Sunday, April 26, 2009

Memberi Pertolongan

1. Kamus Dewan mendefinisikan pertolongan sebagai perihal (perbuatan dsb) menolong, sesuatu (yg digunakan) utk menolong, bantuan, sokongan: dgn rahmat dan ~ Allah; ~ cemas pertolongan yg mula-mula dilakukan bagi merawat seseorang yg mendapat kecederaan (akibat kemalangan dsb);

2. Maknanya pertolongan adalah suatu khidmat mulia yang kita berikan kepada mereka yang memerlukan.

3. Pepatah Melayu juga banyak menyentuh tentang perkara ini. Antaranya tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Bermaksud, orang yang memberikan pertolongan itu secara relatifnya lebih mulia hati dan budinya kerana membantu orang yang ditolongnya tadi.

4. Akan tetapi, pertolongan harus datang dengan keperluan, iaitu orang yang mahu ditolong benar-benar memerlukan pertolongan. Jika tidak ia tidak akan dihargai dan kita juga yang sakit hati ibarat pinggan tak retak nasi tak dingin, orang tak hendak aku tak hingin.

5. Jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai. Itulah ibaratnya sesuatu pertolongan dan perbuatan baik yang hendak kita berikan jangan sampai disalah tafsir akan kebaikannya atau lebih penting lagi jangan sampai ia tidak dinilai dengan satu pemberat yang betul. Pastinya kita lebih arif sesuatu tujuan atau matlamat dalam perbuatan.

6. Simpati dan kasihan adalah rasa mulia yang ada dalam diri manusia-manusia yang dididik dan diasuh supaya sentiasa berbaik sangka dan bantu membantu sesama manusia. Inilah kesempurnaan didikan sewaktu kecil yang dimainkan oleh keluarga.

7. Tetapi kita mesti ingat, bukan semua orang sempurna dan cukup didikan serta asuhan sewaktu kecil atau masih belum cukup diasuh supaya menghargai sesuatu perkara di dunia ini.

8. Lebih tepat, bukan semua orang tahu adat berbudi seperti kata pepatah orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

9. Sedih juga bila ramai orang hari ini bersifat individualistik. Pentingkan diri sendiri tetapi mengharapkan orang lain menyempurnakan kepentingan dirinya sendiri. Untuk dia membantu jauh sekali!

10. Lebih teruk lagi bila ada yang menjadi seperti si buta mematah tongkat.

11. Bukanlah saya sengaja hendak mencari silap ibarat kata pepatah sengaja bercekak pinggang, tinggallah rebana beralih ke gelanggang, tak tahu pipit tak tahu enggang, yang rapat kelak menjadi renggang. Tetapi biarlah keadaan itu kena pada tempatnya.

12. Saya masih ingat pesanan seorang rakan yang ibunya pandai masak nasi beriani udang - paling sedap pernah saya makan. Katanya, kalau hendak menolong orang, biarlah apabila orang itu meminta pertolongan kita dan jangan sewenang-wenangnya memberikan pertolongan bila orang tak minta. Bukan kita ni kedekut atau berkira, tapi supaya orang tu lebih menghargai apa yang kita tolong.

13. Nyata sekali, betul dan relevan sungguh kata-katanya itu.

14. Hidup akan lebih bahagia kalau kita saling bantu membantu dan tolong menolong. Tetapi kesucian dan kebersihan hati manusia yang menolong atau ditolong hanya Allah sahaja yang tahu.

15. Sebab itu, pandangan mata hati tidak ada pada semua manusia. Fikirkanlah.

1 comment: