan sikap datangkan saksi yang adil. Jangan bunuh Hang Nadim, nanti muncul Hang Jebat ”

“Wah macam mahkamah pula. Tadi macam sekolah.”

“Seorang pemimpin lebih rela disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Takutilah doa orang yang zalim. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman!”

“Saya bukan seorang pemimpin negara… saya hanya pemimpin syarikat perniagaan.”

“Sekalipun pemimpin di skala yang paling kecil, semua pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Hendak dengar cerita burung dan ulat?”

Dia memalingkan wajahnya. Tetapi saya terus berkata, “semasa burung hidup dia memakan ulat tetapi apabila burung mati, dia pula yang dimakan ulat. Kita tidak selamanya di atas… walaupun sekarang kita terus menaik ke atas. Mungkin itu hanya untuk meninggikan tempat kita jatuh. Lebih tinggi, lebih sakit nanti. Berhati-hatilah…”

No comments:

Post a Comment