Friday, April 10, 2009

Cikgu Oh Cikgu!


Pendidik, guru, cikgu. Saya suka kepada sebutan cikgu!

Saya sentiasa menyifatkan kerjaya sebagai seorang pendidik sebagai semulia-mulia kerjaya. Salah satu dari tiga perkara yang dihitung apabila matinya anak Adam ialah ilmu yang dipanjang-panjangkan. Maka seorang cikgu nampaknya ada peluang yang lebih cerah untuk masuk syurga, Insya-Allah.

Saya pernah teringin nak jadi cikgu. Tapi saya tidak cukup sabar dan saya sifatkan kesabaran adalah keperluan paling besar untuk menjadi cikgu. Maka saya lupakan keinginan itu.

Masih saya ingat wajah-wajah cikgu zaman saya bersekolah dahulu, terutamanya zaman sekolah rendah. Pendidikan yang mereka berikan terkesan di hati saya. Ramai yang boleh saya sebutkan antaranya Cikgu Shamzainah, Cikgu Zaiton, Cikgu Low Swee Sing, Cikgu K. Periasamy, Cikgu Rocidiah, Cikgu Raseba Lingam, Cikgu Zahari, Cikgu Suhaimi, Cikgu Norsam, juga Cikgu Mahanom Sudin dan banyak lagi yang saya tak mampu untuk sebutkan satu per satu.

Bukan semua cikgu-cikgu ini “suka” pada saya kerana saya secara relatifnya memang seorang yang agak nakal, banyak cakap, aktif dalam kelas termasuk membuat bising. Tapi saya sifatkan cikgu-cikgu saya sebagai insan mulia yang menjadikan siapa saya hari ini.

Sebab itu bila saya bandingkan diri saya, rasanya jauh untuk saya menepati ciri-ciri seorang cikgu.

Hari ini siapa yang jadi cikgu?

Saya mungkin salah tapi pengalaman saya melihat bahawa rata-rata kenalan saya yang hari ini menjadi cikgu adalah mereka yang dulunya sewaktu di universiti adalah mereka yang sederhana pencapaian akademiknya. Malah ada kalangan mereka ini yang sebenarnya lemah dari aspek akademik. Mereka menjadi cikgu kerana tiada pilihan lain selepas tidak diterima untuk bekerja dalam sektor lain. Tambahan pula, mereka memikirkan cuti panjang dalam musim cuti sekolah yang dinikmati seorang cikgu.

Ada juga yang mengikut cakap ibu bapa atau ahli keluarga. Tambahan pula bila sudah lama menganggur dan putus harapan untuk mendapat kerja, maka mohonlah masuk KPLI.

Tak lama dulu sewaktu berjoging dengan rakan-rakan saya berjumpa dengan seorang cikgu lelaki muda yang sama-sama berjoging di trek. Dia mengatakan memang bukan minat sangat nak jadi cikgu tapi dalam temuduga KPLI bila ditanya sejauh mana minat menjadi cikgu, sudah tentu jawapannya sangat berminat! Tapi katanya dia boleh dapat KPLI sebab saingan sesama lelaki kurang, tapi kalau perempuan agak hebat volume yang memohonnya!

Inilah kekhuatiran kita, bila yang menjadi cikgu bukanlah orang yang minat mengajar. Mereka ke sekolah bukan untuk mengajar tetapi semata-mata untuk bekerja kerana gaji cukup bulan. Naluri pendidik tiada dalam jiwanya. Mungkin sebab itu, ramai cikgu yang buat direct selling? Memang tiada salahnya selagi tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan, tetapi kita bimbang akan fokus cikgu tadi pada kerjayanya.

Tanggungjawab seorang cikgu sangat besar. Cikgu bukan sahaja mengajar, tetapi juga mendidik! Seorang cikgu dengan naluri pendidik pasti dapat membezakannya, tetapi seorang manusia yang tiada naluri tersebut pasti akan tertanya-tanya dan sudah tentu tidak bersetuju dengan saya.

Perlu ada anjakan paradigma dalam masyarakat.

Di pihak individu, tepuk dada tanyalah selera dan kemampuan? Ini soal tanggungjawab dan masa depan negara. Aspirasi peribadi harus seimbang dengan aspirasi negara.

Di pihak keluarga, janganlah meletakkan cita-cita peribadi ibu bapa atau keinginan yang tidak kesampaian kepada anak-anak. Bimbing mereka ke arah kerjaya yang mereka minat dan bukan yang kita minat. Berikan anak-anak pendedahan, kesan positif dan negatif setiap keputusan yang dibuat ke arah pemilihan kerjaya di masa hadapan tetapi, pilihan akhir masih di tangan mereka.

Di pihak cikgu yang telah “terjadi” cikgu sama ada sengaja atau tak sengaja, tingkatkanlah keilmuan dan keintelektualan kalau ia masih lemah. Mungkir ditakdirkan anda menjadi cikgu. Tiada salahnya malah seperti saya katakan ia adalah semulia-mulia kerjaya. Tetapi, letakka diri anda di tempat yang betul sebagai seorang pendidik. Jangan buat perbandingan kerjaya anda dengan lain-lain skim perkhidmatan dalam kerajaan atau di sektor swasta. Elemen utama sebagai seorang cikgu ialah mendidik dengan matlamat ilmu dan bukanlah berorientasikan keuntungan dari segi wang ringgit. Jika anda sukar untuk menerima hakikat ini, sedarlah bahawa anda telah tersalah langkah. Jangan diperjudikan nasib anak-anak Malaysia, maka berundurlah secara berani. Letak jawatan, carilah kerjaya baru.

1 comment:

  1. JANGAN LUPA CIKGU DAWI (IAB)..SEORANG GURU YG HEBAT..

    ReplyDelete